Friday, May 4, 2018

KHUTBAH JUMAAT DEWAN ULAMAK PAS PUSAT - 18 SYAABAN 1439 / 4 MEI 2018


KEWAJIPAN MENGUNDI DAN MEMILIH PEMIMPIN

Khutbah Pertama

إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ، نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنُؤْمِنُ بِهِ وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْهِ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ...
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 


Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaa Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala yang ditegah-Nya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah s.w.t:

قَالَ اللهُ تَعَالَى: (يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ ﴿٢٦﴾)

Yang bermaksud: "Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi. Maka berilah keputusan perkara di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan". [Surah Shad: 26]

Ayat ini jelas menerangkan kewajipan melantik pemimpin. Kepimpinan dilantik mempunyai tanggungjawab besar dalam memimpin umat berlandaskan syariat Allah Ta'ala. Pemimpin mesti menguruskan negara dengan amanah dan kebijaksanaan, menyelesaikan masalah rakyat dengan penuh keadilan. Pemimpin mestu menjadikan hukum syariat dijunjung dan didaulatkan dalam segenap aspek kehidupan.

Kepimpinan merupakan satu wasilah untuk menegakkan Islam dan hukum-hukumnya. Imam Al-Mawardi menyatakan bahawa:

(الْإِمَامَةُ مَوْضُعَةُ لِخِلاَفَةٍ النُّبُوَّة)

Yang bermaksud: Kepimpinan ditegakan bagi menggantikan urusan kenabian dalam menjaga agama".

Sidang Jumaat yang berkati Allah sekalian,

Apabila politik menjadi sebahagian daripada ajaran Islam, maka kewajipam memilih pemimpin adalah sebahagian daripadanya. Dalam sistem demokrasi diadakan pilihanraya dengan mensyaratkan sesorang itu mendaftarkan diri menjadi pemilih yang membolehkannya mengundi.

Walaupun demokrasi pada hari ini telah dikuasai oleh sistem barat, namun tidak boleh dipisahkan daripada kewajipan politik yang ditegaskan oleh hukum Islam selagi tidak bercanggah dengan dasar dan konsep Islam yang sempurna, teguh dan anjal. Pemerintahan Islam di sepanjang zaman keemasannya menerima segala yang baik daripada semua bangsa yang bertamadun dan mengislahkan kelemahan serta menolak kemungkaran.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Islam menempa sejarah politik ketika wafatnya Rasulullah s.a.w, para sahabat ridhwanullah 'anhum ajma'in di kalangan Muhajirin dan Anshar yang mewakili semua kumpulan dan kelompok melaksanakan konsep syuro yang disebut di dalam Al-Quran. Mereka berhimpun di tempat bernama Tsaqifah Bani Sa'adah yang sekarang dibina kompleks percetakan Al-Quranul Karim.

Tujuan perhimpunan itu adalah bagi memilih khalifah (ketua negara) menggantikan Rasulullah s.a.w selepas kewafatannya. Ini menunjukkan betapa besarnya kewajipan memilih pemimpin dalam ajaran Islam, sehingga lebih diutamakan daripada mengkebumikan jasad baginda Rasulullah s.a.w.

Ada tiga calon yang dicadangkan, kalangan Anshar (penduduk asal Madinah) mencalonkan pemimpin mereka Sa'a bin 'Ubadah r.a, adapun keluarga Rasulullah s.a.w dan beberapa orang yang lain mencalonkan 'Ali bin Abi Talib karamallahu wajhah (menantu dan sepupu Rasulullah s.a.w), kalangan Muhajirin pula mencalonkan Abu Bakr r.a daripada Muhajirin kabilah Quraisy. Apabila mereka mendengar hadits Rasulullah s.a.w:

(الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ)

Yang bermaksud: "Para pemimpin utama hendaklah daripada Quraisy".

Akhirnya Abu Bakr r.a dipilih menjadi khalifah. Para ulamak yang menulis menegaskan dalil mafhum daripadanya adalah kemestian memilih pemimpin muslim yang mempunyai kelayakan daripada kaum yang paling kuat pengaruhnya dalam masyarakat. Syarat muslim kerana Islam menjadi aqidah negara, manakala syarat Quraisy kerana dominasi dalam masyarakat.

Kuasa khalifah Abu Bakr r.a tidak mutlak dan pentadbirannya secara syuro yang melibatkan anggota kabinet di kalangan pemimpin para sahabat dan masyarakat umum yang bebas menasihati dan mengkritik, berprinsipkan patuh kepada hukum tertinggi Al-Quran dan As-Sunnah serta menghayati amalan syuro.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Cara pemilihan pemimpin sentiasa berubah mengikut perkembangan masyarakat dan zamannya seperti juga hukum Islam yang lain. Contohnya, rukun haji, tidak lagi musafirnya melalui jalan darat sama ada menaiki unta atau berjalan kaki sahaja. Zaman kini perjalanannya melalui udara dengan pesawat dan keselamatannya melalui visa. Maka semuanya menjadi wajib kerana termasuk di dalam kaedah hukum syara':

(مَا لاَ يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلاَّ بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ)

Yang bermaksud: "Apa-apa yang tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib juga".

Begitulah juga perubahan masyarakat dan zaman dalam amalan politik yang mengadakan pilihanraya umum pada hari ini, tidak boleh dipisahkan daripada kewajipan politik yang menjadi sebahagian daripada syariat Islam.

Rasulullah s.a.w telah memberi amaran kepada umatnya yang cuai melaksanakan kewajipan ini di akhir zaman menyebabkan kemusnahan mereka.

Sabda baginda s.a.w:

لَيُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ

Yang bermaksud: "Demi sesungguhnya (akan berlaku) dirungkainya tali simpulan teguh yang mengikat ajaran Islam. Satu demi satu. Apabila satunyadirungkai menyebabkan orang ramai menjadi berselerak terpaksa berpegang dengan simpulan ikatan yang ada selepasnya. Perkara pertama yang dirungkai ialah hukum (yang berkait dengan pemerintahan negara) atau politik dan yang terakhirnya ialah sembahyang". [Riwayat Imam Ahmad]

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Imam Al-Ghazali yang banyak menulis berkenaan tasawwuf juga memberi perhatian khusus dalam aspek pemerintahan negara dalam kitabnya yang berkait dengan aqidah menegaskan: "Agama menjadi asas, kuasa pemerintahan (politik) menjadi penguasanya. Kalau tidak ada asas menyebabkan runtuh dan kalau tidak ada penguasa menjadikan hukum agama itu sia-sia sahaja".

Banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadits-hadits yang menunjukkan betapa Allah Ta'ala dan rasul-Nya sangat murka terhadap orang yang tidak mengambil perhatian terhadap kepentingan umat sehingga menerima bencana yang memusnahkan semuanya.

Maka hendaklah difahami betapa mendaftarkan diri untuk menjadi pengundi di zaman kini adalah satu kewajipan agama yang besar terhadap setiap lelaki dan perempuan apabila mempunyai kelayakan.

Allah s.w.t berfirman:

قَالَ اللهُ تَعَالَى: (وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُم ﴿٣٨﴾)

Yang bermaksud: "Dan jika kalian berpaling nescaya Dia akan menggantikan kalian dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan seperti kalian...". [Surah Muhammad: 38]

Sidang Jumaat yang dihormati.

Urusan menegakkan Islam dengan menjadi pemerintah adalah kewajipan besar bagi umat Islam. Adapun ada pihak yang tidak bertanggungjawab datang menghasut supaya tidak terlibat dengan politik adalah warisan peninggalan penjajah supaya umat ini lemah dan hilang kuasanya. Akhirnya menjadi hamba kepada sesiapa yang mengambil kuasa.

Mengundi bukan sahaja memilih pemimpin bagi pihak rakyat, bahkan tanggungjawab mengundi adalah melantik wakil rakyat, untuk melaksanakan amar ma'aruf dan nahi mungkar yang menjadi tonggak penting dalam menjaga jati diri umat melalui kekuasaan. Mengundi juga dapat menjadi hakim terhadap kerajaan dengan melakukan hisbah di sepanjang pemerintahannya.

Konsep ini berdasarkan kepada firman Allah s.w.t:

قَالَ اللهُ تَعَالَى: (وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾)

Yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya". [Surah Ali-'Imran : 104]

Sabda rasulullah s.a.w:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ

Yang bermaksud: "Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman kekuasaan-Nya. Kamu hendaklah menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau kalau kamu tidak melaksanakannya, hampirlah Allah akan menghukum kamu dengan balasan daripada-Nya, tiba-tiba doa kamu tidak diperkenankan". [Riwayat Imam At-Tirmidzi]

Untuk memilih pemimpin, kriteria yang paling penting bagi mereka ialah ilmu, begitu juga sifat kuat dan amanah. Ilmu amat penting untuk membolehkan mereka memimpin dengan adil berlandaskan syariat maka wujud pemimpin yang akan membawa negara dan masyarakat  menuju keredhaan Allah Ta'ala dalam kepimpinannya.

Kriteria ini diambil dari kisah Talut kerana kriteria ini merupakan asas kepada pemilihan Talut sebagai pemimpin seperti yang disebutkan oleh Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat (246) hingga ayat (250).

Kekuatan bermaksud mampu untuk mentadbir dari sudut fizikal dan mental, mampu berfikir dan menyelesaikan permasalahan masyarakat, mempunyai daya kreativiti yang tinggi, bersifat bijaksana serta berkemampuan memimpin dengan penuh keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Manakala amanah pula merujuk kepada seorang jujur dan boleh dipercayai, seorang yang tidak mengambil kesempatan dengan kedudukan diperoleh untuk kepentingan serta menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin, bersikap benar dalam kata-kata dan tiak memungkiri janji.

Di akhir zaman ini kita melihat ramai orang menonjolkan diri mereka sebagai hebat dan amanah akibat dari publisiti murahan media baharu, pada hakikatnya mereka jauh dari sifat berkenaan apatah lagi dengan sifat ilmu dan kefahaman agama.

Mereka cuba bercakap perihal hukum Islam padahal mereka jauh tersasar daripada landasan Islam yang sebenar. Mereka bercakap isu keadilan sedangkan hukum Allah diperkecilkan, mereka bercakap isu keamanan sedangkan jenayah dan maksiat gagal dicegah.

Rasulullah s.a.w memberi amaran kepada kita bahaya snawatun khadda'ah iaitu era fitnah seperti yang disebut dalam hadits Ruwaibidhah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

Yang bermaksud: "Dari Abu Hurairah dia berkata Rasulullah s.a.w bersabda; Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu helah yang mana pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Pengkhianat akan diberi memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat dan orang yang berpeluang bercakap ialah golongan Ruwaibidhah, ada sahabat bertanya; Apakah dia Ruwaibidhah itu, Nabi s.a.w menjawab; Orang yang tidak pandai tetapi berbicara tentang urusan orang ramai". [Riwayat Imam Ahmad dan Imam Ibnu Majah]

Oleh itu menjadi kewajipan kepada setiap muslim memilih pemimpin yang berilmu dan berakhlak tinggi untuk membawa masyarakat menuju keredhaan Allah Ta'ala seterusnya memimpin negara menjadi maju dan dilimpahi dengan rahmat dan berkat.

Janganlah kita salah memilih pemimpin yang hanya pandai berkata-kata sedangkan mereka tidak memahami Islam dan melaksanakan syariat. Jika salah kita memilih pemimpin maka bukan sekadar hidup dalam kesusahan bahkan mungkin terheret dalam kesesatan yang dibawa. Al-Quran telah menceritakan kisah rakyat dan pemimpin yang tenggelam dalam kesesatan.

Firman Allah s.w.t:

قَالَ اللهُ تَعَالَى: (وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا ﴿٦٧﴾)

Yang bermaksud: "Dan mereka berkata; Wahai Tuhan kami sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar". [Surah Al-Ahzab : 68]

Kesimpulannya kita hendaklah memilih pemimpin yang layak menjalankan tugas kepimpinan berlandaskan syariat. Sekiranya kita silap memilih pemimpin dalam undian pilihanraya akan datang, maka kita dikira berdosa  kerana cuai dalam menjalankan amanah yang dipertanggung jawabkan .

Firman Allah s.w.t:

قَالَ اللهُ تَعَالَى: (۞ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا ... ﴿ ٥٨﴾)

Yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerima". [An-Nisa' : 58]

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada tanggal 9 Mei ini adalah hari mengundi untuk menentukan corak dan halatuju pentadbiran negara Islam yang tercinta ini. Menurut fatwa Dr. Yusuf Al-Qardhawi mengatakan bahawa melaksanakan tanggungjawab mengundi untuk memilih pemimpin adalah wajib. Maka tunaikanlah tanggungjawab agar kita dapat memilih pemimpin yang berkelayakan untuk mentadbir negara dan menjaga agama kita ini. Umat Islam hendaklah meletakkan kepentingan agama dan umat Islam mengatasi segala-galanya. Dalam kesibukan kita berkempen jagalah etika seorang muslim yang beriman. Jauhilah penyebaran fitnah dan perkara yang mengaibkan individu muslim. Kekuatan dan perpaduan umat Islam adalah senjata yang ampuh bagi membolehkan segala ajaran Islam dapat dilaksanakan dengan jayanya di bumi tercinta ini. Musibah yang menimpa umat Islam di luar negara sepatutnya menjadikan kita lebih insaf untuk sentiasa bermuhasabah terhadap umat dan negara di masa akan datang.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar tidak pernah berhenti menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment