bersama kepimpinan ulamak




Kempen Tambah Keahlian Baharu





Thursday, February 28, 2013

KHUTBAH JUMAAT - 1 MAC 2013 / 18 RABI'UL AKHIR 1434



JANGAN BERPALING DARI PERINGATAN ALLAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةًۭ ضَنكًۭا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ أَعْمَىٰ
أَشْهَدُ أَنْ لَّآ إِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ  وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !  اِتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah !

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 124 – 126 surah Toha :

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةًۭ ضَنكًۭا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ أَعْمَىٰ ﴿١٢٤﴾ قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِىٓ أَعْمَىٰ وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًۭا ﴿١٢٥﴾ قَالَ كَذَ‌ٰلِكَ أَتَتْكَ ءَايَـٰتُنَا فَنَسِيتَهَا ۖ وَكَذَ‌ٰلِكَ ٱلْيَوْمَ تُنسَىٰ ﴿١٢٦﴾


Dan sesiapa yang berpaling engkar daripada ingatan dan petunjukKu maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit. Dan Kami akan himpunkannya pada hari qiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu celik?” Allah berfirman : “ Demikianlah keadaannya di mana telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu lalu engkau melupakan serta meninggalkannya. Dan demikianlah engkau pada hari ini dilupa serta ditinggalkan”.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Allah memberi amaran kepada manusia yang berpaling daripada peringatan Allah sehingga menyebabkan mereka akan menghadapi kehidupan yang amat sempit samada di dunia apatah lagi di akhirat. Adapun kesempitan hidup di akhirat jauh lebih menyiksakan berbanding kesempitan hidup di dunia. Berbeza dengan kesempitan hidup di dunia yang boleh diatasi dengan usaha dan pertolongan manusia, kesempitan hidup di akhirat terpaksa di hadapi berseorangan ditambah dengan penyiksaan yang ditimpakan oleh Allah. Antara penyiksaan tambahan yang akan dikenakan adalah dibutakan matanya seolah-olah Allah melupakan keadaan mereka yang sempurna ketika di dunia. Allah sengaja melupakan keadaan mereka sebagai balasan atas sikap mereka yang melupakan peringatan Allah ketika di dunia.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Begitulah pentingnya “Az-Zikr” atau peringatan Allah kepada manusia. Sebagai insan yang beriman hendaklah kita memahami apakah yang dimaksudkan dengan “Az-Zikr”, dan hendaklah kita sentiasa mengingati dan berwaspada dengannya. Maksud sebenar “Az-Zikr” ini boleh difahami melalui penjelasan Allah sendiri melalui kalamNya yang Maha Suci. Antaranya adalah sebagaimana firmanNya dalam ayat 9 surah al-Hijr :

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا ٱلذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ ﴿٩﴾


"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kami benar-benar memeliharanya."

Ayat ini menyatakan bahawa “Az-Zikr” atau peringatan Allah itu adalah Al-Quran itu sendiri. Berapa ramai di kalangan kita yang melupakan Al-Quran dalam kehidupan kita. Berapa ramai di kalangan kita yang buta al-Quran dan tidak berasa bersalah dengan kejahilan tersebut. Berapa ramai di kalangan kita yang pandai membaca Al-Quran namun jahil dengan makna dan isi kandungan Al-Quran. Berapa ramai di kalangan kita yang faham isi kandungan Al-Quran namun tidak mempercayai atau menolak ajaran dan perintah Allah melalui Al-Quran. Maka apakah layak kita mengharapkan kehidupan yang sejahtera di dunia dan di akhirat jika inilah sikap kita terhadap Al-Quran.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Di antara maksud “Az-Zikr” adalah ilmu sebagaimana firman Allah dalam ayat 43 surah an-Nahlu :

فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ


"Maka bertanyalah kepada mereka yang berilmu sekiranya kamu tidak mengetahui."

Ilmu amat diperlukan dalam semua bidang kehidupan manusia. Kehidupan manusia tidak akan sempurna tanpa dipimpin oleh golongan yang berilmu. Namun manusia biasanya akur dengan segala nasihat golongan berilmu melainkan ilmu keagamaan. Samada rakyat secara individu ataupun pertubuhan, agensi keraajaan mahupun swasta, malah para pemimpin negara sekalipun mempunyai penasihatnya di kalangan ahli ilmu dalam berbagai bidang. Kita begitu takut melanggar pantang larang pemakanan kerana akur dengan nasihat doktor dan pakar perubatan. Kita sanggup menduduki bangunan yang beratus tingkat walaupun zahirnya amat menggerunkan kerana keyakinan terhadap ilmu dan kepakaran jurutera dan kontraktor yang terlibat. Kita sanggup mengeluarkan modal jutaan ringgit untuk menambah pelaburan atas keyakinan terhadap pakar ekonomi dan kewangan. Namun sebahagian dari kita tidak langsung menghiraukan nasihat ilmu agama dalam melakukan sesuatu perkara. Kepakaran ulamak hanya digunakan untuk mencari nas bagi menghalalkan tindakan yang telah dibuat. Ilmu agama hanya digunakan apabila ianya memberikan keuntungan dunia kepada kita.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Az-Zikr juga membawa maksud solat sebagaimana firman Allah dalam ayat 9 surah al-Jumaat :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا نُودِىَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوْمِ ٱلْجُمُعَةِ فَٱسْعَوْا۟ إِلَىٰ ذِكْرِ ٱللَّهِ وَذَرُوا۟ ٱلْبَيْعَ ۚ


Maka apabila telah diseru bagi mendirikan solat pada hari Jumaat maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkan olehmu akan jualbeli.

Pada hari ini solat bukan lagi menjadi kriteria penting dalam urusan seharian kita. Solat hanya menjadi upacara kerohanian yang hanya melibatkan peribadi seseorang tanpa hubung kait dengan peraturan dan undang-undang. Solat tidak pernah menjadi syarat dan keutamaan dalam pemilihan jodoh, pengambilan pekerja, kenaikan pangkat dan sebagainya. Tidak hairanlah kenapa hari ini maksiat dan kemungkaran berlaku di mana-mana tak kira siapakah mereka. Tanpa solat apakah yang boleh menghalang seseorang melakukan rasuah, penyelewengan dan berbagai maksiat walaupun jawatannya dihormati oleh masyarakat. Kesempitan hidup yang dijanjikan oleh Allah akibat kita meninggalkan Az-Zikr iaitu Solat telahpun kita rasai dengan bertambahnya jenayah dan maksiat dari masa ke semasa.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Az-Zikr juga bermakna zikrullah atau menyebut nama Allah dan mengingatinya. Ini dinyatakan dalam banyak ayat Allah antaranya ayat 41 surah al-Ahzab :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًۭا كَثِيرًۭا ﴿٤١﴾


Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.

Menyebut dan mengingati Allah adalah penawar bagi keluh kesah di hati manusia. Tanpa zikrullah manusia akan terus lalai dengan urusan dunia sehingga menjadi keras hatinya. Allah menyatakan bahawa hanya dengan mengingati Allah sahajalah akan dapat menenangkan hati manusia.

Selain dari itu Az-Zikr juga bermaksud peringatan atau nasihat sebagaimana firman Allah dalam ayat 55 surah az-Zaariyat :

وَذَكِّرْ فَإِنَّ ٱلذِّكْرَىٰ تَنفَعُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ﴿٥٥﴾


Dan berilah peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman.

Manusia sememangnya makhluk yang lemah dan sering terlupa jika tidak diperingatkan. Sebab itulah Al-Quran tidak datang hanya untuk memberi berita gembira kepada manusia. Al-Quran juga banyak memberikan ancaman mengenai azab Allah yang amat perit bagi mereka yang berpaling dari peringatanNya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ



Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ للهِ القَائِلِ :
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَا ۚ إِنَّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ مُنتَقِمُونَ ﴿السجدة -٢٢﴾


Dan siapakah yang lebih zalim daripada mereka yang diberikan peringatan dengan ayat-ayat Kami kemudiannya mereka berpaling darinya. Sesungguhnya kami tetap akan membalas segala kejahatan yang dilakukan.

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Apakah kita mahu menjadi golongan yang zalim sehingga melayakkan kita menempah neraka Allah apabila kita berpaling dari peringatan Allah. Berdasarkan ayat-ayat Allah yang dibacakan tadi maka antara sebab yang menyebabkan kita tergolong dalam golongan yang berpaling dari peringatan Allah adalah apabila kita meninggalkan Al-Quran, Ilmu, solat, zikrullah dan peringatan Allah. Maka marilah kita sama-sama bermuhasabah apakah selama ini kita sudah benar-benar mengambil berat dengan peringatan Allah atau kita terus lalai dan menganggap remeh dengan ancaman Allah. Apakah kita layak merungut dan mengeluh dengan kesempitan hidup yang kita lalui di dunia ini sedangkan pada masa yang sama kita sendiri yang menempah jalan untuk mendapatkannya.

  اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ. اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari lama sesawang www.4shared.com




Friday, February 22, 2013

Khutbah Jumaat - 22 Februari 2013 / 11 Rabi'ul Akhir 1434



PERSAUDARAAN DALAM ISLAM

Khutbah Pertama


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئاَتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهِ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِىَ لَهُ.
أَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، مَنْ يُطِعِ اللهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ رَشَدَ، وَمَنْ يَعْصِهِمَا فَقَدْ غَوَى.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ !! اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُم وَإيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.


Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dikesempatan yang mulia lagi berkat ini saya ingin memberi ingatan kepada diri saya sendiri dan kepada tuan-tuan sidang Jumaat yang dirahmati sekalian agar terus menerus berada di dalam ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan mengerjakan amal soleh, kerana hanya dengan amalan soleh sahaja akan menjamin kejayaan di dunia dan kebahagian di Akhirat.

Sidang Jumaat yang diberkati,

Di antara peranan yang telah di bawa oleh Islam ialah membentuk manusia, sama ada itu dari segi orang perseorangan atau pun dari segi kemasyarakatan. Dari segi orang perseorangan, Islam telah menanam di dalam jiwa manusia dasar-dasar pengabdian diri kepada Allah s.w.t, iaitu dengan mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya mengikut hukum-hukum halal dan haram, harus, sunat dan makruh yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t dan juga yang telah dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Oleh kerana itulah manusia mencapai martabat kemuliaan yang tinggi, mempunyai nilai yang berbeza sesuai dengan sifat semula jadinya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Manusia menutup aurat kerana mereka mempunyai harga diri. Manusia menjaga maruah diri mereka, dan mereka makan makanan yang di halalkan oleh Allah s.w.t dan mereka mempunyai batas-batas yang tertentu. Di samping itu mereka juga mempunyai akhlak dan perangai yang dapat mengawal jiwa mereka sehingga mereka dapat menjadi anggota masyarakat yang layak mentadbir muka bumi ini dengan sebaik-baiknya. Sifat-sifat seperti ini adalah perlu untuk menjalinkan hubungan dengan Allah s.w.t, dan hubungan sesama manusia dan juga hubungan dengan bahan yang digunakan oleh manusia di atas muka bumi ini.

Saudara-saudara sidang Jumaat sekalian,

Sesungguhnya Islam telah berjaya membentuk masyarakat yang berteraskan keimanan kepada Allah S.W.T yang mana iman dan Islam telah dijadikan asas hubungan di antara satu sama lain sehingga manusia yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan puak yang terdiri daripada berbagai-bagai macam kabilah, yang dulunya berperang di antara satu sama lain yang mempunyai sempadan dan batas-batas geografi telah berjaya menjadi umat Islam yang hidup bersaudara di antara satu sama lain berdasarkan kepada asas persaudaraan Islam. Mereka telah menerima kenyataan yang telah difirmankan oleh Allah s.w.t ;

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ - (ســورة  الـحـجــرات: ١٠)

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Atas asas persaudaraan Islam umat Islam telah menerima Bilal Al- Habshi, Suhaib Al Rumi dan Salman Al Farisi sebagai saudara mereka yang satu, diterima menjadi anggota masyarakat yang tidak boleh di pisahkan di antara satu sama lain sama sebagaimana bangsa Arab yang ada di Mekah ketika itu. Umat Islam dapat menerima Imam Bukhari sebagai ulama hadis yang muktabar walaupun beliau adalah berasal dari Asia Tengah bukan dari Tanah Arab. Orang-orang Melayu menerima Imam Syafie sebagai pemimpin mazhab, walaupun Imam Syafie adalah berketurunan Arab dan orang-orang Arab pula dapat menerima Imam Abu Hanifah walau pun Imam Abu Hanifah berasal dari negeri bukan Arab.

Itulah hubungan persaudaraan di antara umat Islam yang telah dijalinkan oleh ajaran Islam yang maha mulia. Islam telah mendekatkan hati-hati manusia yang ternyata tidak boleh didekatkan oleh sempadan geografi, dan tidak juga boleh didekatkan oleh harta benda.


لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ (ســورة الأنفـال: ٦٣)

"Kalau engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada dibumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan hati mereka. Akan tetapi Allah telah menyatu padukan di antara (hati) mereka."

Saudara kaum muslimin sekalian,

Memang tidak dapat dinafikan bahawa semangat kebangsaan telah membantu dalam perjuangan memerdekakan Negara-negara, namun oleh kerana ianya bukan daripada benih Islam dan Islam mengajarkan bahawa unsur akidah yang satu menjadi faktor penyatu umat walaupun datangnya dari berbagai-bagai bangsa. Namun semangat kebangsan ini hanya akan bermakna jika ianya digunakan untuk memimpin umat Islam ke arah melaksanakan Islam yang sebenarnya. Ulama telah memainkan peranan menentang segala pengaruh penjajahan yang datang ke bumi Islam, kerana mereka menganggap bahawa yang datang itu adalah musuh dengan tidak mengira bangsanya. Asalkan sahaja ia memusuhi Islam walaupun dari bangsanya sendiri. Sesungguhnya penjajahan telah berjaya melahirkan ketaksuban kepada bangsa bukan daripada kalangan orang yang melebihkan agama melebihi dari segalanya.

Maka marilah kita menjadi satu umat yang saling sayang menyayangi, bantu-membantu, bela-membela antara satu sama lain bukan atas dasar kita satu bangsa semata-mata tetapi yang lebih utama dan dituntut adalah kerana kita semua satu akidah yang wajib tolong-menolong dan bantu membantu sesama kita. Umat Islam yang bukan berbangsa Melayu juga adalah saudara kita tidak kira sama ada dia orang Cina Muslim atau India Muslim ataupun bangsa-bangsa lain. Janganlah kita meletakkan kepentingan bangsa lebih dari kepentingan agama. Inilah keindahan Islam apabila dilihat dari sudut jalinan persaudaraan. Kita diikat dengan aqidah melepasi ikatan-ikatan bangsa, tempat dan kumpulan serta kelompok.


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.   


Khutbah Kedua


اَلْحَمْدُ للهِ القَائِل :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (الحجرات : ١٣)
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah tidak menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kita bergaduh dan menunjukkan kehebatan antara sesama manusia. Allah menjadikan kita berbagai bangsa untuk kita saling mengenali sesama kita. Allah juga menjadikan kita berbagai agama agar terbuka peluang dakwah terhadap mereka. Kita wajib melaksanakan tugas dakwah dengan mendekatkan orang bukan Islam kepada agama kita. Janganlah menjauhkan mereka daripada Islam dengan ungkapan perkauman dan rasa kebencian terhadap mereka.

Realiti politik Negara pada masa ini seakan-akan membawa gambaran bahawa sokongan orang bukan Islam diperlukan bagi membolehkan umat Islam berkuasa walaupun Umat Islam sebenarnya adalah majoriti. Mana-mana pihakpun memerlukan sokongan mereka bagi membolehkan kita berkuasa. Janganlah sesama kita, ungkapan perkauman dan permusuhan terhadap mereka kita luahkan dan akhirnya pasti akan sampai ke telinga mereka kecuali terang-terangan mereka memusuhi Islam. Namun tatkala memerlukan sokongan mereka kita terpaksa merayu dan melepaskan berbagai hak kita sebagai balasan terhadap mereka. Akhirnya sokongan tersebut hanya membawa rebah dan menjadi musibah bagi kita.

Pilihanraya yang bakal berlangsung tidak lama lagi hanya sebagai wasilah untuk kita melaksanakan tugas sebagai Khalifah di muka bumi. Kuasa pemerintahan tidak akan ada maknanya jika hanya menyebabkan kita terpaksa melonggarkan ikatan kita dengan peraturan agama. Marilah kita bersatu walau bukan dalam kumpulan yang satu, untuk memenangkan Islam dalam setiap keadaan yang berlaku. Timbanglah pemilihan kita berdasarkan kepentingan yang menyebelahi nasib Umat Islam dan masa depan Islam di tanah air tercinta ini. Hantarlah suara-suara Islam yang lebih ramai ke dewan-dewan perwakilan untuk menyuarakan kepentingan Islam. Memang dan kalah adalah hak ketentuan Allah namun yang pasti kita wajib memastikan segalanya memihak kepada agama Allah.



  اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ. اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

Friday, February 1, 2013

KHUTBAH JUMAAT - 20 Rabiul Awwal 1434 H / 01 Februari 2013 M



KEUNGGULAN AKHLAK DAN SYARIAT
YANG DIBAWA MUHAMMAD SAW

Khutbah Pertama

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah!

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا

Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kejayaan umat Islam dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat banyak bergantung kepada kesungguhan mereka dalam mencontohi sistem yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan. Ketinggian akhlak nabi Muhammad SAW hanya akan dapat dicontohi oleh mereka yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta dan banyak mengingati Allah. Bagi golongan yang tidak beriman maka ketinggian akhlak yang ditunjukkan oleh Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW hanyalah sekadar catitan sejarah yang dibaca dan dikagumi semata-mata.

Sidang Jumaat Sekelian,

Syurga Allah bukanlah sesuatu yang terlalu murah untuk diperolehi tanpa ada sebarang usaha untuk memperolehinya. Nabi Muhammad SAW bukan sahaja mengamalkan akhlak yang terpuji dalam seluruh kehidupannya malah terpaksa berjuang dengan air mata dan darah untuk mendapatkan syurga. Seorang wali Allah, Syeikh Ibrahim bin Adham ketika berhenti di persinggahan untuk ke tandas, lalu dikenakan bayaran kepadanya, lantas Ibrahim menangis teresak-esak kerana memikirkan tempat yang sejijik itupun dikenakan bayaran, inikan pula syurga Allah yang penuh dengan kenikmatan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Musuh Islam sentiasa mencari jalan bagaimana cara untuk menjauhkan umat Islam sendiri daripada menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh teladan terbaik dalam setiap aspek kehidupan disamping memomokkan kepada dunia dengan tuduhan liar tentang nabi Muhammad s.a.w yang digambarkan dengan pelbagai kejahatan. Sebagai contohnya tindakan Majalah mingguan Perancis, Charlie Hebdo yang membuka lembaran tahun baru 2013 dengan menerbitkan komik biografi Nabi Muhammad SAW dengan melukis gambar baginda yang mulia. Jika sebelum ini majalah ini melukis gambar yang menghina nabi Muhammad s.a.w dan kali ini dengan tujuan memuji nabi namun ia merupakan suatu perbuatan yang haram dan tidak boleh dibiarkan sama sekali. Sebenarnya musuh Islam tidak mampu menutup sanjungan kepada nabi Muhammad s.a.w daripada tokoh mereka sendiri seperti tokoh legenda Perancis yang tersohor, Napoleon Bonapart di mana walaupun dia bukan seorang Islam, namun dia pernah berkata,

“Saya begitu kagum kepada manusia agung ini. Saya kagum kerana keagungan akal dan hati nabi Muhammad s.a.w.”

Begitu juga pandangan ikhlas seorang ilmuwan dari Itali, Prof Laura Vecccia Vaglieri yang lebih terkenal sebagai seorang orientalis banyak menghasilkan artikel mengenai Islam dengan katanya,

“Semasa menyeru manusia supaya menyembah Allah yang Maha Esa, nabi Muhammad s.a.w tidak pernah menggunakan pendekatan yang menghalang manusia daripada berfikir mengenai kebenaran. Beliau tidak menggunakan pendekatan sihir yang memukau penglihatan, tidak juga menyeru dengan menggunakan ancaman serta ugutan. Apakah yang beliau lakukan? Beliau menyuruh mereka supaya menggunakan akal dan bertafakur mengenai kejadian alam dan rahsia kejadiannya. Dalam bahasa mudah, dia menyuruh manusia membaca ‘Buku Alam’ dan berfikir mengenainya supaya dengannya manusia yakin ada kewujudan Tuhan.”

Begitulah jujurnya cetusan tokoh Barat itu dalam memperkatakan tentang keunggulan Rasulullah SAW. Tetapi mengapakah pada masa ini mereka tidak membaca dan mengambil peduli apa yang tokoh-tokoh mereka pernah katakan itu hinggakan tercetus Islamofobia dengan sengaja mewujudkan bentuk provokasi sentimen agama yang sempit dan tidak bertamadun. Masih banyak lagi tokoh-tokoh Barat yang bukan Islam yang mengakui kelebihan agama Islam dan mereka mengangkat imej Nabi Muhammad s.a.w di puncak tinta kajian mereka. Michael H Hart seorang sejarawan, pakar matematik dan ahli astronomi terkemuka di Barat meletakkan nama nabi Muhammad s.a.w pada kedudukan teratas dalam kalangan 100 orang tokoh yang paling berpengaruh. Malah Universiti Harvard di Cambridge sebagai institusi pengajian tinggi paling tua di Amerika Syarikat meletakkan ayat al-Quran di pintu masuk ke fakulti undang-undangnya iaitu terjemahan ayat 135 Surah An-Nisa :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّـهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَ‌بِينَ ۚ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرً‌ا فَاللَّـهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَن تَعْدِلُوا ۚ وَإِن تَلْوُوا أَوْ تُعْرِ‌ضُوا فَإِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرً‌ا

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 1-5 surah ar-Ruum :

الم ﴿١﴾ غُلِبَتِ الرُّومُ ﴿٢﴾ فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُم مِّن بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ ﴿٣﴾ فِي بِضْعِ سِنِينَ ۗ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِن بَعْدُ ۚ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ ﴿٤﴾ بِنَصْرِ اللَّهِ ۚ يَنصُرُ مَن يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ ﴿٥﴾

Alif, Laam, Miim. Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

Kehebatan al-Quran sebagai mukjizat terbesar dan kekal di mana banyak menceritakan peristiwa dahulu dan akan datang antara bukti bahawa ia bukan rekaan nabi Muhammad s.a.w sebaliknya merupakan wahyu daripada Allah. Antaranya kisah kemenangan silih berganti antara Rom Kristian dan Parsi Majusi yang benar-benar dilihat berlaku oleh para sahabat. Malah semasa kelahiran nabi Muhammad s.a.w lagi dunia mengalami beberapa peristiwa gempar antaranya runtuhnya beberapa tiang istana kerajaan Rom dan padamnya api penyembahan Majusi kerajaan Parsi seolah-olah petanda awal kedatangan nabi Muhammad s.a.w bakal menjatuhkan 2 empayar besar pada itu iaitu Rom dan Parsi. Ini diikuti dengan sabda nabi dalam hadis riwayat imam Muslim daripada Jabir bin Samurah yang bermaksud : Segolongan orang Islam bakal menguasai harta kekayaan kaum kerabat maharaja Parsi di Abyad. Ia terbukti pada zaman Khalifah Sayyidina Umar melalui panglima tenteranya Saad bin Abi Waqqas pada tahunn 637 Masihi. Begitu juga sabda nabi dalam hadis riwayat imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah yang bermaksud : Kaisar Parsi bakal hancur dan tidak ada kisra selepas itu. Kaisar Rom juga bakal hancur dan tidak ada kaisar selepas itu. Harta-harta rampasan diagihkan pada jalan Allah. Ia terbukti dengan kejatuhan Rom pada zaman Empayar Uthmaniah pada tahun 1453 Masihi dengan kejatuhan kota Istanbul.

Kita pada hari ini sudah tidak dapat melihat mukjizat seperti pembelahan bulan, air yang keluar dari celah jari nabi yang mulia, pokok tamar yang berjalan bila diseru oleh nabi dan banyak lagi mukjizat yang lain namun mukjizat yang paling besar dan berkekalan terus ada pada tangan kita umat akhir zaman iaitu al-Quran yang mulia disamping hadis nabi. Umat Islam dahulu berjaya menguasai dunia kerana berjaya melaksanakan perintah Allah dan rasulNya termasuk menjatuhkan Empayar Rom dan Parsi. Oleh itu tidak menjadi suatu perkara yang mustahil untuk menghancurkan kekejaman zionis yahudi dan seterusnya memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Aqsa kerana ia telah dimaklumkan melalui lidah nabi Muhammad s.a.w. Kejayaan dan kegagalan kita bergantung kepada sejauh mana keyakinan dan kesungguhan kita dalam melaksanakan perintah Allah dan rasulNya dalam setiap aspek kehidupan. Jika Islam yang kita pilih maka kejayaan yang kita bakal raih. Jika jahiliah yang kita guna maka kehinaan yang kita bakal terima. Islamlah nescaya kita selamat dan bahagia dunia dan akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ



Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِلِ :

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya) – Surah Al-Hasy : 7

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
 اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebagai ummat nabi Muhammad SAW kita wajib mengikut dan mengamalkan apa sahaja yang diperintah oleh Allah dan Rasulnya serta menjauhi segala larangan Allah dan Rasulnya. Tidak ada gunanya kita mempunyai contoh teladan yang terbaik jika hanya digunakan untuk bermegah-megah. Tiada maknanya kita mempunyai Syariat dan cara hidup yang terbaik jika tidak kita amalkan sepenuhnya dalam kehidupan kita. Tidak ada kewajarannya kita memohon syurga Allah jika segala kehidupan kita hanya dipenuhi dengan amalan penghuni neraka.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ،
وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ،
بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.







Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

KULIAH SETIAP SABTU




KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA