UCAPAN TAHNIAH DARI KAMI

UCAPAN TAHNIAH DARI KAMI

Friday, February 1, 2013

KHUTBAH JUMAAT - 20 Rabiul Awwal 1434 H / 01 Februari 2013 M



KEUNGGULAN AKHLAK DAN SYARIAT
YANG DIBAWA MUHAMMAD SAW

Khutbah Pertama

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah!

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا

Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kejayaan umat Islam dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat banyak bergantung kepada kesungguhan mereka dalam mencontohi sistem yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan. Ketinggian akhlak nabi Muhammad SAW hanya akan dapat dicontohi oleh mereka yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta dan banyak mengingati Allah. Bagi golongan yang tidak beriman maka ketinggian akhlak yang ditunjukkan oleh Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW hanyalah sekadar catitan sejarah yang dibaca dan dikagumi semata-mata.

Sidang Jumaat Sekelian,

Syurga Allah bukanlah sesuatu yang terlalu murah untuk diperolehi tanpa ada sebarang usaha untuk memperolehinya. Nabi Muhammad SAW bukan sahaja mengamalkan akhlak yang terpuji dalam seluruh kehidupannya malah terpaksa berjuang dengan air mata dan darah untuk mendapatkan syurga. Seorang wali Allah, Syeikh Ibrahim bin Adham ketika berhenti di persinggahan untuk ke tandas, lalu dikenakan bayaran kepadanya, lantas Ibrahim menangis teresak-esak kerana memikirkan tempat yang sejijik itupun dikenakan bayaran, inikan pula syurga Allah yang penuh dengan kenikmatan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Musuh Islam sentiasa mencari jalan bagaimana cara untuk menjauhkan umat Islam sendiri daripada menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh teladan terbaik dalam setiap aspek kehidupan disamping memomokkan kepada dunia dengan tuduhan liar tentang nabi Muhammad s.a.w yang digambarkan dengan pelbagai kejahatan. Sebagai contohnya tindakan Majalah mingguan Perancis, Charlie Hebdo yang membuka lembaran tahun baru 2013 dengan menerbitkan komik biografi Nabi Muhammad SAW dengan melukis gambar baginda yang mulia. Jika sebelum ini majalah ini melukis gambar yang menghina nabi Muhammad s.a.w dan kali ini dengan tujuan memuji nabi namun ia merupakan suatu perbuatan yang haram dan tidak boleh dibiarkan sama sekali. Sebenarnya musuh Islam tidak mampu menutup sanjungan kepada nabi Muhammad s.a.w daripada tokoh mereka sendiri seperti tokoh legenda Perancis yang tersohor, Napoleon Bonapart di mana walaupun dia bukan seorang Islam, namun dia pernah berkata,

“Saya begitu kagum kepada manusia agung ini. Saya kagum kerana keagungan akal dan hati nabi Muhammad s.a.w.”

Begitu juga pandangan ikhlas seorang ilmuwan dari Itali, Prof Laura Vecccia Vaglieri yang lebih terkenal sebagai seorang orientalis banyak menghasilkan artikel mengenai Islam dengan katanya,

“Semasa menyeru manusia supaya menyembah Allah yang Maha Esa, nabi Muhammad s.a.w tidak pernah menggunakan pendekatan yang menghalang manusia daripada berfikir mengenai kebenaran. Beliau tidak menggunakan pendekatan sihir yang memukau penglihatan, tidak juga menyeru dengan menggunakan ancaman serta ugutan. Apakah yang beliau lakukan? Beliau menyuruh mereka supaya menggunakan akal dan bertafakur mengenai kejadian alam dan rahsia kejadiannya. Dalam bahasa mudah, dia menyuruh manusia membaca ‘Buku Alam’ dan berfikir mengenainya supaya dengannya manusia yakin ada kewujudan Tuhan.”

Begitulah jujurnya cetusan tokoh Barat itu dalam memperkatakan tentang keunggulan Rasulullah SAW. Tetapi mengapakah pada masa ini mereka tidak membaca dan mengambil peduli apa yang tokoh-tokoh mereka pernah katakan itu hinggakan tercetus Islamofobia dengan sengaja mewujudkan bentuk provokasi sentimen agama yang sempit dan tidak bertamadun. Masih banyak lagi tokoh-tokoh Barat yang bukan Islam yang mengakui kelebihan agama Islam dan mereka mengangkat imej Nabi Muhammad s.a.w di puncak tinta kajian mereka. Michael H Hart seorang sejarawan, pakar matematik dan ahli astronomi terkemuka di Barat meletakkan nama nabi Muhammad s.a.w pada kedudukan teratas dalam kalangan 100 orang tokoh yang paling berpengaruh. Malah Universiti Harvard di Cambridge sebagai institusi pengajian tinggi paling tua di Amerika Syarikat meletakkan ayat al-Quran di pintu masuk ke fakulti undang-undangnya iaitu terjemahan ayat 135 Surah An-Nisa :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّـهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَ‌بِينَ ۚ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرً‌ا فَاللَّـهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَن تَعْدِلُوا ۚ وَإِن تَلْوُوا أَوْ تُعْرِ‌ضُوا فَإِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرً‌ا

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 1-5 surah ar-Ruum :

الم ﴿١﴾ غُلِبَتِ الرُّومُ ﴿٢﴾ فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُم مِّن بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ ﴿٣﴾ فِي بِضْعِ سِنِينَ ۗ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِن بَعْدُ ۚ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ ﴿٤﴾ بِنَصْرِ اللَّهِ ۚ يَنصُرُ مَن يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ ﴿٥﴾

Alif, Laam, Miim. Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

Kehebatan al-Quran sebagai mukjizat terbesar dan kekal di mana banyak menceritakan peristiwa dahulu dan akan datang antara bukti bahawa ia bukan rekaan nabi Muhammad s.a.w sebaliknya merupakan wahyu daripada Allah. Antaranya kisah kemenangan silih berganti antara Rom Kristian dan Parsi Majusi yang benar-benar dilihat berlaku oleh para sahabat. Malah semasa kelahiran nabi Muhammad s.a.w lagi dunia mengalami beberapa peristiwa gempar antaranya runtuhnya beberapa tiang istana kerajaan Rom dan padamnya api penyembahan Majusi kerajaan Parsi seolah-olah petanda awal kedatangan nabi Muhammad s.a.w bakal menjatuhkan 2 empayar besar pada itu iaitu Rom dan Parsi. Ini diikuti dengan sabda nabi dalam hadis riwayat imam Muslim daripada Jabir bin Samurah yang bermaksud : Segolongan orang Islam bakal menguasai harta kekayaan kaum kerabat maharaja Parsi di Abyad. Ia terbukti pada zaman Khalifah Sayyidina Umar melalui panglima tenteranya Saad bin Abi Waqqas pada tahunn 637 Masihi. Begitu juga sabda nabi dalam hadis riwayat imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah yang bermaksud : Kaisar Parsi bakal hancur dan tidak ada kisra selepas itu. Kaisar Rom juga bakal hancur dan tidak ada kaisar selepas itu. Harta-harta rampasan diagihkan pada jalan Allah. Ia terbukti dengan kejatuhan Rom pada zaman Empayar Uthmaniah pada tahun 1453 Masihi dengan kejatuhan kota Istanbul.

Kita pada hari ini sudah tidak dapat melihat mukjizat seperti pembelahan bulan, air yang keluar dari celah jari nabi yang mulia, pokok tamar yang berjalan bila diseru oleh nabi dan banyak lagi mukjizat yang lain namun mukjizat yang paling besar dan berkekalan terus ada pada tangan kita umat akhir zaman iaitu al-Quran yang mulia disamping hadis nabi. Umat Islam dahulu berjaya menguasai dunia kerana berjaya melaksanakan perintah Allah dan rasulNya termasuk menjatuhkan Empayar Rom dan Parsi. Oleh itu tidak menjadi suatu perkara yang mustahil untuk menghancurkan kekejaman zionis yahudi dan seterusnya memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Aqsa kerana ia telah dimaklumkan melalui lidah nabi Muhammad s.a.w. Kejayaan dan kegagalan kita bergantung kepada sejauh mana keyakinan dan kesungguhan kita dalam melaksanakan perintah Allah dan rasulNya dalam setiap aspek kehidupan. Jika Islam yang kita pilih maka kejayaan yang kita bakal raih. Jika jahiliah yang kita guna maka kehinaan yang kita bakal terima. Islamlah nescaya kita selamat dan bahagia dunia dan akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ



Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِلِ :

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya) – Surah Al-Hasy : 7

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
 اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebagai ummat nabi Muhammad SAW kita wajib mengikut dan mengamalkan apa sahaja yang diperintah oleh Allah dan Rasulnya serta menjauhi segala larangan Allah dan Rasulnya. Tidak ada gunanya kita mempunyai contoh teladan yang terbaik jika hanya digunakan untuk bermegah-megah. Tiada maknanya kita mempunyai Syariat dan cara hidup yang terbaik jika tidak kita amalkan sepenuhnya dalam kehidupan kita. Tidak ada kewajarannya kita memohon syurga Allah jika segala kehidupan kita hanya dipenuhi dengan amalan penghuni neraka.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ،
وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ،
بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.







Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment