Friday, September 13, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 13 MUHARAM 1441 / 13 SEPTEMBER 2019


SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG: TERAS PERPADUAN RAKYAT DAN KESEJAHTERAAN NEGARA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٢٦﴾

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Surah Ali-'Imran ayat 26)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,


Marilah kita sama-sama membersihkan hati, menyatukan jiwa dan sanubari, dalam meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, Robbul 'Izzati, berusaha sedaya upaya memenuhi segala tuntutan-Nya yang wajib dipatuhi, dan menjauhi segala larangan-Nya dengan rela hati.

Mudah-mudahan kita menjadi insan yang benar-benar bertaqwa, yang diliputi cahaya rahmat-Nya, terdakap dalam keampunan-Nya, lantas menjadilah kita golongan hamba-Nya yang terpilih dan dikasihi, berjaya di dunia dan beruntung di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah khas sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, yang bertajuk; "Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Teras Perpaduan Rakyat dan Kesejahteraan Negara".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Manusia secara fitrahnya suka hidup di dalam satu kelompok, bersama membentuk masyarakat, berusaha membina tamadun, bagi mendapatkan sebuah kehidupan yang harmoni dan membahagiakan. Justeru, kelompok ini akan terikat dengan satu peraturan, undang-undang mahupun keagamaan yang lazimnya disatukan di bawah satu kepimpinan. Mereka akan melantik seorang ketua, bagi menjadikan mereka bangsa yang berkepatuhan, dan bersatu di bawah satu pemerintahan.

Mengikut pandangan Dr. Yusuf Al-Qardawi dalam bukunya Fiqh Kenegaraan, agama Islam menyeru kepada pengaturan dan pentadbiran yang rapi dalam menentukan tugas dan melaksanakan tanggungjawab. Sebagaimana dalam anjuran solat jamaah, Nabi s.a.w akan merapikan barisan di samping memilih seorang yang terbaik menjadi imam. Begitu juga dalam perjalanan musafir, ia perlu dilengkapkan dengan melantik seorang ketua. Sabda Nabi s.a.w:


إِذَا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ

Maksudnya: "Apabila keluar tiga orang bermusafir, maka lantiklah salah seorang sebagai ketua". (Hadits riwayat Abu Daud)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah s.w.t telah mewajibkan kita untuk melakukan amar ma'aruf dan nahi mungkar. Namun perkara ini sukar dilaksanakan tanpa kuasa pemerintahan. Begitu juga dalam melakukan kewajipan-kewajipan masyarakat yang lain. Oleh yang demikian keperibadian orang-orang mukmin yang telah dikukuhkan Allah akan kekuasaannya dengan berdirinya satu negara, telah digambarkan oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya:


الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١﴾

Maksudnya: "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan". (Surah Al-Hajj ayat 41)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Di negara kita, institusi Diraja yang penuh kedaulatan, mempunyai sejarah yang begitu panjang zaman berzaman. Institusi ini sudah termaktub dalam sejarah, sebagai institusi yang telah lama diberikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh rakyat jelata. Malah seiring dengan perkembangan dakwah Islam di Tanah Melayu, institusi Diraja terus diangkat sebagai lambang perpaduan dan kedaulatan agama Islam. Proses pengislaman di zaman Kesultanan Raja Melaka, telah berlaku secara menyeluruh kerana melibatkan pihak istana atau pemerintah. Islam telah diterima baik dan seterusnya Melaka berkembang menjadi pusat penyebaran Islam di rantau ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam sistem pemerintahan raja berpelembagaan, raja diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi. Fungsi institusi Diraja bukan sahaja untuk melindungi agama sahaja, tetapi juga menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan untuk semua kaum. Kuasanya melangkaui kepentingan politik, di mana keputusan atau titah-titah perintahnya adalah berasaskan kepentingan negara, pelindung perlembagaan dan sebagainya.

Mengikut perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong adalah ketua negara Malaysia. Jawatan ini telah diwujudkan selepas Malaysia mendapat kemerdekaan pada tahun 1957. Maka sebagai ketua negara, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong merupakan ketua tertinggi persekutuan yang mempunyai keutamaan yang lebih daripada orang lain, di samping mempunyai kuasa yang luas dan penting dalam melaksanakan urusan kerajaan persekutuan.

Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong mempunyai tanggungjawab  dan peranan yang besar dalam negara. Dalam fungsi perundangan contohnya, kuasa perundangan persekutuan terletak pada parlimen, yang mana Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong merupakan salah satu unsur dalam parlimen. Selain itu, penglibatan kuasa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong adalah termasuk fungsi eksekutif, perundangan, ketenteraan, keagamaan, diplomatik, kuasa pengampunan dan sumber penghormatan serta kebesaran.

Kedudukan raja-raja melayu itu sifatnya adalah menjaga, memelihara dan melindungi kedudukan Islam dalam perlembagaan negara. Raja-raja melayu diletakkan pada kedudukan yang tinggi, yang mana secara langsung sebagai penjamin kepada pentadbiran Islam di Malaysia.

Justeru, mana-mana pihak hendaklah tidak bermain dengan sentimen ini, kerana ia boleh menggugat struktur negara dan juga menggugat keharmonian rakyat itu sendiri. Dalam erti kata lain, siapa yang merendah-rendahkan institusi Diraja secara tidak langsung dia merendahkan kedudukan Islam dalam perlembagaan negara.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Terbukti sudah peranan raja-raja dalam memastikan Islam tetap dijulang di negara kita. Raja telah memayungi kita sebagai rakyat dengan memastikan keamanan, keadilan dan keharmonian dapat dirasa pada setiap nadi kehidupan rakyat. Maka wajarlah kita membalasnya dengan taat setia, dan mengelakkan sebarang penderhakaan terhadap raja-raja. Berpadalah dalam menongkah arus, kerana satu kesilapan boleh membawa pada musibah yang besar.

Ingatlah, musuh-musuh agama sentiasa mengintai peluang untuk menabur racun perpecahan dan menyemarakkan api kebencian. Perkara ini mampu merungkaikan ikatan perpaduan dan kesatuan kita yang sentiasa berpaksi pada kekuatan iman. Sesungguhnya, menjaga keharmonian dan mengikat erat tali perpaduan adalah tanggungjawab kita bersama dan ia merupakan sebahagian rasa syukur kepada Allah s.w.t terhadap nikmat keamanan ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil dari khutbah hari ini ialah:

Pertama: Agama Islam mendidik kita agar menentukan tugas dan melaksanakan tanggungjawab yang memerlukan satu kerajaan terpimpin, yang diterajui oleh seorang ketua.

Kedua: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi dalam perlembagaan negara. Fungsi institusi Diraja bukan sahaja untuk melindungi agama, tetapi juga menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan untuk semua kaum.

Ketiga: Sebagai rakyat yang cintakan negara, serta mementingkan keharmonian dan kesejahteraan bersama, kita perlulah memberikan ketaatan dan kesetiaan pada institusi Diraja dan tidak sesekali melakukan sebarang penderhakaan terhadap raja-raja.

Marilah kita meneruskan keluhuran kerajaan berpelembagaan ini, dengan tetap memberikan ketaatan dn kesetiaan yang tidak berbelah bahagi pada institusi Diraja. Moga kepatuhan ini akan menjadikan kita termasuk dalam golongan yang taat pada perintah Allah s.w.t, sepertimana firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴿٥٩﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya". (Surah An-Nisa' ayat 59)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah taufik dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, As-Sultan 'Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustofa billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in billah. Dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah 'Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil 'alAllah Sultan Iskandar Al-Hajj.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment