bersama kepimpinan ulamak




Hari ini




Wednesday, February 22, 2012

Khutbah Jumaat - 02 Rabi’ul Akhir 1433 H / 24 Februari 2012 M

TAKWA, TAWAKAL DAN TAWADHU’ JANA PERIBADI MULIA

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
الٓمٓ ﴿١﴾ ذَ‌ٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًۭى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾
أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ،
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !   اِتَّقُواْ  اللَّهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ  وَلاَتَمُوْتُنَّ  إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ
 

Wahai hamba-hamba Allah sekelian!

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Hidup kita sebagai manusia di muka bumi ini bukan sekadar menghabiskan usia menanti hari tua malah bermatlamatkan penyediaan bekalan menuju ke alam akhirat. Dunia hanyalah persinggahan sementara dan kita akan terus bergerak detik demi detik menuju ke destinasi terakhir, iaitu kembali kepada Allah, tuhan Rabbul Jalil. Oleh yang demikian, dalam usaha menyediakan persediaan tersebut, tiga aspek utama perlu diberi tumpuan iaitu takwa, tawakal dan tawaduk. Tiga kalimah yang bermula dengan huruf sama iaitu “T” atau “ت” dimana ianya akan memperkasakan seseorang mukmin dalam menyusuri liku-liku kehidupan yang penuh onak dan duri yang akan mencalarakan iman.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Takwa adalah bekalan terbaik dan jaminan untuk mencapai kemenangan di akhirat. Allah SWT menegaskan dalam Kitab Suci Al-Quran: 

وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَيْرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقْوَىٰ ۚ وَٱتَّقُونِ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ (البقرة :١٩٧)

"...dan sediakanlah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah Taqwa. Maka bertaqwalah wahai orang-orang yang berakal."

وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَيَخْشَ ٱللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَآئِزُونَ - (النور :٥٢)
"Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasulnya, dan takut kepada Allah dengan sepenuh takwa, mereka itulah orang yang menang."

Maksud menang di sini ialah beroleh kehidupan sejahtera, dirahmati serta diberkati di dunia dan di akhirat kelak.

Muslimin yang dikasihi sekelian,

Taqwa menjamin kesejahteraan hidup di Hari Akhirat, malah menjadi penyelesaian kepada permasalahan hidup di dunia. Dalam Surah at-Talaq : 

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمْرِهِۦ ۚ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍۢ قَدْرًۭا ﴿٣﴾
 "…..dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (sebagai penolong dan penyelamata). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."

Sidang jemaah yang berbahagia,

Tawakal adalah penggantungan hamba kepada Allah dalam menentukan perjalanan hidupnya. Ianya akan menghindarkan kita daripada cepat berputus asa ketika menghadapi cabaran dalam mengejar sesuatu hajat atau matlamat. Orang yang bertawakal akan menyandarkan setiap sesuatu kepada Allah semata-mata. Mereka tidak akan sesekali berasa sedih kerana apa yang ditetapkan oleh Allah kerana keyakinan bahawa pasti ada hikmah di dalam setiap ketentuan Allah. Imam Ibnu Qayyim menegaskan:

Sesuatu yang ditetapkan memerlukan dua perkara, iaitu tawakal sebelumnya dan redha sesudahnya. Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah sebelum wujudnya perbuatan bererti dia telah melaksanakan Ubudiah.

Dalam Surah Ali Imran ayat 159: 
فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَوَكِّلِينَ  (ال عمران : ١٥٩)
"Kemudian, apabila kamu telah membulatkan tekad maka bertawakallah kepada Allah."

Muslimin yang dikasihi sekelian,

Tawaddhuk adalah kemuncak syakhsiah keperibadian seorang Muslim memandangkan ia adalah antara senjata terakhir yang digunakan oleh Iblis dan Syaitan bagi menyesatkan manusia. Syaitan sentiasa berusaha menghasut manusiaa agar menjadi sombong, ego, ujub dan takabbur. Segala sifat mazmumah yang amat dicela oleh Allah ini hanya akan dapat dikikis melalui sifat Tawaddhuk. Rasulullah SAW berpesan:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلاَّ عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلاَّ رَفَعَهُ اللَّهُ

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, Tidak berkurang harta seseorang itu akibat bersedeqah, dan tidak ditambah oleh Allah bagi seseorang yang memohon keampunan melainkan kemuliaan dan tidaklah seseorang yang merendahkan dirinya kepada Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini mengingatkan kita bahawa sesuatu kebaikan yang kita laksanakan semata-mata kerana Allah tidak akan merugikan kita kerana Allah akan memberikan nilai tambah bagi setiap kebaikan kita. Oleh kerana nilai tambah ini tidak kelihatan secara jelas maka sebahagian besar manusia tidak menyedarinya dan tidak terdorong untuk melakukan kebaikan akibat merasakan kerugian yang akan ditanggung akibat kebaikan yang dilaksanakannya.

Muslimin-mukminin yang dirahmati,

Kesimpulannya, tiga perkara utama yang disebutkan tadi iaitu takwa, tawakal dan tawaddhuk hendaklah sentiasa menjadi pakaian kita agar kita benar-benar menjadi seorang Muslim yang sejati.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ.  
أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.





Teks asal khutbah ini boleh juga dimuatturun dari laman wwww.4shared.com. Klik di sini.

Thursday, February 16, 2012

Khutbah Jumaat - 24 Rabi’ul Awwal 1433 H / 17 Februari 2012 M

KETURUNAN BUKAN JAMINAN WARISI IMAN

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلْيَوْمِ الآخِرِ وَمَا هُم بِمُؤْمِنِينَ ﴿٨﴾
أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ،
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! اِتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ
 

WAHAI HAMBA-HAMBA ALLAH SEKELIAN!

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang berasaskan kesejahteraan dan keselamatan, sudah tentu kita tidak rela keamanan dan ketenteraman Negara digugat. Kita tidak mahu nikmat keamanan, kemakmuran dan keharmonian hidup yang kita kecapi selama ini ditarik balik oleh Allah SWT. Justeru, marilah kita syukuri dan hargai segala bentuk nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada rakyat dan Negara kita ini dengan cara meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, dalam erti kata mengerjakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Memiliki iman dan takwa yang tinggi adalah prasyarat utama bagi membolehkan kita terus memperolehi berkat yang melimpah ruah dari langit dan bumi.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Setiap mukmin pasti akan melalui pelbagai ujian daripada Allah SWT bagi membezakan antara mukmin sebenar dan mereka yang memiliki ciri-ciri munafik sebagaimana firmanNya:

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتْرَكُوٓا۟ أَن يَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” - Surah Al-Ankabut : 2

Di dalam surah dan ayat yang lain pula, Allah menggambarkan perihal kaum munafik yang suka mendakwa sebagai orang yang beriman sedangkan hakikat sebanarnya adalah sebaliknya. Firman Allah:


وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلْيَوْمِ ٱلآخِرِ وَمَا هُم بِمُؤْمِنِينَ ﴿٨﴾
“Di antara manusia ada mengatakan, kami beriman kepada Allah dan hari kemudian, pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 8).

MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA,

Kita menyedari bahawa iman tidak boleh diwarisi dan secara langsung dipusakai daripada nasab dan keturunan. Orang yang beriman sentiasa akan melalui ujian dan perjuangan dalam memelihara iman dan tauhid demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Seorang ustaz atau seorang yang saleh tidak semestinya mempunyai anak atau keturunan yang beriman. Malah sejarah telah membuktikan para Nabi dan Rasul sendiripun ada yang ditentang oleh anak atau isteri mereka sendiri. Perkara ini digambarkan dalam kisah Nabi Allah Nuh AS. Firman Allah:

وَنَادَىٰ نُوحٌۭ رَّبَّهُ، فَقَالَ رَبِّ إِنَّ ٱبْنِى مِنْ أَهْلِى وَإِنَّ وَعْدَكَ ٱلْحَقُّ وَأَنتَ أَحْكَمُ ٱلْحَـٰكِمِينَ ﴿٤٥﴾ قَالَ يَـٰنُوحُ إِنَّهُۥ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ ۖ إِنَّهُۥ عَمَلٌ غَيْرُ صَـٰلِحٍۢ ۖ فَلَا تَسْـَٔلْنِ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۖ إِنِّىٓ أَعِظُكَ أَن تَكُونَ مِنَ ٱلْجَـٰهِلِينَ ﴿٤٧﴾
“Dan Nuh berseru kepada Tuhannya sambil berkata: “Ya Tuhanku, sesungguhnya anakku, termasuk keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itu benar. Dan Engkau adalah hakim seadil-adilnya.” Allah berfirman bermaksud: “Wahai Nuh, sesungguhnya dia bukan termasuk keluargamu (yang dijanjikan selamat), sesungguhnya perbuatannya tidak baik. Sebab itu janganlah kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang kamu tidak mengetahui (hakikatnya). Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu agar kamu jangan termasuk orang yang tidak berpengetahuan.” (Surah Hud, ayat 45-46).

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Allah menegur Nabi Nuh agar jangan menganggap anaknya yang condong memilih kekufuran daripada iman sebagai ahli keluarga yang akan bersamanya di dunia dan di akhirat. Bahkan Allah melarang Nabi Nuh memanjatkan doa yang mencerminkan seolah-olah dia sebagai seorang yang tidak berpengetahuan dalam persoalan akidah. Beliau seolah-olah keliru mengenai hubungannya sebagai nabi dan pengikut setia, yang hakikatnya lebih kuat berbanding hubungan antara anak dan ayah.

Nabi Muhammad SAW dengan tegas memperingatkan kepada keturunannya agar jangan menganggap bahawa keturunan sebagai lesen untuk mendapatkan keistimewaan berbanding dengan orang lain. Tidak semestinya seseorang yang menjadi sebahagian daripada ahlul bait akan memasuki syurga dan memperoleh syafaat Nabi Muhammad SAW.

Kita hendaklah sedar bahawa zaman ini adalah zaman yang penuh dengan fitnah di mana munculnya banyak gejala ‘murtad tanpa sedar’ sehingga Nabi SAW menggambarkannya seperti malam yang gelap gelita. Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadisnya:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا

“Segeralah kamu beramal sebelum datangnya fitnah seperti malam yang gelap gelita. Pada waktu pagi seorang lelaki itu masih mukmin, tapi menjadi kafir pada petangnya. Petang harinya dia masih mukmin, tapi menjadi kafir pula pada pagi harinya. Dia menjual agamanya dengan kenikmatan dunia.” (Hadis riwayat Muslim).

Hadis ini menggambarkan tentang keadaan dunia pada hari ini. Fitnah yang merosakkan agama manusia sudah merebak secara berleluasa. Ianya menguasai segenap aspek kehidupan manusia melalui sudut ideologi, politik, sosial, ekonomi, budaya, pendidikan dan sebagainya. Bersamalah kita menjaga agama kita sehingga tidak menjadi seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah dimana keimanan dan kekufuran bersilih ganti sebagaimana silih bergantinya waktu pagi dan petang.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ.  
أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.






Teks asal khutbah ini boleh juga dumuat turun dari laman www.4shared.com. Klik sini.

Thursday, February 9, 2012

Khutbah Jumaat - 17 Rabi’ulawal 1433 / 10 Februari 2012


AKHLAK MULIA PAKAIAN MUSLIM



اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾
أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ, وَرَسُوْلُهُ
 اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang tinggi darjatnya, sudah tentu kita tidak rela dan mahu nikmat keamanan, kemakmuran dan keharmonian hidup yang kita kecapi selama ini ditarik balik oleh Allah SWT. Justeru, marilah kita syukuri dan hargai segala bentuk nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada rakyat dan Negara kita ini dengan cara meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, dalam erti kata mengerjakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Memiliki iman dan takwa yang tinggi adalah prasyarat utama bagi membolehkan kita terus memperolehi berkat yang melimpah ruah dari langit dan bumi sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:-

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾


Yang bermaksud: “Jikalau penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi (jika) mereka mendustakan (ayat-ayat) Kami itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya,” (S. Al-A’raaf: 96).

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!

Sebelum kelahiran dan pengutusan Nabi Muhammad SAW ke dunia ini, diriwayatkan bahawa masyarakat Arab diibaratkan hidup dalam kegelapan. Gelap dalam erti kata jauh daripada petunjuk Ilahi lantaran budaya hidup mereka yang bertuhankan hawa nafsu dan berhala, bukannya bertuhankan Allah Yang Maha Esa. Kerananya, mereka digelar sebagai masyarakat Jahiliah, iaitu masyarakat yang tidak tahu mensyukuri dan menghargai nikmat akal yang dikurniakan Allah untuk menelusuri fitrah insan yang suka berbuat baik, menyenangi kebaikan dan membenci kejahatan.

Akibatnya, wujudlah keadaan dan suasana yang tidak aman dan harmoni kerana penindasan dan kezaliman berleluasa, yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin, manakala kaum wanita dianggap sebagai alat memuaskan nafsu semata-mata. Malah, perjudian, arak dan pembunuhan bayi perempuan adalah perkara biasa dan bukan sesuatu yang mengaibkan mereka. Ini memperlihatkan bangsa Arab pada ketika itu berada dalam keadaan yang amat parah dan tenat dari segi akhlak dan tauhid dengan dijemput oleh dua tamadun empayar manusia yang besar iaitu Rom dan Parsi.

Justeru, kelahiran dan pengutusan Nabi Muhammad SAW adalah untuk membetulkan semula kehidupan manusia yang pada ketika itu bergelumang dengan amalan serta budaya hidup yang kotor dan sesat. Mereka bukan sahaja tidak berakhlak, malah sesat dan tandus dengan nilai-nilai keperikemanusiaan yang sepatutnya. Hal ini dijelaskan oleh Nabi SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak (budi pekerti) yang mulia.” (HR. Ahmad)

Hadith ini memperlihatkan betapa Islam menitikberatkan soal pembinaan akhlak yang mulia dan terpuji. Ia hendaklah menjadi pakaian manusia setiap masa khususnya individu Muslim ke arah mewujudkan kehidupan yang sejahtera dan harmoni dalam keluarga, organisasi, masyarakat dan negara.

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!

Akhlak merujuk kepada amalan, perangai dan tingkah laku tulus yang tidak dibuat-buat yang menjadi kebiasaan. Manakala menurut istilah Islam, akhlak ialah sikap keperibadian manusia terhadap Allah, manusia, diri sendiri dan makhluk lain, sesuai dengan suruhan dan larangan serta petunjuk Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ini bererti akhlak merujuk kepada seluruh perlakuan manusia sama ada berbentuk lahiriah mahupun batiniah yang merangkumi aspek amal ibadat, percakapan, perbuatan, pergaulan, komunikasi, kasih sayang dan sebagainya.

Sesungguhnya Rasulullah SAW yang terkenal dengan ketinggian akhlaknya telah berjaya merobah masyarakat Jahiliah kepada masyarakat yang beradab dan bertamadun. Namun demikian, segala ajaran serta contoh teladan yang diberikan oleh baginda SAW dalam membina masyarakat yang berakhlak dan bertamadun kini semakin dipinggirkan. Keadaan ini sedikit sebanyak telah menyebabkan manusia hari ini secara umumnya kembali mengulangi perbuatan kufur dan keji umat Jahiliah. Ia ditandai dengan maksiat dan kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Antaranya termasuklah aktiviti perjudian melalui internet dan SMS, pengambilan bahan-bahan yang memabukkan dan mengkhayalkan di samping pergaulan bebas yang menatijahkan zina, hubungan seks songsang, gejala pembunuhan, penderaan dan pembuangan bayi.

Dalam erti kata lain, senario yang berlaku pada hari ini memperlihatkan bahawa segelintir anggota masyarakat tidak lagi melihat kelakuan berakhlak sebagai sesuatu yang bernilai dan bermanfaat. Malah, ada di kalangan mereka itu cuba meminggirkannya jauh-jauh dari sikap dan budaya hidup berakhlak meskipun menyedari akan risikonya. Ini adalah antara ciri cintakan dunia, iaitu satu fenomena yang boleh melalaikan seseorang daripada mengingati Allah dan menyediakan bekalan untuk kehidupan akhirat.

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!

Memang tidak dinafikan bahawa satu daripada ciri akhlak Islam itu ialah berkasih sayang sesama insan. Malah Nabi SAW sendiri menitikberatkan soal berkasih sayang seperti yang ditunjukkan kepada isteri-isteri baginda, anak-anak, fakir miskin dan lain-lain lagi. Nabi SAW menzahirkan rasa kasih sayang kepada golongan ini dengan cara menggembirakan mereka melalui pemupukan hubungan yang baik, gurau senda di samping pemberian pertolongan serta bantuan yang sewajarnya. Dengan kata lain, menghormati yang tua dan menyayangi yang muda merupakan antara akhlak Rasulullah dalam menyatakan rasa kasih sayang baginda terhadap anggota masyarakat.

Dan kasih sayang itu pula bukanlah hanya sekadar ucapan manis untuk melembutkan hati manusia. Ia juga bukan ungkapan sebagai lesen untuk melakukan sesuatu yang tidak baik. Tapi, lain pula halnya dengan segelintir generasi muda hari ini. Mereka jadikan perasaan kasih sayang itu sebagai lampu hijau bagi melakukan perkara-perkara yang dilarang. Bagi mereka, perasaan kasih sayang menghalalkan segala yang haram. Sebab itu, terdapat di kalangan muda- mudi hari ini yang berpandangan sedemikian tidak segan silu melakukan adegan-adegan yang menjolok mata seperti bercium dan berpeluk-pelukan sehingga terjerumus melakukan zina atau hubungan seks haram tanpa rasa bersalah.

Berlakunya penyalahgunaan nilai kasih sayang sebagai kesempatan untuk melakukan dosa dan maksiat adalah akibat daripada kedangkalan segelintir umat Islam memahami erti kasih sayang sebenar yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Ia menyebabkan golongan muda-mudi Islam terikut-ikut menciplak budaya songsang yang dipromosi oleh golongan kuffar bertujuan merosakkan akidah dan akhlak umat Islam. Padahal, Islam memiliki khazanah akhlak mulia yang sesuai diamalkan pada bila-bila masa seperti yang diteladankan oleh Nabi SAW kepada kita semua.

Cuma, masyarakat memerlukan seorang pemimpin yang boleh mengubah akhlak dan membawa mereka ke jalan diredai Allah. Dalam hubungan ini, Allah berfirman:-

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾

Yang bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar; merekalah orang yang beruntung.” (S. Ali-Imran: 104)

Maknanya, perlu ada di kalangan umat Islam yang bertanggungjawab mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam masyarakat. Sementara dalam konteks keluarga pula, ketua keluarga yang secara umumnya merujuk kepada bapa atau kaum lelaki dipikulkan amanah untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan sebagai upaya memelihara diri dan ahli keluarga masing-masing daripada api neraka selaras dengan firman Allah:-

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾

Yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, pelihara dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (S. At-Tahrim: 6).

Sehubungan itu, kita sebagai Muslim sudah sewajarnyalah berusaha untuk tampil sebagai insan berakhlak kerana itulah sifat sebagai hamba Allah dan mukmin sebenar. Mudah-mudahan berkat kesungguhan kita mentarbiah diri dan ahli keluarga supaya berakhlak mulia berhasil meletakkan kita ke makam takwa yang sebenar di sisi Allah SWT. 

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.






Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman www.4shared.com. Klik di sini.

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B