Friday, February 9, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 23 JAMADIL AWWAL 1439 / 9 FEBRUARI 2018


HALAL DALAM KEHIDUPAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَسْبَغَ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ.
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Halal Dalam Kehidupan".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Halal berasal daripada kalimah arab yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan oleh hukum syarak. Oleh itu, halal bukan sekadar bermaksud sesuatu makanan atau produk itu boleh dimakan disebabkan tiada larangan oleh hukum syarak, akan tetapi halal turut meliputi "baik" (toiyyib) yakni bersih, suci, selamat, berkualiti dan tidak memudharatkan. Oleh itu, mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa perkataan halal dalam kehidupan itu membawa maksud yang amat luas mengenai tatacara hidup orang Islam yang menitik beratkan aspek halalan toiyiba iaitu kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan yang sihat serta halal. Sebagai umat Islam kita wajib memastikan pakaian, barangan yang digunakan dan sumber makanan dan minuman adalah halal serta memenuhi panduan pemakanan syariat Islam. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 168:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ﴿١٦٨﴾

Maksudnya: "Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu".

Al-Imam Ibnu Katsir di dalam kitabnya Tafsir Ibnu Katsir menyatakan bahawa; perkataan toiyiba itu membawa maksud baik, bermanfaat dan elok dari segi tabiat dan syarak. Toiyiba merangkumi dua perkara iaitu soal fizikal dan kerohanian.

Ia mestilah selari dengan syariat, tidak bercanggah dan disertai dengan keikhlasan kepada Allah s.w.t. Oleh itu, makanan yang halal di sisi syarak adalah makanan yang bersih zatnya, suci kaedah perolehannya serta bebas dari sebarang kemudharatan, sebaliknya sesuatu makanan yang haram sekalipun lazat rasanya, harum baunya tetap keji di sisi Allah s.w.t. Oleh yang demikian sebagai seorang Islam sama ada peniaga, pengusaha halal dan individu hendaklah mengambil kira setiap perkara sama ada dari segi modal perniagaan, pelaburan, hasil pendapatan produk makanan dan minuman, barangan yang diniagakan hendaklah dijauhi dari unsur-unsur yang haram seperti judi, riba, rasuah, mengurangkan sukatan, barangan bersumberkan najis dan sebagainya.

Oleh kerana itu, agama Islam telah meletakkan garis panduan dalam pemakanan. Makanan yang hendak dimakan, dipilih atau diproses mestilah berasaskan halalan toiyiba. Kita wajib memilih makanan yang halal, yang mempunyai unsur baik sama ada dari sudut kesihatan dan keselamatan serta menjauhi makanan yang haram, kerana di sebalik perkara yang haram itu terdapatnya bahaya dan kemudharatan. Dalam tafsir Fi Zalalil Quran, As-Syeikh Saiyyid Qutub menyatakan; sama ada ilmu manusia dapat mengetahui hikmah pengharaman sesuatu perkara atau tidak, namun yang pasti, Allah Maha Mengetahui dan amat mengatasi keupayaan kita untuk mengetahui sesuatu perkara. Allah tidak mengharamkan sesuatu, kecuali pasti perkara tersebut mempunyai bahaya dan kemudharatannya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Ajaran Islam amat menitik beratkan persoalan makanan yang halal dan bersih kepada umatnya. Sesuatu makanan yang haram dimasukkan ke dalam tubuh seseorang akan membawa kepada kesan yang mendalam kepada tingkah laku, budi pekerti, kejernihan hati nurani dan penerimaan doa yang dipanjatkan ke hadrat Allah s.w.t. Panduan pemakanan di dalam Islam adalah berlandaskan konsep "memberi kemudahan, menjaga nyawa, menjamin kesihatan tubuh badan dan akal". Kerana itu setiap makanan dan minuman yang memberi manfaat kepada tubuh badan dan akal fikiran adalah dibenarkan oleh syarak, manakala yang haram dan memudharatkan fikiran serta tubuh badan diharamkan dan ditegah. Firman Allah s.w.t di dalam Surah An-Nahl Ayat 114 dan 115:

فَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ ﴿١١٤﴾ إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿١١٥﴾

Bermaksud: "Oleh itu, makanlah dari apa yang dikurniakan Allah kepadamu dari yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu menyembah-Nya. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging khinzir, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa sedang ia tidak menginginkannya dan tidak melampaui batas; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Namun, berdasarkan pemerhatian mimbar, sebahagian besar umat Islam hanya memahami makanan halal adalah makanan yang bersumber daripada binatang halal disembelih dan tidak mengandungi lemak khinzir. Ini adalah satu pemahaman yang silap. Maka pada hari ini kita lihat orang Islam kelihatan menjual makanan yang halal tetapi kedai mereka kotor, pinggan mangkuk, tempat memproses makanan, setor dan sebagainya tidak bersih dan menjijikkan. Kadang kala penjual dan pekerja juga tidak menjaga kebersihan diri mereka. Keadaan ini bercanggah dengan ajaran Islam dan prinsip halalan toiyiba.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita juga sering mendengar pelbagai isu orang ramai dan pelajar sekolah yang mengalami keracunan makanan sama ada berlaku di kantin sekolah atau pada majlis kenduri dan keramaian. Keadaan ini berpunca daripada sikap penjual atau pengguna sendiri yang mengabaikan aspek kebersihan dan keselamatan makanan. Berdasarkan kepada pengamatan, mereka ini menggunakan bahan mentah yang tercemar, menyediakan makanan dengan cara yang tidak betul dan terdedah terlalu lama serta disimpan di tempat yang salah. Akibat daripada perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini, maka ia menyebabkan pelbagai perkara berlaku berpunca dari makanan yang tidak selamat dan tidak bersih seperti sakit perut, muntah, cirit birit, demam dan yang paling mendukacitakan menyebabkan kematian.

Justeru, semua makanan dan barangan tidak boleh diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan sebagai ungkapan lain untuk menunjukkan makanan atau barangan itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam kecuali diperakukan sebagai halal oleh pihak yang berwibawa seperti JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri. Oleh itu, di dalam mengharungi perkembangan semasa di era globalisasi dunia hari ini, negara kita telah memberi tumpuan yang bersungguh-sungguh untuk menjana kepentingan industri halal yang tidak lagi tertumpu pada sektor makanan dan minuman sahaja tetapi juga sektor lain seperti kosmetik, penjagaan diri, farmaseutikal dan logistik yang mempunyai nilai pasaran 2.3 trillion USD.

Dalam hal ini perkara yang lebih baik hendaklah menjadi keutamaan kita, manakala yang haram dan tidak baik semestinya dihindari. Kita juga dituntut agar menjauhi barang-barang syubhah yang mengelirukan dan tidak jelas hukumnya, kita sepatutnya berwaspada supaya tidak mengambil atau mencubanya melainkan setelah dipastikan kehalalannya dan kebaikannya. Ini kerana pengambilan makanan dan minuman yang syubhah boleh mengheret kepada penggunaan barangan yang haram secara tidak disangka-sangka. Ingatlah pesan Rasulullah s.a.w di dalam haditsnya daripada Nukman bin Basyir r.a:

الْحَلَالُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَةٌ فَمَنْ تَرَكَ مَا شُبِّهَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ كَانَ لِمَا اسْتَبَانَ أَتْرَكَ وَمَنْ اجْتَرَأَ عَلَى مَا يَشُكُّ فِيهِ مِنْ الْإِثْمِ أَوْشَكَ أَنْ يُوَاقِعَ مَا اسْتَبَانَ

Maksudnya: "Yang halal itu jelas dan yang haram itu juga sudah jelas. Namun di antara keduanya ada perkara yang syubhah (diragui). Barangsiapa yang meninggalkan perkara yang diragui kerana takut mendapat dosa, maka dia telah meninggalkan perkara yang jelas keharamannya dan barang siapa yang banyak mendekati yang diragui tersebut maka dikhuatiri dia akan jatuh pada perbuatan yang haram tersebut". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Berbagai cara boleh kita lakukan untuk memastikan bahawa sumber makanan dan minuman kita itu halal, antaranya:

Pertama: Memastikan bahawa makanan tersebut terdapat logo halal yang diiktiraf oleh badan-badan yang bertanggungjawab seperti logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan agensi berwajib.

Kedua: Berwaspada dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan tentang amalan kebersihan dan keselamatan makanan.

Ketiga: Memastikan rezeki dan makanan adalah bebas dari unsur syubhah. Perlu diingat bahawa seseorang yang mengamalkan gaya hidup dengan mengambil berat aspek rezeki dan pengambilan makanan halal lagi baik serta menggunakan barangan dan perlatan yang bebas dari unsur najis adalah di antara tanda-tanda orang yang beriman.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


No comments:

Post a Comment