Friday, November 16, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 8 RABI'UL AWWAL1440 / 16 NOVEMBER 2018


RASULULLAH S.A.W CONTOH TELADAN SEPANJANG ZAMAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ﴿٢١﴾ (Surah Al-Ahzab ayat : 21)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berdirinya khatib di sini, ingin berpesan kepada diri sendiri dan hadirin yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian; bersama-samalah kita memperbaiki serta mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah, Tuhan pemilik sekalian alam, yakni bersungguh-sungguh melaksanakan segala titah perintah-Nya dan beriltizam meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat kebaikan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Rasulullah S.A.W Contoh Teladan Sepanjang Zaman".

Sidang Jumaat sekalian,

Rasulullah s.a.w adalah seorang utusan Allah di muka bumi ini merupakan ikutan terbaik dalam melaksanakan ibadah dan perhambaan kepada Allah s.w.t. Bagindalah manusia yang paling memahami wahyu-wahyu Allah, dan yang paling mengerti kehendak-kehendak Allah terhadap manusia. Justeru, sewajarnya kita mengikut dan meneladani baginda Nabi dalam melaksanakan ibadah kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w mengajarkan kepada kita bahawa apa yang lebih penting dalam amal ibadah ialah istiqamah, iaitu berterusan dalam melakukannya. Biarpun amalan hanya sedikit sahaja, namun sedikit yang berterusan itu lebih baik daripada banyaknya amalan, tetapi tidak berterusan. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda daripada Saiyidatina 'Aishah radhiAllahu 'anha:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ! عَلَيْكُمْ مِنْ الْأَعْمَالِ مَا تُطِيقُونَ، فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا، وَإِنَّ أَحَبَّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّ

Maksudnya: "Wahai manusia! Lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Sidang Jumaat sekalian,

Baginda Rasulullah s.a.w adalah bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah dan tinggi kesyukurannya kepada Allah. Biarpun baginda seorang yang maksum dan dijanjikan syurga oleh Allah, namun baginda tetap bersemangat dan bersungguh-sungguh melakukannya. Pernah suatu malam, Nabi s.a.w mengerjakan solat sehingga bengkak kakinya. Ketika ditanya oleh Saiyidatina 'Aishah radhiAllahu 'anha, baginda menjawab:

أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا؟

Maksudnya: "Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?" (Hadits riwayat Imam Muslim)

Walau bagaimana pun, baginda s.a.w mengajar kepada kita agar berpada-pada dalam melakukan apa sahaja dan tidak melampaui batas, termasuk jugalah dalam hal ibadah. Pernah tiga orang sahabat datang ke rumah isteri baginda Rasulullah s.a.w untuk menanyakan bagaimana perihal ibadah Nabi s.a.w kerana mereka berasa ibadah mereka terlalu sedikit. Lalu menceritakan tentang keazaman mereka untuk bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah. Salah seorang daripada mereka mengatakan bahawa dia kan mengerjakan solat sepanjang malam, seorang lagi mengatakan bahawa dia akan berpuasa sepanjang masa dan seorang lagi mengatakan bahawa dia tidak akan berkahwin. Mendengar kata-kata itu, Saiyidina Anas bin Malik r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: "Demi Allah, aku adalah manusia yang paling takut dan bertaqwa kepada Allah, namun aku berpuasa dan aku berbuka, aku mengerjakan solat dan aku juga tidur, aku juga berkahwin dengan wanita. Sesiapa yang tidak suka sunnahku, maka dia bukanlah dari kalanganku". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali-'Imran ayat 31:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٣١﴾

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad); Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Baginda Nabi Muhammad s.a.w diutuskan kepada manusia bukan sahaja untuk menjelaskan soal ibadah kepada kita sahaja, bahkan baginda juga adalah contoh teladan yang terbaik dalam pergaulan sesama manusia. Hadits daripada Saiyidina Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w sangat menitik beratkan soal kasih sayang dalam hubungan sesama manusia. Bahkan, baginda turut menyatakan bahawa tidak sempurna iman seseorang itu sekiranya dia tidak mengasihi saudaranya sesama Islam. Saiyidina Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata-kata yang baik sahaja, ataupun diam". (Hadits riwayat Muttafaqun 'alaih)

Dalam kehidupan seharian kita, pastinya kita tidak akan terlepas daripada komunikasi dan berbicara bersama kawan-kawan dan lain-lain. Namun, pernahkah kita terfikir untuk mengikuti panduan dan akhlak Rasulullah s.a.w dalam hal ini?

Sebahagian besar di kalangan kita hari ini tidak mempedulikan adab dan akhlak dalam berbicara dan komunikasi sesama kita bahkan ketika berceramah dan menyampaikan kuliah agama sekalipun. Ingatlah bahawa azab di neraka kelak banyak disebabkan kelalaian manusia dalam perkara untuk menjaga lidah. Lidah di zaman moden ini bolehlah diertikan sebagai peralatan komunikasi moden seperti Whatsapp, Facebook, Wechat dan sebagainya. Hadits yang diriwayatkan oleh 'Abdullah bin 'Umar radhiAllahu 'anhuma bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: "Orang Islam yang sebenarnya ialah orang Islam lain selamat daripada lidahnya dan tangannya". (Hadits riwayat Muttafaqun 'alaih)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam kehidupan seharian kita, tidak sepatutnya kita bersikap bongkak dan ego untuk mendengar pandangan daripada orang lain. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w mengajar kita supaya sentiasa terbuka dalam menerima teguran dan sentiasa berbincang serta mengambil pandangan daripada orang lain.

Baginda s.a.w sendiri walaupun seorang nabi, bahkan seorang yang maksum, namun tetap berbincang dan mengambil pandangan daripada sahabat-sahabat baginda radhiAllahu 'anhum ajma'in.

Rasulullah s.a.w mengajar dan menunjuki kita untuk sentiasa bersungguh dan positif dalam setiap pekerjaan. Umat Islam sering digambarkan sebagai umat yang mundur dan tidak bersistem sedangkan Rasulullah s.a.w mengajarkan kita menjadi umat yang hebat dan maju ke hadapan. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam Surah As-Syarh ayat 7:

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ ﴿٧﴾

Maksudnya: "Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)". 

Di dalam hadits yang diriwayatkan oleh Saiyidatina 'Aishah radhiAllahu 'anha bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun". (Hadits riwayat Imam At-Tabrani)

Setiap perkara yang terjadi menimpa kita, seharusnya kita positif dan bertindak proaktif dalam semua perkara. Inilah sikap seorang mukmin sebagaimana yang dinyatakan oleh Shuhaib bin Sinan r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: "Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruh urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka ia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka ia bersabar, itu pun baik baginya". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Kesimpulannya, tiga perkara yang telah dibicarakan di atas adalah merupakan intipati bahawa Rasulullah s.a.w menjadi contoh teladan dan yang merangkumi seluruh aspek kehidupan seperti berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Hadirin sidang Jumaat sekalian,

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah kita menghayati dan memahami perkara-perkara berikut:

1. Kita hendaklah memastikan amal ibadah serta tingkah laku kita berpandukan kepada ajaran Islam sebenar yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

2. Semua amal ibadah hendaklah dilakukan dengan istiqamah dan berterusan.

3. Umat Islam hendaklah menambah dan meningkatkan ilmu-ilmu pengetahuan melalui guru-guru yang muktabar serta menyampaikan ilmu yang sahih.

4. Umat Islam hendaklah menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh ikutan yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga tidak pernah jemu untuk menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment