Friday, April 19, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 13 SYAABAN 1440 / 19 APRIL 2019


BERSAMA DENGAN ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ فَسَوَّىٰ وَقَدَّرَ فَهَدَىٰأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ وَإِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالتَّابِعِيْنَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar firman Allah Ta'ala mengisahkan peristiwa kejadian manusia:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ ﴿٣٠﴾ [سورة البقرة : ٣٠]

(Maksudnya): "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

Malaikat adalah makhluk yang sangat taatkan Allah s.w.t yang tidak sekali-kali mengerjakan maksiat, makhluk yang sangat suci dan mulia yang disifatkan oleh Allah s.w.t:

... لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾ [سورة التحريم : ٦]

(Maksudnya): "Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

Mengapa manusia dipilih untuk bertugas di atas muka bumi ini yang dijadikan secara khusus, tidak makhluk malaikat kerana tugas di bumi tidak boleh dilakukan oleh makhluk malaikat yang sifatnya nurani yang berada di alam ghaib yang tidak lelaki dan tidak perempuan, tidak makan dan tidak minum serta tidak tidur. Itulah sifat semulajadi malaikat yang sentiasa mentaati Allah s.w.t, makhluk yang punya ruh tetapi tidak punya jasad.

Untuk melaksanakan kewajipan di atas muka bumi mestilah makhluk yang mempunyai sifat yang khusus yang boleh menjalankan tugas, iaitu mahluk yang ada jasad dan ruh. Ruh bukan sahaja berhubung dengan Allah s.w.t tetapi termasuk juga nyawa untuk hidup menggerakkan jasadnya. Makhluk itu mestilah mempunyai jasad untuk berfikir bagi membolehkan mereka menjalankan tugas di atas muka bumi ini.

Maka Allah s.w.t menetapkan acuan untuk mendidik dan mengajar manusia iaitu acuan yang dinamakan Islam yang membentuk diri manusia, membentuk jasadnya dengan makanan-makanan yang halal, membentuk akalnya dengan memberikan ilmu yang bermanfaat, menyucikan ruhnya dengan akhlak mulia, iman yang suci murni yang sentiasa berhubung dengan Allah s.w.t.

Dihuraikan seluruh Al-Quranul Karim yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan disimpulkan ilmu Islam itu oleh hadits yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin 'Umar bin Al-Khattab r.a:

عَنْ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنْ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلًا قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ قَالَ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا قَالَ أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ قَالَ ثُمَّ انْطَلَقَ فَلَبِثْتُ مَلِيًّا ثُمَّ قَالَ لِي يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ. [رواه مسلم]

(Maksudnya): "Dari 'Umar bin Al-Khattab r.a, katanya: Sedang kami duduk-duduk di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba datang seorang lelaki yang berpakaian sangat putih, berambut sangat hitam, tidak kelihatan padanya kesan-kesan perjalanan jauh, dan tidak seorang pun di antara kami yang mengenalinya. Orang itu terus duduk di hadapan Rasulullah s.a.w seraya mendampingkan lututnya ke lutut Rasulullah s.a.w dan meletakkan kedua tapak tangannya di atas dua paha Nabi, seraya berkata: "Wahai Muhammad, terangkan kepada aku tentang Islam". Jawab Rasulullah s.a.w: "Islam itu ialah mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan mengerjakan haji jika berkuasa". Jawab orang itu: "Benar katamu". Kata 'Umar, kami pun hairan, betapa dia bertanya dan dia sendiri yang membenarkannya. Orang itu bertanya pula tentang Iman. Jawab Rasulullah s.a.w: "Iman itu ialah percaya kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kiamat dan qadar baik dan buruk adalah ketentuan Allah". Jawab orang itu: "Benar katamu". Orang itu lalu bertanya pula tentang Ihsan. Jawab Rasulullah s.a.w: "Ihsan itu ialah menyembah Allah dengan sepenuh hati seolah-olah kamu melihat-Nya, kerana walaupun kamu tidak melihat-Nya, tetapi Dia melihat kamu". Orang itu bertanya lagi tentang kiamat. Jawab Rasulullah s.a.w: "Tidaklah yang ditanya lebih tahu dari orang yang bertanya". Akhirnya dia bertanya tentang tanda-tanda hari kiamat. Jawab Rasulullah s.a.w: "Tandanya apabila kamu melihat sahaya perempuan menjadi hamba kepada anak kandungannya sendiri, dan melihat perlumbaan membina rumah oleh kaum yang melarat". Kata Umar: Kemudian pergilah orang itu, dan setelah beberapa lama kemudian Rasulullah s.a.w bersabda kepada aku: "Tahukah kamu siapa penanya itu?" Jawabku: Allah dan Rasul-Nya yang mengetahui. Sabda Rasulullah s.a.w: "Bahawa penanya itu ialah Jibril yang datang mengajarkan kepada kamu tentang agama kamu". 

Ini menunjukkan ilmu Islam itu mempunyai tiga bahagian yang penting yang berkait dengan aqidah kepercayaan yang disebut Iman ataupun Tauhid, yang berkait dengan hukum syariat disebut dengan Fiqh ataupun Islam dan yang berkait dengan akhlak disebut dengan Tasawwuf ataupun Ihsan.

Inilah tiga perkara dalam ilmu Islam yang wajib dipelajari oleh tiap-tiap orang lelaki dan perempuan. Mengetahui kepercayaan rukun-rukun Iman, beramal dengan rukun-rukun Islam yang penting itu dan seluruh perkara yang berkaitan dengannya termasuk perkara yang tidak disebut yang berkaitan dengannya. Serta mengetahui membersihkan akal dengan ilmu pengetahuan dan akhlak mulia, mengenali ikhlas, syukur, sabar dan mengenali betapa ketundukan kepada Allah s.w.t.

Tiap-tiap orang Islam mesti mengetahui tiga perkara yang penting ini, sama ada dia seorang pemimpin atau rakyat biasa atau orang alim atau orang jahil atau ahli sains atau jurutera atau doktor atau guru atau siapa sahaja. Acuan untuk membina diri yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Kita menyaksikan dunia yang sedang kelam kabut pada hari ini. Ada orang yang mengisi akalnya dengan gila, mengisi akalnya dengan arak dan dadah serta perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Ada orang yang memakan makanan-makanan dan minuman-minuman yang diharamkan, pakaian yang diharamkan dan melakukan perkara yang melampau. Asas-asas ilmu mesti ada pada tiap-tiap orang Islam. Jangan belajar ilmu Islam itu secara sebahagian-sebahagian sahaja seperti belajar Aqidah sahaja tanpa mempelajari Fiqh, belajar Fiqh tanpa mempelajari Aqidah dan Tasawwuf dan belajar Tasawwuf tanpa mempelajari Fiqh.

Disebut kata-kata Imam Malik di dalam kitab Iqazul Himam syarah kitab Al-Hikam yang pernah dibaca oleh ahli tasawwuf syarahnya dalam bahasa arab, bukan dalam bahasa melayu. Imam Malik mengatakan:

مَنْ تَصَوَّفَ وَلَمْ يَتَفَقَّهُ فَقَدْ تَزَنْدَقَ، وَمَنْ تَفَقَّهَ وَلَمْ يَتَصَوَّفْ فَقَدْ تَفَسَّقَ، وَمَنْ جَمَعَ بَيْنَهُمَا فَقَدْ تَحَقَّقَ.

(Maksudnya): "Sesiapa yang bertasawwuf tanpa ilmu Fiqh maka dia disebut zindiq, dan sesiapa yang mendalami ilmu Fiqh tanpa bertasawwuf maka dia disebut fasik dan sesiapa yang seimbangkan antara keduanya maka dialah yang hak".

Kita mestilah mendalami ilmu-ilmu Islam ini. Kita menyaksikan ramai orang yang bersyarah tentang ilmu, tidak menyatakan tentang acuan ilmu yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. Kita menyaksikan bagaimana di negara yang bukan Islam kalangan bukan Islam itu membunuh diri yang terdiri daripada orang-orang kaya, artis-artis yang cantik rupawan boleh memuaskan hawa nafsu dengan duitnya banyak dan rumahnya besar. Mereka boleh membunuh diri disebabkan makanan, perut dan nafsu syahwat yang ada tetapi makanan ruhnya tidak ada. Ada orang kaya bersahabat dengan anjing, anaknya meninggalkan rumah hingga dia menulis surat wasiat kepada anjing sebagaimana disebut di dalam akhbar-akhbar di negara barat.

Begitulah jahannamnya manusia itu. Adakah kita orang Islam mahu mengikut langkah dan contoh teladan daripada mereka? Jangan sekali-kali. Marilah kita bersama dengan Islam.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿٨٥﴾ [سورة آل عمران : ٨٥]

(Maksudnya): "Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment