bersama kepimpinan ulamak




Kempen Tambah Keahlian Baharu





Friday, June 19, 2009

Penjelasan Ketua Penerangan PAS Pusat

SEMUA ahli PAS diminta bertenang dalam menghadapi ujian yang begitu mencabar dalam kepimpinan parti. Semua ini akan menguji kematangan pemimpin untuk menguruskan krisis.Insya-Allah PAS yang mempunyai bahtera yang kuat dan kukuh mampu untuk menghadapi semuanya ini. Kalau Umno-BN yang mempunyai bala tentera dan kewangan daripada "qarun-qarun" yang ada di atas muka bumi ini pun kita mampu hadapi. Maka sudah barang pastilah masalah yang berlaku pada hari ini, insya-Allah dapat diatasi dengan baik dan elok. Saya yakin bahawa ahli PAS yang matang dalam sepak terajang politik akan merasa tenang apabila kita tahu kekuatan yang ada pada PAS dan organisasinya. Ini kerana PAS adalah milik kita semua. Ia tidak boleh dimonopoli oleh sesiapa pun. PAS ada peraturan dan perlembagaan yang kemas dan teratur. Iltizam kita ialah bersama dengan Pakatan Rakyat dan berhadapan dengan Umno-BN dalam apa suasana sekalipun. Media cuba memainkan isu bahawa PAS hendak mewujudkan perpaduan Melayu. Secara tidak langsung mereka cuba melontarkan fitnah bahawa PAS hendak meninggalkan Pakatan Rakyat. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato' Setiausaha Agung pada 17 Jun lalu telah menjelaskan kekeliruan ini. Kerajaan Perpaduan hanyalah lontaran idea sahaja daripada Presiden PAS. Sebarang keputusan dan polisi parti yang hendak dibuat akan dibincang terlebih dahulu dalam parti. Insya-Allah, segala keputusan yang diputuskan itu akan kita sampaikan kepada semua pihak sehingga ke peringkat akar umbi melalui majlis taklimat khas. Yakinlah firman Allah SWT, yang bermaksud: "Hendaklah kamu bermesyuarat dalam urusan kamu." Dan maksud sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Berjamaah itu rahmat." Oleh itu kita boleh berbincang untuk mendapat maklumat sahih melalui mesyuarat, muzakarah, usrah, liqa. Inilah mekanisme parti yang paling baik untuk kita menyuarakan masalah dan kritikan kepada parti. Sekarang zaman canggih, maka bolehlah kita hubungi pimpinan untuk mendapat penjelasan. Segala keputusan politik yang PAS buat selama ini semuanya bersandarkan kepada nas syara' dan fiqh siasi. Kita bertahalluf dengan parti bukan Islam dan ideologi yang berbeza, semuanya merujuk kepada nas syarak. Bukan senang hendak meyakinkan ahli bagaimana kita dibenarkan mengundi calon bukan Islam yang bertanding atas tiket parti yang bertahalluf dengan kita. Semua ahli PAS perlu berhati-hati dalam menghadapi isu ini. Ini kerana musuh sentiasa memasang perangkap untuk menjayakan misi mereka bagi memecah-belahkan di kalangan ahli dan pimpinan. Dapatkan maklumat rasmi daripada akhbar rasmi Harakah, laman web Harakahdaily dan akhbar Siasah supaya tidak menimbulkan kekeliruan. Tunggu dan sabarlah untuk mendapatkan penjelasan rasmi daripada pimpinan dalam isu ini। Rapatkan saf jamaah supaya syaitan tidak menyusup masuk ke dalam parti kita.

Tuesday, June 16, 2009

Wibawa Presiden GAMIS

Pihak Dewan Ulamak PAS Perak ingin mengucapkan syabas atas sikap keterbukaan yang ditunjukkan oleh Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Dzul Khairi Mohd Noor yang telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan yang dilakukan dalam mengkritik secara terbuka terhadap Dewan Ulama PAS berkaitan isu Usul Pengharaman SIS. Walaupun ianya tidak bermakna beliau menarik balik pandangan terhadap isu tersebut namun sikap berlapang dada seperti ini amat-amat dialukan. Ini menunjukkan kewibawaan beliau dalam menyediakan diri sebagai pimpinan pelapis bagi masa-masa akan datang. Mungkin ada hikmahnya daripada berlakunya polimik seperti ini yang memungkinkan Dewan Ulamak PAS Perak mengenali dan memahami GAMIS dengan lebih dekat. Pihak Dewan Ulamak PAS Perak sendiri mungkin melakukan kesilapan dalam melontarkan pandangan atau mungkin juga terkesan dengan beberapa istilah yang kurang menyenangkan yang dilontar terhadap Dewan Ulamak PAS. Setiap gerakan Islam tentu ada pandangan dan pendekatan masing-masing yang mungkin amat jauh berbeza dan tidak mungkin mencapai keselarasan sepenuhnya. Apa yang diharapkan adalah agar kita semua dapat melaksanakan fungsi dan peranan masing-masing disamping cuba memahami pandangan dan peranan teman seperjuangan. Mudah-mudahan kita akan terus dapat bekerjasama dalam perjuangan yang mencabar ini. Dalam masa yang sama perbezaan yang wujud di antara kita tidak melupakan kita dengan cabaran dan masalah sebenar yang sedang kita depani bersama. Wallahu A'lam Bissowab

Presiden GAMIS Mohon Maaf Secara Terbuka

Setelah mendapat teguran dan reaksi pelbagai pihak berhubung kenyataan menyifatkan Pas sebagai ‘kuku besi’ dalam isu pengharaman NGO Sisters In Islam (SIS), Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Dzul Khairi Mohd Noor telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan yang dilakukan.
“Saya rasa saya perlu meminta maaf di atas segala polemik yang telah berlaku sepanjang saya mencurahkan idea. Saya rasa, ada dua kesilapan besar saya yang patut saya betulkan. Saya dahulukan dengan mengucapkan terima kasih di atas segala teguran. Pertama, saya tidak memberikan penjelasan yang setepatnya berkaitan pandangan saya. Saya tidak berniat mencetuskan kontroversi sebaliknya memang itulah bentuk pemikiran saya. Namun saya kurang memberikan penjelasan terbaik. Kesilapan kedua adalah, mungkin kerana saya sedikit kurang beradab. Maka saya amat menyesali segala kekurangan saya itu. Saya berharap ia merupakan proses kematangan dan kemandirian saya,”tulis beliau dalam blognya. Di samping mengalu-alukan kritikan dan keterbukaan beliau dalam menerima teguran, Dzul Khairi mengakui telah menggunakan beberapa istilah yang kurang sesuai dan menyifatkan ianya kesilapan besar. “Semestinya saya mesti bersedia untuk ditegur dan dikritik. Maka saya menerima dengan dada terbuka. Rasanya, kesilapan menggunakan beberapa istilah termasuk ’menghapuskan’ Dewan Ulama adalah kesilapan besar yang tidak boleh dimaafkan,”ujar beliau lagi. Beliau juga mengharapkan budaya tegur-menegur akan kekal menjadi budaya dalam organisasi Islam seluruhnya. “Saya, Mohd Dzul Khairi memohon maaf di atas segalanya. Tidak bermakna saya menarik pandangan-pandangan saya dan tidak bermakna saya akan berhenti daripada memberikan pandangan. Cuma ia bermakna, saya akan lebih berakhlak, berhati-hati dan memberikan penjelasan yang seterang-terangnya,” jelas beliau lagi dalam blognya. Dalam pada itu, pandangan pemimpin NGO anak muda Islam tersebut berkenaan menyifatkan Pas sebagai ‘kuku besi’ dalam isu pengharaman Sisters In Islam (SIS) telah dijawab oleh Dewan Ulamak Pas Negeri Perak. Sayap negeri bagi parti politik tersebut menyifatkan Dzul Khairi mempunyai pandangan yang ‘pelik’ dan ‘menghairankan’. “Pandangan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (GAMIS), Dzul Khairi Mohd Noor menyifatkan tindakan parti politik itu sebagai ‘kuku besi’ adalah satu pandangan yang pelik dan menghairankan. Begitu banyak usul dan pandangan sebelum ini yang seumpamanya bagi mengharamkan sesuatu yang menyeleweng. Kebebasan bersuara bukan tiket untuk berkata sesuka hati terutamanya apabila membabitkan persoalan akidah dan hukum tuhan,”jelas dewan ulamak tersebut. Sambil memberi alasan bahawa parti politik tersebut telah menghadapi pelbagai sekatan dari pihak pemerintah dalam proses menjelaskan kebenaran dan berdakwah kepada SIS, dewan ulamak itu juga menyifatkan GAMIS sepatutnya yang perlu dibubarkan. “Berbagai hujah telah dikemukakan oleh PAS dalam media rasmi parti, namun SIS juga yang diberi ruang menyebarkan pandangan sesat mereka kepada masyarakat. Gamis yang tidak pernah disekat oleh pemerintah, tidak pernah didengari menegur dan berhujjah dengan penuh kasih sayang dengan mereka. Maka apakah wajarnya cadangan agar dihapuskan Dewan Ulama dalam Pas melainkan sepatutnya Gamis inilah yang sepatutnya dibubarkan kerana tidak langsung memainkan peranan dakwahnya,” tulis wakil dewan tersebut dalam kenyataan blog. Terdahulu, Sabtu lalu, Muktamar PAS menerima usul bagi mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat SIS dan mengharamkannya jika benar siasatan mendapati NGO itu mengancam akidah umat Islam. Usul itu juga mendesak kerajaan menjalankan program pemulihan ke atas ahli-ahli SIS jika didapati sah melencong daripada agama। Selain itu setakat ini lebih 322 NGO dan individu telah menyatakan kekesalan dan bantahan mereka berkenaan usul parti politik tersebut.-mahasiswakini

Sunday, June 14, 2009

Kewafatan Asy-Syeikh Fathi Yakan

Beliau diberitakan telah wafat pada Hari Sabtu iaitu pada jam 4.45 petang. Jasadnya akan dipindahkan pada pagi Ahad dari Hospital Otel Deo (Timur Beirut) ke Tarablas di Utara lubnan. Jenazah beliau akan disolatkan pada asar Hari Ahad 21 Jamadul Akhir 1430 Hijrah di Masjid Tinal dan akan dikebumikan di perkuburan keluarga di Babur Raml. Asy-Sheikh Fathi Yakan dilahirkan di Tarablas pada tahun 1933 dan telah mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja dakwah Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau telah menjawat ketua umum di dalam Jamaah Islam (cawangan ikwanul muslimin) sehinggalah pada tahun 1992. Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai Jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Nahrul Barid di utara Lubnan di antara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pada tahun 2007. Beliau telah banyak mengarang buku diantaranya Maaza Ya'ni Intimaaii lil Islam, Al-Mutasiqituna Fala Toriq Da'wah, Kaifu Nadwu lil Islam dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku. Beliau telah memantau laman web dakwah.net. Isteri beliau bernama Mona Yakan dan mempunyai 4 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. MOGA-MOGA ALLAH MERAHMATI BELIAU DAN MEMBERI KESABARAN KEPADA AHLI KELUARGA BELIAU.

Thursday, June 11, 2009

Tahniah Pesuruhjaya Baru

Seluruh Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Perak mengucapkan tahniah atas perlantikan S. F. Ustaz Abu Bakar bin Hussin, sebagai Pesuruhjaya PAS Perak yang baru. Semoga dengan perlantikan ini akan menambahkan semangat dan iltizam beliau untuk terus memimpin PAS Negeri Perak ke arah yang lebih gemilang bertepatan dengan kehendak Allah dan Rasulnya. Dewan Ulamak PAS Perak akan sentiasa mendokong dan menjadi tulang belakang dalam membantu beliau dalam menunaikan amanah ini selama mana yang bertepatan dengan Syariah Allah.

Wednesday, June 10, 2009

Mengharamkan SIS Satu Kewajipan

Muktamar Tahunan Kali Ke 55 ini yang baru berlangsung baru-baru ini benar-benar menggegarkan seluruh negara. Jika sebelum ini muktamar seperti ini hanya disedari oleh pengikut PAS sahaja, namun suasana kali ini amat jauh berbeza. Walaupun tidak disiar oleh media perdana BN, namun kemunculan teknologi maya yang menyiarkannya secara langsung telah menyebabkan ianya diikuti oleh segenap lapisan masyarakat. Walaupun biasanya apa sahaja yang berlaku akan digunakan oleh BN untuk menggambarkan kelemahan PAS, namun amat berbeza kali ini dimana pimpinan BN amat lunak dalam memberikan komentar berkenaan muktamar kali ini. Di antara sebab kehangatan muktamar kali ini adalah kerana dua isu utama iaitu Kerajaan Perpaduan dan Pengharaman Sisters In Islam. Isu Kerajaan Perpaduan adalah suatu isu yang amat besar yang berpotensi melibatkan perpaduan atau perpecahan ahli PAS malah komponen Pakatan Rakyat itu sendiri. Oleh yang demikian tidaklah wajar bagi golongan bawahan mengeluarkan pandangan tanpa maklumat dan kajian mendalam bagi mengelakkan bertambahnya kekeruhan yang sedia ada. Tugas menjernihkan keadaan adalah terletak di bahu pimpinan yang terlibat secara langsung kerana mereka sendiri yang lebih memahami apa yang mereka sendiri maksudkan. Tindakan penjernihan wajib diusahakan kerana terlalu sukar untuk menafikan kewujudan gejala perpecahan ini yang sudah mula merebak di berbagai peringkat. Jangan diamalkan "Budaya Penafian" dengan mengatakan tidak berlaku sebarang percanggahan pendapat di kalangan pimpinan. Jangan pula nanti pendokong bawahan juga yang dibebankan dengan ungkapan "gagal memahami pandangan pimpinan". Usul pengharaman SIS begitu mendapat perhatian sehingga menarik respon segera daripada berbagai pihak termasuk pihak SIS sendiri serta pimpinan DAP dan PKR. Kecaman hebat dari pihak SIS bukanlah suatu yang mengejutkan kerana Ayah Pin sendiripun melenting ketika dikatakan sesat. Apa yang menghairankan adalah kecaman daripada teman-teman dari Pakatan Rakyat. Isu hak asasi dan kebebasan bersuara menjadi asas yang ditonjolkan. Amat menghairankan apabila mereka mendesak PAS menghormati pandangan teman-teman di dalam Pakatan sedangkan dalam masa yang sama mereka tidak pernah cuba memahami dan menerima prinsip perjuangan PAS yang tidak menganiaya sesiapa. Dr. Asri Zainal Abidin turut membidas usul ini dengan mengatakan ada banyak perkara baik yang dibuat oleh SIS. Beliau mengkritik keras pendekatan mengharam tanpa memberi peluang mereka membela diri. Mungkinkah terpaksa membiarkan sahaja jika ada kumpulan pendakyah daripada kristian yang bergerak secara aktif di kampung-kampung Melayu jika dalam masa yang sama mereka menawarkan berbagai perkhidmatan dan bantuan kepada orang ramai. Beliau nampaknya terlalu jahil dengan prosedur pihak berkuasa termasuk prosedur di Jabatan Agama Islam Negeri walaupun berpengalaman sebagai mufti. Mungkin beliau tidak sempat mengkaji dan mempelajarinya selama dua tahun kerana terlalu sibuk mencari kelemahannya dan menjajanya ke serata negara. Apakah beliau mungkin menganggap mengharamkan sesuatu kumpulan hanya sekadar mengeluarkan sekeping surat semata-mata sedangkan di mahkamahpun ada hujah pembelaan diberikan. Umat Islam bukan baru sehari dua mengenali SIS dan pemikiran mereka. Jika tidaklah kerana dokongan anak-anak pimpinan tertinggi negara, pastinya JAKIM dan JAIN akan dihentam semahunya kerana tidak mengambil tindakan terhadap mereka. Walaupun ramai wanita yang menggunakan perkhidmatan mereka untuk mendapatkan hak mereka berkaitan perundangan, namun amat diyakini dalam urusan mendapatkan fatwa, mereka tidak akan mengguna pakai berbagai fatwa sesat yang dikeluarkan oleh mereka. Ada juga yang menganggap PAS tidak menurut sunnah kerana Nabi Muhammad saw sendiripun berlapang dada dengan perbezaan pendapat di zamannya. Sewajarnya kita serahkan kepada ulamak untuk mengkaji apakah tindakan mengharamkan mana-mana pertubuhan yang sesat seperti ini menepati sunnah atau sebaliknya. Jangan kerana kegelojohan kita dalam berhujjah dengan mengambil contoh amalan Rasulullah saw, menyebabkan berlaku kesilapan dalam menyandarkan perkara yang bukan hak terhadap Rasulullah saw yang akan melayakkan kita menempah tempat di neraka Allah. Ada had dan sempadannya keterbukaan menerima perbezaan pendapat di kalangan umat. Jika sudah sampai ke peringkat sesat maka tindakan undang-undang wajib dikenakan. Walaupun banyak contoh sirah yang menggambarkan keterbukaan Rasulullah saw terhadap masyarakat, namun apakah harus kita lupakan ketegasan Rasulullah saw sehingga membakar masjid dirar bagi mengelakkan kemudharatan kerana tujuan pembinaannya yang tidak menepati kehendak Allah.

Friday, June 5, 2009

Muktamar Tahunan Kali Ke 55

Ikuti Ucapan Dasar Presiden :

Thursday, June 4, 2009

Ahli Jawatankuasa Baru Dewan Ulamak Pusat

Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat Kali Ke 48 yang telah diadakan di Dewan Raja Lumu, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan pada 4 Jun 2009M bersamaan 10 Jamadil Akhir 1430H telah memilih Anggota Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat bagi Sesi 2009 - 2011 seperti berikut : Pengerusi tetap - Ustaz Hamdan Mohamad Tim. Pengerusi Tetap - Ustaz Abdul Manaf Othman Ketua Dewan Ulamak Pusat : Dato' Hj Harun Bin Taib Timbalan Ketua : Dato' Hj Ahmad Bin Yaakob Naib Ketua : Dato' Dr Mahfodz Bin Mohammad Ahli Jawatankuasa Kerja : 1. Dato' Hj. Husin Awang 2. Ustaz Abdul Ghani Shamsudin 3. Ustaz Nik Zawawi Salleh 4. Ustaz Saleh Sani Harun 5. Ustaz Abu Bakar Abdullah 6. Dato' Hj. Mohd Daud Iraqi 7. Ustaz Abdullah Abd Razak 8. Ustaz Hasan Mohamad 9. Ustaz Ismail Noh 10.Ustaz Mohd Zain Abd Rahman 11.YB. Ustaz Mohamad Mustafa 12.Ustaz Abdullah Husin
Pemeriksa Kira-Kira 1. Hj Ibrahim Omar 2. Mohd Noor Hj Din
Ikuti Ucaputama Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat :

Tuesday, June 2, 2009

Maahad Dar’us-Salam dan Asrama Anak-Anak Yatim

Asrama Anak-Anak Yatim Dar’us-Salam bermula dengan penubuhan Maahad Dar’us-Salam Tambun telah di asaskan pada tahun 2001 sebagai sekolah agama rakyat (persendirian) di atas sebidang tanah yang diwakafkan seluas 1 ekar 17 pol. Tanah ini diwakafkan bersama-sama dengan sebuah bangunan kayu iaitu bekas kilang batik dua tingkat dengan keluasan 120 kaki panjang dan 20 kaki lebar, yang di ubahsuai menjadi bilik-bilik darjah, bilik guru, pejabat, asrama dan bilik penginapan pengetua. Pada peringkat awalnya maahad ini mempunyai 31 orang murid peringkat rendah dan 11 orang pelajar peringkat menengah, yang sebahagian besarnya adalah anak-anak sekitar Ipoh. Sementara tenaga pengajar seramai 6 orang untuk peringkat rendah /menengah sesi pagi, dan 2 orang guru sukarela yang datang mengajar sebelah petang khas untuk peringkat menengah. Pada 2004, maahad ini terpaksa menghentikan peringkat menengah kerana faktor kewangan dan mengekalkan peringkat rendah hingga kini. Pada penghujung 2007, hasil ziarah ke sebuah asrama anak-anak yatim di Sungai Siput dan beberapa siri perbincangan berkaitan masalah pembelajaran sebahagian anak-anak yatim di asrama tersebut, satu persetujuan dicapai dimana seramai 11 orang anak-anak yatim telah dihantar belajar di maahad ini pada bulan Februari 2008. Dengan perkembangan ini, dan dengan jumlah anak-anak yatim yang meningkat menjadi 25 orang setakat ini, maahad ini kini ke arah menjadi Sekolah Berasrama Penuh Anak-Anak Yatim. Oleh kerana ruang asrama yang terhad, pihak pentadbiran memutuskan untuk menghadkan pengambilan 40 orang anak-anak yatim sahaja dalam satu masa, sehingga prasarana yang kondusif dapat disediakan. Buat masa ini anak-anak yatim yang berjumlah 25 orang ini merangkumi 10 orang lelaki dan 15 orang perempuan di mana 12 orang daripada mereka adalah berasal dari Perak Darul Ridzuan sementara 13 orang lagi berasal dari Kedah. Sistem pendidikan dan makan minum warga anak yatim di asrama ini adalah percuma dan mereka dilayan seperti penghuni sekolah berasrama penuh. Mereka disediakan 5 kali sajian setiap hari iaitu sarapan pagi, jamuan rehat, makan tengahari, minum petang dan makan malam. Oleh kerana latar belakang yang terbiar dan tercicir, sebahagian dari anak-anak yatim ini tidak dapat menulis dan membaca di awal kedatangan mereka di samping hilang minat belajar. Mereka juga tidak tahu membaca Al-Quran dan hal yang berkaitan dengan solat. Alhamdulillah dengar berkat kesabaran guru-guru, mereka sekarang sudah berminat semula belajar sama ada rumi atau jawi dan seramai lima orang sudah mampu membaca Al-Quran. Pihak pentadbiran sedang memantau perkembangan mereka dari segi minat dan kecenderungan di mana murid yang tidak dapat menguasai akademik akan disalurkan ke bidang kemahiran dalam mengikut minat masing-masing. Bagi mereka yang mempunyai kecenderungan agama akan diwujudkan kelas tahfiz Al-Quran. Diharapkan dengan cara ini masa depan mereka cerah dan mampu berdikari. Perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan keseluruhan melibatkan kira-kira sejumlah RM6000.00 sebulan. Ini semua tidak termasuk kos pembangunan dan perbelanjaan luar jangka. Sumber kewangan utama adalah dari bayaran yuran murid-murid luar (yang berulang), sumbangan pengasas serta sumbangan orang ramai. Sumbangan secara berkala dengan jumlah yang tidak tetap sejak penubuhan maahad hingga kini di usahakan oleh sekumpulan anggota PGA Ulu Kinta yang banyak menyumbang dalam bentuk tenaga dan wang. Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri telah memutuskan penjadi penyumbang tetap RM500.00 setiap bulan. Selain LHDN sumbangan derma sempena Ramadhan juga datang dari POS Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan, BPR, dan beberapa pertubuhan, kelab, persatuan kebajikan seperti Hospital Pantai Puteri, Dewan Ulama’ Pas, Penduduk Islam Sunway, Lost World of Tambun, Kelab Sukan, Puspanita LHDN, UTP, UPSI, PUO, Carsem, UITM, PEKIDA dan Persatuan Wanita dan lain-lain. Pihak pentadbiran amat mengalu-alukan sumbangan dari mana-mana pihak yang prihatin dengan warga yatim dan miskin yang terbiar dan tercicir ini. Dan kami menggalakkan anda datang sendiri mengusap kepala mereka dan melihat sendiri penempatan mereka. Semoga kita terselamat dari orang yang dikecam Allah dalam Surah al-Maaun.
أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ (1) فَذَلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ (2) وَلاَ يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ (3) فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ (4) الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلاَتِهِمْ سَاهُونَ (5) الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ (6) وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ (7) جزاكم الله خيرا كثيرا والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
SF Al-Ustaz Md Suaid bin Din
Pengasas / Pengetua / Pengurus Maahad Dar’us-Salam dan Asrama Anak-Anak Yatim Dar’us-Salam Tambun.

KULIAH SETIAP SABTU




KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA