Friday, October 12, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 3 SAFAR 1440 / 12 OKTOBER 2018


IKTIBAR DARIPADA UJIAN ALLAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ 
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berdirinya khatib di sini, ingin berpesan kepada diri sendiri dan hadirin yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian; bersama-samalah kita memperbaiki serta mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah, Tuhan pemilik sekalian alam, yakni bersungguh-sungguh melaksanakan segala titah perintah-Nya dan beriltizam meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat kebaikan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Iktibar Daripada Ujian Allah".

Para tetamu yang dikasihi Allah,

Sebagai orang beriman, kita pasti akan diuji oleh Allah dengan pelbagai cubaan dan dugaan bagi mengetahui kualiti keimanan hamba-Nya. Kita juga akan menyedari kelemahan diri dan mengakui kekuasaan Allah melalui ujian yang ditempuh. Firman Allah dalam Surah Al-'Ankabut ayat 2 dan 3:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ ﴿٣﴾

Maksudnya: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta".

Dengan itu, Allah akan menguji manusia melalui bencana, malapetaka, kesusahan dan kepayahan bagi melatih kesabaran serta memperteguhkan keimanan dalam melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 dan 156:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿١٥٦﴾

Maksudnya: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali".

Setiap ujian daripada Allah menjadi medan tautan kasih sayang kita kepada saudara-saudara seagama yang ditimpa penderitaan sehingga mendorong kita membantu mereka atau sekurang-kurangnya mendoakan kesejahteraan mereka. Hadits daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Mafhumnya: "Barangsiapa yang meringankan satu kesusahan seorang mukmin, Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barangsiapa yang memudahkan urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkan untuknya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa menutupi aib saudaranya sesama muslim, Allah menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu suka menolong saudaranya". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Antara bentuk ujian Allah ialah bencana alam gempa bumi yang berlaku disebabkan oleh pergerakan mengejut di permukaan bumi yang berbatu. Pergerakan ini terjadi apabila tenaga yang tersimpan dalam bumi terlepas dalam bentuk geseran batu. Kekuatan gempa bumi digredkan daripada satu hingga sembilan berdasarkan skala ritcher. Skala tujuh hingga sepuluh merupakan tahap gegaran yang paling kuat yang boleh menyebabkan kehancuran dahsyat dan mencetuskan tsunami.

Dunia telah menyaksikan beberapa siri kejadian gempa bumi yang amat dahsyat sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa manusia dalam sekelip mata sahaja. Umpamanya gempa bumi terkuat pernah berlaku adalah di Chile pada tahun 1960 yang mencatatkan gegaran pada skala 9.5 ritcher. Seterusnya, di Tangshan, China pada tahun 1976 dengan kekuatan mencapai angka 8.3 skala ritcher dan merekodkan kematian lebih 200,000 mangsa. Tanggal 26 Disember 2004, dunia digemparkan dengan tragedi bencana alam akibat gegaran gempa dengan kekuatan 9.3 skala ritcher mengakibatkan tsunami yang meragut kira-kira 250,000 nyawa di Acheh, Indonesia dan tujuh buah negara lain.

Yang terkini, pada Jumaat 28 September yang lalu, kita sekali lagi dikejutkan dengan gempa bumi berukuran 7.4 skala ritcher dan tsunami yang melanda bandar Palu dan Dongala di Sulawesi, Indonesia. Sejumlah 30,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan 1.5 juta menerima kesan yang teruk akibat bencana alam tersebut. Seramai 1,234 penduduk terkorban dan sebahagian besar lagi mangsa mengalami cedera parah.

Kita semua menzahirkan rasa simpati atas musibah ini dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat. Sesungguhnya ini adalah merupakan ujian dan ketentuan takdir Allah buat hamba-Nya yang tidak mampu untuk kita menghalangnya sebagaimana firman-Nya dalam Surah At-Taubah ayat 51:

قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿٥١﴾

Maksudnya: "Katakanlah: Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakkal".

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Islam sebagai agama rahmatan lil 'alamin (membawa rahmat kepada sekalian alam) amat mengambil berat tentang kebajikan seluruh umat manusia tanpa mengira pangkat, darjat, keturunan, agama dan bangsa. Ajaran dan panduan Islam meliputi segala perilaku manusia dalam apa jua keadaan dan situasi, termasuklah ketika berada dalam kesenangan dan kelapangan ataupun ketika ditimpa musibah dan malapetaka.

Dengan itu, mimbar juga memaklumkan bahawa Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) telah melancarkan tabung khas bencana dan kemanusiaan, khususnya untuk membantu mangsa tsunami di Palu, Indonesia. Bantuan tersebut boleh disalurkan ke nombor akaun: 08013010091983 (Bank Islam Berhad). Semoga sumbangan kita ini mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda daripada Allah s.w.t.

Harus juga diingat, bencana alam seperti gempa bumi yang sering berlaku di negara-negara lain berkemungkinan boleh berlaku di negara kita pada masa akan datang. Oleh itu, kita harus menginsafi dan mengambil iktibar daripada segala kejadian yang berlaku di sekeliling kita. Dalam menikmati kesenangan, kita diingatkan supaya tidak lalai dan leka dengan tanggungjawab sebagai msulim dan menjalani kehidupan menurut Islam dengan erti kata yang sebenar dengan sentiasa patuh tunduk melaksanakan perintah serta menjauhi larangan Allah.

Para jamaah yang dikasihi Allah,

Mengakhiri khutbah pertama hari ini, marilah kita menghayati rumusan khutbah berikut:

Pertama: Meyakini bahawa setiap kejadian bencana merupakan ujian dan peringatan yang berlaku atas kekuasaan takdir Allah.

Kedua: Mempunyai sifat belas kasihan dan prihatin terhadap mangsa bencana dan menghulurkan segala bentuk pertolongan yang termampu.

Ketiga: Menyedari hikmah di sebalik bencana yang menimpa yang perlu diinsafi dan diambil iktibar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga tidak pernah jemu untuk menyeru kepada sidang Jumaat sekalian supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina Abdullah bin Umar radhiAllahu 'anhuma:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً

Maksudnya: "Solat berjamaah berjamaah adalah lebih baik berbanding solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Imam Muslim)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment