Friday, May 10, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 5 RAMADAN 1440 / 10 MEI 2019


KEMULIAAN BULAN RAMADAN

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْأَحَدٌ، اللَّهُ الصَّمَدُ، لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ، بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ الْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾ [سورة البقرة : ١٨٣]

(Maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".

Bulan Ramadan yang kita sambut ini adalah bulan yang mulia yang diberkati oleh Allah s.w.t yang dialu-alukan kedatangannya oleh Rasulullah s.a.w dengan menegaskan:

وَهُوَ شَهْرٌ أَوَّلُهُ رَحْمَةٌ ، وَأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ ، وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ. [رواه ابن خزيمة والبيهقي وابن حبان]

(Maksudnya): "(Ramadan) adalah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan penutupnya dimerdekakan daripada api neraka".

Bulan yang sangat mulia dipilih oleh Allah s.w.t diturunkan Al-Quranul Karim dan diturunkan kitab-kitab zaman dahulu yang menandakan betapa besar dan berkatnya bulan yang mulia ini.

Di bulan yang mulia ini kita dijemput menjadi tetamu Allah s.w.t dengan dihidangkan jamuan makanan jasad dan ruh untuk menjadi orang-orang Islam yang kuat dan gagah; kuat jasadnya dan kuat imannya, sanggup menghadapi cabaran dalam kehidupan dunia ini.

Kita dilatih menunaikan ibadat puasa secara wajib, meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa, bukan sahaja makan minum tetapi termasuklah hawa nafsu, pergaulan kita dengan isteri dan suami di waktu siang hari walaupun perkara itu adalah sangat penting dalam kehidupan kita dan perkara yang sangat dikehendaki oleh manusia. Kita diuji di waktu siang hari sampai meninggalkan perkara-perkara yang dihalalkan itu.

Kita diajar berakhlak dengan akhlak yang mulia, bukan sahaja meninggalkan makan minum, kepuasan hawa nafsu yang dihalalkan pada masa yang lain, meninggalkan melihat perkara yang haram, bercakap perkara yang haram, menjaga diri untuk membina sakhsiah dan jati diri kita dengan dididik oleh Allah s.w.t.

Kita dikurniakan makan minum yang berkat yang diberi pahala di waktu berbuka dan di waktu sahur, tidak seperti bulan-bulan yang lain. Dijanjikan ibadat puasa itu dengan pahala yang sangat besar, berbeza dengan ibadat-ibadat dan amal-amal kebajikan yang lain. Satu amalan digandakan dengan sepuluh kali ganda, bahkan ada sehingga tujuh ratus kali ganda, tetapi puasa dinyatakan oleh Allah s.w.t:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِي بِهِ.

(Maksudnya): "Sabda Rasulullah s.a.w, firman Allah: Tiap-tiap amal anak Adam itu terserah kepada-Nya (dengan janji sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda pahala sehingga tujuh ratus kali ganda) melainkan puasa, maka sesungguhnya ia terserah kepada-Ku (Allah), Akulah (Allah) yang akan menentukan balasannya (pada hari kiamat kelak)".

Betapa besarnya ibadat puasa itu sehingga barangsiapa yang meninggalkan satu hari puasa tidak dengan sebab uzur yang diizinkan oleh syarak, bukan kerana sakit atau musafir atau mengandung bagi perempuan atau haid dan nifas, tetapi kerana malas dan melawan perintah Allah s.w.t, walaupun diwajibkan dia mengqadha'kan puasa itu, dia tidak boleh mendapat ganti pahalanya walaupun dia berpuasa sepanjang umurnya. Rugi serugi-ruginya mereka yang meninggalkan puasa Ramadan.

Di bulan yang mulia ini, Allah s.w.t menggandakan amal-amal wajib yang biasa ditunaikan dan amal-amal sunat yang biasa dilakukan pada bulan-bulan yang lain dengan pahalanya berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain. Diminta supaya diserikan dengan ibadat-ibadat yang khusus bagi bulan Ramadan seperti bertadarus Al-Quran sehingga Nabi s.a.w bertadarus sepanjang bulan Ramadan bersama malaikat Jibril. Rasulullah s.a.w membaca Al-Quran, Jibril mendengar dan Jibril membaca Al-Quran, Rasulullah s.a.w mendengar. Itu makna tadarus. Dihidupkan malamnya dengan ibadat seperti sembahyang tarawih dan sembahyang-sembahyang sunat yang lain untuk menambahkan lagi kelebihan Ramadan yang mulia itu.

Allah s.w.t menyatakan kemuncak daripada Ramadan itu adalah:

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ 

(Supaya kamu menjadi orang-orang bertaqwa kepada Allah). Yang taat kepada Allah s.w.t dengan mengikut perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dengan cara berhati-hati. Apabila kita melatih diri kita meninggalkan perkara yang membatalkan puasa bermakna selepasnya kita akan melatih diri kita meninggalkan perkara maksiat, mengerjakan perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka tumbuhlah sifat taqwa di dalam diri kita. Sifat taqwa inilah yang menentukan kemuliaan manusia di sisi Allah s.w.t. Allah s.w.t mengukur kelebihan manusia bukan dengan sebab baka dan keturunan, bukan dengan sebab rupa paras dan warna kulit, bukan dengan banyaknya harta. Di mana martabat manusia di sisi Allah s.w.t adalah sifat taqwanya kepada Allah s.w.t.

Puasa melatih kita menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah s.w.t sebagai sifat penentuan kedudukan manusia yang ditentukan oleh Allah s.w.t.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾ [سورة الحجرات : ١٣]

(Maksudnya): "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment