Friday, April 20, 2018

KHUTBAH JUMAAT DEWAN ULAMAK PAS PUSAT - 4 SYAABAN 1439 / 20 APRIL 2018


ISLAM AGAMA PENYELAMAT UMAT

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الْأَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ الْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ، أَمَّا بَعْدُ... 
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 


Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Marilah sama-sama meneliti firman Allah s.w.t dalam ayat 19, Surah Ali-'Imran:

قَالَ اللهُ تَعَالَى: (إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ ﴿١٩﴾)

Maksudnya: "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang yang diberikan kitab itu tidak berselisih melainkan setelah sampai sampai kepada mereka pengetahuan yang shahih tentang kebenarannya; perselisihan itu pula semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabnya".

Umat Islam berkewajipan menegakkan keindahan Islam dan menghindarkan salah tanggap mengenai kemurnian agama Islam. Realiti pada hari ini, Islam banyak disalah tafsir dan disalah faham bukan sekadar daripada orang bukan Islam, malah orang Islam sendiri. Oleh kerana itu, berleluasanya Islamophobia di kalangan bukan hanya orang bukan Islam, malah turut membabitkan umat Islam yang tidak memahami Islam.

Akibatnya, ia memberi kesan negatif dalam keadaan hidup umat Islam hari ini. Apabila berlaku salah faham, makan akan terjadi salah amal kerana kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain. Ilmu adalah imam, manakala amal adalah makmumnya. Jika pemimpin tersalah, maka besar kebarangkalian pengikut di belakang juga turut tersasar. Sebab itu, jika berlaku salah faham, ini akan melahirkan salah amal dan salah perjuangan.

Sesungguhnya Islam datang sebagai rahmat dan penyelamat bukan sahaja kepada umat Islam tetapi turut merangkumi orang yang belum beragama Islam. Al-Quran jelas menyatakan bagaimana perutusan Nabi Muhammad s.a.w sebagai rahmat kepada sekalian alam bukan khusus untuk bangsa dan tempat tertentu sahaja.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anbia' ayat 107:

قَالَ اللهُ تَعَالَى: (وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ ﴿١٠٧﴾)

Maksudnya: "Dan tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad), melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam".

Justeru, apabila Islam itu lemah, maka yang rugi bukan sekadar umat Islam tetapi dunia seluruhnya akan kerugian dan musnah. Hari ini, ke'izzahan dan keindahan Islam sudah tidak terserlah lagi dalam bentuk amalinya dan yang tinggal hanya teori semata-mata. Kita mesti yakin bahawa Islam adalah agama 'izzah atau mulia yang sentiasa mementingkan kedamaian dan mengelakkan daripada tercetusnya huru-hara apatah lagi peperangan bersenjata dalam sesebuah negara.

Mari kita menghayati bagaimana pendekatan Rasulullah s.a.w dalam menguruskan masyarakat pelbagai kaum termasuk musuh Islam yang sentiasa menyerang umat Islam sehingga akhirnya mereka tertarik kepada Islam lalu memeluk Islam. Umpamanya dalam peperangan Bani Al-Mustaliq yang berlaku pada tahun keenam hijrah, peperangan ini meletus selepas Rasulullah s.a.w bertindak pantas menghantar tentera apabila mendengar berita bahawa Bani Al-Mustaliq pimpinan Al-Haris bin Abi Dhirar sedang bersiap untuk menyerang umat Islam.

Tindakan Nabi s.a.w tersebut telah menyebabkan perancangan jahat Bani Al-Mustaliq dapat dipatahkan dengan mudah sehingga ramai yang menjadi tawanan. Apa yang menarik, Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah memerdekakan tawanan perang dan ramai yang memeluk Islam. Malah Rasulullah s.a.w sendiri telah menjadikan anak kepada ketua Bani Al-Mustaliq yang telah memeluk Islam iaitu Juwairiyah sebagai isteri baginda s.a.w.

Tindakan ini merupakan antara strategi dakwah yang telah membuka hati ramai di kalangan Bani Al-Mustaliq untuk memeluk Islam setelah melihat bagaimana Islam begitu banyak menawar erti keamanan dan perdamaian.

Ikhwanul Muslimin sekalian,

Mimbar pada hari ini menyeru kepada sekalian umat Islam agar memperkasakan asas-asas ilmu Islam kepada seluruh masyarakat dan tidak terhad di masjid atau surau sahaja. Semua pihak hendaklah memainkan peranan dalam menyebarluas ilmu Islam yang syumul khususnya dalam bidang pengajian Islam. Kegagalan memperkasakan pengajian agama telah melahirkan ramai di kalangan orang Islam menjadi pentaksub terhadap tamadun barat yang terpisah daripada aqidah di mana setengah daripadanya menjadi sekular dan liberal.

Kepimpinan negara hendaklah bertanggungjawab dan mengutamakan sistem pendidikan mahupun pentadbiran berteras syariat Islam yang mulia. Islam akan mulia dengan pelaksanaan hukum Islam dalam masyarakat dan negara kita.

Firman Allah s.w.t:

قَالَ اللهُ تَعَالَى: (وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ ﴿٤٩﴾)

Maksudnya: "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik". (Al-Maidah : 49)

Kita tidak mahu, negara kita kembali ke tamadun jahiliyyah dan umat Islam di negara ini memandang sinis kepada tuntutan agama Islam itu sendiri. Kita tidak mahu jahiliyyah moden merebak dan bertakhta dalam hati umat Islam. Sejarah mencatatkan bagaimana zaman jahiliyyah atau zaman kegelapan telah melahirkan gelagat manusia yang tidak dipandu oleh aqidah tauhid dan kehidupan mereka seumpama haiwan, yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin.

Di zaman serba canggih ini, umat Islam perlu berhati-hati dengan segala anasir kecanggihan yang merosakkan aqidah serta melalaikan daripada melakukan amal soleh. Ketagihan internet hari ini menyebabkan penggunanya menjadi leka sehingga tidak tidur malam, tidak menumpukan kepada pekerjaan sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam, isteri, suami, anak dan tanggungjawab kepada majikan.

Gejala fitnah-memfitnah dan penyebaran perkara palsu semakin berleluasa sehingga umat Islam bergaduh sesama sendiri akibat tidak tabaiyyun atau kenalpasti berita yang tersebar.

Firman Allah s.w.t:

قَالَ اللهُ تَعَالَى: (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾)

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu seorang orang fasik membawa berita, maka periksalah terlebih dahulu supaya kamu tidak menuduh sesuatu kaum secara jahil yang menyebabkan kamu menjadi orang yang menyesal". (Al-Hujurat : 6)

Era media baru pada hari ini dengan adanya Facebook, Whatsapp dan segala macam kelengkapan media baru yang moden ada manfaat dan mudharatnya kepada kehidupan bermasyarakat. Manusia yang mulia akan menggunakan kemudahan ini dengan sebaiknya manakala manusia yang jahat akan mengambil peluang untuk menyebarkan berita palsu, fitnah dan segala macam pembohongan.

Maka, kewajipan umat Islam untuk mengembalikan semula kemuliaan umat Islam yang telah dianugerah oleh Allah Ta'ala. Allah telah kurnia kepada umat Islam, pemimpin Islam serta pentadbiran Islam terdahulu telah berjaya bertapak dengan gagah dan 'izzah d seluruh pelusuk dunia. Sejarah telah mencatatkan bagaimana dunia barat sendiri banyak mencedok kemajuan yang dibawa oleh umat Islam. Ketika era kegemilangan Andalus suatu ketika dahulu, ramai di kalangan pelajar-pelajar barat yang menuntut ilmu di Andalus dan membawa pengaruh ketamadunan Islam ke negara mereka.

Barat begitu tertarik dengan kemajuan ilmu dan tamadun yang dicapai oleh umat Islam. Namun, ia menyedihkan pada hari ini umat Islam menjadi lemah tidak bermaya kerana penganutnya tidak mahu kembali kepada sistem hidup Islam yang sebenar. islam dan perjuangannya dapat mengembalikan ke'izzahan atau kemuliaan kepada umat Islam sebagaimana kata-kata Saiyidina Umar Al-Khattab:

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ، وَمَهْمَا نَبْتَغِ الْعِزَّةَ بِغَيْرِهِ أَذَلَّنَا اللَّهُ.

Maksudnya: "Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada yang Allah muliakan ini, Allah akan menghinakan kita".

Kehebatan umat Islam pada zaman dahulu ternyata adalah kerana keterikatan mereka dengan islam dan betapa kasihnya mereka kepada agama ini sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya demi Islam. Inilah juga jalan untuk menuju kemuliaan dan kehebatan di zaman kita pada hari ini.

Firman Allah s.w.t:

قَالَ اللهُ تَعَالَى: (...الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ... ﴿٣﴾)

Maksudnya: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu". (Al-Maidah : 3)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ.

وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ... فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun daripada pautan ini.

No comments:

Post a Comment