Friday, March 2, 2018

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 14 JAMADIL AKHIR 1439 / 2 MAC 2018


PERTELINGKAHAN DALAM KALANGAN UMAT ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، ٱلرَّحْمَةِ المُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ المُسْدَاةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.
أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjayalah orang-orang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita memahami dan menyedari amaran Allah s.w.t yang disebut di dalam firman-Nya:

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ ۚ وَأُولَـٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ ﴿١٠٥﴾ [سورة آل عمران : ١٠٥]

(Maksudnya): Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

Al-Quran adalah petunjuk mukjizat yang berterusan sehingga hari kiamat. Ia dihuraikan oleh hadits-hadits Nabi s.a.w dan ulasan para ulamak. Di mana Nabi s.a.w telah memberi amaran supaya umat Islam jangan terpengaruh dengan penyelewengan umat-umat di zaman dahulu yang meninggalkan kitab suci mereka yang merupakan petunjuk daripada Allah s.w.t, meninggalkan ajaran nabi mereka sehingga mereka tidak mendapat petunjuk yang sebenar yang boleh menyatukan mereka.

Mereka boleh bertelingkah dalam perkara agama sehingga berlakunya kesesatan dalam agama mereka. Namun umat Islam dipelihara oleh Allah s.w.t dengan kitab mukjizat ilmu yang dijaga sehingga hari kiamat. Ilmu yang diwarisi oleh para ulamak yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w:

إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

(Maksudnya): Sesungguhnya para ulamak itu adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi itu tidak mewariskan dinar (duit emas) dan dirham (duit perak). Sesungguhnya mereka meninggalkan pusaka ilmu. Maka sesiapa yang dapat mengambilnya, dia mendapat bahagian keuntungan yang sangat besar.

Yang memelihara ilmu ialah para ulamak, iaitu ilmu yang bersumberkan Al-Quran dan hadits Nabi s.aw.

Namun di sana ada kelemahan dalam kalangan umat Islam, berlakunya pertelingkahan di antara satu sama lain dalam perkara-perkara cabang. Allah s.w.t dan Nabi-Nya s.a.w mengizinkan umat Islam berbeza pendapat dalam perkara furu' atau cabang, tetapi tidak mengizinkan mereka berpecah dalam perkara dasar yang berkait dengan aqidah dan syariat.

Mereka juga mengambil sudut perbezaan kaum dalam kalangan umat Islam. Marilah kita mengambil pengajaran daripada zaman dahulu, apabila golongan ahli kitab yang mahu memecahkan Aus dan Khazraj, dua kabilah yang telah disatukan oleh Islam dengan membangkitkan semangat kabilah masing-masing. Di mana membangkitkan semangat kabilah dan kaum dihidupkan semula oleh musuh-musuh Islam pada hari ini, termasuklah perbezaan mazhab dalam perkara cabang untuk menjadi api fitnah yang melagakan sesama umat Islam.

Kita menyaksikan politik yang membara di Asia Barat pada hari ini, pertembungan di antara kaum arab Kurdis, Parsi dan Turki. Kita menyaksikan pertembungan di antara Sunni dan Syiah yang boleh mencetuskan peperangan. Di mana perkara dalaman umat Islam hendaklah diselesaikan secara agama. Apabila umat Islam tidak lagi peduli kepada Al-Quran dan hadits, menyebabkan mereka boleh berlaga dan dilagakan oleh musuh-musuh mereka.

Marilah kita kembali kepada amaran Allah s.w.t, mengekalkan petunjuk-Nya, memelihara perpaduan dan berpegang kepada tali Allah s.w.t iaitu agama Islam.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿١١٠﴾ [سورة آل عمران : ١١٠]

(Maksudnya): Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment