Friday, February 16, 2018

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 30 JAMADIL AWWAL 1439 / 16 FEBRUARI 2018


CABARAN UNTUK MENDAPAT PETUNJUK

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ ٱلْكِتَٰبَ لِيَكُونَ لِلْعَٰلَمِينَ نَذِيرًا. أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ الْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالتَّابِعِيْنَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.  

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjayalah orang-orang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar petunjuk daripada Allah s.w.t yang ditujukan kepada orang-orang yang bertaqwa.

ذَ‌ٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾ [سورة البقرة : ٢]

(Maksudnya): Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Inilah petunjuk yang dipohon pada tiap-tiap rakaat sembahyang.

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ﴿٦﴾ [سورة الفاتحة : ٦]

(Maksudnya): Tunjukkanlah kami jalan yang betul.

Betapa perlunya kita mohon petunjuk daripada Allah s.w.t sehingga diulang beberapa kali dalam tiap-tiap rakaat sembahyang yang menunjukkan untuk mendapat petunjuk ini sangat banyak cabarannya dalam kehidupan dunia ini. Terlalu banyak agama-agama yang diselewengkan ajaran ciptaan manusia. Semuanya adalah ajaran sesat serta membawa keburukan di dunia dan keburukan di akhirat.

Allah s.w.t menurunkan Al-Quranul Karim, kitab mukjizat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ia adalah mukjizat ilmu yang bukan sahaja untuk dibaca, tetapi juga untuk diamalkan segala isi kandungannya dan dijadikan petunjuk dalam seluruh kehidupan manusia, iaitu petunjuk dalam perkara iman, dalam perkara syariat dan dalam perkara akhlak.

Al-Quran menunjukkan tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah s.w.t. Al-Quran menunjukkan nama-nama yang baik dan sifat-sifat yang mulia bagi Allah s.w.t. Al-Quran menunjukkan halal dan haram serta baik dan buruk dalam semua kehidupan kita, bermula daripada makan minum, pakaian, hidup berkeluarga, beranak dan beristeri dan sebagainya sehingga memerintah negara, mengendalikan urusan ekonomi dan urusan hubungan manusia dengan semua makhluk yang ada di dalam dunia ini. Semuanya ditunjuk oleh Al-Quranul Karim.

Allah s.w.t melantik Nabi akhir zaman, Muhammad s.a.w untuk mengajar manusia bagaimana beramal dengan Al-Quran itu dan nabi kita Muhammad s.a.w telah menyampaikan dengan penuh amanah. Setelah diwafatkan Nabi dalam keadaan Al-Quran disempurnakan, para khulafaur rashidin (para khalifah yang mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t) beramal dengan Al-Quranul Karim dan beramal dengan cara yang ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w.

Tiap-tiap orang khalifah atau ketua negara yang dilantik dengan tegas di dalam ucapannya sebaik sahaja menerima perlantikan:

اَطِيعُونِي مَا اَطَعْتُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَإِذَا عَصَيْتُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَلَا طَاعَةَ لِي عَلَيْكُم.

(Maksudnya): Taatlah kepada aku selagi aku mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya aku tidak mentaati Allah dan Rasul-Nya maka jangan lagi taat kepada aku.

Tiap-tiap orang ketua negara yang dilantik menyampaikan kepada umum penyelesaian yang ditunjuk oleh Al-Quranul Karim. Sekiranya mereka tidak ingat ayat-ayat Al-Quran dan hadits-hadits Nabi s.a.w, mereka akan bertanya kepada orang ramai kalau ada dalam kalangan mereka yang ingat mana-mana ayat dan hadits-hadits Nabi s.a.w.

Umat Islam di zaman dahulu telah membina kedudukan yang sangat kuat. Mereka bersatu dengan kitab Allah s.w.t dan petunjuk Nabi s.a.w. Mereka sangat berpegang dengan perintah Allah s.a.w.

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴿٥٩﴾ [سورة النساء : ٥٩]

(Maksudnya): Maka jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Allah s.w.t telah mencipta umat yang berpegang dengan Al-Quranul Karim menjadi contoh dan teladan kepada seluruh manusia. Tetapi apabila umat ini telah alpa dan meninggalkan perintah Al-Quran, mereka menjadi umat yang lemah, umat yang menghadapi masalah dan tidak boleh menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Marilah kita lakukan muhasabah (perhitungan) terhadap diri kita di zaman ini supaya kita kembali semula kepada Al-Quranul Karim.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا ﴿١٠٥﴾ [سورة النساء : ١٠٥]

(Maksudnya): Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment