Friday, July 6, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 22 SYAWAL 1439 / 6 JULAI 2018


ADAB DALAM BERJIRAN

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَ‌ٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ﴿١٠٣﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Adab Dalam Berjiran".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Secara fitrah, manusia perlu hidup berjiran ataupun bermasyarakat kerana setiap orang saling memerlukan antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak mungkin seseorang manusia boleh hidup seorang diri tanpa berurusan dengan orang lain, meskipun dia seorang yang sangat kaya dan berpendidikan tinggi. Dalam sebuah hadits Nabi s.a.w daripada Sa'ad bin Abi Waqas r.a mengenai kepentingan berjiran, bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ ، وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ ، وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ ، وَالْمَسْكَنُ الْضَيِّقُ ، وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

Maksudnya: "Empat perkara tanda kebahagiaan ialah isteri yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Manakala empat tanda kesengsaraan ialah jiran yang jahat, isteri yang jahat, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk (tidak selesa)". (Hadits sahih Ibnu Hibban)

Hadits ini menyebutkan dengan jelas kelebihan jiran yang baik sebagai tanda kebahagiaan. Ingatlah Rasulullah s.a.w sendiri adalah sebaik-baik contoh teladan buat kita dalam kehidupan berjiran. Marilah kita bermuhasabah diri kembali sejauh mana kita telah berbuat baik kepada jiran tetangga kita sehingga hari ini. Adakah kita sudah menjaga hak-hak jiran kita sebagaimana kita mahu mereka menjaga hak kita sebagai jiran?

Sidang Jumaat sekalian,

Realitinya, amalan berjiran yang baik telah sekian terpinggir jauh dari hidup kita . Mungkin ada sebahagian dari kita tidak pernah mengenali jirannya. Inilah realitinya kehidupan berjiran yang sedang berlaku pada hari ini. Ada jiran yang tidak bertegur sapa dan ada juga yang mementingkan diri sendiri dengan tidak mengendahkan hak peribadi jirannya sehingga sanggup melanggar etika dalam berjiran semata-mata untuk memenuhi kepentingan peribadinya. Mari kita hayati firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa' ayat 36:

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا ﴿٣٦﴾

Maksudnya: "Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu-bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat, dan juga jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takabbur dan membangga-banggakan diri".

Ayat di atas tadi, jelaslah bahawa di antara ciri orang beriman ialah mereka yang paling baik hubungan dengan jirannya. Oleh itu, marilah kita berusaha menjaga adab-adab dan hak-hak berjiran. Sebagaimana yang diajarkan oleh Islam, kita haruslah melaksanakan langkah-langkah berikut:

1. Sentiasa senyum dan bertegur sapa dan memberi salam. Orang yang mudah memberi senyuman dan mengambil berat mengenai jirannya biasanya akan mudah didekati. Amalan ini dapat menjaga hati jiran tetangga. Seeseorang jiran yang baik tidak akan menyakiti hati jirannya sama ada ucapan ataupun perbuatan.

2. Membantu jiran sewaktu kesusahan. Hal ini merupakan salah satu hak seseorang muslim ke atas saudara muslimnya yang lain. Bahkan ia merupakan salah satu hak terbesar jiran kita. Hayatilah hadits Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: "Sesiapa yang melepaskan seseorang mukmin daripada kesulitan atau kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan dirinya daripada kesulitan pada hari kiamat". (Hadits riwayat Imam Muslim)

3. Menjaga kehormatan dan kemuliaan jiran serta sentiasa bersangka baik. Seorang jiran yang baik pastinya tidak akan mengkhianati seperti membuat fitnah atau menyebarkan rahsia dan keburukan jiran kepada orang lain.

Malah dalam akhlak berjiran kita juga harus untuk menjaga tingkah laku supaya tidak menggangu jiran yang lain. Ingatlah sekiranya ada tindakan dan tingkah laku kita yang boleh mengganggu ketenteraman jiran-jiran kita, maka sebenarnya kita sedang mengundang kemurkaan Allah s.w.t. Perkara ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadits Nabi Muhammad s.a.w daripada Abu Syuraih Al-'Adawiyyi bahawa Nabi s.a.w bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ

Maksudnya: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jirannya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Hadirin yang dihormati,

Ingatlah bahawa, setiap tingkah laku kita pada hari ini sentiasa diperhati oleh masyarakat sekeliling kita. Bahkan, anak-anak dan isteri merupakan golongan yang paling hampir dengan kita. Sekiranya tingkah laku kita dengan jiran tetangga adalah sangat baik, maka ia akan menjadi tauladan kepada mereka dan berkemungkinan mereka juga akan melakukan perkara yang sama pada masa akan datang. Begitulah jika sebaliknya. Maka kita harus sentiasa berwaspada kerana Yang Maha Melihat iaitu Allah s.w.t tidak pernah terlepas pandang dari memerhatikan tingkah laku hamba-Nya. Firman Allah s.w.t dalam Surah Ar-Rahman ayat 60:

هَلْ جَزَاءُ الْإِحْسَانِ إِلَّا الْإِحْسَانُ ﴿٦٠﴾

Maksudnya: "Bukankah tidak ada balasan bagi amal kebaikan melainkan balasan yang baik juga".


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment