Friday, December 1, 2017

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN - 12 RABI'UL AWWAL 1439 / 1 DISEMBER 2017


KEDATANGAN NABI S.A.W KURNIA ALLAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ.  أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ الْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، ٱلرَّحْمَةِ المُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ المُسْدَاةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُۥ وَوَالَاهُ.
أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita memahami betapa pentingnya firman Allah Ta'ala berkenaan kedatangan Rasulullah s.a.w yang disambut kelahirannya setiap tahun pada bulan ini. Allah Ta'ala berfirman:

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ ﴿٣٣﴾ [سورة التاوبة : ٣٣]

(Maksudnya): Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w adalah kurnia Allah s.w.t dan nikmat yang paling besar kepada seluruh alam. Walaupun Allah s.w.t meletakkan manusia, makhluk yang istimewa di atas muka bumi, mempunyai akal fikiran, roh dan jasad, boleh bergerak ke sana ke mari, menggunakan makhluk-makhluk yang lain, namun manusia sangat berhajat kepada pertolongan Allah s.w.t yang menjadi dan menciptakannya. Tidak cukup dengan akal sahaja, tidak cukup dengan pengalamannya sahaja, tidak cukup dengan kekuatan dirinya sahaja, walaupun Allah s.w.t telah mengutuskan rasul-rasul yang ramai sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w, khususnya rasul-rasul yang besar membawa kitab Allah yang besar.

Namun di zaman mutaakhir, manusia sudah menjadi hanyut dan menyeleweng daripada petunjuk Allah s.w.t. Walaupun di sana ada negara-negara yang bertamaddun membangun kemajuan yang hebat, istana-istana yang indah, mahligai-mahligai yang besar, kota-kota yang teguh, menyediakan berbagai-bagai kemudahan dan sehingga hari ini manusia mencapai kemajuan sains dan teknologi, mencipta alat-alat yang canggih dan hebat sehingga bergerak ke sana ke mari menghubungkan dunia yang luas menjadi sempit dengan alat-alat yang terkini, tetapi manusia tanpa petunjuk Allah s.w.t merosak dan menghancurkan serta memusnahkan diri mereka sendiri. Mereka terlajak dan melampaui batas. Mereka sangat memerlukan rasul yang diutuskan Allah s.w.t.

Itulah kedatangan Nabi Muhammad s.a.w untuk menyelamatkan manusia yang berada di dalam kegelapan dalam keadaan yang terpinga-pinga walaupun di sana ada kitab Taurat dan Injil yang besar, ada ulamak-ulamak ahlul kitab penganut agama yahudi dan kristian, tetapi ahli-ahli agama dan ulamak-ulamaknya sudah menyeleweng. Mereka meminda kitab Allah dan mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah s.w.t.

Apatah lagi penganut-penganut agama yang tidak ada kitab. Orang-orang arab membunuh anak perempuan hidup-hidup yang dianggap menjadi masalah. Kaum cina dan india mengorbankan anak dan isteri serta diperdagangkan. Itulah perangai manusia menjadi lebih jahat daripada binatang walaupun dianggap sebagai bangsa yang bertamaddun. Mereka sangat memerlukan petunjuk daripada Allah s.w.t.

Negara-negara yang membina kota-kota besar dan istana-istana yang hebat dibangunkan dengan memperhambakan rakyat. Didirikan bangunan-bangunan itu di atas mayat-mayat rakyat yang dikorbankan dan harta rakyat yang dirampas. Manusia menjadi gila dengan kebendaan yang mengelilingi mereka yang menjadikan mereka lupa daratan.

Maka Allah s.w.t mengutuskan rasul-rasul diakhiri dengan Nabi Muhammad s.a.w sesuai dengan dunia akhir zaman yang berhubung dengan mudah di antara satu sama lain. Diutuskan kepada seluruh manusia membawa mukjizat ilmu Al-Quranul Karim, berbeza dengan mukjizat rasul-rasul yang terdahulu daripadanya. Al-Quran adalah mukjizat ilmu menunjukkan manusia dalam semua perkara.

Allah s.w.t mencabar manusia:

وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿٢٣﴾ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ ﴿٢٤﴾ [سورة البقرة : ٢٤ - ٢٣]

(Maksudnya): Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.

Hari ini kita dapat melihat betapa mereka yang melawan kitab Allah s.w.t dengan mengadakan peraturan sendiri berada dalam kesesatan. Kemajuan yang memusnahkan diri mereka sendiri. Mereka mencipta senjata-senjata yang menjadikan manusia lebih ganas daripada binatang. Mereka mencipta ubat-ubatan yang maju yang akhirnya meroskan diri manusia sendiri tanpa mengira halal dan haram melanggar batas sempadan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Islam yang diberi peluang beberapa abad lamanya telah berjaya membina tamaddun manusia yang menyelamatkan manusia dengan petunjuk Al-Quran dalam masa beberapa abad memberi kebahagiaan kepada mereka di dunia ini, tetapi penganut-penganut agama lain yang hasad dengki khususnya dalam kalangan ahlul kitab bermusuh dengan Islam, bermusuh dengan orang-orang Islam, menjatuhkan Islam walaupun mereka menerima malapetaka ketiadaan pemerintahan Islam pada hari ini, mereka terus bermusuh dengan Islam.

Apa yang menjadi masalah terdapat dalam kalangan orang-orang Islam sendiri yang tenggelam bersama dengan musuh menentang agama mereka sendiri dan menjadi alat kepada musuh-musuh Islam.

Marilah kita kembali kepada Islam menghayati peristiwa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, membaca sejarah perjalanan hidupnya yang penuh pengajaran.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ ﴿١٠٧﴾ [سورة الأنبياء : ١٠٧]

(Maksudnya): Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment