Friday, December 8, 2017

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN - 19 RABI'UL AWWAL 1439 / 8 DISEMBER 2017


PENCEROBOHAN TERHADAP MASJIDIL AQSA

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَكْرَمَنَا بِنِعْمَةِ الْإِسْلَامِ، وَفَضَّلَنَا كَثِيْرٍ مِنَ الْأُمَمِ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرِ الدُّجَى وَالسِّرَاجِ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ الْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ.
أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (bagi kehidupan di dunia sehingga hari akhirat) ialah bertaqwa. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang  yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita jadikan kesedaran dan keinsafan kepada kita dengan berlakunya perkara yang sepatutnya menyentuh perasaan dan semangat seluruh umat Islam di dunia ini, iaitu pencerobohan yang sedang dilakukan oleh orang-orang yahudi ke atas Masjidil Aqsa, kiblat pertama bagi umat Islam serta tempat israk dan bermulanya mikraj Rasulullah s.a.w.

Masjidil Aqsa merupakan salah satu tempat suci umat Islam yang disebut oleh Rasulullah s.a.w sebagai tempat yang layak diziarahi oleh umat Islam telah dikepung oleh orang-orang yahudi yang merampas bumi Palestin dengan niat yang jahat dan ajaran yang salah bagi mendirikan kerajaan yang menakluk dunia, kerajaan yang didakwa oleh mereka menyambung kerajaan Nabi Sulaiman a.s yang dikurniakan oleh Allah memerintah dunia.

Nabi Sulaiman a.s walaupun berbangsa yahudi, tetapi tidak menganut agama yahudi yang sesat seperti hari ini. Begitulah semua nabi-nabi dan rasul-rasul 'alaihimus solatuwassalam yang berbangsa Bani Israil keturunan Nabi Yaakub a.s adalah menganut agama Islam, tetapi tidak menganut agama yang sesat. Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quranul Karim:

وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٣٢﴾ [سورة البقرة : ١٣٢]

(Maksudnya): Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yaakub. (Ibrahim berkata): "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam.

Firman Allah Ta'ala lagi:

أَمْ كُنتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِن بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَـٰهَكَ وَإِلَـٰهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَـٰهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ ﴿١٣٣﴾ [سورة البقرة : ١٣٣]

(Maksudnya): Adakah kamu hadir ketika Yaakub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?" Mereka menjawab: "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishak, (iaitu) Tuhan yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya.

Penganut agama yahudi pada hari ini adalah mereka yang telah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Allah s.w.t khususnya ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi Musa a.s dinyatakan oleh Allah di dalam Al-Quranul Karim:

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ لِمَ تُؤْذُونَنِي وَقَد تَّعْلَمُونَ أَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ ۖ فَلَمَّا زَاغُوا أَزَاغَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ ﴿٥﴾ [سورة الصّف : ٥]

(Maksudnya): Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu?" Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik (derhaka).

Allah telah mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w dengan kitab suci Al-Quranul Karim yang sama rukun-rukun asas akidah yang ada di dalam Taurat, seperti kepercayaan kepada Allah dan hari akhirat, perhitungan dosa dan pahala, asas-asas agama Islam yang sama wajib bagi orang-orang yahudi beriman dengan syariat Nabi Muhammad s.a.w. Bahkan kenyataan wajib itu disebut di dalam Taurat oleh rasul-rasul mereka, namun mereka mengambil sikap bermusuh dengan Islam, kerana taksub kaum mereka yang ingin menakluk dunia dengan mendirikan negara haram israel dengan mengambil kelemahan umat Islam setelah umat Islam meninggalkan ajaran Islam.

Yang layak memerintah bumi Palestin ialah umat Islam yang berpegang dengan ajaran Islam. Allah telah memberi ruang kepada orang-orang yahudi merampas bumi Palestin apabila orang-orang arab yang beragama Islam leka dengan semangat kebangsaan arab, meninggalkan syariat Allah s.w.t. Kesalahan yang dilakukan oleh orang arab itu satu perkara yang lain. Apa yang wajib disedari oleh kita ialah wajib bagi umat Islam mempertahankan bumi Palestin, mempertahankan Masjidil Aqsa. Masalah bumi Palestin dan Masjidil Aqsa bukan masalah tanah air arab dan bukan masalah kebangsaan arab. Bumi Palestin dan Masjidil Aqsa adalah masalah umat Islam, masalah agama yang wajib dipertahankan oleh umat Islam.

Apa yang mendukacitakan kita, pencerobohan yang berlaku pada hari ini oleh orang-orang yahudi yang didokong tidak sampai 30 juta umat yahudi di seluruh dunia di hadapan lebih 1,000 juta umat Islam. Umat Islam seramai itu di seluruh dunia tidak boleh berbuat apa-apa.

Marilah kita bermuhasabah atau menghisab diri umat Islam sendiri terutama kepada pemimpin-pemimpin mereka yang sedang memimpin negara pada hari ini. Di mana hilangnya maruah, hilangnya jati diri dan hilangnya kehebatan yang ada di dalam diri umat Islam. Di mana salahnya? Tidak lain dan tidak bukan melainkan kerana meninggalkan ajaran islam yang menjadi kehebatan kepada umat Islam.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ ۚ فَمَا جَزَاءُ مَن يَفْعَلُ ذَ‌ٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ ﴿٨٥﴾ [سورة البقرة : ٨٥]

(Maksudnya): Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kebinasaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa yang kamu perbuat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment