Friday, December 15, 2017

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 26 RABI'UL AWWAL 1439 / 15 DISEMBER 2017


AGAMA DIJULANG, AL-QUDS DIMERDEKAKAN

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَشۡهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبۡدُهُۥ وَرَسُولُهُۥ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمۡ وَبَارِكۡ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصۡحَابِهِ وَمَنۡ تَبِعَهُمۡ بِإِحۡسَانٍ إِلَى يَوۡمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ:
فَيَا عِبَادَ اللَّهِ! ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ.

Wahai hamba-hamba Allah!

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala yang ditegah-Nya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam Ayat 21 Surah Al-Ahzab:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا (٢١) [سورة الأحزاب : ٢١]
(Maksudnya): Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.

Keberadaan kita pada bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan kelahiran junjungan besar Nabi s.a.w nabi akhir zaman pembawa rahmat kepada seluruh alam. Hadirnya bersama misi dan visi yang besar iaitu memastikan umat manusia yang tenggelam dalam cara hidup jahiliyah terutama syirik kepada ke,bali mengesakan Allah, daripada mengikut hawa nafsu kepada tunduk kepada suluhan wahyu, daripada sikap kebinatangan kepada akhlak yang mulia.

Kita sebagai umat yang beriman begitu yakin bahawa pada diri Rasulullah s.a.w mempunyai contoh teladan yang terbaik dari pelbagai aspek kehidupan sama ada cara berkeluarga, cara berekonomi, cara bersosial, cara berpolitik, cara bernegara dan sebagainya.

Bila kita benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka setiap tindak tanduk kita akan membawa kebaikan bukan sahaja pada diri sendiri malah mampu menyebar luaskan kebaikan kepada sekitar. Hanya umat yang meyakini bahawa perlunya kita kepada pengutusan nabi untuk membimbing umat manusia dalam mengurus kehidupan dunia berteraskan agama bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan yang paling penting di akhirat nanti. Islam melarang kita mendewakan nabi sehingga dianggap sebagai tuhan sebagaimana sesatnya kristian yang mempertuhankan Nabi Isa a.s.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam Ayat 23 dan 24 Surah Al-Jasiyah:

أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٖ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَٰوَةٗ فَمَن يَهۡدِيهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ (٢٣) وَقَالُواْ مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنۡيَا نَمُوتُ وَنَحۡيَا وَمَا يُهۡلِكُنَآ إِلَّا ٱلدَّهۡرُۚ وَمَا لَهُم بِذَٰلِكَ مِنۡ عِلۡمٍۖ إِنۡ هُمۡ إِلَّا يَظُنُّونَ (٢٤) [سورة الجاثية : ٢٣-٢٤]
(Maksudnya): Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf? Dan mereka berkata: "Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman". Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

Keperluan kita kepada pengutusan Nabi Muhammad s.a.w bersama wahyu Al-Quran begitu penting dan wajib disyukuri kerana ini semua menjadi antara asbab dalam melahirkan kita sebagai seorang Islam. Kita begitu yakin bahawa nikmat agama adalah jauh lebih penting berbanding nikmat duniawi yang lain termasuk nikmat udara untuk bernafas, nikmat makan minum, nikmat tempat tinggal dan sebagainya.

Agama dalam bahasa arab disebut ad-din. Selain bererti agama, ad-din juga bererti yakin dengan "kekuasaan", "ketundukan", "kepatuhan", "balasan", "peraturan" dan "nasihat". Agama memang mengandungi peraturan dan hukum yang harus dipatuhi manusia. Agama mempunyai kekuasaan yang membuat manusia tunduk dan patuh kepada Tuhan. Orang yang tundukdan patuh kepada Tuhan akan mendapat balasan baik daripada Tuhan, sementara yang tidak patuh akan mendapat balasan buruk daripada Tuhan. Meskipun kini ilmu pengetahuan dan teknologi berkembang dengan pesat, manusia tetap memerlukan agama. Ilmu pengetahuan dan teknologi tidak dapat memberi jawapan atas pertanyaan mengenai makna dan tujuan hidup manusia, yang hanya boleh dijawab oelh agama.

Lima sebab utama manusia perlu kepada agama ialah:

[1] Keterbatasan akal terhadap pengetahuan mengenai hakikat sebenar kehidupan. Betapa pun cerdasnya manusia, betapa maju teknologi tetapi tidak mampu menjawab banyak persoalan terutama berkaitan alam ghaib. Oleh itu manusia perlu kepada agama untuk menunjuk hakikat kehidupan dunia yang berkait dengan akhirat.

[2] Keperluan fitrah manusia di aman semua bangsa percaya terhadap zat yang dianggap agung. Sedangkan orang-orang yang mengaku tidak percaya Tuhan, itu sebenarnya adalah hanya sebuah pelarian dari rasa kecewa terhadap agama yang mereka lihat. Padahal ia salah faham terhadap agama itu dan sama sekali itu tidak membuktikan bahawa Tuah tidak ada. Oleh itu kita begitu bimbang apabila adanya anak-anak melayu yang terlibat dengan golongan anti-Tuhan. Perkara ini wajib dicegah daripada merebak dengan undang-undang dan pendidikan agar rasa perlu kepada agama ditingkatkan dalam jiwa umat Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam Ayat 59 Surah Maryam:

۞ فَخَلَفَ مِنۢ بَعۡدِهِمۡ خَلۡفٌ أَضَاعُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَٱتَّبَعُواْ ٱلشَّهَوَٰتِۖ فَسَوۡفَ يَلۡقَوۡنَ غَيًّا (٥٩) [سورة مريم : ٥٩]
(Maksudnya): Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka).

Sebab ke - [3] perlunya manusia kepada agama kerana manusia perlu kesihatan jiwa dan kekuatan rohani. Pelbagai keadaan dalam hidup seperti susah senang, sihat sakit, kaya miskin, kuat lemah menjadikan manusia perlu kepada kekuatan untuk mengawal emosinya. Keyakinan dan keimanan terhadap agamalah sumber kekuatan itu. Sebab hanya  agamalah yang mengajarkan tentang kepercayaan terhadap takdir, tawakkal, kesabaran, pahala dan siksa. Dengan kepercayaan semacam itulah jiwa akan menjadi sihat dan rohani akan menjadi kuat. Antara cara menguatkan jiwa ialah melalui amalan solat lima waktu terutamanya secara berjamaah.

Oleh itu ketika melihat ramai umat Islam meninggalkan solat yang menyebabkan pelbagai masalah sosial dan jenayah meningkat maka perlu ketika suatu usaha dalam memastikan umat Islam bersungguh-sungguh dalam menjaga solat. Kita menyokong penuh usaha pihak satu sekolah di Pahang yang meminta agar pelajar terlebih dahulu solat Zohor berjamaah sebelum pulang. Ini adalah suatu usaha baik yang mesti dicontohi ketika statistik menunjukkan peratusan umat Islam termasuk pelajar sekolah yang meninggalkan solat begitu tinggi. Kita juga meminta agar pihak yang membantah usaha murni ini agar di'sekolah'kan semula supaya mereka lebih takut kepada Allah.

[4] Keperluan masyarakat terhadap motivasi dan disiplin akhlak. Hukum dan peraturansemata-mata tidak mampu mendidik manusia untuk melaksanakan kebaikan, menunaikan kewajipan dan meninggalkan larangan. Manusia perlu kepada motivasi dalaman iaitu hati nurani. Dengan membina hati nurani inilah seorang manusia akan termotivasi untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan dengan sukarela walaupun tanpa ada pengawasan dari manusia dan tekanan dari hukum dan peraturan. Peranan ini hanya mampu dimainkan oleh agama. Apa lagi agama juga mengajarkan adanya "pengawasan malaikat" oleh Tuhan terhadap seluruh perbuatan manusia dan menanamkan keimanan bahawa kehidupan dunia berhubung dengan balasan akhirat.

[5] Keperluan masyarakat kepada hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Ikatan akidah mampu meruntuhkan sikap perkauman sempit sehingga manusia mampu hidup saling bantu membantu tanpa mengira bangsa, keturunan, pangkat dan harta. Hubungan atas dasar iman akan menolak sebarang bentuk penindasan dan kezaliman sebaliknya menyuburkan lagi rasa hormat dan kasih sayang dalam diri masyarakat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam Ayat 52 Surah Al-Furqan:

فَلَا تُطِعِ ٱلۡكَٰفِرِينَ وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ جِهَادٗا كَبِيرٗا (٥٢) [سورة الفرقان : ٥٢]
(Maksudnya): Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.

Sempena kita berada pada hari Jumaat yang mulia, di masjid yang mulia, maka kita mengecam tindakan Presiden Amerika Syarikat dan sekutu zionis yahudi yang mengisytiharkan Batul Muqaddis sebagai ibu negara Israel. Bumi Palestin milik umat Islam, Al-Quds milik kita. Allah dengan segala kekuatan-Nya bersama kita. Walau musuh berhimpun dengan segala kekuatan mereka untuk mengalahkan kita, mereka tidak akan dapat melakukannya.

Donald Trump memilih untuk bermain api dengan dunia Islam. Nanti dia bakal merasa bagaimana panasnya korban api jihad yang menyala lantaran tindakan bacul ini. Tentunya Trump dan emasnya Israel akan terpaksa membayar harga yang mahal kerana apa yang mereka jual akan bakal dibeli oleh pejuang Islam.

Al-Quds kiblat pertama umat Islam. Di sini tersimpan maruah dan harga diri umat. Saudara kita di Palestin telah mempertahankannya dengan darah dan nyawa. Mungkin kita tidak seberani mereka untuk berhadapan dengan kereta kebal Israel bersenjatakan hanya dengan batu-batu di tangan. Tetapi tetap perlu ada bahagian kita dari kemuliaan jihad ini walau kita dipisahkan dengan luasnya lautan dan jarak yang jauh. Isu Palestin adalah isu kita bersama. Isu semua manusia yang cintakan kemanan dan kedamaian. Isu manusia yang cintakan keadilan dan memperthankan hak orang lain dari dicabuli.

Zionis yahudi adalah pengganas dan inilah musuh sebenar kita. Di belakang mereka juga negara pengganas yang bertindak sebagai polis dunia. Siapa yang lebih ganas daripada mereka yang merampas bumi milik orang lain lalu bermaharajalela membunuh dan menindas. Pengganas ini tidak kenal bahasa diplomasi. Kerana itu tentera Allah di bumi Palestin mengajar mereka dengan bahasa peluru dan darah. Jihad ini akan berterusan sampai hari kiamat.

Buktikan kebersamaan kita dengan pejuang Palestin. Hulurkan bantuan kewangan dan yang paling penting ialah doakan keselamatan dan kejayaan pejuang Islam. Boikot barangan zionis yahudi dan sekutunya. Bukalah mata kita bagaimana rakyat Malaysia memberi bantuan kepada zionis yahudi sebanyak RM230 ribu sehari atau RM80.4 juta setahun dengan pembelian set RM5.90 di Mc Donalds.

Kalau tidak mampu membantu saudara seagama jangan pula membantu musuh dalam membunuh saudara seagama. Bangkitlah wahai umat Islam. Saudara seagama sedang menderita ketika kita riang gembira, mereka bermandi darah ketika kita hidup mewah, mereka berlagukan tangisan ketika kita hidup penuh hiburan. Bersama kita merdekakan bumi wakaf milik umat seluruh umat Islam Palestin. Kibarkan bendera Islam, jatuhkan bendera kezaliman.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمۡ فِي الۡقُرۡءَآنِ الۡعَظِيمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمۡ بِمَا فِيهِ مِنَ الۡآيَاتِ وَالذِّكۡرِ الۡحَكِيمِ. وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنۡكُمۡ تِلَاوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الۡعَلِيمُ.
وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الۡعَظِيمَ لِي وَلَكُمۡ وَلِسَائِرِ الۡمُسۡلِمِينَ وَالۡمُسۡلِمَاتِ وَالۡمُؤۡمِنِينَ وَالۡمُؤۡمِنَاتِ فَاسۡتَغۡفِرُوهُ، فَيَا فَوۡزَ الۡمُسۡتَغۡفِرِينَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِينَ.

Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment