bersama kepimpinan ulamak




Sedang Berlangsung Sekarang




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Thursday, November 22, 2012

KHUTBAH JUMAAT - 9 Muharram 1434 H / 23 November 2012 M



"MEMANFAATKAN CUTI PERSEKOLAHAN"

 Khutbah Pertama
 
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar, mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah AT-Tahrim, Ayat 6)

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai Hamba-hamba Allah sekelian,

Marilah kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah melaksanakan segala suruhan dan titah perintahNya dan meninggalkan segala larangan-Nya tanpa sebarang dolak dalih. Mudah mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Cuti akhir tahun persekolahan kini muncul sekali lagi. Antara tujuannya adalah untuk memberi sedikit kerehatan kepada para pelajar dan para guru yang sudah sekian lama berhempas pulas menuntut dan menyebarkan ilmu pengetahuan. Oleh kerana cuti ini merupakan satu tempoh yang agak panjang, jika tidak diuruskan dengan baik, akan membazirkan masa kita begitu sahaja. Maka ia perlu dirancang dan diurus dengan baik supaya dapat memberi manfaat kepada anak-anak, ibu bapa dan masyarakat.

Muslimin mukminin yang berbahagia,

Sebagai ibu bapa yang beriman dan bertaqwa, kita hendaklah bijak menguruskan cuti persekolahan anak- anak mereka. Orang yang beriman tidak akan membiarkan diri mereka dan keluarga mereka berada dalam keadaan lagho atau pun sia-sia. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Furqaan ayat 72:

وَٱلَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ ٱلزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا۟ بِٱللَّغْوِ مَرُّوا۟ كِرَامًۭا ﴿٧٢﴾

"Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka meninggalkan mereka dengan menjaga kehormatan dirinya".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Asy-Syahid Hasan Al-Banna mengungkapkan kata-kata hikmah yang mengingatkan kita mengenai tanggungjawab kita yang begitu banyak. Dalam keadaan beliau yang sentiasa menggunakan seluruh kehidupannya untuk berdakwah beliau masih mengatakan :

اَلْوَاجِباَتُ أَكْثَرُ مِنَ اْلأَوْقاَتِ
 
Kewajipan adalah lebih banyak dari masa yang ada

Maka apakah kita mempunyai masa yang terlalu banyak sehingga mampu kita bazirkan dengan bersantai dan berhibur semata-mata. Kita juga sebenarnya mempunyai berbagai tanggungjawab dan amanah yang melebihi masa yang kita ada. Terlalu banyak ilmu yang wajib kita kuasai masih belum mampu kita kuasai. Terlalu banyak kemahiran yang sepatutnya kita miliki kini hanya menjadi milik musuh-musuh kita. Terlalu banyak masa yang kita bazirkan dengan tidak berbuat apa-apa sedangkan sumbangan kita masih terlalu banyak diperlukan oleh agama, bangsa dan negara. Perintah Allah untuk kita tidak membazirkan masa amat jelas. Firman Allah dalam Surah Al-Insyirah ayat 7-8 :

فَإِذَا فَرَغْتَ فَٱنصَبْ ﴿٧﴾ وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَٱرْغَبْ ﴿٨﴾
 
Kemudian apabila engkau telah selesai (mengerjakan sesuatu tugas), maka bergegaslah mencari tugas yang lain. Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau berharap dengan rasa rakus.

Dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang begitu popular, Rasulullah SAW mengingatkan bahawa setiap saat daripada kehidupan kita akan dipersoalkan mengenai penggunaannya. Maka apakah yang akan kita jawab di hadapan Allah terhadap masa yang telah kita habiskan dengan bercanda dan bersukaria tanpa sebarang hubungan dengan peranan utama kita sebagai Khalifah Allah di buka bumi ini. Sabda baginda :

لاَ تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلاَهُ
 
Tidak akan berganjak seseorang hamba pada hari kiamat sehingga ia ditanya tentang umurnya di mana ia habiskannya, tentang ilmunya pada apa yang ia lakukannya, tentang hartanya daripada mana ia perolehi dan di mana ia membelanjakannya dan tentang tubuhnya kepada apa ia gunakan. (Hadith Riwayat At-Tirmizi)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersama melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim yang bertaqwa. Antaranya adalah :

1. Menyedarkan anak-anak dan ahli keluarga kita bahawa kita mempunyai peranan yang besar dalam mengisi percutian mengikut kehendak Allah.

2. Mengambil kesempatan bagi menambahkan dan menguasai berbagai ilmu pengetahuan samada ilmu berasaskan Al-Quran dan Hadis ataupun keduniaan yang amat kita perlukan bagi menjalani kehidupan yang semakin mencabar.

3. Melatih anak-anak dengan apa sahaja kemahiran yang ada pada kita atau menghantar mereka mengikuti kursus atau latihan jangka pendek agar mereka tidak merasa rendah diri dalam persaingan dengan teman-teman.

4. Membawa anak-anak menziarahi kaum kerabat dan sahabat handai agar mereka saling mengenali dan mengeratkan silaturrahim sesama keluarga.

5. Membawa mereka bercuti dan melawati ke tempat yang belum pernah mereka lawati bagi meluaskan pandangan dan menajamkan pemikiran serta melihat tanda-tanda kekuasaan Allah. Firman Allah dalam surah al-‘Ankabut ayat 20 :

قُلْ سِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱنظُرُوا۟ كَيْفَ بَدَأَ ٱلْخَلْقَ ۚ ثُمَّ ٱللَّهُ يُنشِئُ ٱلنَّشْأَةَ الآخِرَةَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ ﴿٢٠﴾
 
"Katakanlah: "Berjalanlah di muka bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan segala kejadian dari permulaannya. Kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Anak-anak adalah amanah Allah. Maka menjadi kewajipan ibu bapa untuk memastikan anak-anak sentiasa taat kepada Allah. Apapun yang kita laksanakan dalam kehidupan kita, pastikanlah bahawa ianya mampu mendekatkan diri kita kepada Allah dan Rasulnya. Jadikanlah apa sahaja yang kita lakukan menjadi tasbih dan penghubung antara kita dengan Allah. Firman Allah SWT :

فَسُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ حِينَ تُمْسُونَ وَحِينَ تُصْبِحُونَ ﴿١٧﴾ وَلَهُ ٱلْحَمْدُ فِى ٱلسَّمَـٰوَ‌ٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَعَشِيًّۭا وَحِينَ تُظْهِرُونَ ﴿١٨﴾

"Maka bertasbihlah kepada Allah pada waktu malam dan pada waktu Subuh. BagiNyalah segala pujian di langit dan di bumi, dan juga (bertasbihlah kepada-Nya serta pujilah Dia) pada waktu petang dan pada waktu Zuhur." (Ar-Rum:17-18)
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْءآنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.   

Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾



أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .

فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ
 
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Apakah kita mahu terus berada dalam kerugian akibat pembaziran masa yang kita lakukan selama ini. Rakyat Palestin sekali lagi mengundang simpati dunia akibat diganyang semahunya oleh Pengganas Israel tanpa sebarang pembelaan yang mampu kita lakukan. Akibat masa yang banyak dihabiskan untuk berbalah dan menindas sesama sendiri, negara Islam gagal meningkatkan kekuatan persenjataan untuk menakutkan mereka. Akibat membiarkan masa anak muda menghabiskan masa dengan hiburan yang tak mendatangkan faedah apa-apa, semangat jihad di kalangan generasi muda sudah semakin pudar. Akibat kebebasan berfikir, kebebasan bersuara dan kebebasan berkarya, aqidah dan pemikiran Umat Islam hari ini sudah bercampur aduk sehingga sebahagian kita Islamnya hanya ada pada nama. Maka kita sudah begitu kesuntukan masa untuk mengembalikan maruah, jati diri dan kegemilangan Umat Islam jika kita berterusan seperti ini. Ketika Umat Islam disembelih oleh musuh Allah seperti di Palestin, Rohingya dan Syria, apakah wajar dan tergamak untuk kita terus bersukaria. Setakat manakah jihad dan kesungguhan kita selama ini dalam usaha memartabatkan agama, bangsa dan negara yang melayakkan kita bercuti sakan tanpa rasa bertanggungjawab terhadap masa yang kita bazirkan. 

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِناَ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِناَ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِناَ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْناَ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ وَالظَّالِمِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .
 




Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B