Friday, December 14, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 6 RABI'UL AKHIR 1440 / 14 DISEMBER 2018


SOLAT DAN ZAKAT: KEWAJIPAN SEPANJANG ZAMAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ ﴿٩﴾ (Surah Al-Munafiqun ayat 9)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri sendiri dan hadirin yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian, marilah bersama-sama kita bersyukur kerana diberikan nikmat Iman dan Islam, serta memperbaiki dan istiqamah mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah, Tuhan pemilik sekalian alam, yakni bersungguh-sungguh melaksanakan segala titah perintah-Nya dan beriltizam meninggalkan segala larangan-Nya. Maka berbahagialah dan beruntunglah bagi mereka yang sentiasa bertaqwa kepada Allah. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Solat dan Zakat: Kewajipan Sepanjang Zaman".

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Islam tertegak dengan lima teras utama. Selain mengucapkan dua kalimah syahadah, puasa dan menunaikan haji ke Baitullah, solat dan zakat adalah teras yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan seorang muslim. Dalam Al-Quran, perintah solat dan zakat sering digandingkan bersama bagi menunjukkan betapa pentingnya kedua-dua perintah tersebut.

Pada hakikatnya, ibadat solat dan zakat telah diperintahkan kepada umat-umat terdahulu sebelum umat Nabi Muhammad s.a.w ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam Surah Maryam ayat 54 dan 55:

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولًا نَبِيًّا ﴿٥٤﴾ وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِنْدَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا ﴿٥٥﴾

Maksudnya: "Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi. Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhan-nya!"

Begitu juga pada ayat 30 dan 31 Surah Maryam:

قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ آتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا ﴿٣٠﴾ وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنتُ وَأَوْصَانِي بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا ﴿٣١﴾

Maksudnya: "Ia menjawab: Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup".

Kedua-dua ayat di atas jelas menunjukkan bahawa perintah solat dan zakat sudah ada dalam syariat umat-umat terdahulu.

Sidang jamaah sekalian,

Allah menjanjikan banyak ganjaran kepada hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh memelihara ibadat solat dan zakat. Solat yang paling afdal adalah secara berjamaah. Orang yang pergi ke masjid pada waktu yang gelap akan mendapat cahaya terang benderang pada hari kiamat kelak. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Saiyidina Sahal bin Sa'ad As-Sa'idi r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

لِيَبْشَرْ الْمَشَّاءُونَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِنُورٍ تَامٍّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: "Khabarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang berjalan kaki dalam gelap menuju ke masjid kerana mereka akan mendapat cahaya yang sempurna pada hari kiamat". (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Manakala kelebihan ibadat zakat, iaitu mensucikan harta dan akhlak yang buruk. Hal ini telah dirakamkan dalam Surah At-Taubah ayat 103:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿١٠٣﴾

Maksudnya: "Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

Ibadat zakat bukanlah bertujuan menghukum pemilik harta sehingga mengurangi harta yang dimiliki. Tetapi tidak lain hanyalah supaya golongan kaya turut berkongsi kekayaan dengan anggota masyarakat di sekelilingnya, bahkan harta yang dikeluarkan sebagai zakat akan diganti semula oleh Allah s.w.t dengan jalan yang tidak disedarinya. Firman Allah dalam Surah Sabak ayat 39:

قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ ۚ وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ ﴿٣٩﴾

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki".

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Ibnu Khaldun berkata dalam kitabnya, "Muqaddimah":

الْإِنْسَانُ مَدَنِيٌّ بِالطَّبْعِ

Maksudnya: "Secara tabiatnya, manusia hidup bermasyarakat madani".

Dalam ertikata lain, hidup seorang manusia itu sentiasa berhajat kepada orang lain. Salah satu ibadat dalam Islam yang meraikan aspek kemasyarakatan adalah ibadat zakat. Zakat juga merupakan ibadat yang memiliki dimensi sosio-ekonomi.

Zakat berfungsi sebagai mekanisma pengagihan kekayaan milik kelompok yang kaya kepada golongan kurang mampu dan tertindas. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hashr ayat 7:

مَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٧﴾

Maksudnya: "Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)".

Sidang jamaah sekalian,

Namun harus diingat, ketika umat Islam membayar zakat, terdapat beberapa kesilapan lazim yang perlu diperbetulkan:

Pertama: Membayar zakat terus kepada asnaf
Kedua: Menyangka sedekah boleh menggantikan zakat.

Pengurusan dan perlaksanaan ibadat zakat sama ada dari aspek pungutan atau agihan di negeri Perak, telah diletakkan di bawah pengawasan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk), sebagai pihak yang bertanggunjawab dan berautoriti. Tujuannya ialah supaya semua sumber zakat dapat dikumpulkan dan diagihkan ke setiap daerah di negeri ini secara tepat dan betul-betul asnaf yang layak. Itulah sunnah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w dan dilaksanakan oleh para khalifah Islam selepas baginda.

Ketika Nabi Muhammad s.a.w mengutus Mu'az bin Jabal r.a ke Yaman, baginda berpesan kepadanya. Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh 'Abdullah bin 'Abbas radhiAllahu 'anhuma:

فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً، تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ، فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ، وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ، فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ.

Maksudnya: "Beritahu kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan dari sebahagian harta-harta mereka untuk dizakatkan. Ia diambil dari orang kaya untuk diagihkan kepada golongan fakir miskin di kalangan mereka. Apabila mereka mentaatimu dalam hal ini, maka peliharalah akan kehormatan harta mereka dan takutlah antara doa-doa orang teraniaya. Sesungguhnya tidak ada penghalang antara doa-doa mereka itu dengan Allah s.w.t". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Sempena sambutan bulan Zakat Kebangsaan 2018, khatib menyeru seluruh umat Islam yang memiliki harta yang mencukupi nisab iaitu Ringgit Malaysia 13,800 setahun agar segera menunaikan zakat kepada Majlis Agama Islam Negeri Perak, di pejabat Baitul Mal berdekatan atau 'amil bertauliah di seluruh negeri Perak.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khatib menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khatib juga menyeru kepada diri sendiri dan sidang Jumaat sekalian supaya kita bersama-sama  mendidik diri kita untuk memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina Abdullah bin Umar radhiAllahu 'anhuma:

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَالُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: "Solat berjamaah adalah lebih afdal berbanding solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Muslim)

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu, Timbalan Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment