Friday, December 22, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 3 RABIUL AKHIR 1439 / 22 DISEMBER 2017


PERSAUDARAAN MEMPERKUKUHKAN UMAT

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ ﴿١٩٩﴾

Maksudnya: "Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'aruf , serta berpalinglah daripada orang-orang yang jahil". (Surah Al-A'araf Ayat 199)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Persaudaraan Memperkukuhkan Umat".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Persaudaraan yang erat dan kukuh merupakan asas kepada kejayaan sesebuah organisasi, kaum, mahupun sesebuah masyarakat. Sekiranya perkara ini tidak dihalusi secara teliti tentang kepentingannya, maka persaudaraan yang erat tidak dapat dicapai dengan jayanya dan akan mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat.

Dalam konteks bermasyarakat ini, Islam amat menekankan peri pentingnya persaudaraan yang dihiasi dengan ciri-ciri yang khusus dan mempunyai kedudukan yang mulia sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Hujurat Ayat 10:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾

Maksudnya: "Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat".

Sebagai seorang muslim yang memahami erti persaudaraan seagama maka akan tertanam di dalam jiwanya rasa saling mencintai yang tidak terbatas. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Nukman bin Basyir r.a:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: "Orang yang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga dan panas (turut merasakan sakitnya)". (Riwayat Imam Muslim)

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Setiap individu muslim yang benar-benar memahami erti persaudaraan akan terlihat indah akhlaknya dan penuh etika dalam memenuhi hak-hak saudaranya. Mereka sedaya upaya akan berusaha agar lisan dan perbuatannya tidak menyakiti orang lain apatah lagi saudara seagamanya serta sentiasa menggambarkan ajaran Islam sebenar.

Menyentuh hal ini, Rasulullah s.a.w berpesan agar umatnya menjauhi perbuatan yang tercela supaya tidak terhalang daripada mendapat rahmat Allah s.w.t. Nabi Muhammad s.a.w dalam haditsnya daripada Saiyyidina Abu Hurairah r.a:

لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Maksudnya: "Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Demikianlah persaudaraan seagama yang semestinya terjalin berasaskan syariat ini. Adanya tali persaudaraan tersebut memberi begitu banyak keindahan bagi mereka yang menjalinkannya atas dasar ilmu, iman dan taqwa.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Kemelut yang melanda umat Islam masa kini telah menyebabkan berlakunya perpecahan dalam pelbagai kelompok dan puak. Perpecahan ini juga terpengaruh kepada perselisihan di dalam bidang akidah, syariat, dan tidak ketinggalan juga kepada perkembangan hadits, tafsir, tasawwuf, dan sebagainya. Kita perlu menyedari bahawa perpecahan itu adalah suatu kehinaan. Adalah baik jika perbezaan yang terjadi tidak dijadikan untuk saling menghina dan memusuhi, tetapi dimanfaatkan sebagai saranan untuk berlumba-lumba bagi membuat kebajikan demi kemajuan agama, bangsa dan negara. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah Ayat 148:

وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا ۖ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ ۚ أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١٤٨﴾

Maksudnya: "Dan bagi setiap umat ada kiblat yang dihadapkannya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebajikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (kepada hari kiamat); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

Kita perlu menyedari bahawa cabaran pada masa hadapan adalah lebih berat berbanding hari ini. Oleh itu, bersatu dan bekerjasama sangat perlu diutamakan. Malah semua pihak mesti bertindak berasaskan perancangan bersama ke arah kemajuan umat menerusi dialog untuk membicarakan agenda bersama.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Setiap anggota masyarakat bertanggungjawab memayungi dan melindungi keselamatan serta kesejahteraan sesama kita. Peranan ini perlu difahami dan dimainkan oleh kita semua seperti meluangkan masa bersama-sama keluarga dan masyarakat. Mimbar begitu yakin, perpaduan yang terjalin memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa yang maju. Pada masa yang sama, kurangkan sikap prejudis terhadap keharmonian kaum sekalipun berbeza pendapat, konsep politik mahupun berlainan ideologi politik. Lebih bermakna, perpaduan dalam kalangan masyarakat serta barisan kepimpinan negara mementingkan semangat toleransi dalam diri generasi sekarang dan akan datang.

Oleh itu, mengakhiri khutbah pada hari ini, beberapa perkara yang perlu diambil perhatian iaitu:

Pertama: Berpegang teguhlah dengan ajaran agama mengikut manhaj yang shahih mencakupi ilmu, iman, amal dan taqwa kepada Allah s.w.t.

Kedua: Bersangka baiklah kita kepada Allah s.w.t dan sesama muslim supaya hati kita tetap teguh bersatu.

Ketiga: Wujudnya sifat kasih sayang yang akan menjanjikan kebahagiaan dan kesejahteraan kepada keluarga, bangsa dan negara.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits Muttafaqun 'alaih)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


No comments:

Post a Comment