Friday, January 11, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 5 JAMADIL AWAL 1440 / 11 JANUARI 2019


PERANAN MASYARAKAT DALAM PENGIMARAHAN MASJID

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ ﴿١٨﴾ (Surah At-Taubah ayat : 18)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khatib menyeru dan berpesan kepada yang empunya diri dan hadirin yang dimuliakan, marilah kita mengangkat nilai ketaqwaan dan kepatuhan kepada pemilik alam semesta raya, Allah s.w.t serta istiqamah kita dalam melakukan kepatuhan kepada suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Pada ketika waktu yang amat bermanfaat ini, bersama-samalah kita memberi tumpuan kepada khutbah yang akan disampaikan. Elakkan diri kita daripada bercakap-cakap atau membuka media sosial ketika ini yang merupakan perbuatan yang sia-sia.

Moga-moga Jumaat hari ini menjadi yang terbaik kepada diri kita sendiri. Bicara khatib pada hari ini ialah: "Peranan Masyarakat Dalam Pengimarahan Masjid".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Maksud ayat yang dibacakan di awal tadi berbunyi: "Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk".

Ayat ini menggariskan ada empat sifat orang yang berperanan memakmurkan rumah Allah; mestilah dalam kalangan orang-orang yang beriman serta percaya adanya hari pembalasan iaitu hari akhirat. Mereka pula termasuk dalam kalangan orang-orang yang sentiasa mendirikan solat serta menunaikan zakat. Untuk memakmurkan institusi masjid, setiap orang hendaklah memiliki sifat ikhlas hanya kerana Allah dan bukan atas tujuan lain. Andainya ada tujuan lain atau maslahat yang lain, berapa ramai yang mahu berperanan dan berkepentingan diri di masjid tetapi untuk mencari kedudukan dan bersifat ananiyyah (sifat keakuan) iaitu hanya mementingkan pendapatnya sahaja yang benar serta mendakwa aktiviti masjid hanya dialah sahaja yang berperanan dan lain-lain lagi.

Apakah peranan kita selaku ahli qaryah ke atas institusi masjid? Masjid seharusnya menjadi pusat kegiatan masyarakat, pusat ilmu, pusat dakwah dan bertujuan mendidik masyarakat untuk menjadi manusia yang bertaqwa dengan mementingkan akhirat berbanding dunia. Ahli qaryah memperolehi manfaat yang baik hasil daripada kutipan derma masjid. Sumbangan yang diterima pula, dipulangkan kepada masyarakat untuk kemakmuran masjid dan ahli qaryahnya.

Sidang jamaah sekalian,

Masjid adalah pusat peribadatan untuk umat Islam. Di zaman Rasulullah s.a.w, Masjid Quba' dan Masjid An-Nabawi sangat berperanan dalam penyebaran ilmu dan dakwah. Setelah pembukaan kota Makkah, kota Madinah yang di situ terletaknya Masjid An-Nabawi telah menjadi pusat pengembangan dakwah yang sangat penting. Kabilah arab dan yahudi berduyun-duyun memeluk Islam kerana peranan masjid di zaman itu amat mementingkan persaudaraan dan kesatuan aqidah. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nasr ayat 1 hingga 3:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ ﴿١﴾ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا ﴿٢﴾ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا ﴿٣﴾

Maksudnya: "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat".

Di manakah kita dapat melahirkan keindahan Islam dan umatnya kalau tidak di masjid? Sikap muslim beriman sentiasa mahu nilai Islam dan Iman dipraktikkan dalam amalan kehidupan seharian.

Kini masjid-masjid telah menjadi tarikan pelancungan. Ramai pelancung dari dalam dan luar negara datang untuk menikmati keindahan seni bina dan ketenangan suasana masjid. Andai akhlak Islam yang kita tampilkan itu cacat, maka cacatlah pada pandangan mereka terhadap Islam itu sendiri.

Islam tidak pernah memusuhi mana-mana agama di dunia ini. Islam adalah agama Rahmatan Lil 'Alamin. Setelah kemenangan Islam ramai dalam kalangan sahabat seperti 'Ikrimah bin Abu Jahal, Abu Sufian bin Harb, Hindun binti Utbah dan ramai lagi memeluk. Walaupun mereka ini diarahkan oleh Rasulullah s.a.w untuk membunuh mereka, tetapi apabila mereka melihat sendiri akhlak agung Rasulullah s.a.w, mereka terus tertarik lalu melafazkan syahadah ketika itu juga. Demikianlah Islam yang di peringkat awalnya dibenci tetapi akhirnya dianuti sebagai pegangan yang hakiki.

Sidang jamaah yang dimuliakan,

Marilah kita menjadikan masjid sebagai pusat penyatuan dan persaudaraan umat Islam seutuhnya. Buanglah sifat melulu, kepuakkan, fanatik dan lain-lain yang membawa kepada perpecahan. Kembalikan masjid seperti Masjid Quba' bukan Masjid Dhirar yang dibina oleh kaum munafik untuk memecah belahkan kesatuan muslimin.

Tidakkah kita mengambil pelajaran bagaimana Rasulullah s.a.w telah berjaya menyatukan kaum Aus dan Khazraj yang berperang ratusan tahun, tetapi dapat bersatu kembali dengan nilai Iman dan Islam. Hadits yang diriwayatkan oleh An-Nukman bin Basyir r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: "Perumpamaan kaum mukminin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama satu tubuh, jika satu anggota tubuh berasa sakit, maka anggota yang lain akan susah tidur atau merasakan demam". (Hadits riwayat Muslim)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Penduduk Madinah dapat hidup aman damai di bawah Piagam Madinah yang adil dan meraikan semua bangsa. Demikianlah keindahan Islam dan akhlak Rasulullah s.a.w dan diteruskan pada zaman Khulafa'ur Rasyidin Al-Mahdiyyin sehingga Islam menjadi gagah dan gemilang di zaman Umaiyyah, 'Abasiyyah dan 'Uthmaniyyah.

Andainya nilai Islam sudah tidak ada, pasti dunia akan mengalami kehancuran. 'Aeiz bin 'Amru r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

الإِسْلاَمُ يَعْلُو وَلاَ يُعْلَى عَلَيْهِ

Maksudnya: "Islam adalah tinggi dan tiada yang lebih selain Islam". (Hadits riwayat Ad-Daru Qutni)

Justeru itu. dapat kita simpulkan bahawa kegemilangan masjid yang berteraskan nilai taqwa, hendaklah menjadi contoh dan matlamat kita dalam memakmurkan institusi masjid.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga menyeru kepada diri sendiri dan sidang Jumaat sekalian supaya kita bersama-sama  mendidik diri kita untuk memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina 'Abdullah bin 'Umar radhiAllahu 'anhuma:

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَالُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: "Solat berjamaah adalah lebih afdal berbanding solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Muslim)

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment