Friday, March 16, 2018

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 28 JAMADIL AKHIR 1439 / 16 MAC 2018


BENCANA DI AKHIR ZAMAN

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ ٱلرَّحْمَةِ وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.
أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita memahami dan memerhati amaran Allah s.w.t yang disebut di dalam Al-Quranul Karim:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٢٥﴾ [سورة الأنفال : ٢٥]

(Maksudnya): Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.

Hari ini kita menyaksikan berlakunya bencana yang telah diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w lebih 1,400 tahun yang lalu. Sabdanya:

لَا تَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا، يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ.

(Maksudnya): Janganlah kamu menyeleweng selepas aku (wafat) sehingga kufur (terhadap ajaranku) sehingga berperang memancung leher sesama sendiri.

Kini kita menyaksikan peperangan yang berlaku di negara arab, negara umat Islam yang berbahasa Al-Quranul Karim dan berbangsa yang sama dengan Nabi s.a.w. Tercetusnya peperangan itu kerana berlakunya kekufuran, sama ada kufur iktiqad atau kufur nikmat. Kedua-duanya mencetuskan peperangan dengan sebab masa yang lama meninggalkan ajaran Islam kerana kejahilannya mereka menganut berbagai-bagai ideologi dan fahaman yang bercanggah dengan Islam. Di samping itu ia disebabkan semangat kaum dan kabilah yang ada pada diri masing-masing. Juga terdapat perbezaan mazhab dalam perkara agama tanpa dinafikan ada kalangan yang betul dan ada kalangan yang salah. Tetapi berlakunya kecelaruan  menimbulkan peperangan dalam kalangan umat Islam.

Adapun kufur nikmat, Allah s.w.t mengurniakan kekayaan yang melimpah ruah dengan harta yang banyak, harta disalahgunakan, berpusing dalam kalangan pemimpin dan orang-orang kaya yang tertentu, sedangkan rakyat ditindas dan berlakunya kezaliman. Sepatutnya perkara dalaman yang berlaku dalam kalangan umat Islam hendaklah diselesaikan secara ilmu dan bijak.

Tidakkah Allah s.w.t berfirman:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴿٥٩﴾ [سورة النساء : ٥٩]

(Maksudnya): Maka jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Tetapi kedua-dua kalangan yang kufur sama ada menganut ideologi-ideologi yang bercanggah dengan Islam yang mabuk dengan kekayaan memilih berperang di antara satu sama lain kerana berbeza pendapat. Masing-masing mencari bantuan daripada musuh-musuh Islam dengan membeli senjata daripada mereka daripada timur dan barat, membayar dengan kekayaan yang melimpah ruah dan membunuh di antara satu sama lain. Apa yang berlaku menunjukkan kerasulan Nabi s.a.w bahawa benarnya baginda seorang rasul, di mana amaran itu telah berlaku.

Adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk mencegah kemungkaran yang berlaku, kemungkaran yang sangat besar itu. Mudah-mudahan dengan mencegah kemungkaran itu Allah s.w.t menghilangkan bencana dan meringankan bala. Sekiranya kalangan orang-orang yang soleh (yang baik) mendiamkan diri dan tiak mencegah kemungkaran atau pun berpihak dengan mana-mana pihak yang melakukan kemungkaran, menjadi satu bencana yang lain yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:

لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ

(Maksudnya): Suruhlah berbuat kebaikan dan cegahlah daripada kemungkaran atau jika tidak nescaya seksaan Allah boleh jadi akan menimpa kamu. Kemudian kamu memohon kepada Allah agar seksaan itu dihentikan maka permohonan kamu tidak diterima lagi.

Marilah kita menghadapi ujian ini dengan penuh kesabaran, mencegah dengan sekadar kemampuan masing-masing sama ada dengan lidah, dengan tulisa, atau benci di dalam hati serta memohon doa kepada Allah s.w.t supaya menyelamatkan umat Islam yang menghadapi bencana ini.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿١١٠﴾ [سورة آل عمران : ١١٠]

(Maksudnya): Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun daripada pautan ini.

No comments:

Post a Comment