Friday, June 1, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 16 RAMADHAN 1439 / 1 JUN 2018


RAMADHAN MEDAN TARBIAH DIRI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
قُلْ يَا عِبَادِ الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۗ وَأَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةٌ ۗ إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ ﴿١٠﴾ (Surah Az-Zumar ayat 10)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Ramadhan Medan Tarbiah Diri".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Kita merasa sangat bersyukur kerana ketika ini kita masih diberikan kesempatan oleh Allah s.w.t untuk menghadapi fasa kedua di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak. Jelasnya, Ramadhan yang sedang kita tempuhi ini adalah bulan tarbiah yang mendisiplinkan diri, melatih peribadi, jasmani dan rohani ke arah menjana iman dan taqwa serta menghindari perkara-perkara maksiat, mungkar dan sia-sia.

Di samping itu, bulan ini menjadi lebih istimewa dengan keagungan Al-Quran yang diturunkan padanya sekaligus menjadi sumber kekuatan dan panduan sepanjang zaman kepada kita semua. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ ... ﴿١٨٥﴾

Maksudnya: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dua perkara yang perlu kita jaga dalam kehidupan adalah masa dan bagaimana memanfaatkan masa kerana waktu berlalu bagai arus sungai yang lurus, begitu pantas serta tidak akan berpatah balik. Seperti Ramadhan ini, akan terus berlalu tanpa menunggu kita yang leka tidak mengejarnya.

Alangkah ruginya jika kita tidak dapat memanfaatkan waktu pada bulan yang mulia ini untuk mempertingkatkan amal kepada Allah s.w.t dari masa ke semasa. Kata Ibnu Mas'ud: "Waktu yang aku sesali adalah jika pagi hingga matahari terbenam, amalku tidak bertambah sedikit pun, pada hal aku tahu saat ini umurku telah berkurang".

Ingatlah, jika kita tidak mengambil peluang keemasan pada Ramadhan ini, Ramadhan akan datang belum tentu kita bertemunya lagi. Lihatlah berapa ramai sahabat dan saudara kita yang telah dipanggil pulang oleh Allah s.w.t ke pangkuan-Nya, sebulan malah ada yang sehari sebelum datangnya Ramadhan.

Oleh itu, gunakan masa sebaik mungkin dengan mengimbangkan antara keperluan kehidupan dunia dan akhirat. Sesungguhnya jika kita mendahulukan akhirat, dunia akan mengekori tetapi jika mendahulukan dunia, akhirat akan tercicir.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Tarbiah Ramadhan saban tahun ini hendaklah dijadikan sebagai agenda penting dalam pembentukan sakhsiah kita sebagai umat Islam. Usahlah kita alpa sehingga tergamak meninggalkan kefardhuan ini tanpa keuzuran yang dibenarkan syara'. Sesungguhnya perbuatan ini amat dibenci oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana sabda baginda s.a.w yang diriwayatkan oleh Saiyidina Abu Hurairah r.a:

مَنْ أَفْطَرَ يَوْمًا مِنْ رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ رُخْصَةٍ وَلَا مَرَضٍ لَمْ يَقْضِ عَنْهُ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ وَإِنْ صَامَهُ

Maksudnya: "Sesiapa yang berbuka puasa (tidak berpuasa) sehari daripada bulan Ramadhan tanpa rukhsah dan sakit yang diizinkan Allah, tidak memadai sekalipun ia qadha puasa tersebut selama-lamanya". (Hadits riwayat Imam Tirmidzi)

Tuntasnya, Islam memandang serius berhubung pelaksanaan ibadat puasa Ramadhan. Bahkan, ia adalah salah satu paksi dan rukun Islam yang mesti ditegakkan dalam kehidupan seharian umat Islam. Meninggalkan puasa Ramadhan tanpa alasan atau tanpa uzur syar'ie merupakan dosa besar yang tidak mungkin dapat digantikan dengan qadha puasa dari sudut nilainya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Demi menjaga maruah agama Islam di negeri ini, Kerajaan Negeri Perak melalui Jabatan Agama Islam Perak telah melaksanakan kempen kesedaran bagi menghormati bulan Ramadhan. Operasi penguatkuasaan telah digerakkan seluruh negeri Perak dengan rondaan ke premis jualan makanan, poster kesedaran serta nasihat kepada umat Islam yang cuba melakukan kesalahan tidak menghormati bulan Ramadhan. Walaupun terdapat segelintir umat Islam memberikan alasan sakit atau bermusafir yang membolehkan mereka berbuka puasa namun, makan, minum serta menghisap rokok di tempat awam adalah tetap menjadi satu kesalahan.

Imej agama Islam dan institusinya akan tercalar terutama bagi pandangan orang bukan Islam yang melihat lemahnya umat Islam dalam menghormati bulan Ramadhan dan kewajipan puasa yang dipikul oleh umat Islam keseluruhannya.

Sidang jamaah sekalian,

Bersedekah merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Lebih-lebih lagi dikerjakan dalam bulan Ramadhan. Sifat pemurah umat Islam di Malaysia kini tidak boleh dinafikan dengan segala bantuan, infaq dan derma mereka kepada yang lebih memerlukan. Kerajaan Negeri Perak memandang serius isu pungutan derma khairat yang berleluasa dalam negeri ini. Bertepatan dengan bulan Ramadhan yang menggalakkan orang ramai bersedekah, pihak kerajaan negeri menyeru kepada seluruh umat Islam di negeri ini agar berhati-hati dalam menghulurkan bantuan tanpa usul periksa kerana dikhuatiri merugikan mereka dan memberi keuntungan kepada individu yang mengambil kesempatan. Semua aktiviti kutipan derma atau khairat di negeri ini perlu mendapatkan kebenaran Majlis Agama Islam Adat Melayu Perak (MAIPk). Hal ini bagi mengelakkan penipuan atau penyalahgunaan hasil kutipan tersebut. Perkara ini tertakluk dengan Seksyen 95 (4) dan (5) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.

"Tiada seorang pun boleh membuat atau mengambil bahagian dalam apa-apa pemungutan wang bagi apa-apa maksud kecuali dengan kebenaran nyata daripada Majlis. Mana-mana orang yang melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pertama pada hari ini, enam nilai tarbiah di dalam bulan Ramadhan yang perlu diambil perhatian iaitu:

Pertama: Puasa dapat mengawal emosi. Bersesuaian dengan hakikat puasa iaitu menahan diri dari makan dan minum serta hawa nafsu.

Kedua: Puasa mendidik erti kejujuran. Tiada orang yang melihat dan tiada ada orang yang tahu kecuali diri kita dan Allah s.w.t.

Ketiga: Puasa mendorong dan mendidik manusia agar selalu meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Berdasarkan peristiwa penurunan Al-Quran (Nuzul Al-Quran) melalui Surah Al-'Alaq ayat 1 hingga 5 sebagai ayat yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Keempat: Puasa mendidik erti kebersihan. Dalam ibadat puasa, tidak kira mereka yang memiliki lebih atau kurang hartanya, tinggi atau rendah pangkatnya tetapi sama-sama melalui situasi lapar dan dahaganya berpuasa.

Kelima: Puasa mendidik sikap berdisiplin. Puasa adalah ibadah rahsia di kaca mata manusia yang boleh menerapkan sikap disiplin diri dan sentiasa merasakan diri diawasi (muraqabah) oleh Allah s.w.t.

Keenam: Puasa mendidik erti kesabaran. Walau diri kita merasa lapar dan dahaga yang teramat sangat serta sekalipun makanan yang hendak dimakan tersebut adalah halal namun perlu menunggu sehingga masa waktu maghrib atau waktu berbuka puasa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar tidak pernah berhenti menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment