Friday, December 29, 2017

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 10 RABIUL AKHIR 1439 / 29 DISEMBER 2017


BAITUL MUQADDIS MILIK ISLAM


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ الْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، إِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu  adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Seluruh dunia sedang menyaksikan perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu apabila 128 buah negara membuat keputusan menolak perisytiharan oleh Amerika Syarikat, kuasa besar dunia mengiktiraf Baitul Muqaddis sebagai ibu negara haram Israel. Ramai kalangan kita tidak menyedari, walaupun sudah mendapat sokongan lebih daripada dua pertiga negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, masih ramai lagi yang menganggap adanya hak yahudi di Baitul Muqaddis dan di bumi Palestin. Padahal Allah s.w.t telah menetapkan di dalam kitab-Nya melalui rasul-rasul-Nya 'alaihimus sholatu wassalam bahawa bumi Palestin dan Baitul Muqaddis adalah milik Islam, bukan milik bangsa arab, bukan milik orang Palestin, bukan milik Malaysia, bukan milik Indonesia, bukan milik Afghanistan, Pakistan, Iran dan sebagainya.

Allah s.w.t telah menetapkan Nabi Ibrahim a.s membuka Baitul Muqaddis. Ibrahim ialah nabi yang mendokong Islam. Semua nabi-nabi adalah Islam. Walaupun orang-orang yahudi mendakwa Nabi Daud mengisytiharkan Baitul Muqaddis adalah ibu negara Israel dan Nabi Sulaiman ialah raja mereka. Allah s.w.t menetapkan semua nabi-nabi bukan beragama yahudi dan bukan beragama kristian. Semua nabi-nabi adalah penganut Islam.

وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٣٢﴾ [سورة البقرة: ١٣٢]

(Maksudnya): Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yaakub. (Ibrahim berkata): "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam".

Bangsa yahudi yang terbentuk di Mesir setelah Nabi Yaakub a.s yang dianggap bapa mereka yang pertama berhijrah ke Mesir melahirkan zuriat yang banyak sehingga terbentuklah bangsa yahudi. Mereka dipimpin oleh Nabi Musa a.s dengan perintah Allah s.w.t. Musa ialah rasul Allah yang membawa kitab Taurat. Allah s.w.t memerintahkan Bani Israil masuk ke Palestin bukan dengan semangat kebangsaan yahudi untuk membawa Islam menegakkan kitab Taurat. Apabila Nabi Musa dan Nabi Harun 'alaihimas salam mengajak mereka masuk ke Palestin, mereka tidak mahu berjihad. Mereka mengecewakan rasul-rasul mereka sebagaimana firman Allah Ta'ala:

قَالُوا يَا مُوسَىٰ إِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا أَبَدًا مَّا دَامُوا فِيهَا ۖ فَاذْهَبْ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ ﴿٢٤﴾ [سورة المائدة: ٢٤]

(Maksudnya): Mereka (menolak dengan) berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu".

Allah s.w.t menyesatkan mereka selama 40 tahun. Nabi Musa dan Nabi Harun 'alaihimas salam diwafatkan. Allah s.w.t melantik Yushak bin Nun a.s, nabi yang memimpin Bani Israil masuk ke Palestin atas nama jihad dan atas nama Islam. Nabi Daud dan Nabi Sulaiman 'alaihimas salam menegakkan negara Islam berdasarkan kitab Allah, kitab Taurat. Apabila orang-orang yahudi meninggalkan kitab Taurat, membunuh nabi-nabi dan rasul-rasul, menghina rasul-rasul, dan membunuh para ulamak, mereka dihalau dari bumi Palestin dan hidup merempat.

Palestin ditakluk oleh kaum musrikin, kaum yang bukan Islam sehingga dibebaskan di zaman Saiyyidina Umar ibnul Khattab r.a. Beliau telah dijemput oleh paderi besar Palestin untuk menyaksikan penyerahan kota suci Palestin yang diketahuinya melalui ulamak-ulamak dan guru-gurunya yang terdahulu sifat manusia yang akan datang ke Palestin yang berhak untuk diserahkan anak kunci Baitul Muqaddis. Datang Saiyyidina Umar. Paderi menyaksikan sendiri baju yang dipakai, tubuh badan dan rupa parasnya adalah sifat yang diberitahu oleh ulamak-ulamak ahli kitab. Maka diserahkan Baitul Muqaddis kepada Islam di zaman khalifah Umar ibnul Khattab r.a. Saiyyina Umar mengatakan:

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ، وَمَهْمَا نَبْتَغِ الْعِزَّةَ بِغَيْرِهِ أَذَلَّنَا اللَّهُ.

(Maksudnya): Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain darinya nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah.

Khalifah Abu Bakr As-Siddiq r.a menegaskan di dalam ucapannya:

مَا تَرَكَ قَومٌ الْجِهَادُ اِلَّا عَمَّهُمُ اللَّهُ بِالذُّلِّ وَالْفَّسَادِ.

(Maksudnya): Tidak ada kaum yang meninggalkan kewajipan berjihad (untuk menegakkan Islam) melainkan Allah menyebarkan kehinaan dan kerosakan ke atas mereka.

Palestin ditakluk oleh tentera salib apabila pemimpin-pemimpin Islam pada masa itu meninggalkan ajaran Islam. Allah s.w.t melahirkan Sultan Solahuddin Al-Ayyubi memimpin tentera Islam membebaskan Baitul Muqaddis yang ditakluk hampir 100 tahun. Muncul Solahuddin Al-Ayyubi yang bukan berbangsa arab, bukan melayu dan bukan Turki, tetapi berbangsa Kurdis memimpin dengan Islam membebaskan Baitul Muqaddis daripada penaklukan orang-orang kristian.

Itulah sejarahnya yang membuktikan Baitul Muqaddis adalah milik Islam dan dibebaskan dengan Islam.

Di zaman mutaakhir, iaitu di zaman kita ini Palestin dan Baitul Muqaddis ditakluk oleh orang-orang yahudi dengan pakatan bersama orang-orang kristian zionis yang menyerahkan Palestin untuk menubuhkan negara Israel pada tahun 1948. Berlakunya demikian apabila orang-orang Islam meninggalkan jihad. Benarlah amaran Allah s.w.t:

وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ ﴿١٩٥﴾ [سورة البقرة: ١٩٥]

(Maksudnya): Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan jangan kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

Ayat ini diturunkan kepada para sahabat radhi Allahu 'anhum setelah Islam mendapat kemenangan yang besar di zaman Nabi s.a.w yang menyebabkan ramai kalangan mereka yang sibuk dengan kebun dan perniagaan untuk mencari harta sehingga tinggal menyumbang dan berjuang untuk menegakkan agama Allah s.w.t. Allah s.w.t menurunkan firman-Nya. Apabila mereka mengumpulkan harta yang lebih disayangi daripada diri dan keluarga, menyebabkan Islam menjadi lemah. Mujurlah para sahabat di zaman itu apabila mendengar ayat-ayat Al-Quran, mereka bangkit meneruskan perjuangan untuk menegakkan agama Allah s.w.t dengan harta dan diri mereka.

Hari ini kita menyaksikan negara arab yang kaya raya yang penuh dengan hasil minyak dan berbagai hasil bumi paling kaya dalam dunia, mendirikan istana dan mahligai yang paling besar dalam dunia, mengumpulkan kekayaan, mereka tidak peduli terhadap bumi Palestin dan Baitul Muqaddis. Namun Allah s.w.t tidak memadamkan cahaya Islam sebagaimana janji-Nya.

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨﴾ [سورة الصف: ٨]

(Maksudnya): Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Allah s.w.t melahirkan kumpulan Islam di Palestin yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w yang bangkit di Baitul Muqaddis menentang orang-orang yahudi yang bersenjata moden dan canggih dengan kayu dan batu, membakar tayar kereta dan sebagainya. Itulah janji Rasulullah s.a.w:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ يَخْذُلُهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ. [رواه الترمذي]

(Maksudnya): Akan tetap ada di kalangan umatku kumpulan yang bangun menyatakan kebenaran, mereka tidak boleh dimudharatkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingga datangnya urusan Allah.

Para sahabat bertanya:

مَنْهُمْ يَا رَسُولَ اللَّه؟

(Maksudnya): Siapakah mereka itu, wahai Rasulullah?

Sabda Rasulullah s.a.w:

هُمْ أَصْحَابُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.

(Maksudnya): Mereka ialah penduduk Baitul Muqaddis dan di keliling Baitul Muqaddis.

Kita menyaksikan benar apa yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. Tetapi percayalah, umat Islam di seluruh dunia khususnya negara-negara jiran yang mengecewakan Palestin akan kecewa di dunia dan akan kecewa di akhirat.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ ﴿٣٣﴾ [سورة التوبة: ٣٣]

(Maksudnya): Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment