Friday, May 10, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 5 RAMADAN 1440 / 10 MEI 2019


GURU, OBOR MENYINARI PERTIWI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ انشُزُوا فَانشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿١١﴾ (Surah Al-Mujadalah : Ayat 11)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan kaum muslimin sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, yakni dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya berpesan kepada hadirin jamaah agar menumpukan sepenuh perhatian ketika khutbah disampaikan. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertaqwa. Sempena dengan sambutan Hari Guru tahun ini, mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk, "Guru, Obor Menyinari Pertiwi".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Tanggal 16 Mei setiap tahun adalah tarikh sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan. Istimewanya pada tahun ini, Hari Guru disambut bersama bulan Ramadan yang penuh dengan rahmah dan berkah. Sambutan ini diadakan bagi menghargai jasa pengorbanan guru sebagai murabbi ummah, pewaris tugas para rasul dan anbiya' terdahulu.

Marilah kita sama-sama menginsafi bahawa kedudukan kita pada hari ini bermula dari seorang guru yang ikhlas mencurah ilmu tanpa mengenal erti penat dan jemu. Hasil didikan merekalah lahirnya insan-insan mulia yang mampu membina kemajuan dan ketamadunan umat. Tanpa kehadiran guru, kita akan tenggelam dalam kegelapan kejahilan umpama sebuah kapal yang karam di lautan luas. Lantaran itu, Islam memberikan kedudukan yang sangat mulia kepada guru. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11:

... يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿١١﴾

Maksudnya: "...Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan".

Pastinya kita pernah mengutip mutiara ilmu di mana-mana sekolah dan institusi pendidikan. Namun sejauh manakah peranan kita terhadap sekolah atau institusi kita dahulu? Pernahkah kita melawat sekolah kita dahulu? Pernahkah kita bertanya khabar guru-guru kita? Pernahkah kita mengambil tahu keadaan prasarana dan keadaan pelajar-pelajar sekarang?

Sewajarnya kita bergerak seiring dengan seruan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia tentang perlunya kerjasama erat ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Rasulullah s.a.w merupakan guru pertama untuk umat akhir zaman ini. Baginda diutuskan ke dunia untuk membawa rahmat dan menjadi contoh teladan yang baik bagi warga pendidik dan seluruh manusia., sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anbiya' ayat 107:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ ﴿١٠٧﴾

Maksudnya: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam".

Dalam konteks negara Malaysia yang tercinta, sasterawan negara, Usman Awang pernah mengungkapkan sebuah sajak yang penuh bermakna, bahawa kehebatan seorang insan pada hari ini bermula dengan didikan dan asuhan seorang guru biasa.

Sesungguhnya guru dipandang mulia kerana mereka berperanan membina dan membentuk kualiti anak didik dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Guru adalah tunjang utama dalam merealisasikan kesejahteraan diri anak muridnya. Gelaran obor, hemah kepada guru menggambarkan tentang kemuliaan, keikhlasan, pengorbanan, tanggungjawab, cabaran, peranan dan komitmen mereka dalam bidang pendidikan.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam mengharungi dunia pendidikan masa kini khususnya di negara kita, seorang guru sering menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugas mendidik modal insan yang menjadi aset negara dan agama.

Antara cabaran yang dihadapi oleh para guru ialah berhadapan dengan pelbagai latar belakang masyarakat dan salah faham terhadap peranan guru. Perlu disedari bahawa tugas guru sebagai pendidik ialah tugas yang telah diwarisi daripada Rasulullah s.a.w. Baginda pernah bersabda dalam sebuah hadits riwayat Imam Ahmad:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang baik".

Dalam mendepani cabaran tersebut, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia menitik beratkan tentang peranan nilai murni dan sakhsiah terpuji seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu, "Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai". Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mutakhir ini kita seringkali melihat paparan di dada akhbar dan kaca televisyen tentang isu keruntuhan moral dalam kalangan remaja dan belia seperti kes buli, buang bayi, jenayah siber, merempit dan lain-lain lagi. Mereka berhadapan dengan serangan pemikiran yang berkiblatkan akal dan mengenepikan tuntutan wahyu yang dikenali sebagai pemikiran humanisme. Akibatnya lahirlah pemikiran liberalisme, pluralisme dan lain-lain.

Oleh itu, selain daripada guru sebagai pendidik, ibu bapa dan anggota masyarakat sewajarnya berganding bahu dalam membanteras gejala-gejala ini. Ruang-ruang muafakat melalui Persatuan Alumni Sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), agensi-agensi kerajaan dan swasta sedikit sebanyak dapat menjana idea dan merungkai permasalahan yang dihadapi oleh para guru. Justeru, kita tidak boleh meletakkan peranan membentuk akhlak dan sakhsiah pelajar kepada guru semata-mata.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Guru-guru kita dahulu sanggup mengorbankan masa, tenaga malah wang ringgit demi mendidik kita walaupun pendapatan mereka tidak sama dengan apa yang kita nikmati pada hari ini. Guru tidak meminta apa-apa balasan daripada kita kecuali titipan doa kesejahteraannya sepanjang hayat. Sesungguhnya berterima kasih sesama manusia adalah tanda kita bersyukur kepada Allah s.w.t sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

مَنْ لَمْ يَشْكُرْ النَّاسَ لَمْ يَشْكُرْ اللَّهَ

Maksudnya: "Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia maka dia tidak bersyukur kepada Allah". (Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Marilah sama-sama kita menggembeling tenaga, buah fikiran dan harta untuk memartabatkan semangat kecintaan kepada ilmu dalam pelbagai bidang kehidupan duniawi dan ukhrawi. Al-Imam As-Syafi'ie rahimahullah berkata:

مَنْ أَرَادَ الدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ، وَمَنْ أَرَادَ الْآخِرَةِ فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ، وَمَنْ أَرَادَهُمَا مَعًا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ.

Maksudnya: "Sesiapa yang inginkan dunia maka hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang inginkan akhirat hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang inginkan kedua-duanya hendaklah dengan ilmu".

Masyarakat juga digesa agar menanam sikap mengambil cakna terhadap aktiviti ilmiah seperti forum atau ceramah yang dianjurkan. Tidak terkecuali masyarakat juga amat dialu-alukan untuk memberi sumbangan idea, tenaga dan sebagainya kepada pihak sekolah.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar menyeru sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah buat dijadikan pedoman dalam mencari kebahagiaan hidup yang diredhai Allah. Antaranya:

1. Rasulullah s.a.w adalah murabbi ummat yang perlu diteladani oleh para guru.

2. Setiap insan yang bergelar guru wajib dihormati dan dimuliakan.

3. Jalinan antara guru, ibu bapa, murid, persatuan alumni, PIBG, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat setempat mestilah dibina atas dasar hormat menghormati dan kasih sayang agar negara kita menjadi:

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Maksudnya: "Negara yang baik dan diampuni Tuhan".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Mimbar menyeru agar kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah terutamanya solat fardhu berjamaah. Dirikanlah solat di mana sahaja kita berada, ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Begitu juga saat kita leka berjual beli di pusat membeli belah mahupun di pasar malam, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga ingin menyeru kaum muslimin sekalian agar hormatilah bulan Ramadan yang mulia ini. Kerjakanlah ibadah puasa dengan penuh kesungguhan dan kesabaran. Janganlah ada di antara kita yang sengaja tidak berpuasa tanpa sebarang keuzuran dan janganlah menambah dosa pula dengan berbuka puasa di khalayak ramai.

Sesungguhnya perbuatan amatlah biadab kepada Allah s.w.t di samping meruntuhkan imej agama dan umat Islam. Kepada para peniaga restoran makanan, mimbar menyeru agar tidak bersubahat dengan golongan yang tidak berpuasa. Marilah sama-sama kita berganding bahu menjaga kesucian agama kita dan kemuliaan bulan Ramadan.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر، وَفِي الْيَمَنْ، وَفِي نِيُوْ زِيْلَنْد، وَفِي سِرِيْ لَانْكَا، وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment