Friday, April 20, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 4 SYAABAN 1439 / 20 APRIL 2018


SIFAT IHSAN PANDUAN DALAM KEHIDUPAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:

هَلْ جَزَاءُ الْإِحْسَانِ إِلَّا الْإِحْسَانُ ﴿٦٠﴾ فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ ﴿٦١﴾ (سورة الرحمن اية ٦٠ - ٦١)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Sifat Ihsan Panduan Dalam Kehidupan".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Lumrahnya, kita sebagai manusia pasti melalui pelbagai ragam dalam lingkaran kehidupan. Bagi menjamin kehidupan kita dalam suasana harmoni, Allah s.w.t membekalkan pedoman berupa Al-Quran dan As-Sunnah. Berpandukan pedoman tersebut, manusia menyedari bahawa interaksi antara manusia dengan Pencipta dan makhluk perlu disemai dengan sifat ihsan.

Kita perlu sedar bahawa insan tidak cukup sekadar memahami bahawa mereka perlu beriman dan melaksanakan tuntutan agama semata-mata, malah mereka haruslah menerapkan sifat ihsan dalam diri masing-masing. Mengapa? Ini kerana, sifat ihsan menjadi salah satu daripada tiga perkara terpenting dalam pembangunan modal insan kamil selain penerapan Iman dan Islam. Hal ini berdasarkan kepada hadits panjang riwayat Imam Muslim daripada Saiyidina 'Umar Al-Khattab, bahawasanya Jibril bertanya kepada baginda Nabi s.a.w:

فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

Bermaksud: "Khabarkanlah kepadaku tentang ihsan. Jawab baginda: Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya seandainya engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah sekalian,

Berdasarkan hadits yang dinyatakan sebentar tadi, sifat ihsan bermaksud merasai pengawasan Allah s.w.t dalam setiap ibadah kita. Pengabdian diri kepada Allah s.w.t yang dilaksanakan menurut hakikat ihsan hanya dilakukan semata-mata kerana-Nya, tidak kerana selain-Nya. Segala ibadah yang dilaksanakan akan lebih terarah dan sempurna kerana setiap manusia akan lebih khusyuk dalam beribadah sehingga mereka melakukannya dengan penuh keikhlasan.

Jelaslah di sini bahawa sifat ihsan memandu kehidupan manusia. Ini kerana, hakikat ihsan berupaya menyuntik hati manusia agar berlaku ikhlas dalam beribadah. Kita bukan hanya sekadar mengakui keIslaman kita serta melaksanakan segala yang disuruh serta meninggalkan segala yang dilarang, bahkan segala perintah dan tegahan Allah s.w.t perlulah disulami dengan sifat ihsan yang menghadirkan keikhlasan dalam amalan kita. Justeru, dapatlah kita rumuskan bahawa sifat ihsan menjadi 'ruh' segala ibadah. Kemanisan ibadah yang kita lakukan akan dapat dirasai seandainya ia dilakukan dengan penuh ikhlas. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-'Ankabut ayat 69:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٦٩﴾

Bermaksud: "Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh mencari keredhaan Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami; dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat baik (memiliki sifat ihsan)".

Berdasarkan ayat yang dibacakan sebentar tadi, marilah kita renungkan, betapa Allah s.w.t sentiasa bersama dengan mereka yang berjiwa ihsan. Iaitu mereka yang bersungguh-sungguh mengharapkan keredhaan Allah s.w.t jua dalam segala amalan mereka. Daripada ayat tersebut juga, kita dapati bahawa antara langkah untuk memiliki sifat ihsan ialah dengan berjihad melawan segala kehendak hawa nafsu.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Betapa indahnya apabila kita berjaya menerapkan sifat ihsan di dalam jiwa kita. Yakinlah, apabila kita berupaya menyemai hakikat ihsan tersebut, pastinya jiwa kita akan lebih tenteram kerana kita meyakini bahawa segala peristiwa suka dan duka yang berlaku ke atas diri kita merupakan suatu percaturan dan ketentuan Allah s.w.t. Ia pasti memiliki hikmah tersendiri. Lantaran itu, marilah kita bersama-sama berusaha menyuburkan sifat ihsan dalam kehidupan. Antaranya ialah:

Pertama: Mendekatkan diri kepada Allah s.w.t serta hubungan kita dengan-Nya (hablum minAllah). Terdapat pelbagai amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, umpamanya berqiyamullail, bermuhasabah, serta membaca Al-Quran dan menghayati isi kandungannya. Rasulullah s.a.w bersabda sebagaimana yang diriwayatkan daripada Syadad bin Aus r.a:

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

Bermaksud: "Orang yang berakal (bijaksana) ialah mereka yang bermuhasabah mengenai dirinya serta melakukan amalan untuk bekalan selepas kematian, dan orang yang lemah ialah mereka yang mengikuti hawa nafsunya, kemudian berharap kepada Allah (agar mengampuni dosanya)". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

Kedua: Bermuhasabah mengenai tujuan hidup dan memikirkan hala tuju manusia setelah meninggalkan dunia. Ia sekaligus mendorong hati kita untuk mengutamakan kehidupan akhirat di samping kita juga tidak mengabaikan kehidupan dunia. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Qashash ayat 77:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ ﴿٧٧﴾

Bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (berlaku ihsan) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Menerusi ayat yang dibacakan sebentar tadi juga, Allah s.w.t mengingatkan kita agar berbuat baik serta berlaku ihsan kepada insan lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada kita dengan limpahan kurniaan nikmat-Nya yang tidak terhitung. Malah apabila kita renungi, rahmat Allah s.w.t amat luas apabila berbuat ihsan sesama manusia. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Israk ayat 7:

إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا ۚ ... ﴿٧﴾

Bermaksud: "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesan yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga".

Tariklah nafas keimanan dan ingatlah pengabaian sifat ihsan akan menyebabkan segala kewajipan dirasakan sebagai beban yang berat lantaran terhakisnya sifat ikhlas di dalam hati. Amalan-amalan kerohanian yang sepatutnya menjadi pengubat hati tidak pula dikecapi kemanisannya lantaran hilangnya ruh dalam beramal. Malah, segala ibadah yang dilaksanakan tidak dapat diresapi ke dalam jiwa lalu akhlak mahmudah tidak dapat dizahirkan.

Pelaksanaan ibadah tanpa menghadirkan sifat ihsan melahirkan individu yang hanya tahu melaksanakan kewajipan semata-mata tanpa menyedari bahawa ibadah merupakan keperluan yang menjadi santapan rohani mereka. Lebih parah lagi apabila sifat ihsan terhakis dalam kalangan manusia kian menular. Akhirnya perkara ini menjerumuskan manusia kepada porak-peranda lantaran rakus dengan kemewahan, tidak tunduk kepada Tuhan yang menciptakannya.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Justeru, marilah bersama-sama kita menyemarakkan kembali sifat ihsan di dalam jiwa. Ia berupaya mengecapi kemanisan ibadah kerana Allah. Seterusnya dapat menyuburkan kembali semangat muhibbah, berkasih sayang sesama manusia serta tunduk terhadap peraturan serta ketetapan-Nya. Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar menyimpulkan bahawa:

Pertama: Sifat ihsan merupakan salah satu komponen terpenting dalam pembinaan modal insan kamil.

Kedua: Sifat ikhlas dalam beribadah dapat dipupuk dengan memahami konsep ihsan bahawa segala yang dilakukan oleh manusia tidak pernah terlepas daripada pengawasan Allah s.w.t.

Ketiga: Bagi menyuburkan sifat ihsan, setiap insan sewajarnya memelihara hubungan dengan Allah s.w.t (hablum minAllah) serta hubungan sesama makhluk (hablum minannas).

Keempat: Pengabaian sifat ihsan dalam diri manusia menyebabkan hilangnya kemanisan beribadah serta keharmonian hidup sesama manusia tidak dapat diwujudkan dengan jayanya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment