Friday, October 5, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 25 MUHARRAM 1440 / 5 OKTOBER 2018


KONSEP RAHMATAN LIL 'ALAMIN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ ﴿١٠٧﴾ قُلْ إِنَّمَا يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٨﴾ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُلْ آذَنتُكُمْ عَلَىٰ سَوَاءٍ ۖ وَإِنْ أَدْرِي أَقَرِيبٌ أَم بَعِيدٌ مَّا تُوعَدُونَ ﴿١٠٩﴾ (Surah Al-Anbiya' ayat 107-109Al)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berdirinya khatib di sini, ingin berpesan kepada diri sendiri dan hadirin yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian; bersama-samalah kita memperbaiki serta mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah, Tuhan pemilik sekalian alam, yakni bersungguh-sungguh melaksanakan segala titah perintah-Nya dan beriltizam meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat kebaikan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Konsep Rahmatan Lil Alamin".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sering kali kita mendengar dan membaca bahawa Islam adalah agama rahmatan lil 'alamin. Islam adalah agama perdamaian, yang sangat toleransi, penuh dengan kelembutan serta kasih sayang dan tidak mempromosi kekerasan, keganasan, kebencian dam kezaliman. Khutbah hari ini akan menjelaskan konsep sebenar rahmatan lil 'alamin berdasarkan ajaran Islam yang sebenar dengan mengikut pandangan ulamak dan realiti.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Menurut Imam Ibnu Katsir, Allah s.w.t telah menutuskan Nabi Muhammad s.a.w sebagai rahmat bagi seluruh alam termasuklah manusia. Barangsiapa yang beriman dan mentaati baginda, akan mengecapi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Namun sebaliknya, barangsiapa menolak dan mengingkari baginda s.a.w, akan rugi dunia dan akhirat, seperti firman Allah s.w.t dalam Surah Ibrahim ayat 28 hingga 29:

۞ أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ بَدَّلُوا نِعْمَتَ اللَّهِ كُفْرًا وَأَحَلُّوا قَوْمَهُمْ دَارَ الْبَوَارِ ﴿٢٨﴾ جَهَنَّمَ يَصْلَوْنَهَا ۖ وَبِئْسَ الْقَرَارُ ﴿٢٩﴾

Maksudnya: "Tidakkah engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang kafir yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran, dan yang telah menempatkan kaum mereka dalam kebinasaan? (Iaitu neraka jahannam yang mereka akan menderita bakarannya; dan (ingatlah), seburuk-buruk tempat tetap ialah neraka jahannam".

Menurut Imam As-Syaukani, di dalam kitab tafsir Fathul Qodir: "Makna ayat ini adalah; Tidaklah Kami mengutusmu wahai Muhammad s.a.w dengan membawa hukum hakam syariat, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia tanpa ada pengecualian".

Menurut Imam Al-Qurtubi, bahawa Saiyidina Ibnu 'Abbas radhiAllahu 'anhuma telah berkata:


كَانَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَحْمَةً لِجَمِيعِ النَّاسِ فَمَنْ آمَنَ بِهِ سَعَدَ، وَمَنْ لَمْ يُؤْمِنْ بِهِ سَلِمَ مِمَّا لَحِقَ الْأُمَمُ مِنَ الْخَسَفِ وَالْغَرَقِ

Maksudnya: "Nabi Muhammad s.a.w adalah rahmat bagi seluruh manusia. Mereka yang beriman dan membenarkan ajaran baginda s.a.w, akan mendapat kebahagiaan. Namun sebaliknya, mereka yang tidak beriman kepada baginda s.a.w, selamat dari bencana yang telah menimpa umat terdahulu ditelan bumi atau ditenggelami air".

Imam Al-Qurtubi menjelaskan atas keberkatan Nabi s.a.w, walaupun umat baginda s.a.w tidak beriman namun mereka tidak ditimpa bala kehancuran sepertimana umat-umat nabi terdahulu yang tidak beriman.

Menurut Ibnul Qoiyim Al-Jauzi, mereka yang mengikuti baginda s.a.w akan mendapat kemuliaan di dunia dan di akhirat. Sebaliknya mereka yang memerangi baginda s.a.w, manfaat bagi mereka adalah disegerakan pembunuhan ke atas mereka kerana itu adalah lebih baik. Sepertimana yang telah dilakukan oleh baginda s.a.w dengan memerangi golongan kafir yang memerangi Islam demi menjaga kemuliaan Islam sebagai agama yang diredhai.

Muslimin yang berbahagia,

Secara kesimpulan maksud rahmatan lil 'alamin, berdasarkan beberapa tafsiran tersebut, Islam sebagai agama rahmatan lil 'alamin adalah:

1. Diutus Nabi Muhammad s.a.w sebagai Rasulullah adalah bentuk kasih sayang Allah kepada seluruh alam termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan manusia.

2. Hukum hakam syariat dan aturan-aturan dalam Islam adalah panduan hidup yang menjamin keselamatan dan kebahagiaan sebagai bentuk kasih sayang Allah s.w.t kepada makhluk-Nya.

3. Secara umum, orang kafir mendapat rahmat dengan diutusnya Nabi Muhammad s.a.w berupa; dihindari dari azab yang menimpa umat-umat terdahulu yang menentang Allah. Sehingga setelah diutusnya Nabi Muhammad s.a.w, tidak akan ada kaum kafir yang diazab dengan cara ditenggelamkan seluruhnya atau ditelan bumi seluruhnya atau diubah menjadi binatang seluruhnya. Mereka berpeluang bertaubat dan beriman sehingga akhir hayat.

4. Orang kafir yang memerangi dan memusuhi Islam juga mendapat rahmat dengan diutusnya Nabi Muhammad s.a.w iaitu dengan diwajibkan perang melawan mereka. Kerana kehidupan mereka di dunia lebih lama hanya akan menambah kepedihan siksa api neraka ke atas mereka di akhirat kelak.

Ternyata konsep rahmatan lil 'alamin wajar diketengahkan kerana ia dapat memberi kefahaman yang tepat pada ajaran Islam yang sebenar yang mementingkan rahmat dan kasih sayang. Islam mementingkan persaudaraan dan menjauhi permusuhan. Islam mementingkan perdamaian berbanding peperangan. Islam mementingkan keamanan berbanding kekacauan. Islam memelihara hak-hak individu, masyarakat, negara, rakyat, umat Islam mahupun bukan Islam. Kita amat menyokong usaha kerajaan memartabatkan konsep rahmatan lil 'alamin ke arah sebuah negara yang diberkati Allah.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Namun, harus diingat supaya tidak disalah tafsirkan maksud rahmatan lil 'alamin kerana terdapat beberapa salah faham dan penyimpangan terhadap konsep tersebut. Beberapa kesalah fahaman tersebut di antaranya adalah:

1. Rahmatan lil 'alamin dengan maksud memberi hak yang luas walaupun berlawanan dengan hukum syariat. Sebahagian kaum muslimin berfahaman rahmatan lil 'alamin adalah memberi hak dan ruang seluas-luasnya termasuk merelakan kekufuran, membiarkan maksiat dan enggan menasihati mereka kerana khuatir golongan ini merasa tersinggung dan terganggu hak asasinya. Bila dinasihati golongan ini, mereka beralasan: "Islam adalah rahmatan lil 'alamin, penuh kasih sayang".

2. Rahmatan lil 'alamin dengan maksud semua agama adalah sama. Sebahagian orang enggan berdakwah dengan akidah yang sebenar, merasa tidak perlu menyampaikan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kerana beranggapan bahawa semua agama itu adalah sama. Mereka menganggap akidah Islam hanya akan memecah belahkan bangsa, menggangu toleransi kehidupan beragama dan menimbulkan kebencian sehingga tidak sesuai dengan prinsip bahawa Islam adalah rahmatan lil 'alamin. Sebaliknya firman Allah s.w.t dalam Surah Ar-Rum ayat 31 hingga 32:

... وَلَا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ ﴿٣١﴾ مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا ۖ كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ ﴿٣٢﴾

Maksudnya: "Janganlah kamu termasuk orang yang mempersekutukan Allah, iaitu orang yang memecah belahkan agama mereka dan meraka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka".

3. Rahmatan lil 'alamin dengan maksud berkasih sayang dengan orang kafir. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 8:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٨﴾

Maksudnya: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah Maha Mengasihani orang yag berlaku adil".

Namun bagi golongan kafir yang melampau memerangi Islam, Allah s.w.t memerintahkan agar memerangi mereka. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 9:

إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿٩﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim".

4. Rahmatan lil 'alamin dengan maksud meremehkan tuntutan agama berkaitan dengan individu, bermasyarakat dan bernegara kerana beralasan Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Hadits daripada Saiyidina Syadad ibnu Aus bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

Maksudnya: "Orang yang bijak adalah orang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematiannya, sedangkan orang yang bodoh adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya namun berangan-angan (mendapat rahmat) daripada Allah". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Rahmatan lil 'alamin tidak bererti menafikan ajakan kepada kebenaran, peringatan kepada kebatilan dan pengingkaran terhadap kemungkaran. Allah s.w.t berfirman dalam Surah Saba' ayat 28:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ ﴿٢٨﴾

Maksudnya: "Dan kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan kepada seluruh umat manusia sebagai pembawa berita gembira (bagi orang yang beriman) dan sebagai pemberi peringatan (bagi orang yang derhaka dan kafir), tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui".


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Umat Islam di Palu, Sulawesi terhimpit dengan kesusahan akibat bencana gempa bumi dan tsunami. Justeru, mimbar menyeru kepada semua umat Islam, marilah kita bersama-sama bertindak untuk turut berperanan dalam membantu mereka dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka. Pihak JAIPk dengan kerjasama masjid-masjid dan surau diri Jumaat di negeri Perak telah mengadakan kutipan khas pada hari ini bagi membantu saudara-saudara kita di Palu, Sulawesi. Sumbangan boleh disalurkan kepada Tabung Bencana dan Kemanusiaan nombor akaun: 08013010091983 (Bank Islam Malaysia Berhad). Semoga sumbangan kita ini mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga tidak pernah jemu untuk menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment