Thursday, March 14, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 8 REJAB 1440 / 15 MAC 2017


MENYANTUNI WANITA SARANAN ISLAM

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا ﴿١٢٤﴾ (Surah An-Nisa' : Ayat 124)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan melaksanakan segala suruhan-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan insan yang bertaqwa, berjaya serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan sepenuh perhatian dan jangan bercakap-cakap ketika khubat sedang disampaikan. Semoga pahala Jumaat kita tidak menjadi sia-sia dan kita termasuk di dalam golongan orang-orang yang bertaqwa, lagi dikasihi Allah. Khatib hari ini akan membicarakan tajuk: "Menyantuni Wanita Saranan Islam".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bila memperkatakan soal wanita di dalam Islam, tidaklah dapat dielakkan daripada membicarakan beberapa aspek penting mengenai kedudukan mereka berhubung dengan status, peranan dan sumbangan mereka terhadap diri, keluarga dan juga buat umat Islam sepanjang masa. Bersempena dengan sambutan Hari Wanita yang baru-baru ini disambut bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka kepada agama, rumahtangga, masyarakat dan negara yang seharusnya menjadi matlamat perjuangan seluruh kaum wanita Islam khususnya wanita Islam di negara ini, dalam menaikkan martabat mereka sejajar dengan syariat Nabi s.a.w. Marilah kita sama-sama menghayati firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa' ayat 124:

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا ﴿١٢٤﴾

Maksudnya: "Barangsiapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki ataupun wanita, sedang ia orang yang beriman, maka mereka akan dimasukkan ke dalam syurga, dan mereka tidak dianiayai  walau sedikitpun".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Antara aspek-aspek yang berhubung dengan status, peranan dan sumbangan wanita di kaca mata pandangan Islam. Antaranya ialah:

Pertama, dari sudut amal soleh, lelaki dan wanita mempunyai peluang dan kedudukan yang sama di sisi Islam. Wanita yang solehah yang memenuhi ciri-ciri ketaqwaan turut layak mendapat kemuliaan di sisi Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Hujurat ayat 13:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾

Maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)".

Di dalam Al-Quran begitu juga hadits Nabi s.a.w, terdapat begitu banyak kisah wanita-wanita hebat di sisi Allah s.w.t yang boleh dijadikan contoh suri tauladan seperti Saiyidatina Hajar, Saiyidatina Masitah, Saiyidatina Maryam, Saiyidatina Khadijah, Saiyidatina 'Aisyah, Saiyidatina Fatimah dan ramai lagi. Hal ini menunjukkan kemuliaan mereka diangkat sejajar ketaqwaan mereka kepada Allah s.w.t.

Kedua, dari sudut kekeluargaan, wanita diciptakan sebagai pelengkap kepada kewujudan lelaki supaya dapat memikul tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Kedua belah pihak ditugaskan untuk meneruskan generasi manusia yang telah ditentukan fungsi masing-masing bagi memenuhi keperluan antara satu pihak dengan yang lainnya.

Allah s.w.t menukilkan perkataan "pasangan bagi kamu" apabila merujuk penciptaan wanita di samping lelaki. Allah s.w.t juga menyebut suami dan isteri saling lengkap melengkapi melalui firman-Nya di dalam Surah Al-Baqarah ayat 187:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ ﴿١٨٧﴾

Maksudnya: "... Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka...".

Yang dimaksudkan dengan pakaian (libasun) di sini, kerana pakaian melambangkan kecantikan, kemuliaan dan kehormatan. Sesuatu pakaian yang dipakai melambangkan sesuatu yang tidak boleh dipisahkan dari badan seseorang yang normal dan waras, kerana manusia yang tidak mempunyai pakaian menunjukkan ia tidak normal dan tidak siuman.

Selain digelar sebagai isteri, dalam sesebuah keluarga, wanita berperanan besar sebagai ibu yang mengandungkan, membesarkan dan mendidik anak-anak. Peranan ini seringkali disebut Nabi s.a.w melalui ingatan baginda tentang kepentingan menjaga hati ibu melebihi para bapa.

Sabda Nabi s.a.w di dalam hadits yang diriwayatkan oleh Saiyidina Abu Hurairah r.a.

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي قَالَ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أَبُوكَ

Maksudnya: "Seorang laki-laki datang kepada Rasulullah s.a.w sambil berkata; Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku berbakti kepadanya? Beliau menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Beliau menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Beliau menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Beliau menjawab: Kemudian ayahmu". (Hadits riwayat Muslim)

Manakala kaum lelaki pula berperanan menjadi pelindung buat kaum wanita, kerana kaum lelaki mempunyai kekuatan dan lain-lain keistimewaan khusus yang dikurniakan buat lelaki bukan dengan menzalimi wanita atau menganiayai mereka.

Seperti mana yang dijelaskan di dalam Surah An-Nisa' ayat 34:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ ۚ... ﴿٣٤﴾

Maksudnya: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka...".

Dengan status yang diberikan kepada kaum wanita, agama Islam telah meletakkan wanita di dalam suatu kedudukan yang terjamin dari segi nilai kewanitaan mereka dan mempunyai taraf yang penting di dalam masyarakat.

Ketiga, wanita juga berperanan dalam pembangunan sesbuah negara yang maju, aman dan makmur. Sehingga disebutkan bahawa tangan yang menghayun buaian boleh menggegarkan dunia. Hal ini bererti, wanita boleh melahirkan generasi keturunan yang beriman dan berjaya, jika didikan yang diterapkan dalam keluarga bertepatan dengan garis panduan yang Islam sediakan.

Maka, kerana pelbagai kelebihan tadi, Islam meletakkan wanita di tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukan dan peranan mereka di pelbagai lapangan. Keadilan Islam ini, kadangkala disalah ertikan oleh golongan feminisme sebagai diskriminasi terhadap mereka. Hal ini menyebabkan mereka cuba memperjuangankan kebebasan mutlak dan kesamarataan gender menurut neraca pemikiran liberal barat yang bertunjangkan hawa nafsu seperti seks bebas, seks songsang (LGBT), pelacuran dan sebagainya.

Wanita perlu menjaga kehormatan dan maruah mereka serta tidak terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan kerosakan akhlak seperti hubungan songsang (LGBT), pelacuran, pendedahan aurat dan sebagainya.

Oleh itu, Islam menyarankan kepada kaum lelaki untuk menyantuni kaum wanita dan juga sebaliknya agar saling melengkapi antara satu sama lain serta bukan mempergunakan wanita untuk tujuan kepentingan semata mata seperti mana yang pernah dilakukan oleh kaum jahiliyyah suatu ketika dahulu, lalu Islam hadir untuk memartabatkan maruah dan kehormatan mereka di sisi Islam.

Sepertimana yang difirmankan Allah di dalam Al-Quran, Surah At-Tahrim ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

Rasulullah s.a.w juga bersabda di dalam hadits yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah r.a:

فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ

Maksudnya: "Maka bertaqwalah kalian kepada Allah dalam hal wanita, kerana kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah". (Hadits riwayat Muslim)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan tinggalan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita bersama-sama menjaga hubungan baik dengan Allah dan menjaga hubungan baik sesama manusia dan sentiasa bermuhasabah diri agar dapat memperbaiki amalan-amalan kita setiap hari. Selain itu, marilah kita bersatu padu dan mewujudkan suasana perpaduan yang harmoni sesama Islam.

Khatib menyeru kepada diri sendiri dan sidang Jumaat sekalian agar kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah berterusan terutamanya solat fardhu berjamaah, agar kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat naungan Allah s.w.t seperti dalam sebuah hadits riwayat Saiyidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

... وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِالْمَسَاجِدِ ...

Maksudnya: "...Dan lelaki yang terpaut hatinya pada masjid...". (Hadits riwayat Al-Baihaqi)

Di samping melakukan ibadah, kita dapat memupuk jalinan ukhuwwah yang kuat dan berjaya. Mimbar juga menyeru agar kita sama-sama menjaga solat fardhu. Sepertimana yang dijelaskan dalam hadits baginda s.a.w:

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: "Sesungguhnya yang memisahkan antara seorang lelaki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat". (Hadits riwayat Muslim)

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. Kurniakan juga ke atas para penderma yang menginfaqkan harta mereka ke jalan Mu sama ada wang mahu pun tenaga.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu Timbalan Yang Dipertuan Agong, dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment