Friday, June 8, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 23 RAMADHAN 1439 / 8 JUN 2018


MEREBUT GANJARAN AKHIR RAMADHAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ ﴿٣﴾ (Surah Ad-Dukhan ayat 3)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Merebut Ganjaran Akhir Ramadhan".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, pada hari ini kita berada pada tempoh sepuluh terakhir di bulan Ramadhan. Sebagaimana janji Allah s.w.t, bahawa dalam tempoh terakhir ini, terdapat satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar. Ganjaran pahala beribadat pada malam itu menyamai pahala seribu bulan. Kelebihan malam tersebut telah dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam Al-Qadr ayat 1 hingga 5:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ.
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿٣﴾ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ ﴿٤﴾ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ ﴿٥﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam Al-Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam Al-Qadr itu? Malam Al-Qadr itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar".

Mimbar ingin menyatakan, terdapat beberapa pandangan ulamak bahawa Allah s.w.t mengurniakan Lailatul Qadar buat umat Nabi Muhammad s.a.w. Menurut Imam Malik, Rasulullah s.a.w melihat umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah s.w.t memberikan peluang supaya umatnya dapat beramal dengan nilai yang sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam Al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah s.a.w diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang panjang usianya. Purata usia umat Muhammad s.a.w di antara 60 hingga 70 tahun. Oleh itu Allah s.w.t menawarkan malam Al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan. Rasulullah s.a.w apabila berada pada sepuluh malam yang terakhir baginda mencari kelebihan Lailatul Qadar dengan menghidupkan malam-malam tersebut sebagaimana disebut dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Saiyidatina 'Aishah radhiAllahu 'anha:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

Maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadhan, baginda mempertingkatkan amal ibadah, menghidupkan malam dan membangunkan ahli keluarganya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Mimbar yang mulia ini menyeru sidang Jumaat dan umat Islam sekalian, marilah kita mencari ganjaran Lailatul Qadar dengan mempertingkatkan amal-amal soleh dan kebajikan seperti mengadakan qiyamullail, beriktikaf di masjid-masjid, bertadarus Al-Quran, memperbanyakkan zikir-zikir, memperbanyakkan solat-solat sunat, menghadiri kuliah ataupun tazkirah Ramadhan, melakukan sedekah sama ada kepada fakir miskin, anak yatim dan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi menyebut mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadar, katanya: "Apa yang harus dilakukan oleh seorang muslim pada tersebut ialah, bersolat Isyak secara berjamaah, solat Subuh berjamaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail". Kita juga dituntut memperbanyakkan berdoa terutama doa khusus untuk malam Al-Qadar. Iaitu sepertimana yang diriwayatkan daripada Saiyidatina 'Aishah radhiAllahu 'anha:

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا قَالَ قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah, seandainya saya mengetahui malam Lalilatul Qadar, apa yang patut saya akan doakan pada saat itu? Baginda menjawab, berdoalah dengan doa berikut; Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan atas kesalahan hamba-Mu, oleh itu maafkanlah segala kesalahanku". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam merebut ganjaran pada akhir Ramadhan ini, sebagai umat Islam, kita juga diwajibkan membayar zakat fitrah sebagaimana disebut dalam sebuah hadits daripada Saiyidina Ibnu 'Abbas r.a:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ

Maksudnya: "Rasulullah s.a.w telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa daripada perkataan sia-sia dan perkataan yang buruk dan juga untuk menjadi makanan orang miskin. Oleh itu, sesiapa yang menunaikannnya sebelum hari raya maka ia menjadi zakat fitrah, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain". (Hadits riwayat Imam Abu Dawud)

Islam mensyariatkan zakat fitrah, agar setiap orang yang berpuasa dapat menghayati watak sebenar manusia yang mahu kembali kepada fitrah. Apabila berpuasa, maka umat Islam dididik untuk menghayati erti kesusahan, kelaparan dan menginsafi kehidupan. Zakat fitrah seolah-olah menjadi kemuncak kepada menghayati kesusahan dan erti kelaparan itu. Ramadhan wajib dilunasi dengan memberikan sedikit kekayaan yang dimiliki kepada orang miskin yang hakikatnya sentiasa merasai keperitan hidup. Sebab itulah, orang yang berpuasa dengan sepenuh hati, maka mereka akan benar-benar memahami kewajipan zakat fitrah ini dan akan segera menunaikannya, demi mendapat ganjaran besar di sisi Allah s.w.t.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Kita semua menyedari bahawa, pada waktu dan saat begini, kemeriahan menyambut Eidul Fitri semakin dirasai. Masing-masing sudah berkira-kira merancang untuk pulang ke kampung halaman. Justeru, mimbar ingin menasihatkan sidang jamaah dan umat Islam sekalian, agar berhati-hati dan bersabar semasa memandu kenderaan untuk pulang ke kampung halaman. Pastikan kenderaan diselenggara dan berada dalam keadaan baik dan sempurna. Mulakan perjalanan dengan membaca doa dan patuhilah segala peraturan di jalanraya. Ingatlah, kepulangan kita dinanti insan yang tersayang dengan kegembiraan, bukannya dengan tangisan kesedihan berpanjangan.

Sebagai orang yang beriman dan bertaqwa, sifat bersabar, mematuhi peraturan jalanraya, menjaga keselamatan diri dan orang lain, mematuhi arahan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ), Polis Diraja Malaysia serta agensi yang lain, akan menjadi pelengkap kepada nilai ketaqwaan terhadap Allah s.w.t. Mudah-mudahan, amalan bersabar di jalanraya dapat mengelakkan berlakunya kecelakaan pada saat kita menyambut hari kemenangan ini. Amalkanlah didikan Ramadhan dalam membantu insan yang sabar dalam apa jua keadaan. Mimbar juga berpesan semasa kita pulang cuti beraya, pastikan keselamatan rumah dalam keadaan terjamin dengan pintu dan pagar dikunci, bekalan elektrik dipadam, memaklumkan kepada jiran serta melaporkan kepada pihak keselamatan ataupun polis semasa ketiadaan kita di rumah.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pertama pada minggu ini marilah sama-sama kita merebut ganjaran pada akhir Ramadhan ini dengan mengambil langkah-langkah seperti berikut:

Pertama: Mempertingkatkan amal ibadah dengan mencari kelebihan Lailatul Qadar, kerana ia adalah satu anugerah Allah s.w.t kepada hamba-Nya.

Kedua: Sebagai umat Islam beriman, janganlah kita lalai dengan kesibukan mengejar dunia dan persiapan hari raya hingga kita lupa mempersiapkan amal soleh sebagai bekalan bertemu dengan Allah s.w.t.

Ketiga: Sebagai pelengkap ibadah pada bulan yang mulia ini, jangan kita lupa menunaikan zakat fitrah demi mendapat ganjaran yang besar dari Allah s.w.t.

Keempat: Sekali lagi mimbar berpesan, semasa musim perayaan ini, kita hendaklah memandu dengan sabar dan mematuhi segala peraturan. Ingatlah keselamatan kita sekeluarga berada di tangan kita sebagai pemandu.

Mudah-mudahan Ramadhan yang kita tempuhi tahun ini akan menjadi titik perubahan dalam diri kita, menjadi insan bertaqwa dan diredhai Allah di dunia dan di akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

1 comment:

  1. Alhamdulillah...syukron jazilan. Smoga ia jadi panduan & manfaat utk kita bersama...

    ReplyDelete