Friday, May 3, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 27 SYAABAN 1440 / 3 MEI 2019


MADRASAH RAMADAN MEDAN TARBIAH DIRI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
قُلْ يَا عِبَادِ الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۗ وَأَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةٌ ۗ إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ ﴿١٠﴾ (Surah Az-Zumar : Ayat 10)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri sendiri dan jamaah sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya berpesan kepada sidang jamaah agar menumpukan sepenuh perhatian dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertaqwa. Mimbar hari ini akan membicarakan tajuk, "Madrasah Ramadan Medan Tarbiah Diri".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita merasa amat bersyukur kerana masih diberikan kesempatan oleh Allah s.w.t berada di ambang bulan Ramadan Al-Mubarak. Jelasnya, Ramadan adalah bulan tarbiah yang mendisiplinkan diri, melatih peribadi, jasmani dan rohani ke arah menjana ketaqwaan serta menghindari perkara-perkara maksiat, mungkar dan sia-sia.

Di samping itu, bulan Ramadan menjadi lebih istimewa dengan keagungan Al-Quran yang diturunkan di dalamnya, sekaligus menjadi sumber kekuatan dan panduan sepanjang zaman kepada kita semua. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ ﴿١٨٥﴾

Maksudnya: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah...".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dua perkara yang dijaga dalam kehidupan adalah masa dan bagaimana kita memanfaatkannya. Masa yang berlalu bagai arus sungai yang lurus, begitu pantas serta tidak akan berpatah balik. Sama seperti bulan Ramadan, ia akan terus berlalu pergi jika kita masih leka dan tidak mengejarnya.

Alangkah ruginya jika kita tidak memanfaatkan waktu pada bulan Ramadan untuk mempertingkatkan amal kepada Allah s.w.t. Kata Ibnu Mas'ud r.a: "Waktu yang aku sesali adalah jika pagi hingga matahari terbenam, amalku tidak bertambah sedikitpun, padahal aku tahu saat ini umurku telah berkurang".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Ingatlah, jika kita tidak mengambil peluang keemasan pada Ramadan ini, Ramadan akan datang belum tentu kita bertemunya lagi. Lihatlah berapa ramai sahabat dan saudara terdekat kita yang dipanggil pulang ke pangkuan Allah s.w.t sebelum datangnya Ramadan.

Oleh itu, gunakanlah masa sebaik mungkin dengan bijak menyusun antara keperluan dunia dan akhirat. Sesungguhnya jika kita mendahulukan akhirat, dunia akan mengekori tetapi jika kita mendahulukan dunia, akhirat akan tercicir.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Tarbiah Ramadan pada setiap tahun hendaklah dijadikan agenda penting dalam pembentukan sahsiah umat Islam. Janganlah kita alpa sehingga tergamak meninggalkan kefarduan berpuasa tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak. Sesungguhnya perbuatan ini amat ditegah oleh Rasulullah s.a.w dalam hadits yang diriwayatkan oleh Saiyidina Abu Hurairah r.a:

مَنْ أَفْطَرَ يَوْمًا مِنْ رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ رُخْصَةٍ وَلَا مَرَضٍ لَمْ يَقْضِ عَنْهُ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ وَإِنْ صَامَهُ

Maksudnya: "Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada bulan Ramadan tanpa rukhsah dan sakit yang diizinkan Allah, tidak memadai sekalipun ia qadha' puasa tersebut selama-lamanya". (Hadits riwayat Imam At-Termidzi)

Tuntasnya, Islam memandang serius berhubung pelaksanaan ibadah puasa Ramadan. Bahkan, ia adalah salah satu paksi dan rukun Islam yang mesti ditegakkan dalam kehidupan seharian kita. Meninggalkan puasa Ramadan tanpa alasan atau tanpa uzur syar'ie merupakan dosa besar yang tidak mungkin dapat digantikan dengan qadha' puasa dari sudut nilainya.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Demi menjaga maruah agama Islam di negeri ini, kerajaan negeri Perak melalui Jabatan Agama Islam Perak telah melaksanakan kempen kesedaran bagi menghormati bulan Ramadan. Operasi penguatkuasaan telah digerakkan seluruh negeri Perak dengan rondaan premis jualan makanan, poster kesedaran serta nasihat kepada umat Islam yang melakukan kesalahan tidak menghormati Ramadan. Walaupun segelintir umat Islam memberikan alasan sakit atau bermusafir yang membolehkan mereka berbuka puasa, namun makan, minum serta menghisap rokok di tempat awam adalah tetap menjadi suatu kesalahan.

Imej agama Islam dan institusinya akan tercalar terutama bagi pandangan bukan Islam yang melihat lemahnya umat Islam dalam menghormati bulan Ramadan dan kewajipan puasa yang dipikul seluruh umat Islam.

Sidang Jumaat sekalian,

Bersedekah juga merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Lebih-lebih lagi dikerjakan dalam bulan Ramadan. Sifat pemurah umat Islam di Malaysia kini boleh dimanfaatkan dengan memberi bantuan kepada mereka yang lebih memerlukan.

Kerajaan negeri Perak memandang serius isu pungutan derma khairat yang berleluasa di negeri ini. Bertepatan dengan bulan Ramadan yang menggalakkan orang ramai bersedekah, pihak kerajaan negeri menyeru kepada seluruh umat Islam di negeri ini agar berhati-hati dalam menghulurkan bantuan tanpa usul periksa kerana dikhuatiri merugikan mereka dan memberi keuntungan kepada individu yang mengambil kesempatan.

Semua aktiviti kutipan derma atau khairat di negeri ini perlu mendapatkan kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). Hal ini bagi mengelakkan penipuan atau penyalah gunaan hasil kutipan tersebut. Perkara ini tertakluk kepada Seksyen 43 Enakmen Jenayah (Syariah) 1992:

"Sesiapa yang membuat apa-apa pungutan kerana khairat tanpa kebenaran Majlis atau berlawanan dengan apa-apa peruntukkan undang-undang atau peraturan yang ditentukan mengenainya adalah bersalah atas suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Mahkamah boleh memerintahkan semua pungutan itu dirampas dan diserahkan kepada yang berhak atau kepada Baitul Mal".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah kita hayati enam nilai tarbiah di dalam bulan Ramadan iaitu:

1. Puasa dapat mengawal emosi. Bersesuaian dengan hakikat puasa iaitu menahan diri dari makan dan minum serta hawa nafsu.

2. Puasa mendidik erti kejujuran. Tiada orang yang melihat dan tidak ada orang yang tahu kita berpuasa atau tidak kecuali diri kita dan Allah s.w.t.

3. Puasa mendidik erti kebersamaan. Dalam ibadah puasa, tidak kira mereka yang memiliki lebih atau kurang hartanya, tinggi atau rendah pangkatnya tetapi sama-sama melalui situasi lapar dan dahaganya berpuasa.

4. Puasa mendidik sikap berdisiplin. Puasa adalah ibadah rahsia di kaca mata manusia yang boleh menerapkan sikap disiplin diri dan sentiasa merasakan diri diawasi (muraqabah) oleh Allah s.w.t.

5. Puasa mendidik erti kesabaran. Walaupun diri kita merasa lapar dan dahaga serta sekalipun makanan yang hendak dimakan tersebut adalah halal namun kita tetap perlu menunggu sehingga masuknya waktu berbuka. Hayatilah firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anbiya' ayat 94:

فَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَا كُفْرَانَ لِسَعْيِهِ وَإِنَّا لَهُ كَاتِبُونَ ﴿٩٤﴾

Maksudnya: "Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Mimbar menyeru agar kita bersama-sama menjaga hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Marilah kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah terutamanya solat fardhu berjamaah.

Dirikanlah solat di mana sahaja kita berada, ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Begitu juga saat kita leka berjual beli di pusat membeli belah mahupun di pasar malam, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bersempena kedatangan bulan Ramadan, mimbar ingin menyeru kaum muslimin sekalian agar hormatilah bulan Ramadan yang mulia ini. Kerjakanlah ibadah puasa dengan penuh kesungguhan dan kesabaran. Janganlah ada di antara kita yang sengaja tidak berpuasa tanpa sebarang keuzuran dan janganlah menambah dosa pula dengan berbuka puasa di khalayak ramai.

Sesungguhnya perbuatan amatlah biadab kepada Allah s.w.t di samping meruntuhkan imej agama dan umat Islam. Kepada para peniaga restoran makanan, mimbar menyeru agar tidak bersubahat dengan golongan yang tidak berpuasa. Marilah sama-sama kita berganding bahu menjaga kesucian agama kita dan kemuliaan bulan Ramadan.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر، وَفِي الْيَمَنْ، وَفِي نِيُوْ زِيْلَنْد، وَفِي سِرِيْ لَانْكَا، وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment