Friday, March 23, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 5 REJAB 1439 / 23 MAC 2018


CABARAN PERPADUAN UMAT ISLAM

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. 
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Cabaran Perpaduan Umat Islam".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam adalah satu-satunya agama yang sempurna yang dapat menyelamatkan manusia daripada kegelapan kesesatan kepada cahaya kebenaran. Namun, kemunculannya tetap dicemburui dan diawasi kerana ia terhasil daripada dendam Iblis terhadap Nabi Adam a.s. Ia juga adalah pengisytiharan "peperangan terbuka" Iblis laknatullah kepada keturunan Adam a.s. Pengisytiharan Iblis ini telah diceritakan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran sepertimana firman-Nya dalam Surah Shad Ayat 82 - 83:

قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ﴿٨٢﴾ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ ﴿٨٣﴾

Yang bermaksud: "Iblis berkata; Demi kekuasaan-Mu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya (82) Kecuali  hamba-hamba-Mu di antara zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan (83)".

Kelangsungan permusuhan ini tetap berterusan daripada satu generasi ke generasi yang lain. Kemunculan awal Islam di bumi Makkah dimusuhi secara terang-terangan oleh masyarakat yang jahil terhadap kebenaran ketika itu. Permusuhan terhadap Islam menyaksikan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat menghadapi pemboikotan, penyiksaan, pembunuhan, penghijrahan dan sebagainya. Selepas penghijrahan ke Madinah berlaku, para musuh Islam daripada pelbagai latar belakang termasuk pemimpin dan ilmuan ahli kitab, munafiqin dan orang yahudi sentiasa mencari jalan bagaimana untuk menyekat kebangkitan dan kemaraan Islam yang sentiasa mendapat tempat di hati manusia. Seperti dimaklumi, selepas kewafatan Rasulullah s.a.w dan di awal pemerintahan Saiyidina Abu Bakr As-Shiddiq adalah merupakan detik awal murtad berleluasa. Pelbagai alasan digunakan untuk membolehkan tindakan golongan murtad termasuk atas nama kebebasan. Namun, hakikatnya ia adalah suatu tindakan bertujuan melemahkan Islam dan kekuasaan kerajaan Islam yang pernah diasaskan oleh Rasulullah s.a.w.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Selepas berakhirnya peperangan salib, para musuh-musuh Islam telah menggerakkan kaedah baru untuk melemahkan pegangan aqidah dan kekuatan Islam daripada penganutnya. Ia dikenali dengan nama "Ghuzwatul Fikri" atau serangan pemikiran yang dirancang secara halus untuk memisahkan Islam dari penganutnya. Natijahnya:

1. Islam dan ajarannya telah berjaya dipisah dan dirungkaikan daripada seluruh sistem kehidupan yang menyaksikan pegangan Islam dalam diri penganutnya semakin lemah.

2. Wujud kelompok tertentu berwajah Islam dan diberi nama atas nama kebebasan namun hakikatnya mereka adalah penyumbang kepada keruntuhan Islam seperti golongan Islam Liberal, Islam Plural dan sebagainya.

3. Para ulamak yang menjadi teras rujukan umat Islam cuba dijauhkan daripada masyarakat dan dimomokkan bahawa mereka bukan maksum dan sebagainya. Mereka hanya dilibatkan dalam urusan berkaitan perkahwinan, kematian dan perubatan penyakit namun disisihkan daripada urusan kepimpinan serta pembangunan negara bangsa.

4. Perpecahan, perbalahan dan permusuhan dalam kalangan umat Islam semakin ketara di atas pelbagai faktor termasuk politik yang bakal melemahkan kesatuan dan kedaulatan Islam di tanahair sendiri.

5. Para remaja, pemuda dan pemudi Islam dilekakan dengan budaya songsang dan hiburan yang melalaikan sehingga lupa terhadap tanggungjawab menjaga kedaulatan dan kemuliaan agama.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Agenda mencemar dan melemahkan Islam dan umatnya di tanahair kita bukan perkara baru. Ketika kedatangan penjajah sehinggalah sekarang usaha-usaha tersebut terus berlangsung. Tragedi Natrah yang mencetuskan kebangkitan umat Islam di Singapura sehinggalah keputusan kes yang melibatkan 3 orang anak seorang muallaf bernama Muhammad Riduan Abdullah benar-benar memilukan hati umat Islam. Usaha memartabatkan Islam dan syariatnya yang sudah dilemahkan oleh pihak musuh-musuh Islam mestilah disepadu dan dipertingkatkan. Cubaan memperkasakan Mahkamah Syariah hendaklah didokong oleh semua orang Islam melepasi sempadan politik dan geografi. Namun agak malang usaha ini mendapat tentangan dan sindiran daripada kalangan orang Islam sendiri. Kebencian yang terserlah di dalam tindakan dan ucapan musuh Islam adalah sebahagian cerminan kebencian mereka terhadap Islam yang disembunyikan. Allah mendedahkan di dalam Al-Quran dalam Surah Ali-'Imran Ayat 118:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ ﴿١١٨﴾

Yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi 'orang dalam' (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Demi mengembalikan kekuatan dan kegemilangan Islam agar ia kembali berdaulat di bumi sendiri, mimbar pada hari ini menyeru beberapa tindakan asas yang mesti segera dilakukan:

1. Umat Islam mestilah memiliki kefahaman aqidah yang sahih dan pengamalan ajaran Islam yang teguh berdasarkan sumber ilmu Islam yang diperakui dengan memenuhi majlis ilmu termasuk di masjid-masjid dan di surau-surau.

2. Umat Islam mestilah membina jaringan kesatuan dan saling tolong menolong dalam mempertahankan kesucian dan kedaulatan Islam melebihi kepentingan serta agenda politik sempit.

3. Berusaha membantu untuk memperkasa dan menegakkan sistem perundangan Islam dengan memperkukuhkan institusi agama dan Mahkamah Syariah.

4. Memberi sokongan moral dan fizikal kepada sebarang usaha mengembalikan kedaulatan dan membela maruah Islam.

5. Mengelakkan perpecahan, memperkukuhkan perpaduan dan mengurangkan perbezaan sesama umat Islam khasnya dalam isu khilafiah.

6. Para ulamak hendaklah sentiasa bergandingan dengan para umarak dengan sering mengingatkan agar bertanggungjawab menjaga kedaulatan agama dan menguruskan dunia.

7. Berusaha bersama-sama menjadi contoh dengan menunjukkan akhlak terpuji dalam kalangan masyarakat khasnya dengan bukan Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersatu dan berganding bahu atas nama Islam. Berada dalam kelompok keluarga besar Islam dengan meletakkan kepentingan Islam lebih daripada segala kepentingan selainnya. Setiap orang berperanan untuk memelihara Islam berdasarkan kuasa dan tenaga yang ia miliki. Pemimpin, ilmuan, hartawan, para ustaz, para penoreh, para petani, para pesara dan seluruh warga muslim bertanggungjawab dan terpanggil dalam setiap isu yang melibatkan kemuliaan dan maruah Islam. InshaAllah Islam akan kembali berdaulat dan gemilang sebagaimana yang pernah terbina suatu ketika dahulu. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Abu Musa Al-Asy'ari:

إِنَّ الْمُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

Maksudnya: "Sesungguhnya seorang mukmin bagi mukmin lainnya umpama bangunan, saling menguatkan antara satu sama lain". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Mimbar ingin menegaskan kepada hadirin bahawa kesatuan umat Islam adalah tuntutan terpenting yang mesti diselesaikan kini. Kesatuan yang mesti ditautkan dengan Al-Quran dan As-Sunnah kerana ikatan yang dibina oleh keduanya sahaja yang mampu mengikat ukhuwwah dan persaudaraan kita. Bukan ikatan yang terbina atas kebendaan dan keduniaan. Marilah kita menghayati perintah Allah s.w.t dan sunnah baginda Nabi s.a.w dalam setiap tindakan kerja kita. Saling tolong menolong demi kepentingan Islam. Meninggalkan segala perbezaan dan sempadan yang memisahkan kita sama ada suku bangsa, ideologi politik atau warna kulit demi Islam tercinta.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment