UCAPAN TAHNIAH DARI KAMI

UCAPAN TAHNIAH DARI KAMI

Friday, February 22, 2013

Khutbah Jumaat - 22 Februari 2013 / 11 Rabi'ul Akhir 1434



PERSAUDARAAN DALAM ISLAM

Khutbah Pertama


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئاَتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهِ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِىَ لَهُ.
أَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، مَنْ يُطِعِ اللهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ رَشَدَ، وَمَنْ يَعْصِهِمَا فَقَدْ غَوَى.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ !! اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُم وَإيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.


Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dikesempatan yang mulia lagi berkat ini saya ingin memberi ingatan kepada diri saya sendiri dan kepada tuan-tuan sidang Jumaat yang dirahmati sekalian agar terus menerus berada di dalam ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan mengerjakan amal soleh, kerana hanya dengan amalan soleh sahaja akan menjamin kejayaan di dunia dan kebahagian di Akhirat.

Sidang Jumaat yang diberkati,

Di antara peranan yang telah di bawa oleh Islam ialah membentuk manusia, sama ada itu dari segi orang perseorangan atau pun dari segi kemasyarakatan. Dari segi orang perseorangan, Islam telah menanam di dalam jiwa manusia dasar-dasar pengabdian diri kepada Allah s.w.t, iaitu dengan mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya mengikut hukum-hukum halal dan haram, harus, sunat dan makruh yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t dan juga yang telah dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Oleh kerana itulah manusia mencapai martabat kemuliaan yang tinggi, mempunyai nilai yang berbeza sesuai dengan sifat semula jadinya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Manusia menutup aurat kerana mereka mempunyai harga diri. Manusia menjaga maruah diri mereka, dan mereka makan makanan yang di halalkan oleh Allah s.w.t dan mereka mempunyai batas-batas yang tertentu. Di samping itu mereka juga mempunyai akhlak dan perangai yang dapat mengawal jiwa mereka sehingga mereka dapat menjadi anggota masyarakat yang layak mentadbir muka bumi ini dengan sebaik-baiknya. Sifat-sifat seperti ini adalah perlu untuk menjalinkan hubungan dengan Allah s.w.t, dan hubungan sesama manusia dan juga hubungan dengan bahan yang digunakan oleh manusia di atas muka bumi ini.

Saudara-saudara sidang Jumaat sekalian,

Sesungguhnya Islam telah berjaya membentuk masyarakat yang berteraskan keimanan kepada Allah S.W.T yang mana iman dan Islam telah dijadikan asas hubungan di antara satu sama lain sehingga manusia yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan puak yang terdiri daripada berbagai-bagai macam kabilah, yang dulunya berperang di antara satu sama lain yang mempunyai sempadan dan batas-batas geografi telah berjaya menjadi umat Islam yang hidup bersaudara di antara satu sama lain berdasarkan kepada asas persaudaraan Islam. Mereka telah menerima kenyataan yang telah difirmankan oleh Allah s.w.t ;

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ - (ســورة  الـحـجــرات: ١٠)

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Atas asas persaudaraan Islam umat Islam telah menerima Bilal Al- Habshi, Suhaib Al Rumi dan Salman Al Farisi sebagai saudara mereka yang satu, diterima menjadi anggota masyarakat yang tidak boleh di pisahkan di antara satu sama lain sama sebagaimana bangsa Arab yang ada di Mekah ketika itu. Umat Islam dapat menerima Imam Bukhari sebagai ulama hadis yang muktabar walaupun beliau adalah berasal dari Asia Tengah bukan dari Tanah Arab. Orang-orang Melayu menerima Imam Syafie sebagai pemimpin mazhab, walaupun Imam Syafie adalah berketurunan Arab dan orang-orang Arab pula dapat menerima Imam Abu Hanifah walau pun Imam Abu Hanifah berasal dari negeri bukan Arab.

Itulah hubungan persaudaraan di antara umat Islam yang telah dijalinkan oleh ajaran Islam yang maha mulia. Islam telah mendekatkan hati-hati manusia yang ternyata tidak boleh didekatkan oleh sempadan geografi, dan tidak juga boleh didekatkan oleh harta benda.


لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ (ســورة الأنفـال: ٦٣)

"Kalau engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada dibumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan hati mereka. Akan tetapi Allah telah menyatu padukan di antara (hati) mereka."

Saudara kaum muslimin sekalian,

Memang tidak dapat dinafikan bahawa semangat kebangsaan telah membantu dalam perjuangan memerdekakan Negara-negara, namun oleh kerana ianya bukan daripada benih Islam dan Islam mengajarkan bahawa unsur akidah yang satu menjadi faktor penyatu umat walaupun datangnya dari berbagai-bagai bangsa. Namun semangat kebangsan ini hanya akan bermakna jika ianya digunakan untuk memimpin umat Islam ke arah melaksanakan Islam yang sebenarnya. Ulama telah memainkan peranan menentang segala pengaruh penjajahan yang datang ke bumi Islam, kerana mereka menganggap bahawa yang datang itu adalah musuh dengan tidak mengira bangsanya. Asalkan sahaja ia memusuhi Islam walaupun dari bangsanya sendiri. Sesungguhnya penjajahan telah berjaya melahirkan ketaksuban kepada bangsa bukan daripada kalangan orang yang melebihkan agama melebihi dari segalanya.

Maka marilah kita menjadi satu umat yang saling sayang menyayangi, bantu-membantu, bela-membela antara satu sama lain bukan atas dasar kita satu bangsa semata-mata tetapi yang lebih utama dan dituntut adalah kerana kita semua satu akidah yang wajib tolong-menolong dan bantu membantu sesama kita. Umat Islam yang bukan berbangsa Melayu juga adalah saudara kita tidak kira sama ada dia orang Cina Muslim atau India Muslim ataupun bangsa-bangsa lain. Janganlah kita meletakkan kepentingan bangsa lebih dari kepentingan agama. Inilah keindahan Islam apabila dilihat dari sudut jalinan persaudaraan. Kita diikat dengan aqidah melepasi ikatan-ikatan bangsa, tempat dan kumpulan serta kelompok.


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.   


Khutbah Kedua


اَلْحَمْدُ للهِ القَائِل :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (الحجرات : ١٣)
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah tidak menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kita bergaduh dan menunjukkan kehebatan antara sesama manusia. Allah menjadikan kita berbagai bangsa untuk kita saling mengenali sesama kita. Allah juga menjadikan kita berbagai agama agar terbuka peluang dakwah terhadap mereka. Kita wajib melaksanakan tugas dakwah dengan mendekatkan orang bukan Islam kepada agama kita. Janganlah menjauhkan mereka daripada Islam dengan ungkapan perkauman dan rasa kebencian terhadap mereka.

Realiti politik Negara pada masa ini seakan-akan membawa gambaran bahawa sokongan orang bukan Islam diperlukan bagi membolehkan umat Islam berkuasa walaupun Umat Islam sebenarnya adalah majoriti. Mana-mana pihakpun memerlukan sokongan mereka bagi membolehkan kita berkuasa. Janganlah sesama kita, ungkapan perkauman dan permusuhan terhadap mereka kita luahkan dan akhirnya pasti akan sampai ke telinga mereka kecuali terang-terangan mereka memusuhi Islam. Namun tatkala memerlukan sokongan mereka kita terpaksa merayu dan melepaskan berbagai hak kita sebagai balasan terhadap mereka. Akhirnya sokongan tersebut hanya membawa rebah dan menjadi musibah bagi kita.

Pilihanraya yang bakal berlangsung tidak lama lagi hanya sebagai wasilah untuk kita melaksanakan tugas sebagai Khalifah di muka bumi. Kuasa pemerintahan tidak akan ada maknanya jika hanya menyebabkan kita terpaksa melonggarkan ikatan kita dengan peraturan agama. Marilah kita bersatu walau bukan dalam kumpulan yang satu, untuk memenangkan Islam dalam setiap keadaan yang berlaku. Timbanglah pemilihan kita berdasarkan kepentingan yang menyebelahi nasib Umat Islam dan masa depan Islam di tanah air tercinta ini. Hantarlah suara-suara Islam yang lebih ramai ke dewan-dewan perwakilan untuk menyuarakan kepentingan Islam. Memang dan kalah adalah hak ketentuan Allah namun yang pasti kita wajib memastikan segalanya memihak kepada agama Allah.



  اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ. اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment