Friday, November 9, 2018

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 1 RABIUL AWAL 1440 / 9 NOVEMBER 2018


PEMUDA TONGGAK PERJUANGAN ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ، وَلَا عُدْوَانَ عَلَى الظَّالِمِيْنَأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ، وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mengambil pengajaran daripada kisah yang diabadikan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quranul Karim. Firman Allah Ta'ala:

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾ [سورة الکهف : ١٣]

(Maksudnya): Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar; sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.

Kisah ini diturunkan di Makkatul Mukarramah ketika Rasulullah s.a.w dan para sahabat radhiAllahu 'anhum yang kebanyakannya daripada kalangan orang-orang muda yang disiksa, ditekan dan ditindas. Ada yang mati dibunuh, ada yang dikurung lapar dan sebagainya. Maka Allah s.w.t menurunkan kisah di zaman dahulu sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Kisah beberapa orang pemuda anak orang-orang bangsawan, orang-orang besar kenamaan yang kaya raya, tetapi mereka mendapat hidayah beriman kepada Allah s.w.t di tengah masyarakat yang kufur memuja syirik (menyembah tuhan yang lain daripada Allah s.w.t). Mereka tidak menyertai kumpulan yang syirik itu. Fahaman mereka diketahui oleh pemerintah, lalu mereka diberi amaran dan ugutan.

Kumpulan pemuda ini membuat keputusan menyembunyikan diri dalam gua. Mereka ditidurkan oleh Allah s.w.t beratus-ratus tahun dengan kuasa Allah s.w.t. Kisah ini menunjukkan bahawa menjaga agama, menjaga keimanan dan menjaga akidah lebih penting daripada menjaga perkara-perkara lain.

Walaupun para ulamak, ilmu ijtimak atau ilmu sosiologi atau ilmu kemasyarakatan menyatakan keperluan hidup manusia yang disebut di dalam Islam maqasid syariah (tujuan hukum syarak) memelihara keperluan agama, nyawa, akal, maruah, keturunan dan harta yang wajib dijaga dan dipertahankan, tetapi memelihara agama hendaklah diutamakan daripada memelihara perkara-perkara yang lain. Kerana agamalah yang menyelamatkan kita di dunia sehingga akhirat. Sedangkan harta, pangkat, kedudukan dan kesenangan, kehidupan tidak ada agama atau tidak beragama akan rosak di dunia dan neraka di hari akhirat.

Maka menjaga agama hendaklah diutamakan. Inilah yang ditunjukkan oleh pemuda-pemuda tersebut. Dalam keadaan yang mencabar menguji kita dalam kehidupan di dunia ini, orang-orang Islam diuji iman dan kepercayaan mereka dengan kesenangan harta benda, pangkat, kemewahan dan kedudukan dalam dunia ini yang menentukan sama ada mereka meletakkan kepercayaan kepada Allah s.w.t di hadapan mengatasi segala yang lain.

Pemuda-pemuda tersebut dipuji oleh Allah s.w.t. Mereka diberi hidayah oleh Allah s.w.t:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٦٩﴾ [سورة العنکبوت : ٦٩]

(Maksudnya): Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

Inilah sikap yang ditunjukkan oleh pemuda-pemuda tersebut. Disuruh para sahabat radhiAllahu 'anhum dan orang yang beriman sehingga dari kiamat menyontohi pemuda-pemuda yang menjaga dan memelihara iman mereka.

Seterusnya Rasulullah s.a.w mengambil perhatian terhadap orang-orang muda. Orang-orang muda yang mempunyai kekuatan adalah tonggak yang penting dalam perjuangan menegakkan agama. Mereka perlu dididik, diberi ilmu dan dipelihara jati diri mereka dengan sifat-sifat Islam demi mempertahankan ummah, mempertahankan negara dan masa depan ummah.

Kita perlu menyedari betapa anak-anak muda menjadi sasaran musuh-musuh Islam untuk merosakkan mereka, merosakkan ilmu dan pendidikan mereka supaya jahil agama, serta merosakkan akhlak dan perangai mereka supaya hanyut. Dengan rosaknya pemuda-pemuda ini, masa depan ummah sangat berbahaya.

Kita menyaksikan pada hari ini bagaimana pengaruh liar, lucah dan jahat disebarkan dalam kalangan anak-anak muda melalui filem, internet, tulisan dan sebagainya. Kita menyaksikan kesan-kesan yang sangat dahsyat menimpa anak-anak muda kita. Ibu bapa wajib menjaga dan memelihara anak masing-masing dengan bersungguh-sungguh kerana anak yang soleh ini adalah bekalan sepanjang hayat dan setelah mereka meninggal dunia menolong mereka untuk selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Kita menyaksikan bagaimana kebanyakkan kita leka dalam perkara ini dengan membiarkan anak-anak mereka menjadi sasaran musuh-musuh Islam untuk dirosakkan dengan khayal, mabuk dan keruntuhan akhlak tanpa disedari celaka kehidupan mereka di dunia dan celaka keluarga mereka di dunia serta di hari akhirat.

Marilah kita mengambil contoh yang diajar oleh Nabi kita Muhammad s.a.w, bukan sahaja mengilmukan anak-anak muda di zamannya, tetapi juga mencergaskan anak-anak muda itu dengan sabdanya:

عَلِّمُوا أَوْلَادَكُم الرِّمَايَةَ وَالسِّبَاحَة.

(Maksudnya): Ajarlah anak-anak kamu memanah dan berenang.

Memanah dan berenang merupakan sukan di zaman itu, sukan yang mengaktifkan anak-anak muda, bukan sahaja untuk menyihatkan mereka, bahkan mencergaskan mereka dalam gerakan untuk mempertahankan Islam.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ.
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾

(Maksudnya): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment