Friday, July 13, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 29 SYAWAL 1439 / 12 JULAI 2018


ANCAMAN PEMIKIRAN MASA KINI

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَهْدِيهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ، 
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Ancaman Pemikiran Masa Kini".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Akidah Islam ialah kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah sebagai Rabb dan Ilah serta beriman dengan nama-nama-Nya dan segala sifat-sifat-Nya, juga beriman dengan adanya malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari akhirat dan beriman dengan takdir Allah sama ada baik atau buruk. Seterusnya patuh dan taat pada segala ajaran dan petunjuk-Nya.

Akidah Islam amat penting dalam pegangan hidup umat Islam supaya dapat membezakan mana baik atau buruk. Untuk menghindarkan diri daripada terpesong dan tersesat, kita hendaklah berpegang kepada asas-asas keimanan. Kerosakan boleh berlaku melalui perkataan, percakapan juga perbuatan. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anbiya' ayat 25:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ ﴿٢٥﴾

Maksudnya: "Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya; bahawa sesungguhnya tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Ku".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Akidah Islam yang benar wajib dipelihara dan dipertahankan, lebih-lebih lagi di saat merebaknya pelbagai fitnah yang boleh menggugatnya. Musuh-musuh Allah sentiasa berusaha untuk memesongkan pemikiran dan akidah kita agar tersasar dari landasan yang sebenar.

Justeru, dalam pertemuan singkat Jumaat ini, khatib ingin memberi peringatan dan panduan agar kehidupan kita sentiasa dilayar dengan menaiki bahtera akidah yang selamat, inshaAllah.

Al-Quran dan as-Sunnah adalah dua sumber rujukan utama kita, juga sebagai bekalan dan perisai untuk mendepani cabaran "serangan pemikiran" dewasa ini. Sistem kepercayaan "beragama" bagi setiap individu muslim kerap kali diuji melalui pelbagai sudut kehidupan. Agama juga cuba dipisahkan dari kehidupan. Bagaimana mungkin manusia mampu untuk meneruskan kehidupan dengan cemerlang sedangkan mereka tidak mengetahui cara menguruskan kehidupan yang sebenar? Allah s.w.t telah menjadikan kita umat pilihan. Tugas utama kita ialah mencegah kemungkaran bagi mewujudkan masyarakat yang terbaik. Untuk tujuan ini Allah s.w.t berfirman dalam Surah Ali-'Imran ayat 110:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿١١٠﴾

Maksudnya: "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'aruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakkan mereka adalah orang yang fasik".

Manakala bagi menyempurnakan akhlak yang terbaik, setiap individu wajib menjadikan Nabi s.a.w sebagai contoh ikutan. Sabda Nabi s.a.w daripada Saiyidina Anas bin Malik r.a:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا

Maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w adalah orang yang paling baik akhlaknya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Sesungguhnya antara akhlak dengan akidah terdapat hubungan yang sangat kuat sekali. Akhlak yang baik sebagai dalil keimanan yang bertambah dan akhlak yang buruk sebagai dalil atas lemahnya iman, semakin sempurna akhlak seseorang muslim bererti semakin kuat imannya.

Kaum muslimin yang dikasihi,

Cabaran terbesar kepada umat Islam hari ini ialah serangan pemikiran yang menguasai segenap kehidupan. Barat telah melaungkan sekularisme yang memenjarakan agama di dalam rumah-rumah ibadat serta menafikan agama sebagai jalan memajukan serta meningkatkan sesebuah tamadun. Laungan kapitalisme atau penindasan melampau tersebar dalam ekonomi.

Liberalisme atau keterbukaan melampau dalam urusan dunia telah meminggirkan syariat dan petunjuk Ilahi. Pluralisme pula menyamakan kedudukan semua agama, sedangkan hanya Islam sahaja diterima sebagai agama di sisi Allah. Manakala slogan-slogan sosialisme menipu orang bawahan dengan menyatakan pentadbiran adalah hak mereka sedangkan Islam mengiktiraf seseorang khalifah atau pemimpin dalam urusan mentadbir.

Manakala, hedonisme atau budaya hiburan melampau telah melemahkan akhlak anak-anak muda dan merapuhkan hati mereka. Ini merupakan sebahagian daripada ratusan senjata kaum musyrikin yang telah berjaya membunuh keimanan kaum muslimin sehingga menjadikan mereka lemah dan rebah dalam menyusuri arus kemodenan ini.

Teori serta praktikal yang diperkenalkan oleh musyrikin tersebut sedikit demi sedikit memadamkan nilai-nilai Islam, dasar-dasar serta pengamalannya dalam kalangan umat Islam sendiri. Betapa sedihnya melihat tipu daya ini telah menguasai kelompok besar dalam kalangan umat Islam kini hingga menyebabkan cahaya Islam kian malap. Sudah pasti dasar-dasar musyrikin tidak mampu untuk menerangi kita semula kerana ianya asal daripada sisa-sisa pemikiran gelap mereka.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Akhirnya, mimbar yang mulia ini menyeru kepada segenap umat Islam agar sentiasa memperkukuhkan akidah yang kita pegang selama ini. Sesungguhnya ia datang dari penat lelah Rasulullah s.a.w yang memperjuangkan agama Allah sejak dari dulu lagi. 

Janganlah pula kita mempersiakan usaha baginda selama ini dengan menggadaikan akidah Islam kita demi kelangsungan hidup masa kini. Mimbar juga menggesa umat Islam agar melaksanakan segala tuntutan yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t dan menjauhi segala larangan-Nya. Moga-moga segala ibadat dan amalan yang kita lakukan ketika ini dapat memelihara dan menguatkan lagi pegangan akidah kita.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment