Friday, January 5, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 17 RABI'UL AKHIR 1439 / 5 JANUARI 2018


MENGHORMATI SESAMA MANUSIA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ ۚ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاءِ ﴿٣٩﴾

Maksudnya: "Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua(ku) Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa". (Surah Ibrahim Ayat 39)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Menghormati Sesama Manusia".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam menggariskan dengan jelas mengenai tatacara hidup dengan meletakkan akhlak dan adab sebagai panduan. Tanpa akhlak yang baik, kehidupan manusia menjadi kucar-kacir. Allah mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w sebagai model terbaik dan contoh teladan akhlak yang terpuji kepada seluruh manusia di muka bumi ini. Di sini dapat kita lihat, walaupun telah diberikan panduan oleh Islam namun masih ramai manusia tidak merasa tenteram dalam kehidupannya. Akhir-akhir ini juga, dapat kita lihat sifat saling hormat-menghormati kini terhakis sedikit demi sedikit daripada akhlak umat Islam. Ini kerana apabila sifat hormat menghormati ini sudah tiada, ia bukan sahaja akan menyebabkan kerosakan pada hubungan sesama manusia malah ia akan menyebabkan imej Islam itu akan dipandang negatif oleh pelbagai pihak. Selain itu, kezaliman dan penindasan semakin berleluasa, hak manusia tidak dihormati. Manusia sudah hilang arah tujuan dari matlamat kehidupan yang sebenar.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Sifat saling hormat menghormati adalah salah satu sifat mahmudah atau sifat terpuji dalam Islam. Sifat hormat menghormati merupakan satu kewajipan seorang muslim kepada saudaranya serta ianya juga adalah sifat yang harus ada di dalam diri seseorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t. Sifat hormat menghormati ini adalah di antara ciri-ciri yang menampilkan seseorang yang berakhlak mulia.

Antara contohnya seperti memberi layanan mesra dan sopan, bekerjasama, menghargai budi serta jasa orang lain. Dalam pergaulan seharian kita dituntut untuk menampakkan akhlak yang mulia dalam tutur kata dan perilaku, bahkan ia menjadi syarat kesempurnaan iman seseorang mukmin. Rasulullah s.a.w bersabda daripada hadith yang diriwayatkan oleh Saiyidina Abu Hurairah r.a:

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ

Maksudnya: "Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling bagus akhlaknya. Dan orang-orang yang paling baik di antara kamu ialah mereka yang yang paling baik terhadap isterinya". (Hadith riwayat Imam At-Tirmidzi)

Ramai umat Islam pada hari ini yang kurang prihatin terhadap perilakunya, terutama dalam pergaulan antara satu sama lain sehingga menimbulkan kesan terhadap citra rasa Islam seolah-olah Islam tidak mengatur sopan santun. Setiap muslim mempunyai tanggungjawab moral untuk bersama-sama mempertahankan dan mewujudkan citra baik Islam dengan menampakkan tutur kata, sikap dan tingkah laku, cara berpakaian dan cara bergaul yang lebih  bagus daripada orang lain.

Sidang hadirin yang berbahagia,

Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w telah mengajarkan kepada kita beberapa perkara yang perlu diamalkan berkaitan dengan saling hormat menghormati ini. Di antara orang yang perlu kita hormati ialah:

Pertama: Menghormati kedua ibu-bapa

Firman Allah dalam Surah Al-Israk Ayat 23:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا ﴿٢٣﴾

Maksudnya: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu-bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia (yang bersopan santun)".

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang paling berhak mendapatkan rasa hormat dalam kehidupan setiap manusia itu adalah kepada kedua ibu-bapanya. Malah menjadi dosa besar kepada sesiapa yang tidak menghormati kedua-duanya walaupun berkata 'ah' sekalipun. Oleh itu, kita disuruh untuk sentiasa menghormati kedua-dua ibu bapa sebagai orang yang telah banyak berjasa dan membesarkan kita. Tanpa kedua-duanya, kita tidak akan mengecapi sepertimana yang kita ada sekarang.

Kedua: Menghormati sesama manusia

Firman Allah s.w.t dalam Surah Luqman Ayat 18:

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ ﴿١٨﴾

Maksudnya: "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah atau sombong) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur, lagi membanggakan diri".

Sombong adalah sifat tercela. Dengan bersifat sombong sesama manusia akan menyebabkan seseorang itu menolak kebenaran dan menghina sesama manusia. Bukan itu sahaja, apabila sombong itu ada dalam diri manusia, akan berlakulah kezaliman dan rasa angkuh. Oleh itu, Allah s.w.t melarang perbuatan mengabaikan sifat saling hormat menghormati kerana kesan daripada tidak mengamalkan sifat ini, membawa kesan yang buruk di dalam kehidupan sesama manusia.

Ketiga: Menghormati orang yang lebih tua

Hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh 'Abdullah bin 'Abbas r.a:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَّمْ يُوَقِّرْ الْكَبِيرَ ، وَيَرْحَمْ الصَّغِيرَ ، وَيَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ ، وَيَنْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ

Maksudnya: "Bukan termasuk dari kalangan kami orang yang tidak menghormati yang lebih tua, dan tidak menyayangi yang lebih lebih kecil, serta orang yang tidak memerintah kepada kebaikan dan mencegah perbuatan mungkar" (Hadith riwayat Ibnu Hibban)

Hadith tersebut menerangkan kepada kita bahawa kita disuruh menghormati kepada orang yang lebih tua. Sebagai orang muda, mereka perlulah sentiasa mendengar nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh orang yang lebih tua kerana berdasarkan kepada pengalaman terdahulu yang telah mereka lalui.

Keempat: Menghormati guru dan orang berilmu

Apabila kita berbicara tentang ilmu, bererti kita meletakkan pada guru dan pendidik sebagai golongan yang amat penting sebagai agen pembangunan dan perubahan minda umat. Kerana itu, kita seharusnya bersyukur di atas pengorbanan dan jasa guru yang telah mendidik serta membimbing kita menjadi manusia yang baik pada hari ini. Baik guru yang terlibat secara langsung mendidik kita di sekolah mahupun di peringkat universiti dan tidak kurang penting juga kepada guru yang mengajar kita mengenal membaca Ayat Al-Quran, ilmu fardu 'ain dan sebagainya. Tanpa bimbingan dan tunjuk ajar dari mereka kita tidak mempunyai asas yang kuat untuk mengamalkan asas kefarduan dalam Islam. Kita sedar bahawa ilmu yang ada pada diri kita ini sebenarnya hanyalah sedikit. Ini jelas sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Kahfi Ayat 109:

قُل لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا ﴿١٠٩﴾

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad), kalaulah seluruh lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimat-kalimat Tuhanku, walaupun Kami tambah lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan".

Akhir-akhir ini, sikap menghormati kepada orang-orang berilmu semakin hilang dalam jiwa sanubari umat Islam pada hari ini. Sehinggakan ada yang sanggup menghina, mengherdik dan ada juga berani untuk menghukum orang yang telah memberi ilmu kepada kita. Sikap ini amatlah ditegah oleh Islam kerana Allah s.w.t mengangkat martabat orang berilmu dan meletakkan tempat orang yang berilmu ini di tempat yang mulia di sisi Islam. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Mujadalah Ayat 11:

... يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ... ﴿١١﴾

Maksudnya: "Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberpa darjat".

Di samping itu, tidak lupa juga dengan sikap segelintir manusia pada hari ini yang berani mempertikaikan nasihat dan teguran dari para alim ulamak. Sebagai contoh, seorang mufti telah memberi teguran kepada golongan yang begitu taksub dengan kematian artis luar negara, sehinggakan ada yang meratap, menangis teresak-esak dan ada pula yang memuja sehingga sanggup membakar dan memegang lilin sebagai tanda kesedihan atas kematian tersebut. Perkara ini amatlah berbahaya dan boleh menyebabkan akidah dan iman seseorang tergelincir dari landasannya. Akan tetapi, nasihat dan teguran ini dicemuh malah dipandang remeh oleh golongan terbabit. Sedarilah, bahawa setiap teguran dan pendapat yang diberikan oleh orang yang berilmu adalah berpandukan Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Sedangkan pendapat yang diberikan oleh golongan terbabit hanyalah berpandukan akal yang cetek dan mengikut hawa nafsu sahaja.

Seharusnya, perkara sebegini haruslah dipandang serius oleh masyarakat Islam pada hari ini. Supaya kita semua tidak bersubahat dengan golongan-golongan yang taksub dengan dunia hiburan yang melalaikan umat Islam. Mudah-mudahan perkara sebegini tidak akan terjadi lagi pada masa akan datang. Na'uzu billahi minzalik.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kesimpulannya, Islam adalah agama yang amat menitik beratkan sifat saling hormat menghormati. Islam juga tidak menyuruh kita agar hormat menghormati kepada sesama muslim sahaja bahkan perlu saling hormat menghormati kepada semua manusia. Ini kerana bukan sahaja ganjaran besar yang akan dikurniakan oleh Allah s.w.t, malah kehidupan manusia yang dilalui itu akan lebih sempurna dan akhirnya kehidupan seseorang muslim itu akan dilalui dengan penuh kebahagiaan di dunia serta dapat mencapai kebahagiaan di akhirat kelak. InsyaAllah.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang cintakan masjid. Kerana tujuh golongan dijanjikan naungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak antaranya sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang lelaki yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits Muttafaqun 'alaih)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


No comments:

Post a Comment