Friday, December 22, 2017

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 3 RABIUL AKHIR 1439 / 22 DISEMBER 2017


UMAT YANG LAYAK MEWARISI BAITUL MUQADDIS

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ الۡعَالَمِينَ، وَالۡعَاقِبَةُ لِلۡمُتَّقِينَ، وَلَاعُدۡوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ. أَشۡهَدُ أَن لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحۡدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُۥ، لَهُ الۡمُلۡكُ وَلَهُ الۡحَمۡدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيۡءٍ قَدِيرٌ. وَأَشۡهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبۡدُهُۥ وَرَسُولُهُۥ، الۡبَدۡرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الۡمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمۡ وَبَارِكۡ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدۡوَتِنَا مُحَمَّدٍ، ٱلرَّحْمَةِ المُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ المُسْدَاةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنۡ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُۥ وَوَالَاهُۥ.
أَمَّا بَعۡدُ:
فَيَا عِبَادَ ٱللَّهِ، ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَى، فَقَدۡ فَازَ ٱلۡمُتَّقُونَ.
Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

سُبۡحَٰنَ ٱلَّذِيٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلٗا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِي بَٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنۡ ءَايَٰتِنَآۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ (١) [سورة الإسراء : ١]
(Maksudnya): Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ayat ini menunjukkan betapa Baitul Muqaddis atau Masjidil Aqsa adalah tempat yang mulia di sisi Allah s.w.t yang sangat berkaitan dengan agama Islam. Hari ini kita menyaksikan bagaimana masjid yang mulia dan suci ini telah dinodai oleh musuh-musuh Islam di saat kelemahan umat Islam yang telah berlalu seratus tahun melalui Perjanjian Balfour, perjanjian yang dibuat oleh negara yang tidak berhak yang tidak memiliki bumi Palestin dan tidak memiliki Masjidil Aqsa untuk menyerahkan kepada orang yang tidak berhak, iaitu orang-orang yahudi yang dilaknat oleh Allah s.w.t, yang kita ulangi pada tiap-tiap rakaat sembahyang "الْمَغْضُوْبِ عَلَيْهِمْ" (golongan yang dimurkai oleh Allah s.w.t). Golongan ini juga yang membunuh nabi-nabi dan rasul-rasul serta para ulamak yang mewarisi ajaran nabi-nabi dan rasul-rasul 'alaihimus sholatu wassalam.

Apa yang berlaku itu menunjukkan kealpaan umat Islam. Kita menyaksikan ramai kalangan raja-raja, presiden-presiden dan pemimpin-pemimpin negara umat Islam tidak menghadiri sidang kemuncak negara-negara Islam di Istanbul bagi membincangkan perkara Masjidil Aqsa yang berada dalam keadaan yang sangat bahaya, apabila presiden Amerika Syarikat mengiktiraf Baitul Muqaddis, kota suci itu sebagai ibu negara haram Israel.

Peristiwa ini sangat menyentuh umat Islam dan agama Islam yang mesti dirasai oleh umat Islam, betapa kedudukan tanah suci ini dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w, yang menguatkan lagi apa yang ada di dalam Al-Quranul Karim.

لَا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ مَسۡجِدِى هَٰذَا وَمَسۡجِدِ الۡحَرَامِ وَمَسۡجِدِ الۡأَقۡصَى. [رواه مسلم]
(Maksudnya): Tidak dilakukan melancung (perjalanan) dengan cara yang bersungguh melainkan ke arah tiga buah masjid, iaitu masjid aku (Masjid An-Nabawi di Madinatul Munawwarah), Masjidil Haram (di Makkatul Mukarramah) dan Masjidil Aqsa (di Baitul Muqaddis).

Masjid yang mempunyai fadhilat yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w:

فَضۡلُ الصَّلَاةِ فِى الۡمَسۡجِدِ الۡحَرَامِ عَلَى غَيۡرِهِ مِائَةُ أَلۡفِ صَلَاةٍ، وَفِى مَسۡجِدِي هَٰذَا أَلۡفُ صَلَاةٍ، وَفِي مَسۡجِدِ بَيۡتِ الۡمَقۡدِسِ خَمۡسُمِائَةِ صَلَاةٍ. [رواه البيهقي]
(Maksudnya): Bersembahyang di Masjidil Haram (di Makkah) fadhilatnya menyamai seratus ribu sembahyang di masjid lain, bersembahyang di masjid aku (di Madinah) fadhilatnya seribu sembahyang, dan bersembahyang di Masjidil Aqsa fadhilatnya lima ratus sembahyang.

Ini menunjukkan kemuliaan Masjidil Aqsa.

Orang-orang yahudi yang mendakwa mereka berhak ke atas bumi Palestin adalah dakwaan yang bohong dan karut. Mereka tidak layak untuk mewarisi Masjidil Aqsa dan mewarisi bumi Palestin. Mereka dilaknat oleh Allah s.w.t, walaupun mereka adalah zuriat Nabi Ibrahim a.s dan pengikut Nabi Musa a.s. Allah s.w.t telah mengatakan betapa yang layak bersama Ibrahim a.s:

وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِ‍ۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِيۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِي ٱلظَّٰلِمِينَ (١٢٤) [سورة البقرة : ١٢٤]
(Maksudnya): Dan ingatlah, apabila Tuhan menguji Ibrahim dengan beberapa kalimah (perintah), lalu Ibrahim menunaikan semuanya dengan sempurna. Tuhan berkata: Sesungguhnya Aku jadikanmu imam (pemimpin contoh teladan). Ibrahim berkata: Jadikanlah juga begitu kepada zuriat keturunanku. Tuhan berkata: Tidak diberi janjiKu ini kepada orang-orang yang zalim.

Kaum yahudi zionis adalah kaum yang zalim yang membunuh nabi-nabi dan menolak kitab Taurat dan akhirnya menolak nabi akhir zaman, Muhammad s.a.w.

Firman Allah Ta'ala:

وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ (٢٤) [سورة السجدة : ٢٤]
(Maksudnya): Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

Orang-orang yahudi zionis pada hari ini adalah kalangan yang menolak kitab Taurat. Mereka tidak layak untuk mewarisi Masjidil Aqsa dan Baitul Muqaddis. Yang layak mewarisinya ialah umat akhir zaman, umat Muhammad s.a.w, dengan syarat umat itu mestilah berpegang teguh dengan Al-Quran mengikut petunjuk Allah s.w.t, pusaka yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Allah s.w.t menjanjikan kemenangan kepada golongan ini.

وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ (٤٠) [سورة الحج : ٤٠]
(Maksudnya): Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

بَارَكَ ٱللَّهُ لِي وَلَكُمۡ  بِٱلۡكِتَابِ وَٱلسُّنَةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمۡ بِٱلۡآيَاتِ وَٱلۡحِكۡمَةِ. أَقُولُ قَوۡلِى هَٰذَا وَاَسۡتَغۡفِرُ ٱللَّهَ ٱلۡعَظِيمَ لِي وَلَكُمۡ وَلِسَائِرِ ٱلۡمُسۡلِمِينَ وَٱلۡمُسۡلِمَاتِ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ.

Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment