Friday, May 3, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 27 SYAABAN 1440 / 3 MEI 2019


ISLAM TETAP SEMPURNA

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًاأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ الْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita memahami satu peristiwa yang penting dalam sejarah umat Islam ketika Rasulullah s.a.w menunaikan haji wida' (haji selamat tinggal) yang selepasnya baginda diwafatkan oleh Allah s.w.t. Diwahyukan firman Allah s.w.t:

... الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ ۚ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ... ﴿٣﴾ [سورة المائدة : ٣]

(Maksudnya): "Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama kamu".

Islam satu-satunya agama yang diterima oleh Allah s.w.t. Islam adalah ad-din, yang merangkumi seluruh kejadian dan kehidupan manusia dalam hubungannya dengan Allah s.w.t, hubungannya dengan sesama manusia dan hubungannya dengan makhluk yang ada di atas muka bumi serta hubungannya dengan alam yang lain sehingga alam akhirat.

Islam adalah nikmat yang paling besar yang tidak boleh dibandingkan dengan nikmat yang lain.

وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿١٨﴾ [سورة النحل : ١٨]

(Maksudnya): "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Nikmat yang paling besar adalah nikmat Islam, petunjuk yang menyelamatkan kamu daripada dunia sehingga hari akhirat. Allah Ta'ala menegaskan:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ... ﴿١٩﴾ [سورة آل عمران : ١٩]

(Maksudnya): "Sesungguhnya din (agama) di sisi Allah ialah Islam".

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿٨٥﴾ [سورة آل عمران : ٨٥]

(Maksudnya): "Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima darinya, dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi".

Maka umat Islam dalam hidup mereka ini tidak berhajat kepada agama lain, tidak berhajat kepada ideologi lain dan tidak berhajat kepada teori-teori yang lain kerana Islam sudah cukup. Betapa kuat dan teguhnya ajaran Islam ini menyelesaikan semua masalah manusia, yang tidak mampu diselesaikan oleh ajaran-ajaran yang lain. Kita menyaksikan kemusnahan hidup manusia pada hari ini kerana gagal dan sesatnya ajaran yang lain daripada Islam.

Ayat yang menyatakan sempurnanya Islam dan musuh-musuhnya tidak mampu mengalahkan hujjah Islam ini, perkara yang benar diakui oleh orang-orang yang bukan Islam. Seorang yahudi datang bertemu Amirul Mukminin 'Umar bin Al-Khattab r.a. Yahudi itu berkata: "Sekiranya ayat tersebut diturunkan kepada kami orang-orang yahudi, nescaya kami jadikan itu hari raya besar". Ia menandakan betapa hebatnya ayat itu.

Dan Allah s.w.t membuktikan walaupun Nabi s.a.w sudah wafat, Islam yang sungguh-sungguh diamalkan oleh para sahabat radhiAllahu 'anhum telah berjaya memerintah dunia, bukan sahaja menakluk dan menguasai muka bumi yang luas, tetapi Islam masuk ke dalam hati-hati manusia arab badwi yang keras seperti kerasnya batu-batu di padang pasir dan yang pemanas laksana panasnya pasir-pasir di padang pasir yang kering itu dapat dilembutkan oleh Islam. Mereka yang telah dididik dengan Islam dan beramal dengan Islam berkembang di seluruh pelusuk dunia telah berjaya menarik manusia kepada Islam.

Islam tetap sempurna, Islam tetap mulia dan Islam tetap tinggi:

الْإِسْلَامُ يَعْلُو وَلَا يُعْلَى. [رواه البخاري]

(Maksudnya): "Islam itu tinggi dan tidak boleh ditinggikan mengatasinya".

Tetapi orang-orang Islam yang menjadi masalahnya, mereka adalah manusia makhluk yang mengalami kelemahan. Islam yang sempurna itu ditinggalkan oleh orang Islam sendiri. Dalam perkara ini, Rasulullah s.a.w telah memberi amaran:

بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ. [رواه مسلم]

(Maksudnya): "Islam bermula dalam keadaan dagang (asing), dan akan kembali dagang seperti mulanya, maka beruntunglah orang-orang yang dagang (bersama Islam)".

Ketika Islam bermula dibawa oleh Rasulullah s.a.w di Makkah, Islam dagang di tengah-tengah masyarakat arab. Hanya orang-orang muda dan orang-orang miskin yang mengikut Islam. Sedikit sahaja mereka yang berpangkat besar, bangsawan dan yang tua mengikut Islam. Dilihat pada zahirnya mustahil Islam akan berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Mereka yang bersama dengan Islam itu diberi kekuatan dan dimuliakan oleh Allah s.w.t, dapat menjatuhkan kuasa besar Farsi dan Rom.

Khalifah 'Umar bin Al-Khattab r.a ketika melawat kota suci Baitul Muqaddis bagi menerima penyerahan kunci kota itu daripada paderi besar Baitul Muqaddis, berucap kepada para sahabat dan orang-orang Islam yang ada pada masa itu:

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ، وَمَهْمَا نَبْتَغِ الْعِزَّةَ بِغَيْرِهِ أَذَلَّنَا اللَّهُ.

(Maksudnya): "Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain darinya nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah".

Hari ini kita menyaksikan umat Islam dalam keadaan dihina, diratah dan dimamah oleh musuh-musuh Islam di mana-mana sahaja kerana orang Islam sendiri meninggalkan ajaran Islam dan merobek-robekkan ajaran Islam. Semenanjung tanah arab yang dibersihkan oleh Rasulullah s.a.w daripada kufur dan syirik, penduduk arab yang kaya raya pada hari ini leka dengan kekayaan dan meninggalkan Islam telah menjemput kekufuran datang ke semenanjung tanah arab. Mereka bukan sekadar menjemput akhlak-akhlak yang buruk dan hiburan yang melekakan, tetapi juga menjemput rumah-rumah ibadat bukan Islam yang didirikan di semenanjung tanah arab. Tanda-tanda dagangnya Islam yang disebut oleh Nabi s.a.w itu benar-benar berlaku.

Kita menyaksikan bagaimana orang-orang Islam diperlakukan di serata dunia ditindas oleh musuh-musuh mereka. Itu adalah ujian daripada Allah s.w.t untuk menguji siapa yang setia dan ikhlas bersama dengan Islam yang dagang itu.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ ﴿٢١٤﴾ [سورة البقرة : ٢١٤]

(Maksudnya): "Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga sedangkan belum datang kepadamu ujian sebagaimana yang pernah berlaku ke atas umat terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan dengan pelbagai cubaan sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah lagi akan datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment