Friday, May 18, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 2 RAMADHAN 1439 / 18 MEI 2018


RAMADHAN BULAN RAHMAT

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾ (Surah Al-Baqarah ayat 183)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Ramadhan Bulan Rahmat".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sedar ataupun tidak bahawa kita sudah berada di dalam bulan Ramadhan. Bulan yang mulia ini merupakan peluang bagi kita untuk menambah amalan, sama ada ianya dalam tuntutan wajib ataupun sunat dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Maka dengan ketibaan bulan yang penuh barokah ini mimbar ingin menyeru kepada jamaah sekalian untuk sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita kepada Allah s.w.t. Saiyidina Abu Hurairah r.a meriwayatkan hadits Rasulullah s.a.w bersabda:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Maksudnya: "Setiap amalan anak-anak Adam itu dilipat gandakan, satu kebajikan dilipat gandakan dengan 10 sehingga 700 kali ganda. Allah berfirman: Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk-Ku. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika ia menjumpai Tuhannya. Dan bau mulut orang yang berpuasa di hadapan Allah lebih harum dari wangian kasturi". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Rasulullah s.a.w pernah berpidato di tengah-tengah para sahabat di akhir bulan Sya'aban, di antara isi pidatonya: Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi dengan satu bulan yang agung dan penuh berkat. Di bulan itu terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Di bulan itu juga Allah menjadikan puasa sebagai kewajipan dan solat malam sebagai bentuk ibadat. Sesiapa berusaha mendekatkan diri kepada-Nya dengan bentuk ibadat sunat, maka pahalanya seperti melakukan ibadat fardhu di luar bulan ini dan sesiapa melakukan ibadat fardhu dalam bulan ini, pahalanya digandakan 70 kali. Ia adalah bulan kesabaran dan pahala sabar adalah syurga, ia adalah bulan kebersamaan, bulan di mana rezeki orang-orang beriman akan ditambah. Sesiapa yang memberi makan untuk berbuka kepada orang lain, maka dosa-dosanya akan diampuni dan dibebaskan dari api neraka.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Pada bulan Ramadhan umat Islam diwajibkan berpuasa kerana dengan puasalah nafsu akan terdidik dan jiwa akan terpelihara. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".

Secara ringkasnya mimbar ingin menyatakan bahawa perkataan puasa bererti menahan diri daripada segala yang dilarang-Nya serta mengikuti apa yang diperintahkan-Nya. Hal ini dapat diwujudkan dengan adanya perasaan taqwa kepada Allah s.w.t.

Maka dalam situasi ini kita hendaklah mengambil peluang untuk menguatkan jiwa dan rohani dengan melaksanakan ibadat puasa dan mengerjakan amal ibadat yang lain seperti solat terawih dan membaca Al-Quran sesuai dengan kemuliaan dan kebesaran bulan ini. Persoalan besar timbul di sini, bagaimanakah caranya untuk kita menyambut kedatangan bulan yang mulia ini dan melakukan ibadat puasa? Mimbar yang mulia ingin menarik perhatian mengenainya, antaranya ialah:

Pertama: Memantapkan ilmu agama. Oleh itu, penuhilah diri dengan ilmu-ilmu tentang ibadat puasa berdasarkan sumber-sumber yang benar dan shahih yang merangkumi rukun-rukun, perkara sunat, perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa dan segala yang berkaitan dengan ibadat puasa.

Kedua: Berjihad melawan nafsu, iaitu dengan membina keazaman yang tinggi untuk melaksanakan segala amalan di bulan Ramadhan ini dan mengejar segala kebaikan dan kelebihannya. Imam Al-Ghazali pernah berpesan bahawa nafsu tidak dapat dikalahkan melainkan ianya dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan istiqamah.

Ketiga: Menjaga dan memelihara kesihatan antaranya dengan mengambil makanan yang berkualiti dan selamat. Menurut Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, apa yang dimaksudkan dengan makanan sihat ialah makanan yang bersih daripada kuman berbahaya, racun, kekotoran dan juga bersih daripada najis serta bahan-bahan bahaya yang lain. Bagi melaksanakan perkara ini kita hendaklah mengamalkan sikap berhati-hati sebelum membeli makanan, ia bertujuan untuk memastikan kita tidak membeli makanan yang telah rosak yang akan mengakibatkan tubuh badan kita mendapat penyakit.

Secara tidak langsung, ia akan mengganggu ibadat puasa kita. Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadat puasa. Kecergasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan Ramadhan tubuh badan memerlukan tenaga bagi melaksanakan segala amalan seperti solat sunat terawih. qiyamullail, membaca Al-Quran dan sebagainya.

Keempat: Sentiasa berdoa. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang dimakbulkan segala doa dan hajat. Maka rebutlah peluang ini dengan memperbanyakkan doa kepada Allah. Semoga segala doa yang dipohon itu akan mendekatkan kita dengan-Nya.

Kelima: Memperbanyak menyebut dan berzikir mengingati Allah s.w.t dan memperbanyakkan selawat ke atas Nabi s.a.w. Kita juga dituntut memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadhan. Perkara ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita bagi melakukan seberapa banyak amalan di dalam bulan yang mulia ini. Kita juga dituntut menjauhi perbuatan mengumpat, fitnah, bergossip dan menyebarkan keaiban seseorang melalui lisan mahupun alam maya. Usahlah kita terpengaruh dengan musuh-musuh Islam yang sengaja memanipulasi alam maya bagi membawa kehancuran dan melemahkan umat Islam.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sedarlah bahawa kita adalah makhluk ciptaan Allah yang tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan sama ada dosa besar atau kecil. Sebagai makhluk ciptaan-Nya, maka Allah s.w.t Maha Mengetahui cara dan kaedah yang sesuai untuk membaiki, membaik pulih dan mempertingkatkan iman dan akhlak manusia. Selari dengan kelemahan makhluk itu, maka Allah s.w.t menawarkan kepada umat Islam bulan Ramadhan dengan keampunan dan pahala yang berganda serta mengembalikan fitrah akhlak manusia. Rasulullah s.a.w bersabda daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Oleh itu, mengambil kesempatan di dalam bulan yang penuh dengan nikmat ini, mimbar yang mulia ini menyeru para jamaah dan umat Islam sekalian, inilah masanya untuk kita memberi tumpuan kepada tawaran ibadat yang amat teristimewa ini daripada Allah s.w.t. Yakinlah, ibadat puasa yang dilakukan dengan sempurna pasti mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa kita menjadi lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertaqwa kepada Allah s.w.t.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Seiringan dengan kehadiran bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, sesungguhnya ketua keluarga merupakan tonggak utama yang berfikiran terkehadapan dalam kehidupan sebuah keluarga. Lantaran itu, bapa atau suamilah berkewajipan memberi nafkah dan pakaian terhadap isteri dan anak-anak. Justeru, perbelanjaan berhemah perlu diutamakan oleh bapa atau suami demi menyusun ekonomi rumah tangga dan menjamin keharmonian hidup berkeluarga, lebih-lebih lagi kesabaran mengawal emosi dan godaan nafsu ketika berhadapan dengan suasana di bulan Ramadhan. Di samping itu, sebagai ketua keluarga, kita haruslah juga membimbing keluarga kita untuk melaksanakan segala ibadat dengan betul dan sempurna. Tariklah nafas keimanan dan jadilah contoh yang terbaik buat isteri dan anak-anak kita. Elakkan mereka daripada melakukan maksiat terutamanya yang melibatkan pandangan, penglihatan, lidah, pendengaran dan sebagainya. Ingatlah, berpuasa bukan hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga semata-mata, tetapi juga memelihara anggota dan pancaindera dari segala perbuatan mungkar dan maksiat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sekali lagi mimbar menyeru marilah kita sama-sama menyambut kehadiran Ramadhan kali ini dengan penuh ketaqwaan dan membuat persiapan dengan sebaik mungkin. Bulan barokah ini merupakan anugerah Allah s.w.t kepada hamba-Nya yang hanya datang setahun sekali. Ambillah ruang dan masa dengan melakukan perkara-perkara kebaikan kerana mungkin pada tahun yang mendatang kita tidak menemuinya lagi. Mengakhiri khutbah ini marilah kita sama-sama merenung firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nahlu ayat 97:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿٩٧﴾

Maksudnya: "Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberi pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan".


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar tidak pernah berhenti menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment