Wednesday, February 1, 2012

Khutbah Jumaat - 10 Rabi’ulawwal 1433 / 03 Februari 2012




"MAULIDUR RASUL MEMBAWA PERUBAHAN"

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِى كُلِّ أُمَّةٍۢ رَّسُولًا أَنِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَٱجْتَنِبُوا۟ ٱلطَّـٰغُوتَ
 

"Sesungguhnya kami telah mengutus pada setiap umat seorang rasul dengan perintah:"Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah thoghut (syaitan dan apa sahaja yang disembah selain Allah)".

أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ الاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ رَسَوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ .
اَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ اِلاَّ وَاَنْتـُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Wahai hamba-hamba Allah sekelian,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah swt dengan sebenar-benar takwa dan bersungguh-sungguh melaksanakan semua perintahNya dan menjauhi semua laranganNya. Mudah-mudahan dengan peningkatan takwa, kita dapat membawa perubahan pada diri kita sendiri dan menuju kejayaan di dunia dan juga di akhirat.

Muslimin Mukminin yang dirahmati,

Hari ini, 10 Rabiulawwal bermakna telah seminggu kita berada di dalam bulan yang mulia yang juga dikenali sebagai bulan kelahiran junjungan besar kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad saw. Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w memberi erti yang besar dalam sejarah kehidupan manusia, semenjak kelahiran baginda sehingga diutuskan menjadi Rasul. Kelahiran baginda membawa perubahan yang amat besar, berasaskan akidah yang unggul, syariat yang syumul dan akhlak yang luhur.

Oleh kerana itu, wajarlah sambutan memperingati kelahiran baginda diadakan di seluruh dunia sebagaimana biasanya tokoh-tokoh besar dunia diingati kerana jasa peninggalan baginda jauh lebih besar berbanding mereka. Tiada nama yang lebih banyak disebut manusia selain dari Nabi Muhammad s.a.w yang diiringi sebutan namanya dengan doa.

Hadirin sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Rasulullah s.a.w dilahirkan pada Subuh Isnin, 12 Rabiulawal, pada tahun gajah kerana dalam tahun tersebut Abrahah menyerang Mekah untuk meruntuhkan Kaabah. Rancangan jahat Gabenor Yaman itu telah dipatahkan oleh Allah subhanahu wataala dengan mengirimkan sekumpulan burung untuk menghancurkan mereka. Abrahah sendiri terkorban dan tenteranya musnah sehinggakan kulit dan daging mereka hancur luluh seperti dimakan ulat.

Cahaya terang terpancar dari rumah tempat nabi dilahirkan telah menerangi ruang angkasa langit kota mekah, sebagai tanda lahirnya perubahan ketika kota Mekah baru dilanda pencerobohan Abrahah. Cahaya terang adalah merupakan cahaya hidayah yang memancarkan perubahan, perubahan yang akan meruntuhkan pemikiran jahiliah, perundangan jahiliah, prinsip dan budaya jahiliah, dan menggantikannya kepada pemikiran, perundangan, prinsip-prinsip dan budaya hidup Islam yang berasaskan kepada pengabadian kepada Allah dan menyingkir jauh kepatuhan kepada Thoghut. Firman Allah swt :

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِى كُلِّ أُمَّةٍۢ رَّسُولًا أَنِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَٱجْتَنِبُوا۟ ٱلطَّـٰغُوتَ

"Sesungguhnya kami telah mengutus pada setiap umat seorang Rasul dengan perintah: "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah thoghut (syaitan dan apa sahaja yang disembah selain Allah)". (An-Nahl ayat 36)

Muslimin Yang Berbahagia,

Sebagai seorang Nabi, baginda telah membawa Al-Quran dan Sunnahnya untuk mengubah manusia dari kesesatan kepada hidayah dan menyelamatkan manusia dari dunia hinggalah ke akhirat. Baginda menjadi seorang negarawan besar, yang mengasaskan sebuah negara Islam di Madinah bagi menjamin kesejahteraan rakyat jelata melalui perubahan kepada sistem pentadbiran dan siasah berteraskan agama.

Dalam bidang ekonomi, baginda telah mentransfomasi sistem berasaskan riba' kepada sistem kewangan dan muamalat Islam yang menyelamatkan manusia dari kezaliman riba', penindasan dan penipuan.

Dalam bidang kemasyarakatan, baginda telah mengasaskan sistem kemasyarakatan dan kekeluargaan Islam yang menjamin kehidupan rumahtangga yang bahagia, anak-anak yang soleh dan masyarakat yang aman damai.

Dalam bidang pendidikan, baginda telah melakukan perubahan kepada pendidikan yang memisahkan pembentukan rohani dan jasmani kepada pendidikan yang seimbang iaitu pendidikan yang berpaksikan pengabadian kepada Allah subhanahu wataala dengan tidak mengkesampingkan kepentingan terhadap pembinaan fizikal manusia.

Dalam persoalan akhlak baginda telah mengasaskan satu perubahan besar-besaran dari sifat-sifat keji (mazmumah), maksiat, mungkar, suka bergaduh, berhasad dengki, tamak harta dunia, sombong dan riak kepada kehalusan budi pekerti yang mulia, dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah). Inilah gagasan perubahan yang terbesar, yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun sebelum dan selepas baginda. Suatu perubahan yang lengkap sehingga melengkapkan semua ajaran yang dibawa oleh rasul-rasul terdahulu.

Muslimin Mukminin yang dikasihi sekalian,

Ingatlah! segala perubahan yang tidak merujuk kepada perubahan yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w semuanya tidak diterima dan tidak diredhai oleh Allah subhanahu wataala. Firman Allah seterusnya:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَـٰمِ دِينًۭا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْءَاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ ﴿٨٥﴾

"Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam sebagai cara hidup, maka tidak akan diterima daripadanya. Pada hari akhirat kelak dia tergolong daripada orang yang rugi". (surah Ali-Imran ayat 85)

Sebenarnya Manhaj atau kaedah perubahan yang dibawa oleh Rasulullah ialah Islam dan antara ciri-ciri Islam itu sifatnya mengubah. Rub'ie bin Amir berkata kepada Rustam (Panglima tentera Parsi) bahawa:

"Allah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia dari menjadi hamba sesama manusia, kepada menjadi hamba Allah yang Maha Esa, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan di akhirat dan dari kezaliman kepada keadilan Islam".

Perubahan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w mempunyai ciri-ciri yang sangat penting, antaranya menurut seorang pemikir Islam iaitu Fathi Yakan dalam bukunya berjodol MENGAPA AKU MEMELUK ISLAM, katanya:

Pertama: Perubahan itu mestilah menyeluruh

Perubahan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w bukan sekadar perubahan satu sudut dari sudut-sudut kehidupan yang tertumpu kepada sosial sahaja atau ekonomi sahaja atau politik sahaja, tetapi merupakan cara hidup yang lengkap dan menyeluruh. Kerana itu perubahan tidak mungkin tercapai dengan rekaan semata-mata, apatahlagi secara tangkap muat atau membuta tuli.

Kedua : Perubahan akidah

Akidah Islam menentukan pendekatan dan perubahan dan ianya berpusat kepada dua tunggak asasi:

(1) Tujuan dan matlamat perubahan itu mestilah betul, benar kaedahnya dan betul juga minhajnya.

(2) Wasilah dan caranya betul, menepati syarak, bersesuaian dengan roh Islam.
Perubahan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w bukan sahaja dari segi tujuan, tetapi juga dari segi wasilah dan cara, iaitu sistem yang menegakkan perintah Allah dan melaksanakan hukumNya.

Ketiga : Perubahan yang berperikemanusiaan

Iaitu tidak melalui jalan keburukkan dan kehinaan untuk mencapai kebahagiaan, tidak membina bangunan di atas tengkorak manusia yang dizalimi dan ditipudaya. Islam sebagai agama perubahan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w membawa sifat-sifat rahmat, berperi kemanusiaan, mesra dan belas kasihan. Tidak seperti Tacashoft, pemimpin agong komunis yang mahu menghapuskan semua orang Rusia yang melebihi umur dua puluh lima tahun, kerana tidak mahu menerima pemikiran Karl Marx. Tidak juga seperti Yahudi Zionis, yang membunuh rakyat Palestin, untuk menegakkan kerajaan haram Israel di bumi Palestin.

Tetapi "Perubahan" yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w menggunakan manhaj yang lembut, telus dan beradab. Semasa pembukaan kota Mekah, Abu Bakar As-Siddiq r.a menemukan bapanya yang musyrik kepada Rasulullah s.a.w. Apabila Rasulullah s.a.w melihat, lalu baginda bersabda :"Kenapa orang tua ini tidak dibiarkan sahaja di rumahnya dan biar aku sendiri datang menemuinya". Jawab Abu Bakar, "wahai Rasulullah, dia lebih patut menemui engkau dari engkau menemuinya". Rasulullah s.a.w pun menyapu dada bapa Abu Bakar, lalu berkata: Islamlah anda, maka beliau pun terus memeluk Islam. Jelaslah, kesederhanaan Rasulullah s.a.w itu merupakan wasilah kepada "Perubahan" yang menambat hati umat.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Sesungguhnya "Perubahan" yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w merupakan suatu kefardhuan yang dituntut syarak dan ia sangat penting dan sangat diperlukan untuk kebahagiaan hidup manusia. Terbengkalainya kedaulatan Syariat Allah di muka bumi dan berleluasanya sistem sekular dan perundangan ciptaan manusia, serta penguasaan politik berteraskan nafsu, adalah kerana tidak melaksanakan perubahan tersebut. Oleh itu, setiap orang Islam wajib melakukan perubahan, berdasarkan manhaj yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w Ini dijelaskan oleh Allah swt sebagaimana firmanNya dalam surah An-Nisa’:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ حَرَجًۭا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًۭا ﴿٦٥﴾

"Maka demi tuhanmu (wahai Muhammad)!,mereka tidaklah disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul diantara mereka,kemudian mereka pula tidak merasa apa-apa keberkatan dihati mereka terhadap apa yang telah engkau putuskan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya." (surah An-Nisa’ ayat 65)

Pembentukkan masyarakat Islam tidak akan tercapai jika umat Islam tidak mahu membuat perubahan. Pelaksanaan Syariat Islam sebagai undang-undang negara, tidak akan terbina jika umat Islam tidak berani mengubah sistem siasah sepertimana beraninya Rasulullah s.a.w menegakkan negara dan Syariat Allah. Kewajipan syarak yang dituntut kepada umat Islam yang konon cintakan nabinya, tidak akan dapat dilaksanakan tanpa negara. Kaedah Feqah menyebut:
مَا  لاَ  يُتِمُ الْوَاجِبُ   اِلَّا  بِهِ   فَهُوَ  وَاجِبٌ

"Sesungguhnya perkara yang tidak sempurna sesuatu kewajipan melainkan dengan perkara itu,maka perkara itu adalah wajib".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sempena kita menyambut sejarah keputeraan baginda Rasulullah s.a.w, banyak perubahan dalam kehidupan umat Islam yang boleh kita laksanakan. Risalah Islam bukan hanya mampu mengubah budaya jahiliah yang tidak bertamadun kepada cara hidup Islam yang bertamadun bahkan mampu menyelamatkan umat manusia seluruhnya. Oleh kerana itu:

1- Umat Islam wajarlah menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah s.a.w dengan berselawat, kerana selawat itu menjadi bukti kecintaan kita kepada baginda. Selawat kepada baginda tidak sekadar tuntutan ibadat yang diberi ganjaran pahala, tetapi merupakan lambang kecintaan kita kepada Rasulullah lebih dari kecintaan kita kepada diri sendiri, lebih dari kecintaan kita kepada harta, pangkat dan selainnya yang kita miliki.

2- Sekiranya umat Islam benar-benar cintakan Rasulnya, maka apa yang ditinggalkan oleh baginda adalah risalahnya. Risalah ini dapat kita hayati dengan kita kembali berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Sebagai umatnya, kita dituntut bekerja keras berjuang agar syariat Allah dan risalah baginda ini dapat ditegakkan dalam keluarga, masyarakat dan negara. Syariat Allah tidak akan terlaksana, melainkan umat Islam bersatu tenaga menegakkan sebuah pemerintahan yang melaksanakan hukum-hakam Allah dibumiNya.

3- Semua bentuk pemikiran dan idealogi barat atau perjuangan yang tidak merujuk kepada Syariat Allah atau sunnah RasulNya, hendaklah kembali merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Umat Islam mestilah berani membuat perubahan sepertimana beraninya Rasulullah s.a.w mengubah budaya hidup jahiliah yang bersandar kepada kuasa-kuasa thoghut yang zalim dan menindas kepada kuasa keadilan Islam yang diperjuangkan oleh baginda. 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱدْخُلُوا۟ فِى ٱلسِّلْمِ كَآفَّةًۭ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَ‌ٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌۭ ﴿٢٠٨﴾


"Wahai orang yang beriman!masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi segala hukum-hakamnya) secara keseluruhan dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu". (Al-Baqarah ayat 208)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.




Teks asal khutbah ini juga boleh dimuatturun dari laman www.4shared.com. Klik di sini.

1 comment:

  1. Ketika Rasulullah Saw. menantang berbagai keyakinan bathil dan pemikiran rusak kaum musyrikin Mekkah dengan Islam, Beliau dan para Sahabat ra. menghadapi kesukaran dari tangan-tangan kuffar. Tapi Beliau menjalani berbagai kesulitan itu dengan keteguhan dan meneruskan pekerjaannya.

    ReplyDelete