Friday, July 27, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 14 ZULQAEDAH 1439 / 27 JULAI 2018


MENDAKAP KEBAHAGIAAN HAKIKI

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿٩٧﴾ (Surah An-Nahl ayat 97)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berdirinya khatib di sini, ingin berpesan kepada diri sendiri dan hadirin yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian; bersama-samalah kita memperbaiki serta mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah, Tuhan pemilik sekalian alam, yakni bersungguh-sungguh melaksanakan segala titah perintah-Nya dan beriltizam meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat kebaikan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Mendakap Kebahagiaan Hakiki".

Hadirin tetamu Allah sekalian,

Setiap insan di dunia ini ingin hidup bahagia. Tidak ada seorang pun manusia di dunia ini yang ingin hidup sengsara dan menderita baik di dunia mahupun di akhirat kelak. Nilai bahagia tidak sama bagi setiap manusia di dunia. Ada yang bahagia apabila dikelilingi harta yang melimpah ruah. Ada yang berbahagia apabila segala hajat yang diingini tercapai. Namun, adakah itu bahagia yang sebenar menurut Islam? Adakah segala kebahagiaan yang kita rasa di dunia akan membawa kebahagiaan di alam akhirat? Bagaimanakah caranya untuk kita memperolehi kebahagiaan yang hakiki yang kekal hingga ke alam abadi?

Sehubungan itu, untuk menyingkap rasa bahagia bagi menyediakan prasarana jiwa untuk mendakap bahagia hakiki, terdapat garis panduan yang telah dinyatakan oleh Allah s.w.t melalui rasul-Nya Nabi Muhammad s.a.w. Hadits yang diriwayatkan oleh Saiyidina Shuhaib r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: "Aku sangat kagum akan keadaan orang yang beriman itu. Semua urusan (yang berlaku dalam hidupnya) baik belaka baginya yang mana keadaan itu hanya ada pada orang yang beriman. Jika dia mendapat nikmat dan kebaikan, maka dia akan bersyukur, dan ia adalah sesuatu yang baik baginya. Jika dia ditimpa musibah dan bencana, maka dia akan bersabar, dan itu adalah suatu yang baik baginya". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Hadits di atas menjelaskan kepada kita bahawa hidup ini sebenarnya adalah satu anugerah dan kebaikan kepada manusia. Segala yang berlaku dalam kehidupan manusia sama ada baik ataupun buruk itu merupakan suatu kebaikan jika mereka mengerti dan menghayati kehidupan ini dengan keimanan yang sebenar kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya orang yang beriman kepada Allah s.w.t akan merasakan bahawa hidup ini suatu medan penyempurnaan hakikat kehambaan dirinya kepada Allah s.w.t. Ini kerana mereka tahu tujuan mereka dihidupkan di dunia ini hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam Surah Az-Zariyaat ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ﴿٥٦﴾

Maksudnya: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku".

Para tetamu Allah sekalian,

Rasa kehambaan merupakan kunci dalam menghargai kehidupan kita di dunia yang fana' ini. Orang yang merasakan bahawa dirinya hanya seorang hamba kepada satu Zat yang Maha Agung Yang Menguasai sekalian alam ini, akan patuh dan taat hanya kepada Allah s.w.t. Seluruh hidupnya diserahkan hanya untuk Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-An'aam ayat 162:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ﴿١٦٢﴾

Maksudnya: "Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam".

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Ramai manusia gagal menikmati hidup sebagai suatu anugerah kerana tidak memiliki rasa kehambaan kepada Allah s.w.t. Akibatnya, mereka menderhaka kepada Allah s.w.t dengan melanggar perintah dan larangan-Nya. Mereka juga akan merasa kecewa, gundah gulana, keluh kesah, dilanda kesedihan dan kesengsaraan dalam meneruskan kehidupan. Terutama ketika dirundung malang. Adakalanya mereka hilang rasa kelazatan hidup di dunia ini. Walaupun pada zahirnya mereka tersenyum, namun nun jauh di sudut lubuk hatinya yang paling dalam ada sesuatu kekosongan yang tidak terisi oleh segala kesenangan dan kemewahan yang ada di dunia ini. Justeru, marilah kita kembali merasai diri sebagai hamba Allah demi untuk mendakap kebahagiaan yang hakiki.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Matlamat hakiki kehidupan di dunia ini ialah untuk menyembah Allah s.w.t. Sebagaimana ayat yang telah dibacakan tadi. Sejarah umat terdahulu telah membuktikan kepada kita melalui ayat Allah ini bahawa ramai manusia terdahulu yang telah jauh tersasar dari matlamat hakiki kehidupan di dunia ini. Firman Allah s.w.t dalam Surah Ar-Rum ayat 47:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ رُسُلًا إِلَىٰ قَوْمِهِمْ فَجَاءُوهُم بِالْبَيِّنَاتِ فَانتَقَمْنَا مِنَ الَّذِينَ أَجْرَمُوا ۖ وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ الْمُؤْمِنِينَ ﴿٤٧﴾

Maksudnya: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah menutuskan sebelummu (wahai Muhammad) rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan jelas nyata; kemudia Kami menyiksa orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang yang beriman".

Hadirin yang berbahagia,

Orang yang tidak tahu tujuan hidup sebenar di dunia ini merupakan orang yang paling malang sekali. Ini kerana, matlamat hidup merupakan suatu inti pati yang sangat penting, orang yang hidup tanpa tujuan, akan merasa kekosongan dan kesamaran dalam kehidupan seharian serta terus merasa rugi dengan usia dirinya sendiri. Maka untuk mengecapi rasa kebahagiaan yang hakiki, kita perlu mempunyai sebuah matlamat yang jelas di sebalik kehidupan ini, agar kita tahu apa yang perlu dilakukan dalam hidup ini tetapi hendaklah mati dalam husnul khatimah.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Alangkah malangnya orang yang hidup bertuhankan kebendaan di mana mereka mengabdikan seluruh hidupnya mencari dan mengumpul harta benda semata-mata. Mereka memuaskan hawa nafsu dengan harta benda yang mereka kumpul. Mereka sibuk mencari kekayaan di dunia sehingga mereka lupa akan adanya hari kebangkitan semula. Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Jasiyah ayat 24:

وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُ ۚ وَمَا لَهُم بِذَ‌ٰلِكَ مِنْ عِلْمٍ ۖ إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ ﴿٢٤﴾

Maksudnya: "Dan mereka berkata: Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia sahaja (iaitu) kita mati dan kita hidup , dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa. Dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah berprasangka sahaja".

Oleh itu, marilah kita mendakap kebahagiaan hakiki dengan kembali mengenali diri sendiri sebagai hamba Allah s.w.t. Kebendaan dan harta benda bukan ukuran kebahagiaan. Hidup ini bukanlah tempat untuk kita hidup dengan matlamat dan cara pilihan kita sendiri. Tetapi hidup ini ialah tenpat untuk kita jalani dengan matlamat dan cara hidup yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t kepada kita.

Hadirin yang dikasihi Allah sekalian,

Antara langkah terawal bagi seseorang menuju Allah s.w.t dalam mendakap bahagia hakiki ialah dengan meningkatkan ilmu agama. Ilmu agama adalah untuk menyempurnakan ibadat mereka supaya dapat menyinari kehidupan di akhirat kelak. Saiyidina Abu Hurairah r.a meriwayatkan hadits bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: "Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang tujuannya untuk mencapai keredhaan Allah, sedang ia tidak memperlajarinya melainkan untuk mendapat sesuatu bahagian dari dunia (harta benda atau pengaruh), nescaya ia tidak akan dapat mencium bau syurga, pada hari kiamat kelak". (Hadits riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Sebelum mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin menyeru kepada diri saya sendiri dan semua anggota masyarakat supaya:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa kebahagiaan yang hakiki adalah beriman kepada Allah s.w.t, sebaliknya orang yang mengejar keduniaan semata-mata tidak akan memperoleh kebahagiaan yang sebenar.

2. Umat Islam hendaklah menghayati dan mengamalkan semua ajaran Islam bertepatan dengan syariat sebagaimana diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk memperolehi kebahagiaan yang hakiki.

3. Umat Islam hendaklah meningkatkan jihad untuk melawan hawa nafsu dalam menjauhi dan meninggalkan segala tegahan Allah.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga tidak pernah jemu untuk menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment