Friday, September 28, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 18 MUHARRAM 1440 / 28 SEPTEMBER 2018


AKHLAK SEMPURNA IBADAT DITERIMA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا ﴿٧٠﴾ (Surah Al-Ahzab ayat 70)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khatib menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang: "Akhlak Sempurna Ibadat Diterima".

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Akhlak adalah bermaksud budi pekerti, kelakuan, tingkah laku yang baik. Dijelaskan oleh Allah s.w.t melalui firman-Nya yang menyebutkan ketinggian akhlak Nabi s.a.w dalam Surah Al-Qalam ayat 4:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ ﴿٤﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya padamu (wahai Muhammad) akhlak yang tinggi".

Akhlak yang mulia merupakan tingkah laku yang terhasil daripada diri seseorang itu melalui sikap dan keperibadian yang ditonjolkan. Realitinya akhlak yang terpuji mampu menawan hati orang lain sebagaimana akhlak Nabi Muhammad s.a.w. Keunggulan dakwah dan tarbiah Nabi s.a.w adalah terletak pada akhlaknya manakala akhlak yang buruk pula adalah sangat dibenci sehingga Rasulullah s.a.w pernah memohon perlindungan Allah supaya terhindar daripada akhlak yang buruk sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Saiyidina Anas bin Malik  r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ مُنْكَرَاتِ الْأَخْلَاقِ وَالْأَعْمَالِ وَالْأَهْوَاءِ

Maksudnya: "Sesungguhnya Nabi s.a.w berkata: Ya Allah, aku memohon perlindungan-Mu daripada kemungkaran akhlak, amalan yang buruk dan hawa nafsu yang jahat". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

Sumber akhlak Islam adalah Al-Quran dan As-Sunnah yang diwariskan oleh Rasulullah s.a.w. Kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat tidak akan dapat dicapai selagi mana akhlak tidak dilaksanakan seperti yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Rasulullah s.a.w mendidik para sahabat dengan akhlak yang mulia sehingga dapat membentuk sebuah masyarakat Islam yang unggul, beriman, bertaqwa serta cenderung mencintai kebaikan dan kebajikan.

Muslimin yang dikasihi Allah sekalian,

Tanggungjawab membentuk akhlak merupakan satu agenda besar, bertepatan dengan hadits daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik". (Hadits riwayat Imam Al-Baihaqi)

Antara ciri-ciri akhlak mulia dan terpuji Rasulullah s.a.w dan perlu dicontohi oleh umat Islam adalah:

1. Bersifat benar dan jujur dalam hidup bermasyarakat.
2. Memelihara penglihatan dari perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.
3. Memelihara lidah daripada kata-kata keji.
4. Bersifat lembut dan sabar dalam menghadapi ujian.
5. Bersifat wara' dari melakukan perkara-perkara yang haram dan syubhah.
6. Bersifat rendah diri dalam pergaulan.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Secara tidak langsung akhlak mempunyai hubungan dengan akidah dan syariat. Allah s.w.t menyeru orang-orang yang beriman supaya mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 208:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ﴿٢٠٨﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hakamnya, dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata".

Setiap amalan dan perbuatan manusia hendaklah berlandaskan kepada ajaran Islam yang lengkap meliputi aspek ibadat, akhlak, mu'amalat dan sebagainya. Apabila seseorang hamba meyakini bahawa Allah, Tuhan yang telah memberikan segala kenikmatan hidup, maka mereka akan membentuk akhlak dengan memantapkan keyakinan dan iktiqad berasaskan ilmu tauhid. Pemantapan Iman dan Islam ini disusuli dengan melaksanakan dan mengerjakan amalan-amalan yang diperintahkan oleh Allah di dalam kehidupan seharian. Akhirnya akhlak akan terhasil melalui perlakuan-perlakuan baik itu secara mudah, istiqamah dan ikhlas. Akhlak yang mulia adalah merupakan tanda dan kesan dari iman dan aqidah yang luhur. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai dengan akhlak. Ia diibaratkan seperti rumah kosong yang tidak berpenghuni. Akhlak adalah hasil daripada ibadat. Ibadat yang sempurna menghasil akhlak yang baik dan ada nilainya di sisi Allah s.w.t.

Jika sebaliknya, ia menandakan bahawa ibadat yang dilakukan selama ini tidak sempurna dan tiada nilainya di sisi Allah s.w.t. Mereka dalam kalangan orang-orang yang beribadat tetapi ibadat mereka tidak menghasilkan akhlak yang baik. Mereka solat, berpuasa, berzakat tetapi ucapan dan kata-kata masih menyakitkan hati orang lain, hati mereka penuh dengan sifat hasad. Jika demikian hasilnya, maka ibadat mereka ditolak oleh Allah s.w.t.

Muslimin yang dikasihi Allah sekalian,

Dewasa ini, terdapat segelintir individu yang mengamalkan cara hidup beragama tetapi tidak menitikberatkan aspek akhlak dan nilai mulia pada peribadinya. Mereka beranggapan bahawa pemahaman mereka sahaja yang betul dan perlu diikuti. Bahkan, mereka mudah mengucapkan kata-kata yang buruk, lucah dan kasar dengan melontarkan berbagai-bagai andaian buruk dan tuduhan kesesatan ke atas orang lain yang tidak sependapat dan sealiran dengan mereka. Selain itu, gejala sosial dalam masyarakat juga semakin parah lagi seperti memukul ibu, suami mendera isteri, ada juga golongan remaja yang terjebak dengan masalah sosial dan gejala najis dadah. Oleh itu, akhlak Islam sangat penting dalam mencorakkan keperibadian individu dan masyarakat kerana ia membentuk tingkah laku, perbuatan dan amalan seharian yang kita lakukan dan sebagai kesempurnaan ibadat yang dikerjakan. Kesimpulan khutbah yang dapat diambil pengajaran pada hari ini adalah:

1. Umat Islam hendaklah berakhlak dengan akhlak yang bertunjangkan kepada akidah yang benar.
2. Umat Islam hendaklah menjauhi akhlak buruk yang menyebabkan amalan mereka ditolak oleh Allah s.w.t.
3. Umat Islam hendaklah menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai tauladan yang baik dalam kehidupan seharian. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Ahzab ayat 21:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ﴿٢١﴾

Maksudnya: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga tidak pernah jemu untuk menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment