Friday, January 19, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 2 JAMADIL AWWAL 1439 / 19 JANUARI 2018


MUKMIN YANG MELAKUKAN AMALAN TERBAIK

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَلَقَدْ خَلَقْنَا فَوْقَكُمْ سَبْعَ طَرَائِقَ وَمَا كُنَّا عَنِ الْخَلْقِ غَافِلِينَ ﴿١٧﴾

Maksudnya: "Dan sesungguhnya Kami menciptakan di atas kamu tujuh buah jalan (tujuh buah langit); dan Kami tidaklah lalai terhadap ciptaan (Kami)". (Surah Al-Mukminun Ayat 17)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Mukmin Yang Melakukan Amalan Terbaik".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita hari ini hidup di atas segala nikmat yang Allah s.w.t kurniakan tanpa mengenal siapa pun hamba-Nya sama ada beriman ataupun tidak. Sedarilah bahawa juga, Allah s.w.t menciptakan alam seluruhnya dan menentukan kehidupan dan kematian, ada permulaan dan ada kesudahan. Ini adalah ujian untuk sekalian manusia yang hidup di atas muka bumi Allah s.w.t ini agar mereka sentiasa berlumba-lumba melakukan amal ibadah dan menjadi dalam kalangan insan yang terbaik dalam amalan dan tindakannya menurut kaca mata dan kehendak syarak. Seperti mana firmah Allah s.w.t di dalam Surah Al-Mulk Ayat 2:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ ﴿٢﴾

Maksudnya: "Dialah (Allah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun".

Ayat "أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا" itu telah diperjelaskan oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi dalam kitab "Fiqhul Aulawiyyat" berdasarkan soalan yang dikemukakan kepada Al-Imam Abu 'Ali Fudhail bin 'Iyad. Maksudnya: "Al-Imam Abu 'Ali Fudhail bin 'Iyad telah ditanya tentang amalan yang terbaik di dalam firman Allah "أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا", maka beliau menjawab: Amalan terbaik ialah yang benar-benar ikhlas lagi betul. Beliau ditanya lagi: Apakah maksud benar-benar ikhlas lagi betul? Beliau menjelaskan lagi; Bahawa sesungguhnya Allah s.w.t tidak menerima sesuatu amalan selama mana tidak ada keikhlasan dan tidak betul. Sekiranya amalan itu betul (pelakunya) tidak ikhlas, maka tidak dimakbulkan, demikian juga sekiranya (pelakunya) ikhlas, tetapi amalan itu tidak betul, maka tidak juga dimakbulkan. Keikhlasan hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t dan betulnya amalan hendaklah menepati syarak dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Kelebihan manusia terletak kepada ilmu, iman dan amal. Amal yang dikehendaki adalah yang mencapai tahap (martabat) "Al-Ihsan" dan berdasarkan Ayat "أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا" Ayat 2 Surah Al-Mulk yang telah dibacakan sebelum ini. Oleh itu kita perlu merujuk kembali kepada kehendak Islam dan nilai syarak serta nilai yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w supaya setiap amalan yang dilaksanakan menepati apa yang telah ditetapkan dan moga-moga amalan itu menjadi amalan yang lebih baik.

Persaingan di atas muka bumi Allah ini bukanlah semata-mata melakukan banyak kebaikan dan meninggalkan keburukan, akan tetapi persaingan dan perlumbaan yang sebenarnya ialah menjadi mukmin yang terbaik dan lebih baik.

Sewajarnya, orang-orang mukmin sentiasa berusaha untuk melakukan sesuatu yang terbaik dan berkualiti, serta berprestasi tinggi kerana Allah s.w.t telah menuntut orang-orang mukmin melakukan sesuatu yang terbaik dalam semua perkara seperti dinyatakan di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 148:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ ۚ أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١٤٨﴾

Maksudnya: "Maka berlumba-lumbalah (dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu".

Hal ini menggambarkan dan mengisyaratkan bahawa Allah s.w.t menuntut orang-orang mukmin melaksanakan apa juga amalan dan kerja-kerja dan urusan dengan cara yang terbaik, sama ada di dalam melaksanakan ibadah seperti solat, contohnya, sekiranya solat dilakukan dalam jumlah banyak tetapi tidak menjaga rukun dan syaratnya, maka solat itu adalah sia-sia. Akan tetapi, sekira satu solat itu dilakukan dengan cermat dan teratur, menjaga rukun dan syaratnya, dilakukan dengan jiwa yang bersih, maka solat itulah menjadi amalan yang paling baik. Begitu juga dengan amal dengan amal ibadah yang lain, mahupun di dalam semua urusan hidup individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Semua urusan hidup orang-orang beriman di dunia ini juga akan menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah s.w.t apabila diikuti syarat-syaratnya dan caranya yang telah ditetapkan.

Sidang hadirin yang berbahagia,

Sekali lagi kita merujuk kepada rumusan penjelasan Dr. Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya - Al-Ibadatu fil Islam - yang menyatakan bahawa amalan hidup dan pengurusan orang-orang mukmin akan dikira sebagai ibadah kepada Allah s.w.t dengan syarat yang berikut:

Pertama: Kerja-kerja dan usaha yang dilakukan itu 'masyruk' (diharuskan oleh syarak, yakni tidak bertentangan dengan ajaran Islam).

Kedua: Disertakan dengan niat yang soleh iaitu mencari keredhaan Allah s.w.t.

Ketiga: Dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan penuh ketaqwaan.

Keempat: Sentiasa iltizam dan mematuhi batas hukum Allah, tidak melakukan kezaliman, penganiayaan, penipuan, menceroboh hak-hak orang lain dan seumpamanya.

Kelima: Tidak lalai daripada melaksanakan amalan-amalan fardhu (perkara-perkara wajib) di dalam agama, contohnya; sibuk bekerja sehingga lalai daripada mendirikan solat yang diwajibkan.

Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Najm Ayat 39 hingga 41:

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ ﴿٣٩﴾ وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَىٰ ﴿٤٠﴾ ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الْأَوْفَىٰ ﴿٤١﴾ 

Maksudnya: "Bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya pada hari akhirat kelak). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna".

Justeru, apabila seseorang mukmin itu taat dan menepati syarat-syarat yang tersebut di dalam urusan hidup sehariannya, maka ia tergolong di dalam golongan yang disebut "Al-'Abidun" iaitu orang-orang uang beribadah kepada Allah s.w.t dan dikira "fi-sabilillah". Dan setiap amalan yang dilakukan di atas muka bumi ini akan dihitung oleh Allah s.w.t dan akan diberikan balasan yang setimpal atas segala apa yang kita kerjakan. Jika baik dilakukan, maka baiklah balasan yang diterima akan tetapi sekiranya buruk yang kita lakukan maka buruk jugalah yang akan menanti kita. Ingatlah bahawa, Allah s.w.t tidak pernah lupa akan janji-janji-Nya dan janganlah kita sesekali lupa bahawa azab Allah itu amatlah pedih.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


No comments:

Post a Comment