Friday, January 18, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 12 JAMADIL AWAL 1440 / 18 JANUARI 2019


RAWATAN ALTERNATIF MENURUT ISLAM

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ﴿٥٧﴾ (Surah Yunus ayat : 57)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khatib menyeru dan berpesan kepada yang empunya diri dan hadirin yang dimuliakan, marilah kita bersama-sama memperbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah pada hari ini, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: "Jika kamu berkata kepada sahabat kamu diam semasa imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka kamu telah berkata yang lagha (berkata yang sia-sia)". (Hadist riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Moga-moga Jumaat hari ini menjadi yang terbaik kepada diri kita sendiri. Bicara khatib pada hari ini ialah: "Rawatan Alternatif Menurut Islam".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t sekalian,

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Israk ayat 82:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا ﴿٨٢﴾

Maksudnya: "Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua".

Al-Quran merupakan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w dan baginda menyampaikan isi kandungannya kepada umat Islam. Di dalamnya terdapat pelbagai khazanah dan syifa' (penawar) sehingga para pengkaji kitab suci tidak berputus asa merungkai rahsia isi kandungannya. Selain menjadi panduan utama umat Islam, Al-Quran juga digunakan sebagai ikhtiar merawat penyakit dalaman dan luaran yang sukar dirawat melalui kaedah perubatan moden.

Oleh itu, rawatan alternatif menurut Islam adalah dibenarkan di sisi syarak selagi cara dan kaedah pengubatan tidak melanggar atau bercanggah dengan syariat. Rawatan alternatif merupakan suatu bantuan ikhtiar lain dalam merawat dan menyembuhkan penyakit atau gangguan makhluk halus.

'Usman ibnu Al-'Ash As-Saqofi r.a mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang penyakit pada tubuhnya sejak dari dia memeluk Islam. Maka sabda Rasulullah s.a.w kepadanya:

وَقُلْ بِاسْمِ اللَّهِ ثَلَاثًا وَقُلْ سَبْعَ مَرَّاتٍ أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ

Maksudnya: "Letakkan tangan kamu kepada bahagian tubuhmu yang sakit, lalu bacalah bismillah tiga kali, dan baca pula tujuh kali doa ini; A'uzubillahi wa qudrotihi min syarri ma ajidu wa uhaziru". (Hadits riwayat Muslim)

Hadits ini menunjukkan bahawasanya kaedah pengubatan alternatif seperti Tibbun Nabawi diterima pakai selain kaedah rawatan secara moden. Jelasnya, kaedah Tibbun Nabawi diwarisi dari Rasulullah s.a.w dengan menggunakan tertentu dan bacaan-bacaan ruqyah.

Sidang jamaah sekalian,

Dewasa ini, permintaan kepada rawatan alternatif melalui kaedah pengubatan Islam semakin meningkat saban tahun.

Walau bagaimana pun, sebahagian pengamal, perawat atau bomoh rawatan alternatif mengambil kesempatan dengan berselindung atas nama pusat rawatan Islam. Mereka turut mempergunakan nama agama melalui penampilan diri, keturunan dan latar belakang pendidikan.

Lanjutan daripada kurangnya penguasaan dan pemahaman ilmu agama, telah mengakibatkan kaedah rawatan alternatif yang digunakan jelas bercanggah dengan syarak. Sebagai contoh, penggunaan khidmat makhluk halus yang bertindak selaku khadam dan pendamping sewaktu proses rawatan. Allah memberi peringatan melalui Surah Al-Jin ayat 6:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا ﴿٦﴾

Maksudnya: "Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat".

Muslimin yang dikasihi,

Selain itu, antara contoh lain kaedah perawatan yang bercanggah dengan syarak berlaku dalam masyarakat kita ialah memperlihatkan perkara-perkara ghaib seperti pembedahan batin, mengajar ilmu persilatan batin yang menyimpang, penggunaan tangkal, azimat dan barang-barang hikmat sebagai pelindung, pelaris dan seumpamanya.

Tambahan pula, sumber perolehan ilmu rawatan yang disebutkan tadi adalah bersumberkan kaedah yang dicurigai dan aneh. Terdapat sebahagian pusat rawatan alternatif yang menipu pelanggan mereka dengan tujuan untuk mengaut kepentingan duniawi melalui keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kepentingan akhirat.

Dalam akhbar Berita Harian 26 September 2012, seorang bomoh bertopengkan agamawan di Seremban telah didakwa merogol seorang wanita semasa menjalani rawatan di rumah beliau. Oleh itu, kita hendaklah mengenal pasti latar belakang serta kelayakan seseorang bomoh, pengamal atau perawat sebelum mendapatkan rawatan amat penting bagi mengelakkan dari perkara yang tidak diingini berlaku.

Ciri-ciri perawat pengubatan Islam menurut al-marhum Tuan Guru Dato' Dr. Harun Din, Dato' Haji Ismail Kamus dan sebagainya adalah seperti berikut:

1. Keikhlasan diri merupakan senjata mukmin untuk melawan syaitan melalui sentiasa memelihara ibadat wajib dan melazimi ibadat sunat dan menjauhi perbuatan yang ditegah seperti memfitnah, menipu dan sebagainya.

2. Memahami konsep kemakbulan doa iaitu kesembuhan sesuatu penyakit hanya dari Allah s.w.t.

3. Tidak mementingkan diri sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Abu Hurairah r.a:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: "Barangsiapa yang melapangkan satu kesusahan dunia dari seorang mukmin, maka Allah melapangkan darinya satu kesusahan di hari kiamat". (Hadits riwayat Muslim)

4. Memiliki asas ketahanan jiwa dan kekuatan roh iaitu memiliki keyakinan pada diri, ilmu dan rawatan yang sedang dijalankan.

5. Berpengetahuan tentang makhluk halus.

6. Mengetahui perkara yang menghalang usaha merawat seperti kediaman pesakit dipenuhi gambar-gambar lukisan manusia, patung-patung dan sebagainya.

7. Mengetahui hukum hakam batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Sidang Jumaat sekalian,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, setiap muslim harus meneliti dan mengenal pasti pusat rawatan alternatif sama ada bercanggah atau tidak bercanggah dengan syariat sebelum mendapatkan rawatan tersebut. Dari sudut pengamal rawatan pula, seseorang pengamal seharusnya mendalami ilmu agama dan ilmu rawatan alternatif secara sahih sebelum memberikan rawatan secara rasmi kepada pesakit.

Pusat rawatan yang dibuka seharusnya mendapatkan pengiktirafan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplimentari dan semua pengamal perlu berdaftar dengan majlis tersebut di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplimentari 2016. Pusat-pusat rawatan alternatif yang membawa imej Islam seharusnya mengikut garis panduan yang disediakan bagi mengelak penyalahgunaan kepercayaan dan terlibat dengan unsur-unsur aqidah yang menyeleweng.

Untuk makluman jamaah sekalian, Jabatan Agama Islam Perak telah menerbitkan sebuah buku bertajuk 40 Soal Jawab Pengubatan Islam. Buku ini boleh dijadikan rujukan bagi mengetahui kaedah dan garis panduan yang dibenarkan syarak dalam pengubatan. Buku ini boleh dimuat turun melalui laman web Jabatan Agama Islam Perak. Moga kita semua boleh mendapat manfaat dari usaha yang telah dijalankan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khatib menyeru kepada diri sendiri dan sidang Jumaat sekalian agar kita bersama-sama mendidik diri kita untuk memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina 'Abdullah bin 'Umar radhiAllahu 'anhuma:

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَالُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: "Solat berjamaah adalah lebih afdal berbanding solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Muslim)

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu Timbalan Yang Dipertuan Agong, dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.


رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment