Friday, March 22, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 15 REJAB 1440 / 22 MAC 2018


WAJIB MEMBEBASKAN PALESTIN

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًاأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِاللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ، وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ. بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ.
۞ سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١﴾ [سورة الإسراء : ١]

(Maksudnya): "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

Umat Islam akan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj, di mana Nabi kita Muhammad s.a.w dijemput menjadi tetamu Allah s.w.t untuk melawat Baitul Muqaddis dan diangkat ke langit yang tinggi sehingga Sidratul Muntaha.

Baitul Muqaddis dipilih oleh Allah s.w.t, tanah suci yang diberkati di sekelilingnya dan bumi yang dirasmikan oleh Nabi Ibrahim a.s. Di situ dilahirkan ramai nabi-nabi dan rasul-rasul alaihimus solatu wassalam dan banyaknya makam atau kubur nabi-nabi dan rasul-rasul alaihimus solatu wassalam. Yang layak memerintah Baitul Muqaddis ialah umat Islam yang benar-benar beriman kepada Allah. Apabila didapati orang Islam yang memerintah Baitul Muqaddis itu kufur terhadap nikmat Allah s.w.t dan kufur terhadap Allah s.w.t sendiri, maka Allah s.w.t akan menurunkan bencana, Baitul Muqaddis dikuasai oleh musuh.

Sejarah awal umat Nabi Muhammad s.a.w yang berjaya membebaskan Baitul Muqaddis daripada penjajahan kristian Rom Bayzantin ialah Saiyidina 'Umar bin Al-Khattab r.a apabila ketua paderi atau paderi besar Baitul Muqaddis mensyaratkan untuk menyerahkan kunci Baitul Muqaddis dihadiri oleh Khalifah Islam, Amirul Mukminin 'Umar bin Al-Khattab r.a sendiri. Maka Saiyidina 'Umar datang ke Baitul Muqaddis berhimpun bersama umat Islam menyaksikan peristiwa yang sangat bersejarah itu. Allah s.w.t memberi peluang untuk membuka Baitul Muqaddis di bawah pemerintahan Islam semula.

Saiyidina 'Umar menyampaikan ucapannya yang mahsyur:

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ، وَمَهْمَا نَبْتَغِ الْعِزَّةَ بِغَيْرِهِ أَذَلَّنَا اللَّهُ.

(Maksudnya): "Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain darinya nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah".

Hari ini kita menyaksikan Baitul Muqaddis dan bumi Palestin ditakluk oleh orang-orang yahudi zionis, kumpulan yang dimurkai oleh Allah s.w.t yang kita sebut tiap-tiap rakaat sembahyang.

الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ

Iaitu orang-orang yang dimurkai oleh Allah s.w.t.

Mereka ialah yang sedang berkuasa di Baitul Muqaddis pada hari ini dan bumi di sekelilingnya yang diberkati oleh Allah s.w.t.

Mengapa berlakunya demikian? Tidak lain dan tidak bukan apabila umat Islam khususnya orang-orang arab yang berada di Baitul Muqaddis dan mereka yang mengelilingi Baitul Muqaddis meninggalkan semangat Islam, kembali kepada semangat kebangsaan sehingga sanggup berperang sesama Islam yang bukan bangsa arab. Sehingga orang-orang arab Islam di atas semangat nasionalisme arab (kebangsaan arab) sanggup meminta bantuan daripada musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan pemerintahan Islam. Adalah haram menjatuhkan pemerintahan Islam walaupun pemerintah itu zalim. Umat Islam hendaklah bersabar di atas kezaliman pemerintahnya. Adalah haram menjemput musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan orang Islam sendiri walaupun zalim.

Akibat daripada berwalak kepada musuh-musuh Islam dengan meninggalkan pemerintahan Islam di masa itu, maka umat Islam telah menerima penghinaan. Bumi Palestin ditakluk oleh orang-orang yahudi. Bukan sekadar mereka menakluk Palestin dan Masjidil Aqsa, bahkan mereka merancang utnuk merobohkan Masjidil Aqsa untuk mendirikan Kuil Haikal Sulaiman, rumah ibadat orang yahudi yang didakwa oleh mereka mengikut dongeng orang-orang yahudi. Masjidil Aqsa dalam keadaan terancam.

Ketahuilah wahai umat Islam yang sedang menyambut peristiwa Israk dan Mikraj bahawa bumi Israk dan bermulanya Mikraj sedang dikuasai oleh musuh. Hanya sebahagian umat Islam yang tidak menyerah kalah yang tetap berada di bumi Palestin. Mereka yang disebut oleh Nabi s.a.w:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ يَخْذُلُهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ. [رواه الترمذي]

(Maksudnya): "Akan tetap ada di kalangan umatku kumpulan yang bangun menyatakan kebenaran, mereka tidak boleh dimudaratkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingga datangnya urusan Allah".

Para sahabat bertanya:

مَنْ هُمۡ يَا رَسُولَ اللَّه؟

(Maksudnya): "Siapakah mereka itu, wahai Rasulullah?"

Sabda Rasulullah s.a.w:

هُمْ أَصْحَابُ بيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.

(Maksudnya): "Mereka ialah penduduk Baitul Muqaddis dan di keliling Baitul Muqaddis".

Apa yang mendukacitakan kita adalah negara-negara jiran arab termasuk negara umat islam sendiri mahu menyerah kalah yang mengecewakan perjuangan rakyat Palestin. Mereka mencadangkan bumi lain supaya menjadi tempat tinggal orang-orang Palestin dan mengiktiraf negara haram Israel dan Baitul Muqaddis sebagai kepunyaan Israel. Ini adalah sikap yang sangat hina yang dialami oleh umat Islam sendiri.

Percayalah, Allah s.w.t tidak akan mengizinkan mereka yang mahu mengadakan hubungan yang baik dengan yahudi serta menyerahkan Palestin dan Baitul Muqaddis kepada orang yahudi yang dimurkai oleh Allah s.w.t. Percayalah, pasti adanya golongan yang mempertahankan Palestin. Adalah menjadi kewajipan umat Islam dan rakyat umat Islam walaupun kerajaan-kerajaan mereka menyerah kalah wajib bersama dengan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah suci yang dimuliakan oleh Allah s.w.t.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
۞ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ ﴿٥١﴾ [سورة المائدة : ٥١]

(Maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment