Monday, August 20, 2018

KHUTBAH 'EIDIL ADHA - 10 ZULHIJJAH 1439 / 22 OGOS 2018


PENGORBANAN MENURUT PERINTAH ALLAH

Khutbah Pertama

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا. 
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. 

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَالتَّابِعِينَ وَالنَّاصِرِيْنَ لِدِينِهِ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ. بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ. 
وَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا ﴿١١١﴾

Maksudnya: "Dan katakanlah; Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada baginya sekutu dalam urusan kerajaan-Nya, dan tiada bagi-Nya penolong disebabkan sesuatu kelemahan-Nya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakan-Nya dengan bersungguh-sungguh". (Surah Al-Israk ayat 111)

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Sidang hadirin hadirat yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, sekali lagi kita menyambut hari raya selepas dua bulan kita menyambut 'Eidil Fitri. Hakikatnya, 'Eidil Adha adalah 'Eidil Akbar yakni hari raya yang lebih besar dan utama berbanding 'Eidil Fitri. Antara peristiwa penting yang berlaku ketika sambutan 'Eidil Adha antaranya:

1. Umat Islam mengerjakan haji bermula wukuf di 'Arafah pada 9 Zulhijjah, melontar Jamratul 'Aqobah pada hari raya 10 Zulhijjah sehinggalah berakhir semua rukun dan wajib haji.

2. Amalan penyembelihan korban sempena perintah Allah s.w.t ke atas Nabi Ibrahim a.s.

Haji merupakan rukun Islam kelima yang wajib ke atas setiap mukallaf yang berkemampuan sekali seumur hidup. Kemampuan perjalanan (musafir), kemampuan kesihatan dan keperluan perbelanjaan juga perbelanjaan tanggungan yang ditinggalkan. Amalan menyembelih korban pula merupakan amalan yang sangat digalakkan (sunat muakkad) sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan melaksanakannya selepas mempunyai lebihan perbelanjaan asas. Hadits daripada Saiyidatina 'Aisyah radhiAllahu 'anha bahawa Nabi s.a.w bersabda:

مَا عَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ عَمَلًا أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ مِنْ هِرَاقَةِ دَمٍ وَإِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَشْعَارِهَا وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: "Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari nahar yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (yakni menyembelih korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kukunya dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan amal). Sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi. Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berkorban itu". (Hadits riwayat Imam Tirmizi dan Imam Ibnu Majah)

Amalan korban adalah simbol ikatan pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s semata-mata mematuhi perintah Allah s.a.w.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Sidang hadirin hadirat yang dirahmati Allah,

Pengorbanan makhluk mematuhi perintah Allah adalah pengorbanan terbesar yang menyaksikan para rasul melaksanakannya namun ramai kalangan manusia yang mengingkarinya. Terdapat beberapa keutamaan pengorbanan yang perlu dilakukan oleh manusia, antaranya:

Pertama: Berkorban mematuhi perintah Allah. Perintah Allah yang paling utama adalah beriman kepada Allah yang Maha Esa. Beriman kepada Allah bermaksud beriman juga kepada hari akhirat (pembalasan baik atau jahat) serta beriman kepada semua rukun iman yang lain. Orang yang beriman dijanjikan keselamatan di akhirat manakala orang yang tidak beriman diancam kekal menghuni neraka.

Antara golongan yang tidak beriman adalah musyrikin (golongan menyembah selain Allah), munafikin (golongan berpura-pura beriman) dan mulhidin (golongan Athiest yang tidak percaya Tuhan).

Seterusnya manusia wajib berkorban melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya yakni syariat yang ditetapkan. Syariat Allah adalah cara hidup hamba-Nya yang ditetapkan dengan hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Tiada manusia mukallaf yang terlepas dari ikatan hukum syariat ini walau dengan alasan apa sekalipun. Menolak dan ingkar dengan sengaja perintah syariat ini dihukum kafir. Sebagaimana kisah Iblis yang ingkar perintah Allah ketika mana diperintahkan sujud tanda hormat kepada Nabi Adam a.s. Keengganan Iblis yang disertai keangkuhannya mengakibatkan Allah s.w.t melaknatnya dan memasukkannya ke dalam golongan kafir.

Akhir-akhir ini sudah mahsyur golongan yang secara terang-terangan mengingkari syariat Allah s.w.t atas alasan kebebasan atau hak asasi. Golongan ini dengan bangga dan berani mengaku kecenderungan melakukan perkara keji bahkan berbangga mengisytiharkannya. Ada pula yang mula mempertikaikan perintah Allah melaksanakan solat Jumaat pada hari Jumaat dan ingin diubah kepada hari Sabtu dengan alasan untuk lebih memberi kemudahan umat Islam yang bekerja dan bersekolah pada hari Jumaat. Kumpulan ini juga menolak hadits Nabi s.a.w dengan beralasan ragu tentang kesahihannya serta kadangkala dikatakan bertentangan dengan Al-Quran. Para ulamak sudah menjelaskan semua kekeliruan ini dengan hujjah berdasarkan keilmuan yang tepat.

Namun malangnya, mereka tetap menolak pandangan yang dikemukakan oleh para ulamak dengan alasan ulamak juga manusia dan melakukan kesilapan. Bahkan lebih berat lagi mereka menuduh para ulamak memberi pendapat atas kecenderungan kepentingan peribadi. Golongan ini dengan sengaja cuba menjauhkan masyarakat dengan para ulamak agar ajaran Islam dapat mereka tafsirkan sendiri mengikut hawa nafsu mereka semata-mata. Para ulamak hakikatnya berusaha memberi kefahaman tentang Islam berdasarkan kesungguhan berijtihad dengan berbekalkan ilmu pengetahuan yang secukupnya. Wahai umat Islam! Jauhilah tohmahan-tohmahan kepada para ulamak kerana Allah s.w.t sendiri secara umumnya mengiktiraf keikhlasan para ulamak. Firman Allah s.w.t dalam Surah Fatir ayat 28:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ ﴿٢٨﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya golongan yang paling takut kepada Allah adalah para ulamak".

Rasulullah s.a.w juga membuat pengiktirafan dengan hadits yang diriwayatkan oleh Saiyidina Abu Darda':

إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: "Sesungguhnya ulamak adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bahagian yang sempurna". (Hadits riwayat Imam Tirmidzi dan Imam Ahmad)

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Sidang hadirin hadirat yang dirahmati Allah,

Sebagai hamba Allah yang taat, sesuai dengan makna Islam yang bermaksud tunduk dan patuh kepada segala perintah-Nya, manusia tidak langsung berhak mempertikaikan apa sahaja perintah Allah sama ada yang difahaminya mahupun tidak, yang disukainya mahupun dibenci. Perintah Allah wajib diterima dengan hati yang lapang penuh dengan keimanan yang teguh. Ibrah perintah Allah s.w.t kepada Nabi Ibrahim a.s menyembelih anaknya Ismail a.s jika dinilai pada logik akal pasti akan menemui keganjilan pada perintah ini dan patut ditentang, apatah lagi ianya datang bersumberkan mimpi. Namun, apabila ianya wahyu yang merupakan perintah Allah s.w.t, Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s menerima tanpa banyak persoalan. Firman Allah s.w.t dalam Surah As-Shaffat ayat 102:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ ﴿١٠٢﴾

Maksudnya: "Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu? Ia menjawab: Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang yang sabar".

Berkorban melaksanakan perintah Allah adalah salah satu kunci kejayaan hamba Allah di akhirat. Kerana itu, setiap kali Allah s.w.t menyebut kejayaan orang beriman, pasti akan disusuli dengan sifat seterusnya iaitu beramal soleh. Ikatan antara iman dan amal soleh tidak langsung boleh dileraikan dengan menerima sebahagian dan meninggalkan sebahagian. Orang yang mengaku beriman namun menolak perintah Allah dengan keingkaran ditambah kesombongan tetap dihukum kafir dan dilaknat oleh Allah s.w.t.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Sidang hadirin hadirat yang dirahmati Allah,

Kedua: Berkorban segala kenikmatan duniawi demi kesenangan hakiki di akhirat. Ambillah dunia sekadar untuk melayakkan kita mendapat syurga yang kekal abadi. Adakah patut bagi seorang manusia yang diciptakan Allah dan diberikan pelbagai nikmat kemudian bertindak mengenepikan hak-hak Allah dan mengutamakan kehendak dirinya? Apakah wajar manusia hanya mengikut kehendak hawa nafsunya, berseronok dengan melupakan mati? Berapa ramai manusia yang bersungguh-sungguh mengejar segala pangkat dan kemewahan melaui jalan salah dan tipu daya? Ingatlah! Semua itu hanya sementara. Manusia yang terpedaya dengan memenuhi jadual hidupnya dengan keseronokan dan hiburan semata-mata pasti akan menyesal setelah menemui ajal. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Mukminun ayat 99 - 100:

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ ﴿٩٩﴾ لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّا ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا ۖ وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ ﴿١٠٠﴾

Maksudnya: "(Demikianlah keadaan orang kafir itu), hingga apabila kematian mendatangi salah seorang dari mereka, dia berkata: Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku dapat melakukan amal soleh pada segala yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja, dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan".

Allah s.w.t juga memberi amaran agar manusia tidak lalai yang akan mengakibatkan terjerumus ke dalam neraka jahannam. Firman Allah s.w.t da;am Surah Al-A'araf ayat 179:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَـٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ ﴿١٧٩﴾

Maksudnya: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahannam kebanyakan dari bangsa jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu bagaikan binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai".

Oleh itu, berkorbanlah harta benda kita dengan membayar zakat dan bersedekah. Kedua-duanya dapat membersihkan harta dan menyucikan jiwa dari sifat cinta dunia dan bakhil. Sedekah juga dapat menjaga kepentingan fakir dan miskin. Ingatlah saudara seagama kita yang ditimpa musibah sama ada di dalam negara mahupun di luar negara. Bantulah mereka secara berterusan agar kita tidak dipersoal Allah di akhirat atas segala nikmat yang Allah telah kurniakan. Kesimpulan khutbah pada hari ini, kehidupan dan pengorbanan saling berkait antara satu sama lain. Tanpa pengorbanan, tiada kenikmatan. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ. 


Khutbah Kedua

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.
الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ.
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ حَبِيْبِنَا وَشَفِيعِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ إِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ وَجَاهَدَ جِهَادَهُ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَوَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى. 

Firman Allah Ta'ala dalam ayat 134 Surah Ali-'Imran:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ ﴿١٣٤﴾

Maksudnya: "Orang yang menafkahkan hartanya baik di masa senang mahupun ketika susah, dan orang yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang. Allah menyukai orang yang berbuat kebaikan".


اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Atas dasar ukhuwwah Islamiyah, marilah bersama kita saling tegur-menegur, ingat mengingati antara satu sama lain atas dasar kebenaran, kerana kelalaian kita akan mengundang kemurkaan Allah. Bala Allah akan menimpa siapa sahaja yang berada di tempat tersebut termasuk orang soleh. Hadits Nabi s.a.w daripada Saiyidatina Zainab binti Jahsy bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدْ اقْتَرَبَ فُتِحَ الْيَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ وَحَلَّقَ بِإِصْبَعِهِ الْإِبْهَامِ وَالَّتِي تَلِيهَا قَالَتْ زَيْنَبُ بِنْتُ جَحْشٍ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ قَالَ نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الْخَبَثُ

Maksudnya: "Celakalah bagi kaum arab daripada bala yang sangat hampir; pada hari ini sudah terbuka empangan Yakjuj dan Makjuj seperti ini. Nabi Muhammad s.a.w pun menunjukkan sepuluh jarinya. Zainab berkata: Wahai Rasulullah, adakah kita tetap akan binasa meskipun di sisi kita masih ada orang soleh? Jawab Rasulullah: Ya, bahkan sekiranya terlalu banyak kemaksiatan berlaku". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Mimbar juga menyeru kepada sidang jamaah sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ الْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَاللْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَات. اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّا وَعَنْ وَالِدِيْنَا وَعَنْ جَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَات بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِينَ. 
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ إِيْمَانًا كَامِلاً، وَيَقِيْنًا صَادِقًا، وَلِسَنًا ذَاكِرًا، قَلْبًاخَاشِعًا، وَعَمَلًا صَالِحًا مُتَقَبَّلًا. اللَّهُمَ حَبِّبْ إِلَيْنَا الْإِيمَانَ وَزَيِّنْهُ فِي قُلُوبِنَا، وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِينَ. اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ، وَالْظُّلْمَ وَالظَّالِمِيْنَ، وَدَمِّرِ الْكَفَرَةَ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.
اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين معزالدين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن محب الدين شاه المغفورله وَكَذَلِكَ راج فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا. رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment