Friday, February 15, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 10 JAMADIL AKHIR 1440 / 15 FEBRUARI 2019


ALLAH, RASUL DAN ORANG-ORANG BERIMAN SEBAGAI WALI

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًاأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِاللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ ٱلرَّحْمَةِ وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita menyedarkan diri kita dengan pesanan daripada Allah s.w.t:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ ﴿٥٥﴾ وَمَن يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ ﴿٥٦﴾ [سورة المائدة : ٥٥ - ٥٦]

(Maksudnya): "Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang".

Allah s.w.t telah mengurniakan kepada kita ajaran Islam, satu-satunya cahaya petunjuk yang menerangi perjalanan hidup kita di dunia sehingga akhirat. Dan Allah s.w.t mengurniakan pengikut ajaran Islam itu sehingga tersebar ke seluruh pelusuk dunia walaupun dikepung oleh musuh-musuh yang ramai.

Kita menyaksikan di zaman kebangkitan awal umat Islam walaupun mereka berada di bumi Makkah dan Madinah di tengah padang pasir yang kering kontang yang tidak ada hasil-hasil bumi untuk mengayakan kehidupan mereka, cahaya Islam mengayakan diri mereka dan jati diri mereka. Dengan kekuatan Islam itu mereka berpegang dan bergantung untuk menjadi kumpulan yang benar-benar berwalikan Allah dan Rasul serta mereka yang beriman dan patuh kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya s.a.w.

Umat Islam pada masa itu bukan sahaja gagal dikalahkan oleh musuh, bahkan mereka berjaya menjatuhkan musuh-musuh yang besar termasuk kuasa besar dunia Farsi dan Rom, mengalahkan kumpulan ahli kitab yahudi dan nasrani serta kaum musyrikin. Islam memerintah sebahagian besar muka bumi dan Allah s.w.t mengurniakan muka bumi yang paling penting dalam dunia bukan sahaja dengan hasil-hasil bumi yang banyak, termasuklah laluan yang paling penting dalam hubungan antarabangsa.

Apabila umat Islam meninggalkan ajaran Islam, mereka mengalami zaman kelemahan. Pernah mereka ditakluk oleh kaum Tartar yang menawan pusat kerajaan Islam Baghdad yang melakukan pembunuhan beramai-ramai hingga Baghdad menjadi kolam darah. Pada masa itu umat Islam masih mempunyai jati diri berwalak kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya s.a.w serta mereka yang beriman berpegang dengan ajaran Islam. Mereka bukan sahaja tidak berjaya dimurtadkan oleh kaum Tartar yang zalim itu, bahkan mereka berjaya mengislamkan kaum Tartar itu.

Islam bangkit semula dan berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Itulah pasang surut yang berlaku dalam perjalanan hidup umat Islam. Ini menunjukkan selagi mereka berpegang dengan ajaran Islam yang bercahaya ini, bukan sahaja mereka tidak sesat, bahkan perjalanan mereka selamat dari dunia sehingga hari akhirat.

Hari ini umat Islam menghadapi ujian yang lebih dahsyat ketika tidak ada kuasa besar kerajaan Islam yang memayungi umat Islam. Tanahair umat Islam telah dijajah oleh musuh dari timur dan barat, tanahair dan bangsa umat Islam dipecah dan diperintah.

Kita sedang menyaksikan bagaimana lemahnya jati diri umat Islam. Ramai dalam kalangan mereka yang berwalikan musuh-musuh Islam, tidak berwalikan Allah s.w.t dan Rasul s.a.w serta tidak berwalikan orang-orang yang beriman. Bukan sahaja dari kalangan rakyat biasa, bahkan termasuklah raja-raja dan pemimpin yang memerintah umat Islam bernaung di bawah kuasa besar bukan Islam yang tetap tidak redha kepada umat Islam.

Namun kita menyaksikan cahaya Islam tidak boleh dipadamkan oleh musuh. Islam tetap berkembang di seluruh pelusuk dunia. Allah s.w.t tetap mewujudkan kumpulan Islam di seluruh pelusuk dunia, bukan sahaja cahaya Islam tidak boleh dipadamkan oleh musuh, bahkan teras umat Islam masih ada, kumpulan yang berpegang teguh kepada Islam, berwalikan Allah s.w.t dan Rasul-Nya s.a.w serta orang-orang yang beriman walaupun ramai kalangan umat Islam yang hilang jati diri mereka sehingga berwalikan kepada bukan Islam.

Percayalah apa yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:

تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ [رواه البخاري]

(Maksudnya): "Hendaklah kamu melazimi bersama-sama dengan jamaah orang-orang Islam dan pemimpin-pemimpin mereka".

Bahawa Islam ini tidak mati dengan matinya Nabi Muhammad s.a.w. Barangsiapa yang mahu perjalanannya selamat di dunia dan selamat di hari akhirat hendaklah bersama dengan Islam sama ada dalam keadaan senang dan susah, dalam keadaan lapar dahaga dan kenyang, dalam keadaan berada di atas dan ditindas di bawah. Hanya Islam sahaja yang menyelamatkan mereka daripada dunia sehingga akhirat. Percayalah sekiranya ada kalangan umat Islam walaupun mereka dianggap pemimpin-pemimpin yang meninggalkan jati diri mereka bersama dengan Islam, bernaung di bawah kuasa-kuasa bukan Islam, mereka selamat sekadar di dunia sahaja dan tidak selamat di akhirat.

Percayalah bahawa perjalanan kita ditetapkan oleh Allah s.w.t tidak sekadar di atas dunia ini sahaja, tetapi ia berpanjangan sehingga hari akhirat. Percayalah, sebaik-baik musuh Islam yang menggoda kita tidak akan menyelamatkan kita di dunia sehingga hari akhirat.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠﴾ [سورة البقرة : ١٢٠]

(Maksudnya): "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment