Friday, September 21, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 11 MUHARRAM 1440 / 21 SEPTEMBER 2018


KEHARMONIAN HIDUP BERNEGARA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. 
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari yang mulia ini mimbar ingin mengingatkan diri sendiri dan menyeru sidang jamaah sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, iaitu dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan mereka yang beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan kesejahteraan yang hakiki di akhirat. Bicara khutbah pada hari ini: "Keharmonian Hidup Bernegara".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita baru sahaja menyambut hari-hari yang penuh bermakna dalam sejarah negara. Kita menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos yang lalu, kita baru sahaja menyambut Ma'al Hijrah yang begitu bermakna dalam sejarah Islam dan kita juga telah menyambut Hari Malaysia pada 16 September yang lalu. Antara objektif utama sambutan seperti ini adalah menanamkan semangat perpaduan dan menyemarakkan rasa cinta kepada negara dan agama.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai rakyat yang tinggal di negara berbilang bangsa dan keturunan, perpaduan masyarakat begitu penting bukan sahaja di antara berbagai bangsa, malah turut melibatkan sesama umat Islam. Rasa prejudis dan tidak puas hati hendaklah dijauhi dan sikap bertolak ansur mestilah menjadi budaya agar perpaduan sentiasa menjadi kekuatan negara. Namun realitinya hari ini, bibit-bibit perpecahan sudah mula menular dan mengganggu gugat keharmonian masyarakat dalam negara. Sudah ada dalam kalangan umat Islam yang bersikap negatif dan prejudis terhadap apa sahaja yang dikaitkan dengan Islam. Malah ada segelintir dalam kalangan mereka yang mempertikai dan memandang serong terhadap Islam. Maka berlakulah pertelingkahan dan perselisihan sesama umat Islam. Fenomena ini menyebabkan terungkainya kekuatan umat Islam dan menyebabkan kita menjadi lemah dan hilang kekuatan. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anfal ayat 46:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٤٦﴾

Maksudnya: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sikap segelintir umat Islam yang membuta tuli dalam memahami agama sehingga menghilangkan semangat berlapang dada dan bertolak ansur dalam kalangan masyarakat. Namun, lebih parah lagi mereka berfahaman liberal dalam Islam. Ini menjadi ancaman terhadap kesucian ajaran Islam dan keutuhan budaya bangsa yang begitu murni selama ini. Mereka bukan sahaja tidak menghormati Islam dan ajarannya, malah mempertahankan apa sahaja tohmahan dan kecaman terhadap Islam. Sikap mereka seolah-olah tidak ada kaitan langsung dengan Islam walaupun pada masa yang sama mereka menuntut hak untuk bernaung di bawah gelaran seorang muslim.

Sikap masyarakat yang suka melatah, tidak berfikir dan mengkaji serta suka meneybarkan sesuatu yang tidak pasti adalah menjadi salah satu penyebab yang boleh menggugat kesejahteraan rakyat. Sewajarnya kita sebagai umat Islam menghayati peringatan yang telah dirakamkan oleh Allah s.w.t dalam Surah Al-Hujurat ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾

Maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".

Di dalam ayat ini, Allah s.w.t mengingatkan kita dengan tegas supaya menyelidik sesuatu berita yang diterima terlebih dahulu sebelum mempercayai dan menyebarkannya kepada orang lain pula. Akibat daripada mengabaikan titah perintah Allah s.w.t ini, ia boleh mengakibatkan rosaknya sesebuah masyarakat yang berpunca daripada maklumat yang tidak tepat kemudian menyebabkan penyesalan yang merugikan semua pihak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Justeru itu, menjadi tanggungjawab kita semua umat Islam mengambil sikap lebih berhati-hati dan merujuk sesuatu khabar berita yang diterima kepada pihak yang berautoriti seperti institusi agama yang dipertanggungjawabkan bagi menjaga kemashlahatan umat Islam. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t di dalam Surah An-Nahl ayat 43:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿٤٣﴾

Maksudnya: "Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya".

Dan hadits daripada Saiyidina Abdullah bin Amru r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: "Apabila ditanya kepada bukan ahlinya, maka ia sesat dan menyesatkan orang lain". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Di dalam kedua-dua dalil yang disebutkan, mengingatkan kita supaya sesuatu isu yang berlaku hendaklah dirujuk kepada pihak yang berautoriti dan sepatutnya. Ini bagi mengelakkan berlakunya salah faham, kekeliruan, fitnah dan seumpamanya, yang akhirnya boleh mengakibatkan perpecahan, pertelingkahan dan pergaduhan yang merugikan umat Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Media merupakan satu medium penyebaran berita kepada seluruh masyarakat di negara ini. Masyarakat pula terlalu mudah menerima dan mempercayai berita-berita yang disampaikan oleh pihak media serta menyebarkan kepada orang lain tanpa sebarang usul periksa terlebih dahulu. Sehubungan itu, mimbar ingin mengingatkan pihak media agar memastikan setiap berita yang ingin disebarkan adalah benar dan tepat, serta mengelakkan daripada wujudnya salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat terhadap apa yang disampaikan. Ini kerana, sekiranya berita yang disebarkan itu tidak benar, ianya akan menimbulkan pelbagai persepsi dan merosakkan masyarakat yang boleh mengakibatkan tergugatnya keharmoniam hidup bernegara. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Israk ayat 36:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا ﴿٣٦﴾

Maksudnya: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga tidak pernah jemu untuk menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment