Friday, October 19, 2018

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 10 SAFAR 1440 / 19 OKTOBER 2018


PUNCA BERLAKUNYA BALA BENCANA

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ ٱلْكِتَٰبَ لِيَكُونَ لِلْعَٰلَمِينَ نَذِيرًا. أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى وَالصِّفَاتُ الْعُلَى. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالْبَدْرُ الدُّجَىٰ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنِ اهْتَدَىٰ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar amaran daripada Allah s.w.t:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٢٥﴾ [سورة الأنفال : ٢٥]

(Maksudnya): Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.

Ini menunjukkan di sana akan berlaku bencana-bencana yang umum atau bala yang menimpa seluruh manusia sama ada yang baik atau yang jahat apabila berlakunya kemungkaran yang besar. Apa lagi bencana yang menyebabkan berlakunya hari kiamat yang memusnahkan seluruh dunia.

Kita menyaksikan gempa bumi dan banjir besar yang berlaku pada setiap minggu dan bulan di seluruh pelusuk dunia yang menandakan adanya perkara yang tidak kena dalam kehidupan manusia.

Pada suatu hari malaikat Jibril datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w yang dinyatakan di dalam hadits yang panjang. Di hujung hadits itu, Jibril bertanya:

مَتَى السَّاعَةُ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ وَلَكِنْ سَأُحَدِّثُكَ عَنْ أَشْرَاطِهَا إِذَا وَلَدَتْ الْأَمَةُ رَبَّهَا فَذَاكَ مِنْ أَشْرَاطِهَا وَإِذَا كَانَتْ الْعُرَاةُ الْحُفَاةُ رُءُوسَ النَّاسِ فَذَاكَ مِنْ أَشْرَاطِهَا وَإِذَا تَطَاوَلَ رِعَاءُ الْبَهْمِ فِي الْبُنْيَانِ. [رواه مسلم]

(Maksudnya): Bilakah berlakunya kiamat? Jawab Rasulullah s.a.w: Tidaklah orang yang ditanya itu lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Maka Jibril lalu berkata: Kalau begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya. Maka Nabi s.a.w menjawab: Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang yang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya mengembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat bangunan.

Apabila berlakunya hal-hal yang demikian, ia menandakan hampirnya berlaku kiamat. Kiamat itu hanya diketahui oleh Allah s.w.t, kita hanya ditunjukkan dengan tanda-tandanya. Apabila musnahnya keluarga, musnahnya ekonomi dan musnahnya masyarakat serta terdapat daripada kalangan manusia yang tidak betul dalam kehidupan mereka sehingga anak memperhambakan ibu bapanya yang menunjukkan tidak ada kasih sayang dalam satu keluarga, apabila orang-orang yang berkaki ayam, yang bertelanjang dan yang miskin papa diberi kekayaan, tidak tahu menggunakan nikmat kekayaan itu. Di antaranya melakukan pembaziran dengan mendirikan bangunan-bangunan yang mencakar langit.

Itulah tanda-tanda di antaranya berlaku orang-orang yang bangsat diberi amanah, tetapi tidak menunaikan amanah yang diberi oleh Allah s.w.t.

Di dalam sebuah hadits, seorang badwi datang ke masjid ketika Nabi s.a.w sedang berkhutbah. Tiba-tiba dia bertanya:

مَتَى السَّاعَةُ فَمَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَدِّثُ فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ سَمِعَ مَا قَالَ فَكَرِهَ مَا قَالَ وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ لَمْ يَسْمَعْ حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيثَهُ قَالَ أَيْنَ أُرَاهُ السَّائِلُ عَنْ السَّاعَةِ قَالَ هَا أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ. [رواه البخاري]

(Maksudnya): Bilakah berlakunya kiamat? Namun Rasulullah s.a.w meneruskan ucapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata: Beliau (Nabi s.a.w) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disukainya. Sementara yang lain pula berkata: Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu. Sehingga apabila Nabi s.a.w selesai dari ucapannya, beliau bersabda: Di mana orang yang bertanya tentang hari kiamat tadi? Lalu badwi itu menyahut: Ya, saya wahai Rasulullah. Maka Nabi s.a.w bersabda: Apabila amanah disia-siakan maka tunggulah hari kiamat. Badwi itu bertanya pula: Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu? Nabi s.a.w menjawab: Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari kiamat.

Urusan pemerintahan, urusan kehidupan dan urusan masyarakat adalah satu amanah yang besar untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t. Orang yang memegangnya mestilah dipilih daripada kalangan yang tahu, yang soleh dan yang adil (yang tidak mengerjakan dosa besar dan tidak berterusan dalam dosa yang kecil), serta tidak melakukan perkara yang menjatuhkan maruah.

Tetapi di dalam dunia hari ini mereka memilih pemimpin yang memberi mereka wang, kekayaan, kesenangan dan menaikkan pangkat, bukan lagi memilih yang menunaikan amanah yang diperintah oleh Allah s.w.t. Saksikanlah semua yang berlaku ini menyebabkan bencana yang besar yang boleh memusnahkan dunia, bukan sahaja memusnahkan sebuah negara.

Tanda-tanda berlakunya kiamat telah terjadi. Seorang badwi yang lain datang mengadap Nabi s.a.w dan bertanya:

مَتَى السَّاعَةُ قَالَ وَمَاذَا أَعْدَدْتَ لَهَا قَالَ لَا شَيْءَ إِلَّا أَنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ. [رواه البخاري]

(Maksudnya): Bilakah berlakunya kiamat? Jawab Nabi s.a.w: Apa yang kamu sediakan untuknya? Lalu badwi itu menjawab: Saya kasihkan Allah dan rasul-Nya s.a.w. Lalu Nabi s.a.w menjawab: Engkau bersama dengan orang yang engkau kasihkan itu (pada hari kiamat nanti).

Ini menunjukkan kewajipan kita menunaikan kewajipan Islam, menunaikan tanggungjawab, mengasihi Allah s.w.t dan rasul-Nya s.a.w, serta mengikut perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Itulah persediaan yang menyelamatkan kita dalam kehidupan dunia dan menyelamatkan kita untuk hari kiamat yang tidak diketahui bila berlakunya.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾ [سورة آل عمران : ١٠٤]

(Maksudnya): Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment