Friday, May 4, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 18 SYAABAN 1439 / 4 MEI 2018


PELIHARA AGAMA PERKUKUH NEGARA


Khutbah Pertama



الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Pelihara Agama Perkukuh Negara".

Muslimin yang dikasihi sekalian,

Sebagai hamba Allah s.w.t, kita wajib bersyukur kepada-Nya yang telah mengurniakan nikmat keamanan, perpaduan dan kemakmuran kepada negara kita. Malah, kepada-Nya jualah kita memohon agar nikmat ini berkekalan sehingga ke generasi akan datang. Bagi muslim yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t tentunya nikmat ini menjadi cita-cita dan harapan untuk dikecapi di dunia hingga akhirat. Inilah hasil iman dan taqwa yang disemai dalam jiwa mereka yang sentiasa menghayati Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Firman Allah s.w.t di dalam Surah An-Nahl ayat 30:

۞ وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنزَلَ رَبُّكُمْ ۚ قَالُوا خَيْرًا ۗ لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۚ وَلَدَارُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٠﴾

Bermaksud: "Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa; Apakah telah diturunkan oleh Tuhan kamu? Mereka menjawab; Kebaikan. Bagi orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini (mereka) beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi. Dan sememangnyalah negeri akhirat itu sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa".

Menurut Imam Ibnu Katsir rahimahullah, kebaikan yang dimaksudkan oleh ayat tersebut ialah rahmat dan keberkatan bagi sesiapa yang menuruti dan beriman dengan Allah, menerusi ayat ini juga, Allah s.w.t telah menzahirkan janji dan memberikan jaminan kepada hamba-hamba-Nya yang beramal soleh di atas muka bumi ini bahawa mereka bakal dikurniakan kebaikan di dunia dan akhirat.

Muslimin yang dimuliakan,

Setiap manusia di dunia ini mesti mempunyai perasaan cintakan negara. Lantaran itu, perasaan cinta dan kasih kepada tanahair ini adalah merupakan fitrah dan anugerah yang Allah s.w.t kurniakan kepada para hamba-Nya. Ia bukanlah sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Islam. Malah sifat cintakan tanahair ini turut dizahirkan oleh baginda Nabi s.a.w. Hadits daripada Saiyidina Abu Hamid Al-Anshari r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

أَقْبَلْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ غَزْوَةِ تَبُوكَ حَتَّى إِذَا أَشْرَفْنَا عَلَى الْمَدِينَةِ قَالَ هَذِهِ طَابَةُ وَهَذَا أُحُدٌ جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ

Bermaksud: "Kami pulang bersama Nabi s.a.w daripada peperangan Tabuk sehinggalah ketika kami sampai di Madinah baginda bersabda: Inilah (kota) yang baik. Dan ini adalah gunung Uhud iaitu gunung yang mencintai kita dan kita juga mencintainya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Rakaman peristiwa ini menunjukkan bahawa peranan negara serta tanahiar sebagai asas kepada pembangunan dan perkembangan dakwah Islam adalah sangat besar. Lantas fizikal bumi itu juga turut menjadi tumpuan kasih dan cinta. Sehubungan dengan itu, seharusnya kita sebagai umat Islam menginsafi perkara ini dan bersama-sama memelihara keamanan dan ketenteraman negara kita supaya usaha memastikan kesinambungan Islam di tanahair tercinta ini akan terpelihara.

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Pembentukan negara Malaysia yang merdeka telah melalui satu tempoh yang lama. Ia suatu tempoh yang telah dikira matang dan kita selaku warga negaranya perlu membuat muhasabah dan penilaian terhadap pencapaian negara. Ini penting bagi menentukan apakah perkara yang perlu diperbaiki, diperkasa, dan diraih pada masa akan datang. Tiada negara yang inginkan kemunduran. Semuanya memasang impian untuk mencapai kemajuan teknologi, kemantapan ekonomi, dan kegemilangan tamadun. Termasuklah negara kita yang kita cintai ini. Soalnya, apakah tindakan kita dalam menentukan piawaian kemajuan dan kemodenan tersebut? Budaya dan ekonomi mana yang menjadi ikutan kita? Ilmu dan sejarah mana yang perlu kita perturunkan kepada generasi kemudian?

Dalam menghadapi situasi yang semakin mencabar ini, Rasulullah s.a.w telah memberikan ingatan dan panduan kepada kita menerusi hadits yang diriwayatkan oleh Saiyidina Abu Sa'id Al-Khudri r., sabda Rasulullah s.a.w bersabda:

لَتَتْبَعُنَّ سَنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ شِبْرًا شِبْرًا وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا جُحْرَ ضَبٍّ تَبِعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ؟

Bermaksud: "Sesungguhnya kalian benar-benar akan mengikuti tradisi (kebiasaan) orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun, kalian pasti akan mengikuti mereka. Kami (para sahabat) bertanya; Wahai Rasulullah, apakah mereka itu yahudi dan nasrani? Jawab baginda; Siapa lagi juga bukan mereka". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Jelas menerusi hadits tersebut, apa yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w memperlihatkan kebenarannya pada hari ini. Masyarakat kita cenderung mengamalkan budaya dan cara hidup barat. Mereka berfikir, bertutur, berpakaian, bergerak dan hidup seperti apa yang telah diiklankan oleh yahudi dan kristian. Perkara ini bukanlah suatu petanda yang baik, malah ia perlu dibendung dan dikawal agar ia tidak berleluasa dan berkembang sehingga ia menghakis identiti asal kita. Bukanlah bermaksud kita tidak boleh mengambil kebaikan yang ada, namun kita perlu rasional dan bijak menilai dalam membangunkan negara kita.

Tetamu-tetamu Allah yang dimuliakan,

Peranan dan tanggungjawab membangunkan negara terletak di atas bahu umat Islam sama ada pemimpin ataupun rakyat biasa. Masing-masing dikurniakan oleh Allah s.w.t kemampuan yang berbeza-beza. Usaha ini akan menjadi pincang seandainya satu pihak hanya mengharapkan pihak yang lain untuk melakukannya sedangkan mereka tidak melakukan apa-apa. Firman Allah s.w.t menerusi Surah Ali-'Imran ayat 104:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾

Bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya".

Janganlah kita berasa selesa dan tenggelam dengan nikmat yang ada sehingga ia menjadikan kita langsung tidak bekerja untuk memelihara agama dan memperkukuh negara. Siapakah lagi yang akan memikirkan nasib negara ini untuk 50 tahun atau 100 tahun akan datang? Adakah umat ketika itu semakin dekat dengan Allah s.w.t atau semakin jauh? Mudah-mudahan Allah s.w.t memberikan kesedaran dan kekuatan kepada kita untuk memikul tanggungjawab ini sebelum segalanya terlambat.

Para tetamu Allah yang diberkati,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita hayati beberapa nokhtah kesimpulan sebagai renungan dan bekalan kita bersama:

Pertama: Umat Islam hendaklah memelihara agama berlandaskan aqidah, syariat dan akhlak Islamiyyah.

Kedua: Umat Islam hendaklah berusaha menjauhi perselisihan dan perbalahan yang tidak menguntungkan agama dan negara.

Ketiga: Usaha untuk mencapai kemajuan dan tamadun negara hendaklah berteraskan ajaran serta prinsip Islam.

Keempat: Semua pihak hendaklah berusaha membangunkan negara melalui usaha mengajak kepada ma'aruf dan mencegah kemungkaran.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada tanggal 9 Mei ini adalah hari mengundi untuk menentukan corak dan halatuju pentadbiran negara Islam yang tercinta ini. Menurut fatwa Dr. Yusuf Al-Qardhawi mengatakan bahawa melaksanakan tanggungjawab mengundi untuk memilih pemimpin adalah wajib. Maka tunaikanlah tanggungjawab agar kita dapat memilih pemimpin yang berkelayakan untuk mentadbir negara dan menjaga agama kita ini. Umat Islam hendaklah meletakkan kepentingan agama dan umat Islam mengatasi segala-galanya. Dalam kesibukan kita berkempen jagalah etika seorang muslim yang beriman. Jauhilah penyebaran fitnah dan perkara yang mengaibkan individu muslim. Kekuatan dan perpaduan umat Islam adalah senjata yang ampuh bagi membolehkan segala ajaran Islam dapat dilaksanakan dengan jayanya di bumi tercinta ini. Musibah yang menimpa umat Islam di luar negara sepatutnya menjadikan kita lebih insaf untuk sentiasa bermuhasabah terhadap umat dan negara di masa akan datang.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar tidak pernah berhenti menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment